Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,551
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 6

Sepi dan sunyi. Pergerakan juga terbatas. Seakan sangsi dan waspada, Atuk sentiasa berada di rumah sepanjang minggu itu kecuali ketika waktu berjemaah tiba. Mengawasi gerai-geri dia agaknya. Acapkali, sebelum berpergian sempat orang tua itu memesan. Berkali-kali. Agar dia tidak ke mana-mana. Seperti selalu, usai dahulu lagi, dia belum pernah melanggar perintah Atuk kecuali malapetaka yang ditempah sebelum ini. Agaknya balasan kerana berhasrat membuat derhaka.

Sudah satu minggu telah berlalu. Tiada Muna. Rindu mencengkam terkenangkan sahabat baik yang pertama kali terpisah itu. Kata Puan Solehah, Muna terlalu sibuk dengan kerja. Bersama-sama ibu saudaranya, Muna berkerja di sebuah kilang semikonduktor bertaraf global. Dari siang hingga ke malam tidak henti berkerja. Rajin membuat over time demi mendapatkan imbuhan gaji lumayan buat bekalan simpanan untuk pelajaran di kemudian hari nanti.

Muna, bukanlah orang berada. Namun agak berkemampuan. Mempunyai seorang abang dan dua orang kakak. Juga dua orang adik lelaki. Kesemuanya sedang belajar kecuali abangnya yang sulung. Bapanya, Encik Ismail berkerja pejabat di sebuah kilang sawmill di hujung kampung. Satu kampung tahu, andai berkerja di kilang itu maka, merasalah hidup yang agak mewah berbanding sebahagian penduduk yang rata-rata berkerja kampung seperti berkebun, menternak mahu pun berniaga kecil-kecilan. Maklumlah, upah buruh kasar sahaja dekat dua ribu. Namun tak ramai yang mampu. Sudahlah kerjanya berat, hari-hari perlu bertarung dengan partikel habuk yang mampu mengancam kesihatan andai tidak berhati-hati ketika berkerja.

Dahulu sawmill itu meriah dengan pekerja. Kini, boleh dibilang dengan jari. Mungkin kerana setelah tiga orang bekas pekerja sawmill itu serentak mendapat penyakit athma kronik membuatkan penduduk kampung melihat tempat itu seperti kawasan berpuaka. Di kampung pula, pasaran kerja amat terhad. Selain sawmill dan ladang sawit, itu sajalah peluang pekerjaan yang tersedia. Ditambah dengan pemilikan tanah yang masih kuat mengikut resam membuatkan banyak tanah adat yang kosong bukan kerana malas diusahakan, tetapi, antara alasannya kerana pemiliknya tidak lagi menetap di kampung. Kebanyakan dari tanah-tanah tersebut pula terus terbiar tanpa diuruskan. Berapa banyak kebun buah yang gugur buahnya kemudian dimamah tanah begitu sahaja. Ladang getah yang tidak terurus, tanah sawah yang lompong dan rumah-rumah pusaka yang kosong dan hampir roboh.

Dia tak berani nak campur tangan. Namun, seandainya dibuat sesuatu ke atas tanah itu seperti disewakan atau dipajak tentu mampu merancakkan ekonomi sebahagian penduduk yang kebanyakan hidup bergantung mencari rezeki dengan mengambil upah berkerja kampung. Sebab itulah pemuda kampung makin berkurangan. Bukan mati sebab mendadah! Tetapi keluar ke bandar yang lebih banyak peluang pekerjaan daripada terperosok di kampung koboi ini.

Tayangan di peti televisyen langsung tidak menarik minat. Uzma melirik telefon berjenama Nokia edisi non pintar di hadapannya. Hadiah daripada Atuk ketika dia memperoleh keputusan yang agak cemerlang ketika di tingkatan tiga. Dia sayangkan telefon itu. Mengandungi bukti kukuh kasih Atuk kepadanya. Meski dalam keadaan serba sederhana, ingatan Atuk mendahului dirinya. Berdikit-dikit orang tua itu menabung untuk menghadiahkan sebiji telefon itu supaya perhubungan mudah berlangsung. Meski peralihan zaman pantas melewati, dia enggan berpisah dengan gajet comel berwarna putih itu. Lagipun, terang lagi bersuluh kemampuan untuk memiliki telefon pintar seperti rakan sebaya yang lain ibarat menanti bulan jatuh ke ribaan. Malah, telefon pintar yang dimiliki oleh Atuk itu pun pemberian orang. Bila ditanya, kata Atuk dari seseorang yang Atuk kagumi lama dulu.

Sapppp! Sap! Sap! Sap!!

