PERMUKAAN meja
direnung lama, jari-jemari Rania rancak menari-nari tanpa rentak yang sama.
Menunggu seseorang adalah pekerjaan paling membosankan dalam hidup. Kenapa aku
boleh bersetuju untuk bertemu dengan lelaki yang aku benci! Masa singkat ini
sepatutnya aku isikan dengan berjalan-jalan atau menghabiskan duit Korean Won.
“Hai Rania, maaf lambat.” Wajah
tampan Alex muncul di depan mata.
Rania
memalingkan muka yang sudah mencuka,“Kenapa awak mahu jumpa saya?”
Tanpa
berlengah Alex duduk setentang dengan gadis Melayu,“Ada sesuatu yang saya mahu
beritahu Rania…”
“Tentang
apa tu?” sampuk Rania dengan pantas.
“Saya
order air untuk kamu,” Alex
mengalihkan perhatian Rania. Digamit seorang pelayan lelaki untuk menghampiri
mereka.
“Tidak
perlu, saya mahu cepat.” Rania menyandar perlahan tubuh badannya di kerusi.
Wajah Alex berubah dengan maklum balas itu.
“Kamu
mahu ke mana?” soal Alex tulus.
“Itu
kamu tak perlu tahu,” nada Rania tegas.
“Saya
mahu minta tolong dengan kamu,”
Mata
Rania pantas merenung wajah berkulit putih langsung tiada bekas jerawat.
Bersih. Menimbulkan rasa cemburu dengan kulit muka seperti itu.
“Tolong
apa?” balas Rania dengan dahi berlapis-lapis.
“Saya
mahu kamu percaya dengan saya.” tenang sahaja lelaki berbangsa Korea ini bertutur.
“Maksud
kamu?” Rania mula duduk tegak semula.
“Saya
perlukan kepercayaan kamu kepada saya. Apa yang saya lakukan semuanya ini
datang daripada hati yang ikhlas. Saya tahu perkenalan kita sangat singkat.
Tapi tak semua ini mustahil akan berlaku.” Alex merenung Rania dengan penuh
harapan.
Rania
merengus perlahan. Lengan baju sejuk ditarik bagi mengelakkan udara sejuk
menerjah masuk.
“Kenapa
saya perlu percaya dengan kamu, Alex? Saya datang beribu-ribu kilometer ini
bukan untuk meraih kepercayaan kamu. Antara kita tidak ada apa yang berlaku.”
Rania memalingkan wajah ke tempat lain.
“Sudah
beberapa hari kamu di samping saya. Takkan langsung tiada rasa percaya terhadap
diri ini?” soalan itu membuatkan Rania memandang semula Alex.
“Ya,
saya percaya kamu sebagai seorang kawan baru yang berasal dari Korea. Itu
saja.”
Alex
tertawa mendengar jawapan itu. Masakan Rania tidak menyedari kelakuan dan
layanan yang diberikan adalah berbeza daripada kawan baru.
“Kenapa
ketawa?” Rania hairan dengan kelakuan Alex. Hantu mana sudah sampuk lelaki
depan mata ini. Aku beritahu cerita lucu ke? Setahu aku tidak, tadi aku serius.
Ke, aku yang tak perasan apa yang aku cakap. Hiss, buang masa aku bertemu
dengan lelaki ini. Kaki dihentak kuat di bawah meja.
“Jawapan
itu sungguh lucu,” Alex masih tersenyum lebar.
“Terserah.
Saya tak kisah langsung!” Menyakitkan hati bila berbicara lagi dengan Alex.
“Saya
mahu terus-terang dengan kamu sejak kali pertama lagi kita berkenalan. Saya
suka pada kamu,”
“Saya
tak kisah kamu suka atau tidak dengan saya. Itu bukan hal saya.”
“Kamu
menahan diri daripada menyukai saya disebabkan insiden tempohari?” soalan itu
membuatkan mata Rania membesar bulat. Dadanya berombak kecil.
“Apa
yang kamu merepek ni?”
“Betulkan
yang kamu sebelum ini pernah menyukai saya. Namun selepas insiden itu hati kamu
mula berubah.” Duga Alex sambil terus mengukir senyuman.
“Itu
tekaan kamu. Saya tak mahu terlibat dengan perasaan kamu. Tolonglah,” rayu
Rania bersungguh. Aku sendiri pun tak ada jawapan dalam perkara ini sama ada
pernah menyukai Alex atau tidak. Buatkan kepala aku bertambah pusing dengan hal
macam ini.
