Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,522
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10


"Tok, bala apakah yang saya terima ni? Sebab saya derhaka pada ibu dan bapa saya ke?"

Sepi.

Tangan yang sedang memahat sekeping ukiran kayu terhenti. Tok Ayah mengangkat wajah. Melirik wajah anak muda berusia lapan belas tahun sarat dengan perasaan ingin tahu.

"Musibah itu bertujuan untuk mendekatkan diri kita dengan Dia,"

Sejenak diam lagi.

"Ahmad, musibah itu takdir. Jikalau tak diimani takdir, nerakalah pengakhirannya."

"Maksud Tok Ayah?"

"Untuk orang beriman, mereka bersyukur bila mendapat kesenangan. Dan, bersabar bila mendapat kesusahan. Tetapi ingat, boleh mendapat dosa seandainya dia mengeluh dan mempersoal takdirnya itu."

Lama dia mendiamkan diri. Mencerna tausiyah itu semampu diri.

Tok Ayah mengerling anak muda itu sekilas. Khusyuk mendengar kata-kata pedoman yang diberikan.

"Kita memilih untuk melihat bahagian yang mata mahu melihat kerana kita menetapkan untuk memandang pada perkara yang tertentu sahaja yang sesuai dengan kehendak. Dan kita selesa untuk terima takdir yang baik-baik sahaja sepanjang kehidupan sedangkan ujian itu bakal memberi kebaikan kepada kehidupan akhirat."


"Bengkel tu rumah dan tempat kerja abang?"

Khayalan Alex bertempiaran. Dikerling gadis yang telah sah menjadi isterinya. Haknya. Miliknya. Stereng Honda EK keluaran 1996 itu kuat dipaut. Dihela satu nafas yang panjang. Kenapa jadi begini?

"Erm."

Sepatah dia menjawab. Melalui ekor mata dilihat gadis itu menundukkan wajah. Tiada lagi perbualan sepanjang perjalanan yang singkat itu.

Lorong bertanah di tepi bengkel ditelusuri dengan perlahan. Sebaik menghampiri kawasan belakang bangunan kedai itu, suaminya membelok sambil menekan punat pada sebiji alat kawalan bersaiz comel. Sebuah pintu kayu berwarna coklat gelap terbuka dengan sendiri lalu kereta yang dinaiki masuk ke dalam lot yang disediakan khas untuk memarkir kenderaan itu.

Boleh tahan canggih, getus hati kecil.

"Jom." ucap Alex sepatah.

Bergetar dada Uzma namun reaksi wajahnya kelihatan tenang sahaja. Dia turun. Beg pakaiannya dijinjit oleh lelaki itu. Manakala beg yang dibeli bersama Muna di pasar malam dahulu bergalas di bahunya. Dilihat suaminya tercegat menanti di muka pintu kayu itu lalu langkah yang sedikit tergesa diambil. Pintu garaj kembali tertutup ketika dia dan lelaki itu berjalan meninggalkan kawasan itu menuju ke arah tangga spiral yang pernah didaki sebelum ini.

Uzma menelan air liur. Kerana kedangkalan dan kebodohan dirinya, dia kembali lagi ke tempat itu. Bukan sekadar singgah dan pergi tetapi menetap terus di situ. Suasana pagi yang redup ketika ini seperti sedang menyindir perasaannya. Suram dan muram. Satu per satu anak tangga dipanjat dengan perasaan yang memberat mengikuti jejak suaminya dari belakang.

Alex membukakan pintu gril kemudian memutar kunci pintu kayu yang juga berwarna coklat gelap itu. Dijemputnya masuk. Bauan kayu menari-nari di setiap helaan nafas yang diambil. Kali ini hadirnya di waktu siang dengan limpahan cahaya yang terang benderang. Dapat dilihat dengan jelas keadaan di dalam rumah itu berbanding sebelum ini. Teragak-agak dia melirik ke kanan dan kiri. Benarlah apa yang dilihat sebelum ini. Berhampiran tingkap jenis gelongsor itu terdapat sebuah meja tinggi dengan sebuah kerusi juga tinggi. Barangkali menjadi tempat lelaki itu bersantai menikmati minuman petang sambil melihat pemandangan di luar ke arah sebatang jalan raya, ladang getah dan bukit-bukau di seberang sana. Kemudian, ruang tamu yang ringkas dengan sebiji sofa dan meja kopi. Di hujung sebelah kiri kelihatan sebuah dapur bersaiz kecil.

