Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,540
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 15

Komputer riba yang digunakan kelmarin berada di hadapannya. Dia sedang duduk menghadap dinding yang dibina daripada sekeping papan lapis tebal lalu dijadikan pula sebagai sebuah pegboard. Peralatan yang tergantung di situ terlalu asing dan tidak dicam. Hanya gergaji, tukul, pemutar skru dan alatan pertukangan biasa yang dikenali.

Alex sedang duduk di sebelah. Microsoft Office sedang terpapar. Templat invois sedang digunakan ketika ini. Sudah lima belas minit dia duduk mendengar penerangan daripada lelaki itu akan kerja yang perlu dilakukan. Oo... Jadi bukanlah tugas yang berkaitan kayu atau mengemas. Tugas-tugas perkeranian rupanya. Cakaplah awal-awal. Taklah dia bersusah-payah pergi ke Tampin cari kerja hari tu. Hisy!

"Tengok email bermula dari tarikh ni. Dalam setiap email ada dijelaskan tentang kuantiti, saiz dan jenis produk. Sebut harga pula ada dalam folder ni. Juma taip balik setiap penerangan produk dan harga satu per satu. Boleh?" jelas Alex dan dia mengangguk.

Kacang! Diperhatikan email yang sedang ditunjukkan. Bertarikh hampir setengah tahun yang lalu.

"Invois ni untuk apa?" soalnya ingin tahu.

" Claim."

" Claim? Claim tu apa?" tanyanya lagi.

"Duit." Alex menyahut.

"Tapi dah lama ni. Boleh lagi ke?"

"Boleh."

"Kenapa tak buat awal-awal dulu?" soalnya lagi.

"Tak sempat. Sibuk."

Isy! Ada jugak orang tak nak duit cepat-cepat.

"Orang tu tak tipu ke? Mana tahu dah dapat barang terus senyap macam tu je." omelnya berjaya memancing suaminya menarik sejuring senyuman.

Lelaki itu menggeleng.

"Tak. Mereka semua customer yang jujur."

Uzma diam.

"Saya nak sambung kerja. Kalau nak buat kerja ni dekat atas, buatlah."

"Tak nak. Bosan." pantas disahut sebelum mulai memeriksa email yang diperkatakan.

Yeay!

Ada kerja dan dia tak sabar mahu memulakan kerjanya itu. Alex pula bangun meninggalkannya lalu masuk ke bilik belakang. Dihantar pemergian itu dengan ekor mata lalu pandangan kembali fokus kepada skrin di hadapan. Baru sahaja mahu tenggelam dalam kesibukan dia menyedari lelaki itu kembali mendekatinya. Terkebil-kebil dia mendongak tatkala sebuah headphone dilekatkan di kepalanya. Spontan dibukakan kembali headphone di kepalanya itu. Tindakannya itu mendapat tenungan yang serius dari lelaki itu sebelum topeng muka pula dihulurkan kepadanya. Dengan kerutan di dahi Uzma menggelengkan kepala.

"Tak naklah pakai. Kenapa kena pakai pulak? Rimas." bantahnya selamba.

"Bunyi yang kuat boleh mencederakan fungsi telinga. Habuk halus berbahaya untuk kesihatan."

"Tapi, rimaslah." rungutnya lagi.

Alex diam. Kedua barangan yang dibawa sebentar tadi dibiarkan di atas meja sebelum sekali lagi lelaki itu menghilang ke bilik belakang dan muncul dengan visor pula.

"Pakai ni." arahnya.

Uzma menjeling ke arah visor tersebut kemudian mendongak memandang suaminya. Wajah tak puas hati itu terpamer lagi. Bersungguh benar lelaki itu menjaga protokol keselamatan dirinya. Walaupun begitu disambut jua huluran lelaki itu. Disangkutkan visor itu ke kepalanya kemudian, headphone. Mau atau tidak suruhan lelaki itu dibuat juga.