“Saya
mahu memberikan pencerahan bahawa saya dan Yoonah pernah bergelar sepasang
kekasih namun itu setahun yang lepas. Kini, saya sudah single. Antara kami
hanya berkawan baik.”
“Ini
bukan kali pertama saya mendengar penjelasan ini. Sudah masuk kali ke kedua.
Sekali lagi saya jelaskan bahawa saya
tidak berminat untuk mengetahui kisah lampau atau apa-apa hal antara kamu
dengan Yoonah.” Rania bersandar semula sambil memeluk tubuh dengan rapat.
“Saya
mahu kamu sangat jelas dan faham akan situasi saya supaya tiada langsung
prasangka atau curiga terhadap diri ini.” Alex tetap memandang wajah Rania yang
tiada sebarang lukisan senyuman. Kelat.
“Sungguh
pun kamu mahu memberikan penjelasan untuk kali yang ke seratus, saya tetap
dengan pendirian saya.” Rania mengelengkan kepala sendirian. Sungguh
membebankan dengan hal ini.
“Saya
banyak lagi tempat menarik yang belum dikunjungi. Kamu telah membuang masa saya
dengan perkara ini.” Rengus Rania perlahan.
“Baik,
maafkan saya telah membuatkan kamu menghabiskan masa di sini.” Alex menundukkan
sedikit kepalanya. Rania terpempan seketika.
“Apa
yang saya berikan dan lakukan beberapa hari ini amat bermakna dalam hidup saya.
Rania, kamu telah membuatkan saya rasa hidup semula. Sungguh.” Alex tersenyum
simpul.
“Saya
tak mahu tahu tentang itu. Okaylah, saya sudah lama di sini jadi setakat ini
saja. Saya mahu beredar.” Rania bingkas bangun daripada kerusi. Baju dirapikan.
“Rania,
tunggu sekejap. Sekejap saja lagi. Saya janji selepas ini kamu boleh beredar.
Tolong duduk sekejap lagi,” pinta Alex bersungguh. Rania kalah dengan panahan
anak mata Alex.
Kaki
tidak bergerak. Rania duduk semula di kerusi yang sama dengan gerakan yang
kasar.
“Sebelum
kamu meninggalkan bumi Korea ini, saya mahu kamu buat sesuatu untuk saya.” rayu
Alex.
Kening
mata Rania terangkat.
“Jangan
risau, kamu tidak perlu buat sesuatu yang tidak masuk akal atau melanggari
anutan agama kamu.”
Kening
Rania terangkat lagi. Kali ini dahi turut berlapis-lapis.
“Buat
apa?” soal Rania seperti dipukau. Perlahan namun jelas.
“Perkara
yang sangat mudah. Hanya perlu hulurkan tangan kamu.” Alex masih berahsia,
tidak mahu memberitahu terus akan perkara yang sebenar. Cahaya matahari semakin
menyerlah namun bagi Rania tetap terasa dingin.
“Kenapa
saya perlu hulurkan tangan?”
“Apabila
kamu sudah hulurkan tangan baru saya akan beritahu perkara sebenar.” Alex tersenyum
penuh makna. Kotak fikiran Rania sudah mula melambung pelbagai soalan dengan
permintaan Alex yang penuh misteri. Dia berasa cuak dan langsung tidak dapat
meneka apa yang bakal berlaku. Was-was masih ada lagi.
“Terus-terang
dengan saya saja apa yang kamu mahu buat.” Rania cuba berdiplomasi cara baik.
Untung-untung dapat tahu perkara sebenar tanpa perlu menghulurkan tangan.
“Kalau
saya tak mahu hulurkan tangan?” duga Rania masih mahu mengorek rahsia.
Alex
tersenyum menawan, “Jika kamu tidak mahu lakukan saya akan…”
“Akan
apa?” soal Rania ingin sangat mengetahuinya. Dada berombak laju seperti ombak
mengganas di lautan samudera.
“Saya
akan buat kamu tak boleh pulang ke Malaysia.” Tegas sekali kenyataan itu.
Tersandar Rania dibuatnya. Air liur ditelan pahit. Nampaknya usaha untuk
meredakan suasana menjadi lain pula.
