Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,567
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 9

Terpisat-pisat Uzma bangun dari atas katil setelah tersedar dari tidur. Tadi, dirasakan kakinya dikuis. Lantas ditepis dengan menggoyangkan kaki beberapa kali sebelum kembali terlena.

Dia bangkit dalam kegelapan. Tiada apa yang dapat dilihat kecuali kelam. Rasanya sudah melewati waktu Subuh mendengarkan rancaknya sahutan kokokan ayam jantan di luar. Dalam bermalasan dia bangkit dan meraba suis lampu di tepi pintu. Mata melirik katil. Melihat bekas tempatnya tidur renyuk namun tidak pula tempat bersebelahannya itu. Kemas tidak berusik. Dilirik pula jam di dinding.

Sudah melebihi jam enam pagi.

Fikiran terkenangkan peristiwa pada malam tadi. Entah jam berapa dia terjaga. Setelah keluar dari bilik air dengan baju kurung masih melekap di tubuh dia melihat suaminya bersendirian di ruang tamu. Berpakaian sehelai tshirt lengan panjang dan sepasang jeans sambil duduk bersandar memerhatikan dirinya. Segan, tetapi dia berlagak selamba sehinggalah dia selesai bersolat lalu dihampiri lelaki itu yang masih menetap di ruang itu. Duduk termenung dalam suasana yang sudah malap dengan biasan lampu dari serambi menjadi sumber. Dipelawa lelaki itu untuk tidur di dalam bilik. Bukan dia terhegeh-hegeh nak berdua-duaan namun, tanggungjawab yang baru sudah terpikul di bahu. Sudah tentulah dia wajib melaksanakan. Entah mengapa hati terasa sedikit lega apabila lelaki itu memintanya masuk terlebih dahulu. Terpontang-panting dia menanti akhirnya sekali lagi lelap menjadi akrab.

Dan, apabila dia terjaga dan masih lagi bersendirian hati kecil mula menduga. Spontan Uzma menepis lintasan liar yang datang. Cepat-cepat dia keluar dari bilik tidur untuk ke bilik air. Dijeling pintu bilik tidur Atuk yang ternganga luas. Kalau Atuk tiada dan suaminya juga tiada, tentu mereka berdua ke surau ketika ini. Sempat dia mengutuk diri sendiri yang hampir-hampir membuat pelbagai andaian buruk terhadap lelaki itu tadi.

Satu jam kemudian, dia kembali ke dapur. Sambil menunggu air yang dijerang masak dia duduk di serambi. Sejak keluar dari bilik tadi mata melirik keadaan di dalam rumah. Kemas. Tiada periuk belanga atau pinggan mangkuk sisa kenduri malam tadi untuk dicuci. Kasihan Atuk terpaksa mencuci peralatan yang kotor itu. Boleh jadi Wan Cu, Mak Teh dan Kak Alin bergotong-royong membantu. Dia menggigit bibir. Serba salah.

Pagi itu dia mahu menyediakan sendiri sarapan. Sebungkus bihun di atas rak bersebelahan peti sejuk dicapai lalu direndam dengan air paip sebelum dicampurkan dengan sedikit air panas. Bahan-bahan yang lain seperti bebawang kisar, isi ayam, udang geragau, perasa dan lain-lain disediakan sebelum kuali mula dipanaskan. Telur dadar turut disediakan. Akan dipotong halus dan ditabur di atas bihun yang siap di goreng nanti berserta hirisan bawang merah kecil dan cili besar. Siap menggoreng dia membancuh teh tarik setelah serbuk teh yang direndam sejak tadi telah kembang. Setelah itu dibawa ke serambi sarapan mereka pada pagi itu. Dulang berisi tiga biji cawan dan tiga biji pinggan turut diangkut.

