Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,541
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Prolog

UMAIR


Sungai Rembau yang belum surut dari limpahan air banjir diperhati dengan penuh pengharapan. Kata sepupunya yang mesra dipanggil Jalak, gunalah jaring tentu lebih banyak ikan yang dapat ditangkap. Tapi, Umair lebih suka guna batang joran. Dia itu kaki pancing bukan nelayan. Tentulah memancing menggunakan joran tidak dapat ditinggalkan.

Kelmarin, Jalak dan seorang teman sekampung pergi ke lubuk itu. Sebaldi ikan dibawa balik. Lampam, sembilang dan beberapa ekor anak kerapu. Terpaksa Umair memendam perasaan kerana tidak dapat bersama mengikuti aktiviti itu. Bukan tak mahu, tetapi, kelmarin merupakan hari pendaftaran sekolah anak tunggalnya itu. Mana mungkin dia melepaskan peluang menghantar anak kesayangan yang pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah. Seperti ibu bapa yang lain, Umair juga teruja bercampur bimbang. Mampukah anaknya itu menyesuaikan diri dengan suasana baharu itu? Separuh hari dia duduk menunggu. Satu hari cuti dari kilang sawmill tempatnya berkerja diambil demi anaknya itu. Umair menarik lega. Anaknya pulang dengan senyuman sampai ke telinga. Seronok katanya bersekolah.

Hujung minggu itu, barulah Umair dapat melunaskan dendam ketagihan. Dipelawa Jalak ikut bersama. Hampa. Jalak yang berkerja sebagai pemandu lori terpaksa ke Muar menghantar tempahan simen. Tak mengapalah. Bukan tak biasa dia memancing sendirian.

Sudah lebih setengah jam dia menjatuhkan mata pancing berumpankan cacing itu. Bukan sebatang pula tu joran yang digunakan. Tiga batang sekaligus. Sambil duduk menunggu di bawah sebatang pohon ara, hati kecil tak henti berbisik kalimah Istighfar. Amalan yang diajari oleh bapa mertuanya semenjak dia bernikah sehinggalah kini terus diamalkan. Lapang dadanya dan tenang matanya memerhati keindahan alam semulajadi. Lama dia duduk memerhati tiba-tiba tali jorannya bergerak. Umair bingkas bangun. Menerpa dan perati cuma, belum mahu diangkat lagi batang joran itu. Tiada tanda-tanda kailnya mengena. Dia berhasrat untuk duduk kembali.

Prak!

Bunyi tapak kaki seseorang memijak ranting kedengaran. Umair mengangkat bola mata. Diperhatikan kawasan sekeliling di tepi tebing sungai itu. Ada orang lain yang mahu memancing juga ke? Tetapi, bunyi itu sekali saja kedengaran. Atau binatang buas? Rasanya kawasan itu bukanlah kawasan binatang buas berkeliaran. Kawasan itu meski bersemak ianya menjadi laluan orang kampung pergi menoreh ke ladang getah yang berada di dalam sana. Atau mungkin buaya? Isy, tak senang duduk pula. Musim bah begini ditambah dengan air yang keruh begitu bila-bila masa binatang itu boleh muncul walaupun belum pernah terjadi kes penduduk dibaham buaya di daerah itu.

Umair kembali duduk. Mengabaikan sangkaan liar yang bermain-main di ruang fikiran. Namun, terasa dirinya seakan diperhatikan. Diperati suasana tebing di kiri dan kanan. Tiada yang mencurigakan. Ditoleh ke belakang pula. Tiada apa-apa. Bayang-bayang orang bergerak langsung tidak kelihatan. Atau... Isy! Tak kan kena main dengan makhluk takde bayang tu? Tak mungkin. Hari masih di awal pagi. Baru jam 9.00 ketika itu. Jikalau waktu senja tu bolehlah dia percaya. Sambil meneruskan Istighfar, Umair kembali menyandarkan tubuh ke batang pokok. Sebentar sebelum diangkat lagi kepalanya. Ditoleh ke kiri pula. Hatinya berasa tidak sedap. Macam ada yang tidak kena. Tiba-tiba benaknya teringatkan pesanan pegawai polis yang bernama Chan itu. Pesanan pegawai tersebut yang meminta agar dia sentiasa berhati-hati. Orang ramai mungkin tidak tahu apakah identiti dirinya kini tetapi, boleh jadi tertuduh akan menghantar seseorang untuk mengekori.