“Alex,
kenapa kamu jadi seperti ini. Bila permintaan tidak dipenuhi, mahu mengugut
saya pula. Ini sungguh keji!” ujar Rania dengan tegas. Bergegar tubuh badannya
mendengar butir bicara daripada lelaki yang pernah membantunya beberapa hari
yang lepas.
“Manusia
boleh berubah. Termasuk diri saya.” selamba sahaja Alex bercakap langsung tiada
rasa bersalah.
“Semakin
saya tidak faham dengan apa sebenar yang kamu mahukan dari saya!”
“Kamu
faham, cuba buat-buat tidak faham.” perli Alex. Lelaki itu bingkas bangun lalu
menuju ke arah Rania. Semakin dekat membuatkan Rania tidak keruan.
“Erk,
kamu mahu buat apa ni? Jangan hampiri saya,” ujar Rania tersekat-sekat. Kerusi
yang diduduki bergerak sedikit. Alex tidak menghiraukan kata-kata gadis itu.
Rania menjarakkan diri daripada Alex yang semakin dekat dengannya. Lelaki ini
sudah mabuk atau ada penyakit yang aku tidak tahu. Tiba-tiba saja berperangai
begini.
“Alex,
jangan begini. Tolong saya,” rayu Rania hampir menangis. Namun, Alex semakin
menghampiri wajahnya.
“Alex,
jangan!” teriak Rania. Alex tidak menghiraukan teriakan itu. Dia semakin mara.
“Shh..jangan
bergerak. Ada sesuatu di atas tudung kamu. Saya perlu buangkan.” Jari Alex
mengambil sesuatu di atas kepalanya. Rania terus terdiam dan kaku seketika.
“Serangga
sesat,” ujar Alex sambil melemparkan serangga itu. Melihat itu, Rania terus
berdiri tegak.
“Alex!!!”
jerit Rania sekuat hati. Keadaan hening. Tiada sebarang bunyi. Matadibuka perlahan-lahan, sangat cerah.
Silau dibuatnya.Tangan diletakkan di atas mata, tak mampu untuk membuka mata
dengan besar. Sayup-sayup terdengar bunyi bising kenderaan yang bergerak, suara
Mama yang bercakap dengan Papa. Anak mata melirik pada jam berbentuk bulat
terletak elok di atas meja kecil di sisi katil.
“Ya
Allah, 7.45 pagi!” jerit Rania sendirian. Automatik dia bingkas bangun daripada
katil. Mentang-mentanglah dia uzur syarie, sedap saja melayan tidur dengan
asyik. Sekejap kaki ke kanan dan sekejap ke kiri. Dia mencari tuala mandi.
“Mana
pulak tuala mandi ni. Aku dah lambat!” getus Rania sendirian. Mata meliar
mencari. Akhirnya dia terpandang tuala mandi yang siap sedia tergantung di
ampaian berdekatan dengan almari baju.
Terus saja tuala mandi dicapai dengan rakus. Kaki menderas menuju ke
bilik air. Tidak sampai 1 minit, wajah
Rania tersembul keluar dengan dahi berlapis-lapis.
“Maaf
Alex, hampir saja aku merosakkan jam yang cantik ni.” Sempat dikucup lembut
lalu diletakkan di atas meja solek dengan berhati-hati. Sebentar kemudian,
Rania masuk semula. Kedengaran bunyi air jatuh mencurah di lantai bilik mandi.
Sejam
kemudian,
Rania
menekan butang lif dengan kuat. Jantung turun naik tanpa berhenti. Hari ini ada
mesyuarat pengurusan hotel. Dia turut terlibat bagi membentangkan laporan
pencapaian hotel bagi setengah tahun.
Ting!
Pintu lif terbuka. Menderu Rania membolosi pintu lif yang kelihatan kosong. Jam
tangan baru sempat dijenguk sekilas. Tepat jam 9.15 pagi, waktu masuk ke
pejabat adalah jam 9.00 pagi. Lima belas
minit lewat. Dia berharap sangat tiada sesiapa yang perasan akan kelewatan
hadir pagi ini.
“Hah,
Rania. Baru sampai ke?” suara itu membuatkan langkah Rania terhenti terus. Mata
menoleh ke kanan.
“Sshhh…
jangan cakap kuat-kuat, nanti orang lain dengar. Aku lambat bangun pagi ni.
Tudung pun tak bergosok. Mesyuarat sudah mula ke?” Wajah Zaidah dipandang
dengan penuh pengertian. Orang bersalah memohon simpati. Zaidah mengelengkan
kepala. Tanpa bicara Rania segera menuju ke meja tugasan.
