Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,561
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 16


Bunyi cengkerik riuh berdendang di luar. Begitu juga dengan Atuk dan Alex yang berada di serambi sedang rancak berbual. Ketika tiba petang tadi, orang tua itu baru sahaja pulang dari surau. Lebar senyuman Atuk melihat kedatangan mereka berdua. Lebih-lebih lagi senyum apabila dimaklumkan akan bermalam pula.

Dilirik jam dinding. Melewati sepuluh malam. Entah topik apa yang menjadi perbualan mereka yang sejak tadi tidak habis-habis lagi dibicarakan.

Sebenarnya, sejak dari pagi lagi Uzma diam memerhati sikap Alex. Apabila berbual soal pekerjaan, ringan sahaja mulut lelaki itu berbual dengannya. Tidak perlu disoal lelaki itu sendiri sudi berkongsi pelbagai topik berkisar pekerjaannya itu. Namun, jikalau bersembang kosong memang taklah. Tetapi, berbeza pula apabila berbual dengan Atuk. Seperti wartawan hiburan lagak lelaki itu. Mereka berdua saling berbalas pertanyaan dan pengalaman. Sesekali, terdengar bunyi ketawa. Hati kecil disapa cemburu melihat mudahnya lelaki itu membuka mulut dengan Atuk berbanding dirinya.

Bosan menonton rancangan yang sedang bersiaran, perasaan mengantuk mula melambai. Sebelum masuk ke kamar beradu, dia singgah ke serambi sebentar.

"Abang, Atuk... Ju masuk tidur dulu." katanya dengan sopan. Tanpa menunggu sebarang balasan dia beredar.

Semenjak kecil, dia telah dididik untuk meminta izin dahulu sebelum masuk tidur. Sehinggalah besar, tabiat itu menjadi suatu kelaziman kepadanya. Sebaik menolak pintu bilik tidur barulah dia teringat akan ubat nyamuk yang telah dipasang sebelum menjelang Maghrib tadi. Ubat nyamuk jenis lingkaran itu dikeluarkan lalu diletakkan di luar bilik. Hidup di kampung memang tidak berenggang dengan serangan makhluk bersayap kecil itu. Penuh berasap bilik tidurnya ketika ini lantas dibukakan pula suis kipas siling sebelum dia turut keluar dari situ. Perit matanya menahan kabut asap beracun itu.

Sebentar, dia masuk kembali. Dikemaskan katil yang tersedia kemas. Lebih dari satu minggu dia tidak menetap di rumah itu. Rindu betul dengan bilik tidurnya itu yang kemas tidak berusik. Ditepuk-tepuk bantal kepalanya sebelum bantal kepala yang disediakan untuk Alex pula dipegang.

Dipeluk seketika bantal suaminya itu. Dia yakin hati dan perasaannya masih sama seperti sebelum berkahwin. Belum tersimpan apa-apa perasaan pada lelaki itu. Cuma yang terlahir ialah rasa tanggungjawab dan perasaan senang apabila berada berdekatan dengan lelaki itu. Malah, makin hari rasa kekok yang menabiri juga dirasakan makin berkurangan.

Bantal tidur yang cantik bersarung alas berwarna coklat keemasan itu diletakkan kembali ke tempatnya. Sehelai selimut yang berlipat di bawah bantal ditarik. Dikirai-kirai selimut tersebut lalu dikebaskan tilam itu beberapa kali. Kemudian, ditutup suis lampu dan dihidupkan sebuah lampu meja yang berada di atas meja solek. Lampu berbentuk bunga loceng yang berwarna merah jambu pucat itu comel sungguh rekaannya. Setelah dirisik dengan Atuk, lampu itu dibelikan oleh Atuk sebagai hadiah kahwin untuknya.

Laa... Atuk, Atuk... Takde hadiah lain agaknya yang dapat difikirkan oleh orang tua itu. Tetapi, tak puas dia memuji pilihan yang dibuat oleh Atuk itu. Terlalu comel!