"Juma duduk dalam bilik tu." kata Alex lantas membukakan pintu bilik yang tertutup rapat di hadapan mereka menggunakan kunci.

Menggunakan isyarat mata dipamit dirinya supaya mendekati. Lambat-lambat dia melangkah. Getaran di dada usah cakap. Kuat berdebar. Sebaik berdiri di muka pintu itu dia menarik nafas yang panjang. Oh, biasa-biasa saja. Ada sebuah katil jenis queen, almari pakaian yang besar dan sebuah meja kopi bersaiz kecil. Ringkas dan cantik bilik itu dihias dengan warna cat biru lembut yang pucat memenuhi setiap ruang dan dinding.

"Err, saya ada kerja." ujar lelaki itu lagi setelah meletakkan beg pakaiannya di atas katil.

Uzma memberikan laluan ketika lelaki itu melewati muka pintu. Sebelum lelaki itu mencapai tombol pintu dia terdengar lelaki itu berpesan.

"Tak perlu masak tengah hari. Kalau ada apa-apa saya ada di bawah."

Lalu bunyi pintu ditutup dan sepi menjadi teman akrab.

Uzma merapati katil. Meletakkan beg galas bersebelahan beg pakaiannya dan duduk berteleku sebentar. Apa nak buat? Biasanya waktu-waktu begini ketika berada di rumah Atuk, dia akan membasuh baju kemudian menyidainya di laman. Lalu, dijenguk reban ayam yang tidak berapa nak ada ayam itu. Atuk baru mula nak membela. Ayam sebelum ini habis disembelih dan dijual.

Uzma bangkit. Membuka tudung di kepala lalu dijenguk almari kayu jenis terbuka itu. Tudung di tangan disangkut pada salah satu mata penyangkut yang ada. Beg pakaiannya dibuka lalu disusun pakaiannya di salah satu rak bertingkat itu. Persoalan menyapa. Mana pakaian suaminya? Kosong aje almari itu.

Usai mengemas pakaian, dia melangkah menuju ke dapur. Diperhati dapur kecil yang lengkap dengan kabinet atas dan bawah. Dapur gas berada di tengah-tengah kabinet. Walaupun kecil, dapur itu kemas. Ditilik dan dibelek setiap laci dan konsol. Patutlah kemas. Alatan, kelengkapan dan bahan-bahan memasak kemas disimpan di dalam laci.

Cermin tingkap jenis nako dihampiri dan ditilik kawasan halaman belakang. Di bawah, semak dan samun yang agak tinggi bebas menjalar di kiri dan kanan laluan keluar masuk ke garaj. Sebuah pintu bersebelahan tingkap itu dibuka pula. Dia menjenguk. Sebuah balkoni sempit yang dijadikan sebagai tempat sidaian melihatkan tali dan penyangkut baju yang banyak bergantungan. Dia tidak berhajat untuk keluar. Ditarik kembali pintu itu lalu dibuka pula peti sejuk satu pintu yang berada bertentangan dengan dapur memasak. Kosong. Yang ada cuma sebekas ais kiub dan beberapa botol air mineral. Patutlah dipesan tak perlu memasak. Nak masak macam mana kalau bahan pun tiada. Dia menggelengkan kepala. Langkah maju pula ke arah sebuah bilik kecil yang bersambung dengan bilik tidur itu. Dibuka dan ditutup kembali. Bilik air.

Puas meneroka inci rumah itu dia duduk di tepi tingkap gelongsor. Memerhati jalan raya yang bersimpang-siur dengan kenderaan. Air mata sekali lagi menjadi peneman. Tidak hanya terkenangkan Muna dan Atuk, juga mengenangkan keadaan dirinya yang sedang duduk bersendirian. Andai waktu boleh diputar, tidak mungkin dibiarkan terlintas di fikirannya untuk mencetuskan idea bodoh yang akhirnya menjeratkan dirinya sendiri. Kenapalah tak terfikir untuk lari sahaja dengan Muna ke Kuala Lumpur daripada merencana perkara tidak berfaedah itu. Alih-alih, dia juga yang merana.

