FAREED meneliti
dokumen ditangannya. Surat tawaran bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat
carigali petroleum yang tersohor dalam dan luar negara.
“Kamu
berehatlah dulu dalam sebulan dua sebelum bekerja.” ujar Puan Munnah. Dia
kesian pada anaknya yang masih kepenatan dan rindunya tidak habis lagi.
“Lama
tuh mak, Fareed tidak boleh lama-lama duduk di rumah. Tawaran kerja pun sudah
ada. Insya-ALLAH awal bulan ini saya akan mendaftar bekerja di Petronas.” balas Fareed memohon pengertian daripada ibunya.
"Fareed
tidak sabar mahu bekerja dan dapat gaji pertama. Nanti kita raikan gaji pertama
saya di hotel yang mak suka." pujuk Fareed.
“Iyalah.
Rezeki sudah di depan mata tidak boleh ditolak. Bersyukur sangat Fareed sudah
dapat kerja tak macam anak Mak Teh lulusan luar negara tapi masih tidak bekerja
lagi.” adu Puan Munnah.
“Alhamdulillah
mak, Fareed dapat kerja ni. Sebenarnya Fareed sudah interview dengan Petronas di UK lagi. So, tidak buang masa. Lagi pun, Fareed dapat tajaan Petronas dalam
melanjutkan pelajaran.”
“Lupa
pula yang kamu dapat tajaan Petronas. Nanti kerja elok-elok dan jalankan tanggungjawab.
Pasti arwah ayah gembira dengan berita ini.” sayu Puan Munnah bertutur. Matanya
mula bergenang air mata. Fareed segera memeluk mak dengan penuh kasih sayang.
Dia tahu bahawa maknya amat merindui arwah ayah yang sudah 10 tahun
meninggalkan mereka.
“Petang
ini kita ke kubur ayah. Sudah 2 tahun saya tidak ke kubur ayah.” cadang Fareed.
Puan Munnah mengangguk lemah.
“Mak
mahu buat sedikit kenduri kesyukuran dan tahlil hujung minggu ini. Nanti kita
boleh jemput Mak Teh datang sekali.”
“Elok
sangat buat kenduri tu. Fareed mahu keluar sekejap. Mak mahu kirim apa-apa ke?”
soal Fareed lalu meleraikan pelukan tadi.
“Tidak
ada apa yang mahu dikirim. Bawa kereta tu elok-elok.” nasihat Puan Munnah.
“Jangan
bawa kereta laju-laju, ini Kuala Lumpur.”
“Iyalah
mak. Saya keluar sekarang.” tangan Puan Munnah dicium rapi.
TALI
kasut diikat rapi. Rania menyandang beg sandang dan menyarung kamera DSLR di
lehernya. Jam tangannya menunjukkan jam 7 pagi. Tudung berwarna merah dililit
rapi. Bibirnya dicalit sedikit pelembab bibir bagi melindungi bibirnya daripada
mengelupas dan kering akibat angin sejuk.
Rania
meletakkan kunci bilik di kaunter pertanyaan Kimchee Myeongdong Guesthouse. Sebaik sahaja Rania keluar daripada guesthouse, dia segera mengeluarkan
telefon pintarnya. Rania mahu mengetahui stesen subway yang perlu dinaiki untuk menuju ke Pulau Nami.
“Selamat pagi Rania!”
suara itu membuatkan Rania tersentak. Wajah itu ditatap seketika.
“Alex!!!” Rania
menjerit kecil.
“Tak payah menjerit.
Saya masih dengar lagi.” jawab Alex datang menghampiri Rania.
“Kenapa kamu ada di
sini?” soal Rania dengan wajah curiga.
“Mahu jumpa kamu.”
jawab Alex selamba.
Jantung Rania
berdegup kencang seperti mahu keluar. Biar betul telinga ini mendengar
kata-kata daripada mulut Alex. Dia
tergelak kecil.
“Kenapa kamu gelak?”
“Saya gelak sebab
kamu datang pagi-pagi ni semata-mata mahu berjumpa saya.” Rania gelak sakan.
“Apa yang lucunya.”
sampuk Alex kehairanan.
“Kamu sudah
sarapan?” soal Alex mengalihkan topik perbualan.
“Sudah, saya makan
roti yang dibawa daripada Malaysia.” pantas Rania menjawab.
“Oh, saya cadang
mahu sarapan bersama kamu.” ujar Alex dengan rasa hampa.
“Mana saya tahu kamu
mahu datang jumpa pagi ni.” Rania menghindari rasa bersalah.
“Hari ini kamu mahu
ke mana?”
“Pulau Nami.” pendek
sahaja jawapan Rania. Suhu 5 darjah celcius membuatkan Rania mengenakan kot
baju sejuk. Dia kelihatan anggun dengan penampilan seperti itu. Alex tidak jemu
memandang Rania sejak mula datang lagi.
“Bagus tempat tu.
Ayuh kita bergerak.” arah Alex kepada Rania yang leka mencari tisu di dalam beg
sandangnya yang berwarna hitam.
“Kita?” Rania
musykil dengan arahan itu. “Eh, Alex ni tidak ada kerja ke?. Asyik cuti dan
datang pagi semata-mata mahu jumpa aku di sini. Apa kena dengan dia ni.” bisik
hati Rania.
“Ya, kita. Saya mahu
menemani kamu ke Pulau Nami.” Alex berkata dengan penuh rasa yakin. Semenjak
berjumpa dengan Rania 2 hari lepas, dia tidak boleh menipu dirinya bahawa dia
sentiasa ingin melihat dan bersama dengan Rania.
“Kamu masih
bercuti?” soal Rania ingin tahu.