Apabila bunyi kenderaan masuk ke arah lorong menuju rumah Atuk kedengaran, hatinya diketuk perasaan berdebar. Sambil berdiri di tepi meja makan itu dikerling sebuah kenderaan Honda model lama berwarna hitam bergerak perlahan memasuki perkarangan laman lalu berhenti di barisan pokok rambutan di tepi rumah. Dengan jelas dia dapat melihat Atuk membukakan pintu kereta lalu turun. Ketika suaminya pula turun pantas dia berpura-pura sibuk. Diatur dua biji pinggan dan dua biji cawan. Lalu teh tarik terlebih dahulu dituangkan.

"Atuk, mari sarapan. Ju buat bihun goreng." sapanya sebaik menyedari Atuk melangkah masuk ke serambi.

Atuk senyum. Pertama kali sejak dari malam penangkapan itu bibir Atuk menguntum senyuman untuknya.

Eh, biar betul Atuk ni? Sebenarnya Atuk marah ke tidak dia tak jadi kahwin dengan lelaki pilihan Atuk tu? Baik aje moodnya sedangkan Ahmad itu yang menjadi suaminya. Hairan.

"Yelah. Pergi jemput suami Ju makan sekali." arah Atuk lalu masuk ke dapur untuk mencuci tangan.

Uzma mengetap bibir. Satu per satu langkah diambil menuju muka pintu serambi sambil mata melirik ke arah lelaki yang berketinggian kira-kira enam kaki itu. Lelaki itu sedang tercegat berdiri membelakanginya. Baru perasan akan rambut panjang milik lelaki itu disimpul separuh dan separuh lagi dibiar lepas. Panjangnya mencecah tulang belikat. Dia terkedu seketika. Pertama kali dia meneliti penampilan seorang lelaki dengan perasaan asyik. Sambil menahan debar di dada dia membuka mulut.

"Erm, abang... Mari masuk. Sarapan."

Fuh! Lapang dada apabila pelawaan itu berjaya diluahkan. Suaminya yang tercegat memerhati keadaan sekeliling berpaling. Sebentar sahaja pandangannya dan lelaki itu bersatu sebelum dia memutuskan dengan melihat ke bawah. Sebaik derap pertama diambil oleh lelaki itu cepat-cepat dia kembali ke meja makan.

Atuk sudah duduk sambil memerhati gelagatnya dengan tenang. Diceduk bihun ke pinggan Atuk kemudian, suaminya. Apabila lelaki itu melabuhkan duduk di sisinya dan bahu lelaki itu bergesel dengan lengannya, dia membeku buat sesaat. Spontan senduk yang dipegang dijatuhkan ke dalam mangkuk kaca itu lalu dia berlalu ke dapur. Menahan debar yang berdendang keras.

"Eh, Ju...Tak makan ke?" tegur Atuk pelik melihat kelakuannya yang sedikit kelam-kabut itu.

Dia berpura-pura mencuci tangan di sinki. Kemudian muncul kembali mendekati kedua lelaki itu. Belagak tenang dengan wajah dimaniskan. Hanya Atuk yang melirik ke arahnya. Lelaki itu cuma duduk merenung makanan.

"Duduklah. Layan suami Ju makan."

Nak tak nak terpaksalah dia hadap situasi baru itu meskipun tubuhnya sedikit menggeletar apabila berada dekat dengan lelaki yang sudah bergelar suaminya itu. Dengan lagak yang masih pura-pura, tenang dia membawa tubuhnya ke arah lelaki itu. Ditarik kerusi bersebelahan suaminya dan duduk di situ. Sepinggan bihun telah tersedia diceduk untuknya. Entahkan Atuk atau lelaki itu yang melakukan. Dia makan dalam diam. Begitu juga lelaki di sebelahnya itu.

"Atuk, kalau Atuk tak keberatan, sekejap lagi saya nak bawak Uzma balik."

Hampir sahaja makanan yang sedang dikunyah itu enggan tertelan. Dia mencapai cawan minuman lalu meneguknya sedikit. Lega.