Ketika jam melepasi angka dua belas, Uzma masih duduk di meja itu. Teringatkan waktu makan tengah hari, cepat-cepat dia bingkas bangun sebaik melihat suaminya menghilang ke dalam bilik belakang itu setelah siap memotong kepingan kayu di meja pemotong.

Dia telah selesai memasak. Masaknya pada tengah hari itu ringkas sahaja. Nasi putih, ikan goreng bersambal dan kacang bendi goreng. Usai memasak dia masuk ke bilik air pula. Mahu membersihkan diri dan menukar pakaian. Seronok juga berkerja sendiri. Bebas mengatur jadual kerja. Bergumpal senyumannya ketika memikirkan perkara itu sendirian.

"Juma?.." seru Alex.

Uzma yang sedang berdiri di depan almari pakaian berpaling dan pucat wajahnya kerana baru teringat tubuhnya ketika itu cuma dibaluti oleh sehelai tuala separas lutut. Tergesa-gesa punya pasal dia terlupa untuk mengenakan kain batik seperti kebiasaan. Alex yang tercegat di muka pintu cepat-cepat berpaling.

"Err... J-ju nak solat." katanya.

"Dah siap makan nanti Juma turun." ucap Alex masih memandang ke arah berlawanan sebelum beredar.

Uzma menarik nafas yang lega. Kelam kabut dia mencari persalinan yang baharu sebelum fardhu Zuhur ditunaikan. Dia makan sendirian di tingkat atas sebelum sepinggan nasi dibawa turun buat santapan suaminya.

"Abang, makan." serunya seraya meletakkan pinggan itu di meja kopi berdekatan sofa buruk itu.

Alex yang duduk di hadapan komputer riba berpaling. Laju dilarikan wajah. Masih berbekas segan mengingati peristiwa di atas tadi.

"Mari sini." seru lelaki itu.

Dia mendekati. Tegak berdiri di sebelah suaminya.

"Kenapa?"

"Dah berapa banyak invois Juma buat?"

"Lebih dari sepuluh."

"Setiap kali buat Juma save tak?"

" Save? Save dan save as tu?"

Mulutnya melopong. Biji matanya membulat.

"Ju lupa!! Betul-betul lupa sebab dah lama tak gunakan komputer," katanya diiringi perasaan serba salah.

"Ju minta maaf." tambahnya lagi benar-benar memaksudkannya.

Alex mendongak. Tenang pandangannya merenung wajah gementar itu.

"Takpe. Saya tak perlukan invois tu sekarang. Juma buat balik dan jangan lupa tekan save bila dah siap." ujar Alex sebelum bangun dan menuju ke belakang.

Uzma mengambil tempat yang ditinggalkan lalu menoleh ke arah suaminya.

"Abang ada kertas dan pen?" soalnya.

"Dalam bilik."

Lalu, dia kembali bangun dan menuju ke bilik kecil yang pernah dimasukinya sebelum ini. Ketika melewati suaminya, lelaki itu baru sahaja memulakan suapan makan tengah hari. Ditanggalkan sandal lalu menolak pintu yang sentiasa tertutup itu. Kali ini barulah jelas suasana yang dilihat. Para kayu setinggi empat tingkat bersebelahan katil bujang dipenuhi dengan pelbagai jenis bahan bacaan itu dipandang dengan perasaan kagum. Jadi, lelaki itu gemar membaca, getus hati kecilnya. Bertentangan dengan katil pula terdapat sebuah meja dan juga lokar daripada kayu. Kuat tekaannya mengatakan hampir kesemua perabot di dalam bilik itu dan di tingkat atas dihasilkan sendiri oleh Alex.

Uzma mendekati meja studi. Menghampiri sebuah mesin mencetak untuk menarik sehelai kertas dari sebuah rim kertas A4. Kotak kayu comel bersaiz segi empat tepat mengandungi pelbagai jenis alat tulis ditilik sebelum sebatang pen diambil lalu, dia keluar dari bilik yang dicat dengan warna yang sama dengan bilik tidurnya di tingkat atas. Kembali ke meja kerjanya, dia memulakan kerja-kerja menaip invois. Kali ini dilakukan dengan ketelitian dan cermat. Enggan kesilapan tiga jam itu berulang kembali.