Sebenarnya, tanpa pengetahuan sesiapa, Umair menjadi saksi polis untuk sebuah kes pembunuhan. Dia tidak melihat kejadian tetapi, menjadi saksi melihat tiga orang lelaki membuang beberapa karung plastik hitam ke dalam sungai ketika dia sedang memancing kira-kira tiga bulan yang lalu. Curiga dengan perbuatan tiga orang lelaki itu Umair memberanikan diri mendengar perbualan mereka. Terketar-ketar tubuhnya duduk bersembunyi di belakang pokok hutan yang besar itu menunggu sehingga kumpulan itu pergi. Kelam-kabut dia memecut motosikal menuju ke balai polis. Perkara itu segera dilaporkan. Setelah disiasat ternyata curiganya bertempat. Mayat seorang anggota kongsi gelap yang dikehendaki pihak berkuasa telah dibunuh dan dipotong beberapa bahagian lalu dicampakkan ke sungai bagi melupuskan bukti.

Umair tegak berdiri. Mengingati pesanan Inspektor Chan membuatkan dia mula berasa sangsi. Meliar matanya memerhati. Sedikit berdebar dadanya apabila kesangsian yang muncul itu dirasakan benar. Tanpa mempedulikan batang joran kesayangan Umair mula melangkah. Tak tahu mana satu lorong yang patut di ambil sama ada ke kiri atau kanan kerana dia tidak pasti laluan manakah yang selamat untuk diambil.


HITMAN


Di sebalik batang pokok hutan sebesar dua pemeluk orang dewasa itu dia berdiri tanpa bergerak seinci pun. Sejak mula lelaki itu sampai dia sudah tercegat di situ. Memerhati dengan penuh sabar. Menjadi seorang hitman atau pembunuh upahan bukan kerja mudah. Tugasnya perlu dilangsaikan tanpa meninggalkan sebarang bukti. Kematian yang berlaku perlu dihasilkan seperti ia sebuah kemalangan supaya tiada tanda tanya yang datang sama ada dari waris si mati mahupun pihak berkuasa.

Johnny, ketuanya, memilih dirinya untuk tugasan kali pertama itu. Dia baru berusia enam belas tahun namun, kemahiran yang dimiliki membuatkan Johnny tidak teragak-agak untuk memasukkan dirinya di dalam first team hitman. Dan, untuk masuk ke dalam kumpulan yang digeruni ramai itu dia cuma dibekalkan dengan... sifar senjata. Tiada senjata yang akan digunakan sepanjang operasi kejamnya itu. Berbekalkan akal dan batang tubuh, juga tempoh tiga hari untuk menyelesaikan kerja. Selebihnya pandailah dirancang sendiri. Hampir satu minggu dia melakukan siasatan di daerah itu. Mengawasi dan mengekori target yang diserahkan sebagai permulaan profil tugasan.

Duda. Mempunyai seorang anak. Tinggal bersama seorang lelaki lebih tua. Barangkali bapanya. Nampaknya dia tidaklah kejam andai lelaki itu mati nanti. Anaknya masih ada seseorang untuk bergantung selepas ketiadaannya.

Hmmm... Terlalu original dan basi.

Dia, berada dalam keadaan waspada tatkala target itu tiba-tiba terbangun. Kemudian, mengawasi keadaan sekeliling. Tertinjau-tinjau seperti mencari sesuatu namun, tilikan target itu langsung tidak ke arahnya. Sumpah dia beku semenjak tadi. Bagaimana target itu boleh menghidu bahaya? Beberapa detik kemudian target itu kembali duduk. Sebentar sahaja lalu kembali berdiri. Kali ini tidak teragak-agak untuk melarikan diri seperti sedia tahu gerak gerinya sedang diperhatikan. Dia menunggu kerana target itu sedang berlari ke arahnya. Oh, semakin mudahlah kerjanya.

Sambil menanti sasarannya tiba, dipejamkan mata mendengar derapan langkah besar yang diambil oleh lelaki itu. Semakin mendekat dengan kadar yang laju. Cuma, bunyi langkah itu makin banyak. Bukan hanya dimiliki oleh sepasang kaki. Ada orang lain? Dia membukakan kelopak mata. Apabila target melewati tempat persembunyiannya terus dia melompat keluar. Tetapi dia terpaksa mengejar. Boleh tahan laju target itu memecut meskipun sedang berlari di laluan denai yang bersemak samun. Ditambah pecutan. Lelaki itu betul-betul berada di hadapannya ketika ini. Sejengkal saja dari jangkauannya.

