Home Novel Islamik KETIKA MAHMOOD BERTASBIH
BAB 11 : ABRAHAH YANG BONGKAK

Kota San’a, Yaman wilayah yang dikuasai oleh Raja Habsyah

Abarahah yang menguasai sebuah kerajaan di wilayah Yaman, baru menaiki takhta setelah membunuh bapa saudarranya sendiri.

“Kenapa ramai orang di jazirah arab ini mengunjungi Hijaz?”

“Di sana ada Rumah Allah, jawab pembantunya.

Kemudian Abrahah membina tiga buah kuil yang belum pernah dibina di zaman itu, untuk menarik pengunjung di tanah Arab mengunjungi Kota San’a.

Batu-batu marmar yang cantik diangkut dari tinggalan mahligai Ratu Balqis, membina berhala-berhala yang besar.

“Aku telah membina tiga kuil yang belum pernah dibina sebelum ini oleh mana-mana raja. Hatiku tidak akan tenang selagi penduduk tanah Arab tidak datang mengunjungi Kota San’a,” Abrahah mengutuskan surat kepada Raja Habsyah yang bernama Negus.

Abrahah menyeru penduduk wilayah Hijaz dan Najd untuk datang ke Kota San’a.

“Datanglah mengunjungi tempat suci ini, wahai penduduk Hijaz dan Najd!”

Tindakannya dikatakan menimbulkan kemarahan penduduk di kedua-dua wilayah itu, sehingga beberapa lelaki dari Bani Kinanah dari wilayah Hijaz datang ke San’a bertujuan untuk meninjau dan memusnahkan kuil-kuil itu. Mereka berjaya merosakkan sebahagian kuil tersebut dan kembali dengan selamat ke Hijaz.

“Siapa yang memusnahkan kuil-kuil kita?” tanya Abrahah dengan amat marah.

“Orang-orang dari Hijaz.”

“Kita akan runtuhkan binaan suci mereka, biar menyembah bumi.”

“Panglima! siapkan bala tentera yang besar. Siapkan gajah kita akan runtuhkan Kaabah.”

Kemudian sebuah pasukan tentera yang besar diketuai oleh tentera yang menunggang gajah disiapkan dan menunggu masa untuk melakukan serangan.

“Tentera Abrahah sudah menyiapkan bala tentera menyerang Kaabah,” beritahu seorang pengintip kepada ketua suku Khat’am, salah satu puak arab di San’a.

“Kita perlu menghalang mereka,” Nufail selaku ketua suku itu memberi cadangan.

“Mereka akan memusnahkan tinggalan Ibrahim dan Ismail. Kita mesti halang kemaraan mereka.”

Terjadi peperangan di antara tentera Abrahah di barisan hadapan dengan tentera pimpinan Nufail. Nufail tewas dan ditawan.

“Nyawamu sekarang berada di tanganku.”

“Maafkan aku! Aku sedia menjadi penunjuk jalan kepadamu.”

“Aku terima sebagai tebusan nyawamu.”

Tentera Abrahah bergerak ke utara dari San’a menuju ke Hijaz. Di pertengahan jalan bala tentera itu sampai di Thaif. Abrahah kemudiannya berhenti sebentar di Thaif.

“Habis! Nanti dimusnahkan berhala kita, al-Lat,” berkata ketua suku Thaqif kepada orang-orangnya.

“Katakan pada mereka, ini al Lat jauh lagi untuk mereka sampai ke tujuan mereka.”

“Katakan pada Abrahah lembah Hijaz dan Kaabah masih jauh.”

Seorang lelaki dari suku Thaqif kemudiannya menawarkan diri sebagai penunjuk jalan.

“Biarlah aku menunjukmu arah tempat tujuanmu.”

Abrahah amat gembira kerana dia sudah memilik dua orang penunjuk arah ke Kaabah, sebelumnya Nufail yang memberontak. Kira-kira dua batu dari pinggir kota Makkah, lelaki yang menawarkan diri tersebut meninggal dunia. Mereka mengebumikannya di sebuah tempat yang bernama Mughammis. Dikatakan selepas daripada itu kaumnya memuliakan kuburnya, mereka meletakkan batu-batu di sekeliling kubur.

“Kita berhenti di Mughannis! Kita hantar pasukan peninjau ke Makkah untuk melihat keadaan di sana, sebelum melakukan serangan.”

Sepasukan tentera peninjau dihantar ke pinggir Makkah, di sepanjang jalan mereka merampas apa sahaja ternakan yang ada. Di antara yang dirampas adalah sebanyak 200 ekor unta milik Abdul Mutalib.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.