Kedua belah kakinya yang terjuntai dinaikkan. Dia duduk sambil memeluk kedua belah kaki dengan wajah disembamkan ke lutut. Masih belum puas menangis. Setelah reda seketika perasaan, jam pada dinding ruang tamu itu dijeling. Terasa mahu memekik geram. Terasa berjam-jam dia duduk di situ dan waktu ketika itu belum mencecah angka 10.00!

Dia menuju ke dalam bilik yang sengaja dibiarkan pintunya terbuka luas untuk mengambil tudung kepalanya. Terus dia ke pintu depan dan menutupnya rapat. Sandal disarungkan ke kaki dan dia turun ke bawah.

Bunyi alatan dan mesin dari dalam bengkel itu agak bingit menyapa kehadirannya. Melalui pintu masuk di bahagian tepi itu dilihat lelaki itu sedang menunduk di salah satu meja yang ada. Dengan memakai topeng muka N95 berwarna putih dan noise-cancelling headphone di kepala, lelaki itu kelihatan tekun dan leka sekali dalam pekerjaannya. Di tangannya terdapat sebuah alat dengan wayar yang panjang. Kelakuannya seperti sedang menggosok baju sahaja. Depan belakang alatan itu dibawa menggosok ke atas sebilah kayu bersaiz sederhana. Bunyi bising itu datang dari alatan itu rupanya. Kecil sahaja saiznya tetapi bunyinya sampai ke hujung bangunan kedai boleh didengari.

Diperhatikan keadaan di dalam bengkel yang pertama kali dijenguk itu. Berbanding tingkat atas, bauan kayu yang kuat dapat dihidu di segenap ruang. Pintu hadapan yang besar itu terbuka luas. Pada dinding di belakang lelaki itu bergantungan bermacam jenis alatan pertukangan dan terdapat sebuah meja dengan bermacam alatan berada di atasnya. Bersebelahan dinding itu pula disandarkan dengan pelbagai jenis kayu-kayan pelbagai saiz dan kotak-kotak kayu yang panjang melekap pada dinding dengan lapisan demi lapisan papan diletakkan di situ. Sebuah meja besar yang sedang digunakan oleh suaminya yang terletak di tengah-tengah ruang dikelilingi oleh berbagai jenis mesin di atas meja individu bersaiz sederhana. Satu jenis alat pun tidak dikenali olehnya.

Uzma melirik ke kiri. Ruang paling belakang. Kelihatan sebuah bilik kecil yang agak tersorok dan diluarnya sebiji sofa buruk dengan sebuah meja kopi diletakkan di situ. Sekeliling ruang itu dilirik. Di bahagian belakang pintu kecil yang dilewati tadi terdapat para kayu yang melekap hingga mencecah siling. Pelbagai barang diletakkan di atas para itu. Kotak-kotak juga bersusun di satu sudut. Pelbagai jenis kayu-kayan terdampar di dalamnya. Pening dia melihatnya. Semak dan berserabut!

"Juma!"

Dia terpana. Menoleh ke arah suaminya yang turut tergamam melihat kehadirannya itu. Mesin kecil itu dah lama diam cuma dia yang tak perasan. Alex meletakkan alat itu kemudian menghampirinya. Wajahnya basah dengan peluh. Ditarik topeng itu ke bawah dagu dan headphone itu dijatuhkan ke bahu. Uzma melarikan pandangan.

"Ada apa?" tanya Alex.

Uzma menggigit bibir. Tertunduk melihat lantai yang dipenuhi dengan habuk kayu dan debu.

"Bosan?"

Angguk.

Alex turut mendiamkan diri seketika sebelum bertanya,

"Pandai guna komputer?"

Angguk. Dia tahu menggunakan komputer sementelah di sekolah, kelas komputer memang telah lama diwajibkan ke atas setiap pelajar.

"Mari." seru Alex lagi lantas menuju ke dalam bilik yang bertutup rapat itu manakala diarahkan Uzma untuk duduk di sofa.

Lelaki itu muncul kembali dengan sebuah komputer riba di tangan dan dengan selamba duduk di sebelahnya. Uzma mengensot sedikit menjarakkan ruang.

"Juma boleh guna laptop ni. Ada sambungan internet. Tapi, jangan usik folder dalam ni."

"Hah? Oh, erm... okay."

Sejurus mendengar jawabannya yang tersangkut-sangkut itu lelaki itu terus bangun.