"Eh, Ju dah jadi isteri Ahmad, kan? Atuk dah tak bertanggungjawab atas Ju lagi sekarang. Ahmad nak bawak dia balik ke rumah Ahmad itu hak Ahmad. Tak perlu minta izin Atuk pun." ujar Atuk berisi peringatan.

Kata-kata Atuk membuatkan perasaan Uzma mulai sebak. Ya. Lupakah dia akan fakta itu? Semenjak ijab dan qabul itu di akad pada malam tadi maka terangkatlah tanggungjawab Atuk terhadap dirinya selama ini dan bertukar tanggungan itu ke atas suaminya pula. Sebak yang muncul diseru pergi. Enggan menunjuk riak sedih di hadapan makanan juga kepada Atuk.

"Ju, rumah ni bukan rumah Ju lagi. Rumah Ju adalah rumah di mana Ahmad berada." tutur Atuk kepadanya pula.

Kerlingan yang sebentar dihantar ke arah orang tua itu. Uzma mengangguk lemah.

"Ahmad ada kerja ke pagi ni?" soal Atuk.

Sengaja beralih topik melihatkan bingkisan mendung yang jelas terlihat walaupun dia tahu cucunya itu sedaya upaya melindunginya.

"Ye, Atuk. Ada tempahan yang perlu disiapkan." jawab suaminya lantas cawan minuman yang diteguk olehnya sebentar tadi selamba dicapai dan minuman itu dihabiskan.

Melalui ekor matanya dia terkedu. Dilirik dua cawan di atas meja yang disentuh oleh Atuk dan suaminya.

O ow.. Dia lupa untuk isikan minuman ke dalam cawannya sendiri. Usai makan Atuk terus bangun dan masuk ke dalam. Kebiasaannya masuk ke bilik air dahulu kemudian menukar pakaian untuk ke kandang. Dia turut bangun. Mula mengumpul pinggan dan cawan yang telah digunakan. Baru sebiji cawan dicapai tangannya disentuh. Cepat-cepat dia menarik tangannya. Terperanjat. Dia mendongak ke arah suaminya yang tiba-tiba berdiri di sebelahnya itu. Lelaki itu turut kelihatan terkejut dan sedikit cemas.

"Biar, err... saya buat."

Lalu pinggan dan cawan itu diangkat ke dapur. Uzma terkaku seketika. Memandang kosong sebelum dikejar langkah dalam jarak sekangkang kera itu. Mau dia dimarahi oleh Atuk kalau orang tua itu melihat suaminya membasuh di sinki. Tanpa menghiraukan perasaan malu dia memegang lengan lelaki yang mengenakan sehelai tshirt berlengan panjang itu.

"Jangan. Ni kerja Ju. Biar Ju buat." bantahnya lantas menutup paip di sinki dan meminta suaminya duduk sahaja di serambi.

Lelaki itu enggan. Berdegil untuk mencuci. Paip air kembali dibuka. Dalam keadaan genting itu dia tiada pilihan selain membantu lelaki itu mencuci. Tepat pada masanya apabila pintu bilik Atuk yang tertutup rapat itu kembali terbuka. Atuk keluar dengan pakaian untuk ke kandang dengan lirikannya tertumpu ke arah mereka berdua.

"Baguslah buat sama-sama. Kerja rumah ni bukan tugas orang perempuan semata-mata. Orang lelaki kena ringan tulang untuk membantu. Dahlah dia penat mengandungkan anak kita, tambah lagi beban dia dengan kerja-kerja rumah yang tak pernah habis ni." ujar Atuk sambil berjalan melewati mereka lalu melabuhkan punggung di meja makan.

Uzma menggigit bibir. Malu bercampur segan kerana adegan yang tidak disengajakan itu terlihat oleh Atuk. Dan malu bercampur segan kerana mendengarkan nasihat Atuk yang jauh memandang ke depan. Anak? Baru beberapa jam mereka berkahwin Atuk dah masuk bab anak. Hmm... Orang tua dan zuriat memang berpisah tiada.