Tepat jam empat, kerjanya selesai. Dipastikan fail yang dibuat telah disimpan lalu dia menutup komputer riba tersebut. Sepanjang menyiapkan invois itu dia memperoleh sedikit sebanyak maklumat tentang perkerjaan suaminya. Kebanyakan produk kayu-kayan yang dihasilkan oleh suaminya terdiri daripada produk aksesori. Pelanggannya pula pelbagai. Ada orang perseorangan, syarikat, hotel dan pertubuhan. Tak sangka. Bisnes lelaki itu agak rancak meskipun lokasi bengkel itu berkedudukan agak tersorok dan jauh dari bandar-bandar besar.

Uzma memusingkan tubuh di atas bangku bulat berkaki empat yang halus itu. Nampak genting tetapi kukuh. Suaminya yang berbadan tinggi dan sedikit sasa itu pun boleh duduk dengan selamba. Sambil memangku kepala di meja besar, diperhati lelaki itu yang sedang menunduk di meja pemotong. Mengenakan sepasang jeans, tshirt berlengan panjang yang dilipat hingga ke atas siku, apron, cermin mata keselamatan dan headphone. Rambut yang panjang melepasi bahu itu sentiasa disanggul apabila berkerja. Terkadang hatinya dicuit cemburu melihat rambut beralun yang cantik milik lelaki itu berbanding rambut kerinting miliknya. Gatal tangannya mahu membelai rambut itu. Tetapi, dia malu. Diam dia memerhati lagak suaminya itu. Agaknya itulah PPE lelaki itu ketika berkerja.

Puas memerhati dia bangun. Menuju ke pintu depan jenis lipat lalu meninjau keadaan di luar yang masih lengang. Warung Ikhwan sudah dibuka pada jam 2.00 petang tadi. Cuma terdapat dua orang pembeli ketika ini. Tunggulah jam lima nanti. Waktu itu riuh-rendah hadapan bengkel itu dengan bunyian kenderaan sama ada pelanggan warung itu atau pun pelanggan kedai runcit Ah Seng. Keadaan itu akan berterusan sehinggalah ke jam tujuh. Begitulah suasana di kawasan itu pada setiap petang mengikut pemerhatiannya sebelum ini.

Sekilas, pandangannya berpapasan dengan Ridhuan yang sedang membungkus goreng pisang. Lelaki itu mengangkat tangan kepadanya. Sedikit tersipu dia turut mengangkat tangan. Rendah dan sebentar saja. Sekadar cukup syarat. Dilarikan pandangan ke arah sudut yang lain sambil berpeluk tubuh dan bersandar pada pintu kayu itu. Memerhati hari petang yang masih terik. Panjang lamunannya hinggakan tidak menyedari kehadiran Ridhuan yang sudah tercegat berdiri di hadapan. Uzma terpana.

"Ju." seru lelaki itu dalam pakaian yang dilapik dengan sehelai apron.

Uzma melirik ke belakang. Alex tekun di meja besar dengan kerja melukis dan mengukur pula. Menunduk dan melarikan pensel kayu di tangan mengikut bentuk yang dimahukan.

"Err... Wan... Ada apa?" soalnya sedikit teragak-agak.

Di sekolah, Ridhuan merupakan rakan sekelasnya. Boleh dikira dengan jari perbualan antara mereka berdua yang lebih banyak berkisar kepada pelajaran.

"Kau kerja kat sini ke?" tanya Ridhuan sambil tersengih.

Dia mengangguk.

"Oo... Tak ikut Muna? Aku dengar dia ke KL. Kerja kat sana."

Mendengar nama Muna disebut hatinya dijentik sayu. Dia tersenyum tipis. Menyembunyikan perasaan sebenar.