“Belum
mula lagi. Tunggu kau. Semua dokumen aku sudah sediakan kecuali laporan
pencapaian. Semalam kau kata ada edisi yang terkini. Jadi, aku tak print lagi. Baik, kau printsekarang. Selina asyik sebut nama
kau lagi tadi. Rimas aku dibuatnya.” Zaidah menyusun dokumen di atas mejanya
yang berselerak.
“Iya,
aku nak buatlah ni. Bagi aku lima minit. Kau tolong aku apa yang patut.” Tangan
Rania laju menaip dan menekan papan kekunci computer. Anak mata memfokus terus
pada skrin komputer yang bersaiz 16 inci.
“Ada
rupanya. Ingatkan tak datang.” perli Selina. Dia menghampiri Rania yang sibuk
menyiapkan laporan yang terkini.
“Kenapa
pula aku tak datang? Pagi ini kan ada mesyuarat.” jawab Rania tanpa memandang
wajah kacukan Selina. Bunyi mesin pencetak mula kedengaran.
“Ingatkan
sudah lupa. Cuma laporan kau saja yang belum ada dalam bilik mesyuarat tu. Suka
sangat buat kerja last minute!”
Selina terus meninggalkan Rania yang tak menang tangan menyusun dokumen.
“Bukan
aku sengaja!” sempat Rania membalas sambil menjeling Selina yang semakin jauh
dari pandangannya.
“Semua
sudah siap ke?” soal Zaidah lagi.
“Sudah.
Kau tolong masukkan dalam fail ni.” tanpa banyak soal Zaidah mengambil semua
dokumen yang bercetak warna ke dalam fail yang berwarna kuning.
“Jom,
mesyuarat sudah nak mula.” teriak Asraf dari laluan ke bilik mesyuarat.
BILIK mesyuarat
yang dinamakan King Meeting Room
boleh memuatkan dua puluh orang pada satu masa. Cuma pagi ini akan dihadiri
dalam sepuluh orang sahaja. Hanya melibatkan staf bahagian pengurusan dan marketing. Kehadiran Dato’ Kamil yang
segak menunjukkan mesyuarat pengurusan akan bermula sebentar sahaja lagi. Semua
staf menenangkan diri. Suasana sunyi.
“Kenapa
pagi ni kau bangun lewat?” Zaidah berbisik lembut di sisi. Mata tetap menatap
ke arah Dato’ Kamil yang tekun meneliti dokumen di hadapannya.
“Aku
terlena. Aku period jadi aku tak
bangun awal. Syukur sangat aku sempat menyedarkan diri. Kalau tak memang
terlajak.” balas Rania sambil berbisik juga. Tangan kanan tak lepas memegang
pen untuk mencoretkan sesuatu.
“Iya
ke ni? Malam tadi kau buat apa?” Rania diganggu lagi oleh Zaidah yang seperti
tidak berpuas hati dengan jawapan tadi. Wanita di sebelah dikerling sinis.
“Tak
buat apalah. Lepas balik, rehat dan terus tidur.”
“Aku
nampak sesuatu yang baru.” bisik Zaidah sambil tersengih. Matanya
dikenyit-kenyitkan.
“Apa
yang baru?” balas Rania dengan nada yang keras. Dia memastikan orang lain tidak
mengesan perbualan di antara dia dengan Zaidah.
“Jam
tangan baru!” muncung mulut Zaidah meluru ke arah pergelangan tangan kanannya.
Rania
tersentak sendirian. Jam tangan pemberian Alex diperhati sekilas.
“Bila
kau beli?”
“Aku
tak beli. Aku dapat hadiah.” perlahan sahaja Rania membalas sambil menatap
sebentar wajah Zaidah di sebelah.
“Siapa
yang beri?” Zaidah masih puas hati dengan penjelasan sebentar tadi. Petang
semalam jam tangan Rania hilang di surau dan pagi ini ditangannya ada jam
tangan baru. Papa dan Mama Rania yang berikan hadiah atau seseorang yang aku
tidak kenali. Perlu diselidik ni.
Lengan
Rania disiku lembut setelah Rania langsung tidak menjawab soalan tadi.
“Siapa?”
soal Zaidah dengan mata membuntang besar.
“Manusia.
Takkan hantu pulak.” jawab Rania dengan wajah yang selamba.