"Err, abang pergilah duduk bersembang dengan Atuk." arahnya merasakan itulah peluang untuknya bersendirian daripada berdiri rapat-rapat begitu. Tanpa sebarang bantahan, suaminya bersetuju. Uzma menarik lega.

Selesai mencuci dia terus masuk ke dalam bilik. Mengeluarkan sebuah beg bersaiz sederhana di dalam almari pakaian dan mulai berkemas. Setitis air matanya gugur tatkala sehelai kain batik yang sering dijadikan kain basahan ditarik dari susunan pakaian di atas katil itu. Sebu dada mengenangkan betapa rumah yang menyimpan seribu satu kenangan itu bakal ditinggalkan. Juga, memikirkan keadaan Atuk yang bakal duduk bersendirian tanpa dirinya. Disapu pipi yang kebasahan sebelum kembali menyambung berkemas.

"Ju..." seru Atuk di muka pintu.

Uzma mendongak. Pilu melihat wajah tua yang dikasihi itu. Tanpa sebarang bicara Atuk duduk di sebelahnya di birai katil.

"Ahmad tu baik budaknya. Atuk rasa Ju boleh hidup bersama dengan dia cuma, Ju kena banyak bersabar dan memahami." nasihat Atuk penuh kelembutan.

"Atuk, suami Ju tu orang apa?" soalnya pula ingin tahu.

Mau bertanya lelaki itu sendiri dia segan.

"India campur cina."

Patutlah. Sekarang sudah terjawab persoalannya berkenaan rupa suaminya itu.

"Atuk, boleh ke Atuk tinggal sorang-sorang ni? Ju takut nak tinggalkan Atuk."

Dia berterus-terang.

"Ju tak payah risaukan Atuk. Sebelum Atuk kahwin dengan Uwan pun, Atuk dah biasa hidup sorang sorang,"

Terkedu.

"Atuk nak ke kandang ni. Merajuk pulak lembu-lembu tu nanti kalau lambat dapat makan dan keluar."

"Erm, yelah Atuk." sahutnya perlahan.

Sebelum orang tua itu sempat bangun dari katil dia menahan. Ditarik tangan Atuk lalu salam dan kucupan diberikan. Ketika Atuk hilang dari pandangan berguguran air matanya tak mampu menahan rawan hati mengenangkan perpisahan dengan Atuk kesayangannya itu.

Tatkala suaminya pula masuk ke dalam bilik cepat-cepat diseka air mata dengan belakang tangan. Pakaian dan kelengkapan miliknya sudah siap dikemaskan. Suaminya hanya merenung ke arahnya sambil tercegat di muka pintu.

"Dah siap?" soal lelaki itu.

Angguk.

"Barang abang mana?" soal Uzma pula dengan perasaan hairan.

Seingatnya ketika dia bangun tadi tidak kelihatan di mana-mana pun beg atau barangan bukan miliknya di dalam bilik tidur itu.

"Dah kemas. Ada dalam kereta." jawab lelaki itu.

"Boleh kita pergi sekarang?" tanya lelaki itu lagi.

Uzma mengangguk lalu bangun. Mahu menukar pakaian yang menutup aurat dan menyarung sehelai tudung di kepala. Suaminya pula masih tidak berganjak dari muka pintu. Segan untuk meluahkan, segan untuk bergerak walau seinci, akhirnya dia bungkam berdiri di hadapan almari pakaian.

"Saya bawa beg ni masuk kereta."

Seperti mengerti niatnya itu, suaminya bersuara lantas mencapai beg pakaiannya dan beredar. Setelah siap menilik cermin dan menutup kesemua tingkap dan pintu dia melangkah keluar dan melihat suaminya sedang menunggu di dalam kenderaan. Dengan lafaz suci Bismillah dia mendekati kenderaan lelaki itu dan masuk.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.