Bunyi pisau diasah yang datang dari dapur tiada tanda untuk berhenti. Datang angin rajin orang tua itu, habis kesemua pisau dan parang diasahnya. Dia bingkas bangun dari kerusi sofa pemberian Mak Teh yang menukar sofa baharu kira-kira tiga tahun lalu. Sambil berpeluk tubuh dia berdiri di muka pintu sambil memerhati keadaan sekeliling yang sunyi. Hanya irama unggas bersiulan sahaja yang kedengaran.

Baru dia tersedar, sudah lama Pak Tam tidak datang melepak berbual dengan Atuk sebagaimana lazimnya. Begitu juga dengan Mak Teh. Selepas kejadian bertikam lidah minggu lalu, belum pernah sekali pun wajah-wajah itu muncul. Cuma, kelmarin Pak Teh datang. Itu pun kerana mahu mengambil kembali tangga besi yang dipinjamkan kepada Atuk sebelum ini. Hanya Wan Cu yang kerap datang bertanya khabar dan berbual kosong. Tetapi, hari ini tidak pula dilihat kelibat orang tua itu.

Puas memerhati, disauk sehelai tudung sarung yang sengaja disidai di kerusi meja makan. Mudah apabila dia mahu keluar dengan meletakkan ia di situ.

Ditolak pintu berbingkai kayu itu lalu disarung salah satu pasangan selipar yang bersusun di muka pintu. Hanya beberapa langkah diambil sebelum dia menolak pula pintu zink separas dadanya untuk masuk ke dalam sebuah kebun yang menempatkan pelbagai jenis pokok buah-buahan. Terdapat tiga batang pokok durian, sebatang kerdas dan pulasan, cempedak dan juga manggis. Kesemuanya sedang lebat berbunga. Haruman bungaan pohon buah tersebut menarik banyak unggas dan kumbang untuk singgah menghirup madu. Dia menarik nafas yang dalam. Kehilangan Muna mengganggu jiwanya. Hari-hari yang dilalui suram sambil rasa bimbang terus mencengkam memikirkan kedatangan hari bersejarah yang bakal berlabuh tidak lama lagi.

Arghhhh!

Dia ingin menjerit sepuasnya. Melepaskan beban yang memberati pundak. Melempiaskan sakit yang menekan dada. Akhirnya dia melorot bercangkung di tanah basah yang agak berlecak itu selepas ditimpa hujan panas sebentar tadi.

Meowwww...

Seruan Abu si kucing hitam yang mempunyai tompok putih di dada membuatkan dia mengangkat wajah yang menunduk. Kelat senyumannya melihat kucing peliharaan Wan Cu itu datang sambil menggeselkan badannya kerana ingin bermanja. Ibu Abu merupakan kucing kesayangan Wan Cu. Tetapi, si Abu pula agak nakal sedikit. Sering meninggalkan kesan cakaran pada perabot di rumah Wan Cu menyebabkan orang tua itu kerap naik angin, lalu menghalau si comel itu keluar. Jikalau Abu datang bermanja begitu, fahamlah dia yang kucing itu datang untuk bermanja kerana telah dihalau keluar. Sambil membelai tubuh si bulu halus itu, dia berkata perlahan,

"Kali ni kau buat apa pulak, Abu?"

Dia menyoal seakan bertanyakan seorang anak kecil. Abu cuma mengiau beberapa kali. Tipis dia tersenyum.

"Abu, kau tahu tak Muna buat apa sekarang ni?" bisiknya.

Diam.

Tidak pula Abu mengiau. Hanya terus dengan perbuatan menggeselnya sahaja.

"Aku nak kahwin dah, Abu. Nanti petang-petang kalau kau cari makan dekat rumah Atuk, aku mungkin tak ada. Pandai-pandailah kau cari sendiri ye." ujarnya lagi seperti berpesan meninggalkan amanat terakhir.

Tangannya terus membelai anak kucing yang manja itu sambil fikiran memikir kebenaran kata-kata yang terluah sebentar tadi. Betul ke lepas kahwin aku tak duduk sini lagi? Tiba-tiba rasa sayu datang menjelma mengenangkan tibanya saat dirinya harus berpisah dengan Atuk dan rumah tersebut.

"Tapi aku tak nak kahwin lagi, Abu. Macam mana ni?" katanya dengan perasaan lemah.

"Ju tak nak kahwin?"

Uzma terperanjat bukan kepalang. Serta-merta dia bangun. Tindakannya itu turut mengejutkan Abu sehinggakan anak kucing itu melompat dan lari entah ke mana. Abu memang begitu. Takut apabila berhadapan dengan orang luar selain dari Wan Cu dan dirinya sendiri. Segera dia berpaling. Suara yang sudah lama tidak didengari itu hadir tanpa dijangka. Tanpa sepatah kata dia menundukkan pandangan. Misteri betul kedatangan Angah. Langsung tidak mendengar bunyi enjin Proton Satria yang dipandu oleh lelaki itu tadi. Atau sememangnya dia yang terlalu khayal. Jauh tenggelam dalam lamunan sendiri.