"Terima kasih." ucapnya lagi sebelum lelaki itu pergi menjauh.

Langkah lelaki itu tiba-tiba terhenti. Uzma mendongak. Terkebil-kebil memandang sebelum dilarikan lagi wajah. Sentiasa berlaku segan sebaik mata bertentang mata.

"Dekat bawah ni bising. Pergilah naik atas."

Lembut suara lelaki itu mengingatkan. Dia mengangguk kemudian bangun dan beredar ke muka pintu dengan komputer riba yang tertulis HP dibawa bersama.

Kembali ke tingkat atas dia berlabuh di ruang tamu. Duduk di situ dengan komputer riba terpasang. Sebelum mahu memulakan pelayaran, tiba-tiba dia teringatkan suaminya yang sedang berkerja di bawah. Lantas dia bangkit dan menuju ke dapur. Tercari-cari sesuatu lalu apabila telah dapat apa yang dimahukan dia mula menyediakan satu jug kecil minuman untuk lelaki itu. Sebekas ais kiub dan sebotol air mineral sejuk dalam peti sejuk dikeluarkan. Dia membancuh kopi segera untuk suaminya itu sebagai imbalan kesudian lelaki itu memberi pinjam komputer riba sebentar tadi.

Dengan penuh berhati-hati dibawa turun minuman itu.Sebelah tangan memegang jug sebelah lagi sebiji gelas. Diletakkan di meja kopi berdekatan sofa buruk itu lalu dia melangkah mendekati suaminya yang belum perasan akan kehadirannya. Dicuit bahu lelaki itu kerana bunyi yang bising itu tidak memungkinkan dirinya untuk bersuara. Alex berpaling dan jelas terkejut. Serta-merta bunyi yang bingit itu hilang.

"Err, Ju buatkan air untuk abang. Tu..." ujarnya dengan telunjuk menunjuk ke arah sofa. Lalu, cepat-cepat dia melangkah keluar tanpa menoleh ke belakang.

Berada di tingkat atas yang sunyi itu memberinya sedikit ruang untuk bernafas dan bersantai. Komputer riba milik suaminya itu diperhatikan. Tiada apa yang menarik. Hanya paparan wallpaper normal dengan beberapa ikon perisian yang juga normal. Dia menekan ikon G. Alang-alang mendapat kemudahan internet dan perhubungan, dia mahu mencari maklumat tentang pelbagai pilihan kursus yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi.

Sebenarnya, dia belum terfikir dan tidak mempunyai pilihan yang tetap untuk memasuki mana-mana jurusan. Haluan fikiran yang sentiasa berubah-ubah menyukarkan dirinya untuk membuat satu pilihan yang tetap. Puas menyelidik dia mencari bahan hiburan pula. Perisian Youtube dibuka. Dia menekan ikon kanta dan menaip Jay Lee Painting. Seorang pelukis dari Hong Kong yang menggunakan warna air untuk mengilustrasi lukisan berteraskan alam semulajadi. Dia tidak sengaja menemukan video pelukis itu tidak lama dahulu ketika Muna mahu mencuri-curi menonton sebuah drama dari Tanah Besar China melalui medium YouTube itu di sekolah. Ralit dia melihat pelukis itu menitik warna air di atas sekeping kertas lukisan kemudian melorek dan mencapan. Sepuluh minit kemudian, sebuah lukisan sepohon sakura yang sedang berbunga siap. Bertuah empunya badan diilhamkan bakat kreatif itu oleh Ilahi. Kagum dia melihat hasil karya yang dihasilkan. Sambil duduk bersandar di sofa, dia mencari pula siaran drama yang sering diperkatakan oleh Muna itu. Dapat. Bermula episod pertama dia mula melayan drama 40 episod itu.

"Juma, makan."

Bingkas Uzma berdiri. Tertegun. Tak sedar bila masa lelaki itu masuk dan sudah tercegat berdiri di hadapannya. Pada tangan lelaki itu sebungkus makanan di dalam bekas polistren kelihatan.

"Satu je?" soalnya hairan.

Suaminya mengangguk.

"Abang punya?"

"Ada... Saya makan dekat bawah."

Dalam diam dia terkedu. Sejurus mengucapkan terima kasih sekali lagi dia ditinggalkan sendirian.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.