Entah jam berapa, Uzma terjaga dari lena. Tubuhnya terasa kedinginan. Digoyang-goyangkan kaki yang tidak beralas. Patutlah. Selimut dah berpisah dari badan. Lasak juga dia tidur pada malam itu. Biasanya, kain selimut melekat ditubuhnya hingga ke pagi seperti pakaian keduanya.

Dalam kesuraman, dicelikkan mata. Terkejut tatkala melihat tempat tidur Alex kosong tidak berpenghuni. Apabila dipusingkan tubuhnya ke arah berlawanan dia jadi terpana apabila melihat Alex sedang duduk berpeluk tubuh di meja solek dengan membelakangi cermin. Uzma bingkas bangun dan duduk di birai katil. Perlahan-lahan merapatkan jurang di antara mereka. Dalam suasana kelam diperhati lama. Pejam? Kenapa tidur duduk macam ni?

"Abang..." bisiknya dengan tangan berlabuh di atas lengan lelaki itu.

Spontan, Alex membukakan kelopak mata. Renungannya terkandung perasaan hairan.

"Kenapa duduk sini? Kenapa tak tidur atas katil?" soal Uzma masih berbisik.

Alex tidak menyahut. Diam membisu. Makin pelik Uzma melihatnya. Diberanikan diri. Bangun dan berdiri di hadapan lelaki itu. Kedua belah tangannya memegang lengan yang memakai baju berlengan panjang itu. Alex mendongak memandang wajahnya.

"Abang bangun dan tidur atas katil sekarang." ujarnya berupa arahan. Apabila dirasakan lelaki itu mengeraskan tubuh dan enggan berganjak Uzma menarik nafas yang dalam.

"Kalau abang tak nak tidur atas katil Ju tidur atas lantai." katanya separuh mengugut. Biarkan. Tiba-tiba sahaja lelaki itu berkelakuan pelik begitu. Bukan tak biasa tidur bersama. Dah beberapa malam mereka tidur sekatil, kan?

Bingkas, Alex berdiri. Kali ini Uzma pula yang terpaksa mendongak. Tanpa berlengah ditarik lengan lelaki itu dan disuruh duduk di atas katil. Alex kelihatan teragak-agak sebelum akhirnya merebahkan tubuh ke atas tilam. Terasa lapang dada Uzma sebelum ditarik selimut lalu turut merebahkan tubuh. Dia berbaring mengiring melihat kedudukan qiam lelaki itu. Dalam kesamaran cahaya dapat dilihat mata lelaki itu sedang terkebil-kebil memandang siling.

"Abang fikir apa?" bisiknya.

Tiada sambutan.

"Abang..." panggilnya lembut.

Tiada balasan.

"Terima kasih bawak Ju balik rumah Atuk." ucapnya. Menghargai ingatan lelaki itu terhadap dirinya dan Atuk.

"Esok, kalau abang tak keberatan kita pergi berziarah ke rumah Wan Cu dan Mak Teh, boleh?.."

"Hmm..."

Satu sahutan pendek kedengaran. Namun, berjaya menggembirakan hati Uzma. Direnung suami yang belum memejamkan mata itu.

"Abang suka dekat Ju tak?"

Tersedar, dia menggigit bibirnya sendiri. Malu mendengarkan soalan yang baru ditanyakan itu. Mungkin suasana yang malap ditambah dengan waktu yang larut membuatkan emosinya mudah terpengaruh. Dan mungkin kerana kata-kata itu, Alex serta-merta memalingkan wajah. Renungan itu terus menusuk ke dalam mata Uzma. Dada yang tenang mula bergelora. Segera dijatuhkan lirikan. Segan.

"Abang nak tahu tak? Dulu, bilik ni bilik mak dan ayah Ju... Katil ni pun katil diorang. Kata Atuk, katil inilah satu-satunya peninggalan diorang untuk kenangan Ju selain gambar-gambar lama-.."