"Err, tak. Atuk aku tak kasi." jawabnya separuh jujur.

"Senang-senang datanglah lepak dekat warung. Aku belanja." tambah lelaki yang memakai cermin mata dan bertubuh kurus itu.

Uzma senyum kelat. Tidak berani membuat janji kerana sedar akan status dirinya ketika ini. Tiba-tiba bahunya terasa dipaut. Spontan dia mendongak. Tiada yang berani menyentuhnya secara tiba-tiba kecuali lelaki itu seorang. Walau luarannya nampak seperti orang gasar sahaja namun, hanya Uzma seorang yang tahu betapa lembutnya layanan dan pertuturan lelaki itu terhadap dirinya.

"Juma sibuk kerja."

Wajah Ridhuan jelas terkejut. Tidak berkelip memandang ke arah Alex yang jauh lebih tinggi darinya. Ridhuan menapak selangkah ke belakang. Tersengih paksa.

"Oo... OK. Erm, aku pergi dulu, Ju." sahut Ridhuan sedikit tergesa-gesa lalu berjalan pantas untuk kembali ke warung.

Tanpa disedari tiada lagi sentuhan di bahu. Uzma berpaling. Melihat lelaki itu sudah kembali ke meja untuk menyambung melukis. Perlahan-lahan dia mendekati. Berdiri bersebelahan suaminya dengan kedua belah tangan memegang meja.

"Tadi tu Ridhuan... Kawan sekelas Ju." jelasnya.

Entah kenapa penjelasan itu dirasakan perlu untuk disampaikan kepada lelaki itu. Alex tidak menyahut. Sebaliknya berpusing ke belakang mendekati sebuah meja kecil dan mencapai sebuah jig saw. Lelaki itu kembali sambil merungkaikan wayar panjang jig saw itu lalu plug disambungkan pada suis yang berada di bahagian bawah meja. Sebelum bermula, sekilas jelingan daripada lelaki itu diterima lantas Alex meletakkan jig saw kembali dan mencapai headphone serta visor yang ditinggalkan oleh Uzma di atas meja alatan. Tanpa berkata sepatah terus disangkutkan kedua-duanya ke kepala Uzma.

Dia memandang lelaki itu hairan. Tak habis-habis dengan headphone dan visor, rungut hati kecilnya.

Alex kembali memegang mesin pemotong. Dibawa mesin yang mengeluarkan bunyi bising itu mengikut lekuk garisan pada sekeping papan lapis setebal setengah inci berbentuk segi empat sama. Siap memotong suis dimatikan. Lalu sekeping lagi papan lapis dengan lekuk lukisan yang sama seperti tadi dipotong. Uzma memerhati dalam diam apabila dua kepingan itu dilukiskan satu bulatan bersaiz telapak tangan menggunakan kompas tukang kayu yang diperbuat daripada besi itu. Lalu, bermula dari tengah bulatan dengan penuh berhati-hati mesin jig saw itu mula dipacu untuk memotong dan dibawa bilah mata berbentuk panjang itu mengikut garisan bulatan tersebut. Kedua-duanya mempunyai bulatan yang sama dan sepadan apabila ditindih di antara satu sama lain. Khusyuk dia memerhati. Siap memotong dua kepingan besar itu dibawa ke hujung meja di mana terdapat beberapa kepingan kayu yang lain yang kesemuanya memiliki ketebalan yang sama.

"Abang tengah buat apa?" soalnya dengan perasaan ingin tahu.

Alex mengerling ke arahnya sekilas. Dilihat headphone lelaki itu sudah dijatuhkan ke bahu lalu dia mengikuti gaya suaminya itu.

" Wood caddy."

"Hah?"

Berkerut dahinya tidak faham.

"Pemegang botol."

" Customer order? " soalnya lagi.

Alex mengangguk.

"Satu ni je?"

"Lusa saya nak ke KL. Juma nak ikut?"

