Home Novel Islamik KETIKA MAHMOOD BERTASBIH
BAB 1: NAKHODA NUH DAN PENYEBARAN MANUSIA

Ribuan tahun selepas kewafatan Nabi Adam Abul Basyar (as), bapa segala manusia di atas mukabumi ini, seorang Rasul yang bernama Syakirin bin Malik bin Manuskah bin Idris yang kemudian digelarkan Nuh ,dilahirkan[1].

Baginda Nabi Shallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda bahawa di antara Adam dan Nuh adalah sepuluh darsawarsa. Berapa ramai keturunan dari leluhur Adam hingga Nuh tidak diperhitung. Perubahan demi perubahan melanda anak-anak cucu yang ditinggalkan. Kepatuhan semakin berkurangan angkara iblis dan syaitan.

Kebenaran telah hilang, manusia membuat kerosakan yang nyata ketika Nuh dilahirkan ke dunia. Lelaki dan perempuan dari kaumnya telah lama hilang pedoman. Ajaran Nabi Adam dan Idris telah hanyut diganti dengan kebobrokan pesona iblis dan Syaitan.

Terdahulu sebelum Nuh jatuh ke lantai, lima orang turunan Idris adalah mereka yang soleh dan menyerah diri pada keesaan Allah. Dunia bagi mereka hanyalah tempat singgahan sementara. Pengabdian kekal akhirat menjadi pegangan mereka.

Mereka adalah Wadd, Nasr, yang cinta pada kehidupan akhirat, mengabdi diri pada yang Esa untuk beberapa lama. Anak cucu mereka kemudiannya hilang panduan dari petunjuk kebenaran, mereka mula mengukir patung-patung nenek moyang mereka.

Habis satu generasi kemudian diganti generasi yang lain. Mereka terus sesat mengabdikan diri pada lima patung, yang asalnya nenek moyang mereka. Mereka semakin sesat dan turunan mereka seterusnya terus tenggelam dalam kefasikan.

“Inilah tuhan-tuhan kita. Dialah yang menjaga kita. Sembahlah dia!” moyang memberitahu cucu.

Dan kemudian cucu memberitahu cicit dan berpesan pula “Wadd, Nasr adalah tuhan kita.”

Tinggallah mereka di dalam kesesatan yang nyata kerana berpaling dari ajaran Adam dan Idris. Mengambil patung nenek moyang sebagai tuhan mereka. Merekalah kaum Jasib yang engkar dan bongkak.

Nuh yang bermaksud “meraung” diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan risalah kebenaran. Baginda selalu meraung kerana melihat kesesatan yang dilakukan oleh kaumnya.

Ketika umurnya empat puluh tahun, Syakirin diberi pangkat Nubuwwah (Kenabian) untuk menyampaikan risalah Allah kepada kaumnya.

Firman Allah dalam Surah Nuh, ayat 2 hingga 4 yang bermaksud “Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): "Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya".dia pun (menyeru mereka dengan) berkata: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;"Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku

Nabi Nuh menyeru kaumnya dengan berkata “Wahai kaumku tinggalkan berhala yang kamu sembah. Aku membawa risalah kebenaran yang diwahyukan oleh tuhanku.”

Seruan Nabi Nuh itu bukan sahaja tidak diterima bahkan dicela oleh pemimpin-pemimpin masyarakat kaumnya.

“Wahai Nuh, kamu tidak lebih daripada seorang manusia biasa seperti kami dan pengikutmu adalah orang-orang yang hina daripada kami,” dengan bongkak pemuka-pemuka kaumnya menjawab.

Nabi Nuh masih tidak mengalah untuk melaksanakan seruan dakwah dan terus menyeru kaumnya “Aku membawa risalah dari Tuhan seluruh alam.”

“Sungguh, kamu adalah di dalam kesesatan yang nyata. Kamu mengambil berhala sebagai tuhan kamu. Ikutlah aku! Jalan kebenaran yang aku bawa.

Seruan Nuh tersebut terus ditempelak dengan jawapan hinaan dan cacian terhadap Nuh.

“Wahai Nuh jika engkau mahukan kami mengikutmu, jauhkan kami dari para pengikutmu yang hina. Mereka adalah petani-petani dan buruh-buruh yang hina dari kami.”

Pemimpin kaumnya juga terus menghasut masyarakat untuk menyembah berhala-berhala yang berasal dari nenek moyang mereka.

“Wahai kaum Jasib, janganlah kamu berhenti dari mengabdikan diri pada Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr.

Nabi Nuh menolak syarat yang dikenakan oleh pemuka-pemuka kaumnya dengan berkata “Wahai kaumku, seruanku tidak mengira samada golongan bangsawan, petani atau buruh. Semuanya adalah sama kedudukannya di sisi tuhan.”

Usaha dakwah Nabi Nuh terus-terusan ditentang oleh kaumnya.

“Wahai Nuh, hentikan usahamu. Kami telah jemu dengan ajakkanmu itu. Jauhkan kami dari pengikutmu yang hina jika engkau mahu kami mengikutmu.”

Terus-menerus kaumnya menolak seruan Nuh. Setelah beberapa tahun, hanya sekitar 100 orang sahaja pengikut Nabi Nuh yang menerima risalah kebenaran yang dibawanya.

Namun Nabi Nuh tetap berusaha siang dan malam menyeru kaumnya. Ketika Nabi Nuh menyeru mereka kebanyakkan mengelak dengan menutup telinga-telinga dan menyelubungkan pakaian dengan perasaan bongkak.

Nabi Nuh mengada kepada Allah seperti yang dicatatkan pada Surah Nuh, Ayat 7 yang bermaksud “"Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka.mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.”

Usaha dakwah Nabi Nuh diteruskan tanpa penat dan jemu, siang mahu pun malam. Kadang-kadang secara berkumpulan dan kadang-kadang secara bersendirian, Nabi Nuh mendekati dan mendakwah kaumnya.

Nabi Nuh berkata "Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.”

“Sesungguhnya, Dialah yang menurunkan hujan dari langit, menyuburkan kebun-kebun tanaman kamu dan mengalirkan sungai-sungai serta menambahkan kekayaan kepada kamu. Tidakkah kamu merasa bersyukur?”

Sehingga akhirnya Nabi Nuh memberi amaran kepada kaumnya yang engkar kepada peringatan Allah “Sekiranya kamu masih menolak seruanku Allah akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu.”

Dengan tentangan yang hebat dan rancangan jahat dari kaumnya, Nabi Nuh pun berdoa kepada Alllah “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!



[1] Dari kitab Ibnu Jarir Ath-Thabari


[1] Dari kitab Ibnu Jarir Ath-Thabari

“Dari sahabat Abu Umamah, ia berkata bahwa seseorang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu alaihi wasallam, “Wahai Rasul, apakah Adam itu termasuk seorang Nabi?” Beliau bersabda, “Benar.” Laki-laki itu bertanya lagi, “Berapa jarak antara Adam dengan Nuh?” Rasulullah bersabda, “10 abad.” Ibnu Hibban berkata bahwa riwayat ini sesuai syarat Imam Muslim namun ia tidak meriwayatkannya.




Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.