Belum sempat dia bercerita dengan niat menukar topik perbualan, Alex bingkas bangun dan duduk di birai katil. Uzma turut bangun lantas menghampiri lelaki itu.

"Abang, kenapa ni?" soalnya cemas.

"Erm, Juma tidurlah dulu." kata Alex tanpa berpaling.

"Tak nak. Ju nak tahu kenapa dengan abang? Abang tak suka tidur di rumah Atuk ke?"

Seingat Uzma pada malam perkahwinan mereka pun tiada kesan lelaki itu pernah tidur sebilik dengannya. Di rumah Atuk kelakuan lelaki itu agak pelik. Ada apa dengan rumah Atuk? Atau ada apa dengan biliknya itu? Tetapi, kenapa diajak pulang jikalau tidak suka tidur di dalam bilik itu atau tidak suka dengan rumah itu?

"Abang nak tidur bilik lain ke?" soalnya lagi. Manalah tahu entah-entah lelaki itu tidak selesa berada di dalam biliknya itu.

"Tak. Juma tidurlah dulu. Nanti, saya tidur."

"Bohong!" sahut Uzma tidak puas hati.

Alex, mula berkira-kira untuk bangun. Persoalan demi persoalan yang ditanyakan oleh Uzma belum dapat lagi dijelaskan. Jadi lebih baik berdiam diri dari menjerat diri. Seperti dapat membaca niat lelaki itu cepat-cepat Uzma menerpa. Terus memeluk lengan lelaki itu dari belakang.

"Kalau abang tak nak bagitahu apa sebabnya, Ju takkan lepaskan abang." katanya sambil mengemaskan pautan itu. Dibuang perasaan malu dan segan. Dia ingin tahu apa masalah lelaki itu ketika ini. Payah benar nak berterus-terang.

Alex, menarik nafas yang dalam. Dadanya kelelahan turun dan naik ketika ini. Tidak menjangkakan tindakan Uzma yang pertama kali terjadi. Dipejamkan kedua matanya. Sepantas kilat memori berbelas tahun yang lalu terimbau di minda.

"Abang, Juma bawak kain lap untuk abang..."

Kanak-kanak perempuan berwajah comel kelmarin dengan rambut diikat ekor kuda di kiri dan kanan muncul di sebalik langsir pintu yang labuh itu. Lebar senyumannya. Di tangannya sehelai tuala Good Morning kelihatan. Terus memanjat katil dan duduk melutut di sisinya yang sedang terbaring lemah. Kain lap yang lembab itu dibawa ke wajahnya. Dilapkan mukanya beberapa kali. Pergerakannya kekok. Tersangkut-sangkut. Budak kecil katakan. Sambil mengelap, mulutnya tersengih seperti kerang busuk.

"Atuk takde dekat rumah. Atuk pergi cari ayah lagi. Wan pulak balik sekejap nak ke tandas. Juma tolong Atuk jaga abang. Abang nak makan?"

Dia menggeleng. Terlalu lemah untuk berkata-kata dan terlalu lemah untuk berbuat apa-apa. Direnung wajah polos dan suci itu. Hebat. Masih kecil tetapi sudah kenal erti tanggungjawab tanpa perlu disuruh.

"Nama Juma, Uzma. Uzma Binti Umair. Siapa nama abang?"

Tanpa segan budak perempuan itu mengajaknya berbual pula. Digeleng lagi kepalanya sebagai jawapan.

"Takde nama?" getus budak itu dengan riak wajah yang hairan. Budak perempuan itu terus memandang dan merenung wajahnya seperti di wajahnya terdapat sesuatu yang menarik sahaja.

"Juma tahu apa nama abang. X! Macam ayah selalu tulis dalam borang. Bila tiada ayah akan tanda X. Betul tak?" omel budak perempuan itu lagi.