Soalannya tidak dijawab. Sebaliknya lelaki itu menceritakan pula tentang jadualnya. Kuala Lumpur? Dia belum pernah menjejakkan kaki ke kota besar itu. Sewaktu menghadiri kenduri Kak Mas dahulu pun, mereka tidak singgah ke kota itu kerana mengejar masa. Bayangan kota metropolitan itu ditilik melalui tingkap kenderaan sahaja ketika kenderaan yang dipandu oleh Pak Teh melewati laluan Plus Highway. Dapatlah dia menikmati pemandangan hutan batu itu walaupun berada di dalam kereta yang sedang bergerak. Hanya mencecah kaki ke bumi ibu negara itu sahaja yang belum tercapai.

"Abang nak bawak Ju?" soalnya meminta kepastian.

"Hmm..."

"Untuk apa?"

"Jumpa client hantar tempahan. Tu... Dekat rak sana tempahan daripada customer yang perlu dihantar nanti." terang Alex merujuk kepada sebuah rak yang berada bersebelahan pintu masuk berdekatan tangga.

Uzma lantas meminggirkan diri. Mendekati rak kayu yang tinggi mencecah siling. Pelbagai produk yang telah siap disusunkan di situ. Tidak perasan pula ketika dia duduk berkerja di bawah itu adanya pameran produk yang telah siap itu di situ. Terdapat bongkah pisau, blok papan pemotong, bakul kecil dan pelbagai lagi yang apabila disusun menjadi satu rangkaian produk aksesori dapur.

"Termasuk yang abang buat tu?" soalnya sambil melirik ke arah Alex yang mahu menggunakan sanding machine untuk kemasan terakhir produk tersebut.

Alex menoleh lalu menganggukkan kepala. Uzma senyum. Kembali melihat aksesori di hadapannya. Cantik jenis kayu yang digunakan. Mempunyai ira kayu yang beralun dengan warna coklat cerah dan sedikit jalur warna ungu yang juga beralun. Kesemua produk itu dipastikan mempunyai sentuhan rona keunguan itu. Ketika mesin amplas itu tidak lagi berbunyi dia mendekati suaminya.

"Ju nak naik atas dulu." maklumnya.

"Lepas waktu Asar kita pergi rumah Atuk. Tidur sana."

Langkah yang diambil terbantut. Visor yang menutupi wajah ditanggalkan. Dipandang lelaki itu dengan perasaan tidak percaya.

"OK." sahutnya dengan wajah yang ceria lalu bergegas naik ke atas.

Usai solat dan berkemas ala kadar dia turun kembali dengan beg kecil bergalas di bahu. Kain bajunya masih banyak ditinggalkan di rumah Atuk oleh itu, hanya beg yang mengandungi dompet dan telefon itu sahaja yang dibawa.

Ketika melangkah masuk le dalam bengkel dilihat Alex sedang sibuk menggunakan pembersih hampagas. Menyedut habuk dan debu sama ada yang berada di atas meja mahupun lantai. Lelaki itu sudah mandi agaknya melihatkan pakaian baru yang tersarung di tubuh dan rambut yang masih lembab dibiar lepas.

Uzma mampir untuk menyapa sambil menawarkan diri untuk membantu tetapi disuruh duduk sahaja. Siap kerja lelaki itu, mereka bergerak ke garaj kereta. Seperti dirinya, lelaki itu juga menggalas sebuah beg di bahu. Mungkin mengandungi pakaiannya. Sebelum memulakan perjalanan yang singkat itu lelaki itu singgah ke kedai runcit Ah Seng membeli sekampit beras, sebotol minyak masak dan beberapa barangan dapur yang lain. Niat membeli belum tamat apabila lelaki itu menuju pula ke arah Warung Ikhwan dan kembali ke kereta dengan seplastik pisang goreng dan karipap. Uzma menyambut huluran kudapan petang itu dan memegang ia di tangan sepanjang perjalanan yang memakan masa lebih kurang dua puluh minit itu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.