“Siapa
yang beri?” gertak Zaidah.
“Adalah.
Nanti aku beritahu. Meeting dah nak
mula.” Terus Rania mematikan perbualan mereka. Berubah wajah Zaidah mendengar
jawapan itu. Mesti ada sesuatu yang disorokkan oleh teman baik. Jam tangan baru
dipandang dengan penuh minat tanpa Rania menyedari.
“Selepas
meeting beritahu aku,” bisik Zaidah
dengan nada tegas. Rania hanya mengangguk perlahan.
Dato’
Kamil berdehem perlahan, “Boleh kita mulakan meeting pagi ini?”sambil memandang ke arah semua staf yang terlibat
pagi ini.
“Boleh,”
hampir serentak semua ahli mesyuarat memberi maklum balas.
PINTU
bilik mesyuarat asyik terbuka dan tertutup. Usai Dato’ Kamil beredar dari bilik
tersebut, staf yang lain turut berbuat perkara yang sama. Zaidah segera menarik
tangan Rania yang laju sahaja untuk meninggalkan bilik mesyuarat.
“Rania, tunggu!” teriak Zaidah
termengah-mengah.
“Ada
apa ni?” Rania terhenti daripada menolak pintu.
“Kau
sudah janji dengan aku mahu beritahu tentang jam tangan baru tu,” Jari telunjuk
Zaidah pantas menunjuk kepada jam tangan yang terletak elok di tangan Rania.
“Oh,
pasal jam. Ingatkan apa tadi.” Rania meneruskan langkah. Pintu bilik mesyuarat
di tolak perlahan. Permintaan Zaidah langsung diketepikan.
“Siapa
yang beri hadiah tu? Pak we ya,” teka Zaidah dengan senyuman lebar.
“Hah,
bukan.” Rania menoleh Zaidah sekilas.
“Habis
tu siapa yang bagi, janganlah berahsia sangat dengan aku. Kata aku ni kawan
dunia dan akhirat.” pujuk Zaidah tanpa putus asa. Diekori gadis itu dengan
rapat supaya hanya mereka berdua sahaja yang terlibat. Tiada pihak ketiga yang
mendengar.
Langkah
Rania terhenti, “Aku mahu ke toilet
mahu ikut jugak ke?” Wajah Zaidah direnung keras.
“Apa
salahnya aku ikut, aku pun ada aktiviti di toilet.”
Selamba sahaja Zaidah menjawab. Dia mendahului Rania yang tetap berpegang teguh
tidak membocorkan rahsia jam tangan baru. Bibir Zaidah terjuih bila dilayan
begitu.
“Merajuk
pulak,” desis Rania sambil anak mata melihat perubahan wajah kawan baiknya.
Jika diberitahu seorang lelaki berbangsa Korea memberikan hadiah ini, bagaimana
pula reaksi Zaidah. Percaya atau tidak dia akan cerita aku ini nanti. Bila
Zaidah sudah tahu, aku bimbang tidak mampu mengawal diri daripada terus
bercerita akan lelaki tampan itu.
“Rania,
mahu ke mana tu?” tiba-tiba Asraf memanggil dari belakang.
“Ke
toilet sekejap, kenapa?” balas Rania
dengan wajah penuh curiga.
“Ada
orang mahu jumpa kau. Katanya penting. Dia tunggu di lobi hotel.” beritahu
Asraf dengan leher yang panjang.
“Okay,
bagi aku 10 minit. Suruh dia tunggu.” Rania terus memasuki toilet dengan pantas.
Dari
kejauhan, Asraf hanya mengelengkan kepala melihat gelagat wanita cantik itu
yang popular di bahagian pengurusan Hotel Princess.
“Siapa
pemuda handsome itu, tidak pernah
dilihat sebelum ini?” omel Asraf sendirian sambil menggaru rambut yang
tersisir rapi.
*Pengumuman:
Penulis mahu khabarkan bahawa ini adalah bab yang terakhir di portal ILHAM. Naskah ini dalam proses suntingan akhir dan akan diserahkan kepada pihak editor. Mohon doakan naskah ini cepat diproses dan urusannya dipermudahkan. Amin. Terima kasih atas sokongan yang baik pada novel ini. Saya sangat menghargai lagi terharu. Harap pembaca budiman terus menyokong dan mendoakan naskah bercetak ini segera tiba di tangan pembaca. Sayang semuanya!! ^__^
fb: alisyahalezpenulis