Dia, diam tidak menyahut. Sebaliknya mata kembali dipejamkan tatkala rasa bisa dan sakit yang masih berbekas di seluruh tubuhnya itu tiba-tiba menyerang.

"Abang, kenapa ni?.." seru Uzma menyedarkan Alex dari lamunan yang panjang.

Alex memegang kedua tangan yang berlingkar itu. Perlahan-lahan meleraikan ia dan bangun. Belum sempat dia melangkah, Uzma mencampakkan sebiji bantal ke lantai lalu bangkit dan dengan selamba berbaring di situ. Bulat biji mata Alex melihat tindakan isterinya itu. Pantas dia mendekati. Menunduk dan menggerakkan tubuh yang sedang berpura-pura tidur itu dengan mata terpejam rapat.

"Juma, bangun," katanya lembut. Tiada tindak balas. Tubuh itu memang sengaja dibekukan.

"Sejuk lantai ni." tuturnya lagi melihatkan lantai yang beralaskan tikar getah itu. Uzma masih keras tidak bergerak. Alex menarik nafas yang dalam. Kedua tangan terus memaut dan mencempung tubuh sederhana itu ke dalam pelukan. Susah sangat nak bangun dia memudahkan kerja dengan mengangkat sendiri tubuh itu ke atas katil.

Terbeliak biji mata Uzma apabila merasakan dirinya diangkat. Kedua belah tangan spontan berpaut pada batang leher lelaki itu kerana bimbang akan terjatuh. Apabila tubuhnya direbahkan ke tilam dan Alex bersedia untuk beredar, pantas dia memegang lengan lelaki itu sekali lagi.

"Abang tak kan dapat halang Ju. Sekali lagi abang duduk dekat situ, sekali lagi jugak Ju akan baring atas lantai." ugut Uzma dengan berani.

Alex memandang tepat ke dalam mata isterinya itu. Ugutan itu membuatkan dia berfikir dua kali. Namun, dia juga tidak sampai hati. Perasaan bersalah yang ditanggung terlalu berat untuknya bersahaja menikmati keselesaan yang disediakan. Dia malu. Kepada diri dan Yang Maha Memerhati.

"Juma... Lepaskan," pinta Alex separuh berbisik.

Uzma buat tak tahu. Terus merenung.

"Okay. Saya tidur atas katil. Sekarang, lepaskan."

Sekali lagi Alex merayu. Uzma, masih buat tak endah. Barangkali tidak mempercayai kata-katanya itu.

Bungkam. Alex, menarik panjang. Sebenarnya, dia penat. Bukan hanya kepenatan kerana berkerja. Tetapi, penat melawan bisikan hatinya sendiri. Dijatuhkan tubuhnya. Duduk di samping isterinya itu. Andai dia tidak kuat melawan bisikan hati, sudah lama resam kehidupan berumahtangga dilayari. Namun, memikirkan kesan yang bakal terjadi di kemudian hari membuatkannya terpaksa mengunci diri dari melaksanakan tanggungjawab yang halal itu. Baginya, Uzma berhak tahu perkara sebenar sebelum perhubungan itu dimeterai lahir dan batin.

Perlahan-lahan, direbahkan tubuhnya sebaik Uzma menarik tangannya dan beranjak memberikan ruang.

Lama gadis itu duduk memerhati dirinya yang sedang berbaring dengan lengannya masih dalam pegangan. Dia berpura-pura memejamkan mata dan membiarkan sahaja perbuatan mengawasi Uzma itu. Barangkali berwaspada seandainya dia menukar fikiran lalu menjauhkan diri seperti tadi.

Setelah beberapa ketika, apabila pasti Uzma telah jauh dalam lena barulah dia menjarakkan diri. Sebentar, pipi yang licin itu dielus perlahan. Lalu, dia bangkit. Duduk kembali di mana dia duduk sejak dari malam pertama dia berpijak ke dalam bilik itu.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.