Hampir-hampir sahaja dia dapat merenggut belakang baju si target tatkala fokusnya tiba-tiba terpanah pada dedaunan yang bergoyang sepanjang denai di sebelah kanannya.

Peluru? Silencer?

Dia membulatkan biji mata. Ada hitman lain yang turut berada di situ! Tak mungkin kerja Johnny. Johnny seorang yang teliti. Tidak akan menghantar dua hitman dalam satu operasi. Hitman asing ini pula menggunakan senjata api. Memang sah bukan kerja Johnny. Sejenak dia menyumpah. Sesekali tak akan membenarkan target itu mati melainkan dirinya sendiri yang mengambil nyawa itu. Diterkam target yang sedang memecut di hadapannya lalu ditolak masuk ke dalam denai lalu kedua-duanya berguling masuk ke dalam semak. Dia berada di atas ketika ini. Mudah sahaja kerana dia mendapat kelebihan dari segi tubuhnya yang tinggi dan sedikit sasa berbanding remaja seusia dengannya. Kaki lelaki itu menendang-nendang. Beberapa cubaan berjaya ditepis olehnya. Bertentang mata dengan targetnya dia melihat raut ketakutan dengan biji mata terbeliak sedang memandangnya. Ditekup mulut target walaupun tubuhnya kini sedang ditendang bertalu-talu. Lantas diberi isyarat diam dengan jari telunjuknya diletakkan ke bibir. Tak mungkin dia akan melepaskan targetnya itu. Saat ini dia cuma mahu menghapuskan hitman yang cuba merosakkan misi pertamanya itu. Target di hadapan itu mudah sahaja untuk diselesaikan dan akan diuruskan kemudian nanti.

Terpedaya, targetnya mengangguk dan tiada lagi serangan dihantar. Dia memejamkan mata. Mendengar derapan dalam agakan jarak lima belas meter dari kedudukan mereka. Derapan yang diambil terlalu berhati-hati. Tentu sedang tercari-cari kedudukan mereka berdua ketika ini. Jari telunjuknya sentiasa diletakkan di bibir supaya targetnya itu tidak membuat sebarang pergerakan. Sekali lagi tertipu. Semak yang tebal membantu menyamarkan diri mereka. Langkah itu makin menghampir.

'Dekat lagi!!'

Dan, ketika getaran derap itu menjangkau kira-kira dua meter dari kedudukannya sepantas kilat dia bangkit dan menyerang. Hitman yang bertopeng hitam itu tergamam sebaik melihat dia meluru ke arah tangan yang memegang silencer itu, memulas dan memberi hentaman ke perut hitman tersebut menggunakan siku. Silencer tercampak ke tanah. Dia mula bergelut dengan hitman bertopeng itu. Ketika belakang kakinya ditendang hampir-hampir dia terjatuh melutut ke tanah tetapi sempat ditahan dengan memegang kuat lawannya. Lalu, dengan menjatuhkan kepala ke depan dia menarik dan mengangkat hitman bertopeng yang berada di belakangnya itu ke depan. Lawannya tersungkur ke tanah. Dia mahu menerkam namun terasa kakinya dilibas oleh sesuatu yang keras. Dia turut tersungkur sebelum dihujani dengan pukulan ke seluruh tubuhnya menggunakan sebatang dahan pokok yang patah. Berpinar matanya apabila satu hentaman melekat di kepala. Telinga kuat berdesing sebelum dia melihat hitman bertopeng itu tiba-tiba rebah ke tanah. Targetnya datang menolong! Dia dipapah untuk bangun. Bersama-sama, targetnya itu membawa dirinya yang lemah itu lari dari situ. Belum sempat pergi jauh dia terdengar satu ungkapan.

"ALLAH!"

Dia memandang target di sebelah. Telah ditembak! Langkah terhenti tetapi targetnya itu memegang kuat bajunya dan menarik dirinya untuk sama-sama jatuh ke sungai yang dalam paras airnya. Mereka berdua menggelungsur dari tebing sebelum masing-masing tenggelam.

Di dalam air yang keruh itu dia menahan nafasnya. Mata tidak berkelip menatap ke arah sang target yang telah kaku tubuhnya. Malah dapat dirasakan pegangan yang kemas pada leher bajunya juga makin longgar dan longgar dan target makin menjauh darinya sebelum pandangannya sendiri bertukar menjadi gelap.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.