"Abang ngah ada dengar... Atuk tak bagi kita kahwin. Tapi, Atuk hanya bagi Ju kahwin dengan lelaki pilihan Atuk. Siapa dia, Ju?" tanya Angah tanpa terlebih dahulu bertanyakan khabar.

Uzma mengunci mulut. Tak mungkin dia mengiyakan mahupun menidakkan. Biarlah Atuk seorang yang berbicara bagi pihaknya. Andai dia bersuara tentu panjang pula ceritanya. Malah, mampu mengundang salah faham pula.

"Masuklah, Angah. Dekat sini banyak nyamuk." ucapnya lantas berlalu melewati tubuh sederhana tinggi itu.

Dia langsung tidak mengangkat wajah. Bukan dia takut. Tetapi segan. Selepas peminangan tidak jadi itu, malu pula dirinya apabila mengetahui kisah sebenar.

"Ju tak ada perasaan ke pada abang?" soal Angah seakan menahannya dari pergi.

Seperti yang dihajati oleh lelaki itu memang langkahnya terhenti. Dihela nafas yang panjang beberapa kali sebelum berbicara.

"Angah ada perasaan ke terhadap Ju?"

Dia pula membalas. Menyirap rasa terkejut membalik di wajahnya apabila tersedar soalan berani mati yang tiba-tiba tercetus itu. Suasana sepi singgah sementara menanti Angah menyahut.

"Kalau Ju nak tahu, abang tak ada perasaan apa-apa pun. Abang setuju sebab akur dengan permintaan mak abang je." ungkap Angah penuh kejujuran.

Uzma bernafas lega. Sedar tidak seinci pun dia menyakiti perasaan lelaki itu.

"Kalau Abang ngah nak tahu, Ju lihat abang sama seperti Ju lihat Pian dan Abang Wan."

Dia pula membalas soalan yang ditanyakan oleh lelaki itu sebentar tadi. Kejujuran dibalas kejujuran. Kerukunan dan keharmonian dalam keluarga merupakan tunjang ikatan. Sudahlah Mak Teh belum reda dengan rajuknya, dia enggan menambah kekeruhan. Kesamaran di antara dirinya dan Angah sudah jelas tanpa perlu disuluh lagi. Besar harapannya untuk melihat jawapan yang diberikan itu tadi menjawab segala persoalan lelaki itu.

Pian, yang disebut oleh Uzma itu adik kepada Angah. Manakala Abang Wan pula anak Mak Long yang nombor dua. Hampir sebaya sahaja usia Angah dan Abang Wan. Sebab itulah sengaja dia memetik nama lelaki itu di hadapan Angah. Biar Angah tahu, memang tiada sekelumit pun perasaan yang pernah dipendamkan terhadap sepupu-sepupu lelakinya selama ini.

"Walau kita tak jadi kahwin, tak mengapalah. Abang ngah terima. Abang harap, walaupun tiada jodoh antara kita, kita dapat berhubung mesra seperti dulu. Boleh?" tutur Angah lagi seraya menerbitkan rasa berbunga di hatinya.

Pandangan yang ditundukkan semenjak tadi diangkat sedikit.

"Marilah masuk. Banyak sangat nyamuk ni."

Sekali lagi dipelawa. Tanpa teragak-agak dia maju dengan laju sehinggalah kakinya menjejak ke serambi. Dia tidak betah sekiranya masih berdua-duaan di dalam kebun itu lebih lama lagi. Bukan sahaja kerana berasa segan. Tetapi, tidak manis jika terlihat orang.

Sebaik melewati ruang dapur, barulah dia tersedar bunyi pisau diasah tidak lagi kedengaran. Atuk juga tiada. Barangkali di dalam bilik air melihatkan pintu bilik itu rapat tertutup. Uzma terus mencapai cerek di atas dapur yang masih panas untuk membancuh minuman. Kemudian, dikeluarkan pisang rebus yang disediakan oleh Atuk tadi. Tiga biji pisang nangka yang siap dipotong disusun di atas sebiji piring lalu ditaburkan dengan kelapa muda yang diparut. Kemudian dibawa ke meja makan. Dia tersenyum tipis ke arah Angah yang sudah duduk di hujung meja panjang itu. Tidak lama selepas itu muncul Atuk lalu disambut oleh Angah dengan huluran salam. Tugasnya secara rasmi tamat di situ. Dia berlalu ke dalam bilik tidurnya demi memberikan ruang kepada Atuk untuk melayani cucunya itu pula.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.