Alex memegang
rambutnya yang sedikit perang, “Ya, saya tambah cuti satu hari lagi.” Dia
terpaksa berbohong dengan Rania dengan alasan itu. Moga Rania percaya
kata-katanya.
“Tapi… kenapa kamu
bercuti dan mahu menemani saya!” bentak Rania. Dia berasa tidak seronok kerana
Alex mengambil cuti semata-mata mahu menemaninya. Walaupun, jauh di sudut
hatinya melonjak gembira kerana Alex ada di sisinya lagi sementara dia masih
berada di Seoul.
“Sebenarnya saya
datang mahu tuntut hadiah daripada kamu. Boleh tak saya claim hadiah tu dengan menemani kamu ke Pulau Nami?” Dia cuba
memberi kata dua kepada Rania akan hasrat hatinya. Hanya itu sahaja alasan yang
paling berasas dia menemani Rania.
Mata Rania membulat
dan tanpa disedari dia mengigit jarinya di mulut, “Oh, hadiah! Saya hampir
lupa. Maafkan saya.” Rania membuat tanda maaf dengan kedua tangannya.
Alex tersenyum
menampakkan lesung pipit sebaik sahaja Rania memberi maklum balas itu. Rania
terkedu dan mengalihkan pandangannya ke arah lain, senyuman Alex boleh membuatkan
jantungnya gugur ke jalan raya. Senyuman yang sungguh memikat hati sesiapa
sahaja yang memandangnya!
“Mari saya bawakan
kamera kamu. Kita ke stesen subway
Myeongdong dan kemudian berhenti di stesen Dongdaemun.” Alex menawarkan diri
membantu Rania. Kamera dihulurkan tanpa sebarang suara.
“Kamu peminat drama Winter Sonata?” tiba-tiba Alex memecah
kesunyian setelah beberapa minit mereka berjalan.
“Ya, suka nonton
drama tu. Pelakonnya pun saya suka.” balas Rania dengan teruja.
“Kamu?” soal Rania
ingin mengetahui kesukaan Alex.
“Saya jarang
menonton televisyen. Di Korea, banyak sangat drama yang disiarkan.” luah Alex.
Dia lebih suka menghabiskan masa lapangnya dengan bermain bola keranjang di
kawasan perumahannya.
“Rugilah macam tu.
Drama ni sangat popular di Malaysia.” galak Rania bercerita.
“Jauh tak Pulau Nami
dari Myeongdong?” Rania bersuara sebaik sahaja mereka tiba di pintu masuk subway dengan menggunakan T-Money. Kad ini seperti Touch n Go di Malaysia. Senang digunakan
dan tidak perlu banyak membawa wang tunai di tangan.
“Jauh juga. Kalau
daripada peta perjalanan stesen subway
ni, selepas berhenti di stesen Dongdaemun, kita perlu berhenti di stesen
Wangsimmni, kemudian berhenti di stesen Cheongnyangni.” jelas Alex dengan wajah
serius.
“Wah, banyak stesen
tu. Bila mahu sampai!” rungut Rania.
“Sebenarnya jika
mahu ke Pulau Nami ada banyak pilihan sama ada menggunakan perkhidmatan shuttle bas, kereta, bas, perkhidmatan subway dan perkhidmatan keretapi.” Alex
melabuhkan punggungnya di sebelah Rania.
“Oo… bagus juga ada
banyak pilihan. Memudahkan pengunjung mahu ke sana. Tak sabarnya mahu sampai ke
sana. Dikhabarkan Pulau Nami amat cantik!” komen Rania.
“Pulau Nami cantik dikunjungi semasa
musim autumn dan winter kerana di sana banyak pokok-pokok seperti ginko, white pine, white birch, red
woods dan chestnut.”
Alex memberitahu akan keindahan Pulau Nami. Sebenarnya dia sendiri tidak pernah
sampai lagi ke Pulau Nami, namun ingatannya masih kuat sebaik sahaja terbaca
itenari Rania di Seoul. Malam tadi sempat dia membuat sedikit rujukan tentang
Pulau Nami.
Seketika kemudian, “Kita sudah sampai
Pulau Nami?” soal Rania sebaik sahaja mereka keluar daripada stesen subway Cheongnyangni.
Alex mengelengkan kepala. “Belum lagi,
kita akan menaiki keretapi ITX untuk ke stesen Gapyeong. Perjalanan mengambil
masa 1 jam 42 minit. Keretapi akan berhenti di 20 stesen. Sebenarnya perjalanan
keretapi ini dalam 63.4 kilometer. Kamu bersabar ya!” usik Alex membuatkan
Rania menjuihkan lidahnya kepada Alex.
“Kita perlu beratur
di sini sementara menunggu keretapi tiba.” Rania mengikut kata Alex. Di situ
semua orang beratur panjang untuk menggunakan perkhidmatan keretapi ITX. Rania
semakin teruja mahu sampai ke Pulau Nami. Wajahnya ceria!
“Hari ini merupakan
hari bekerja namun ramai orang yang mahu ke sana.” luah Rania sebaik sahaja
melihat semakin ramai orang yang beratur. Dia berasa pelik walaupun hari ini
bukan hari hujung minggu namun pengunjung masih ramai.
“Bukan pelancong
seperti kamu sahaja yang teruja ke sana, orang Korea pun teruja!” sampuk Alex
dengan ketawa besar.
“Selepas Pulau Nami
kamu mahu ke mana?”
“Tengok keadaan.
Saya jangka sehingga petang. Kalau sempat saya mahu ke Namsan Tower naik kereta kabel.” beritahu Rania.
“Mengapa mereka
memandang saya dengan pandangan pelik?” Rania membetulkan lilitan tudungnya
yang ditiup angin.
“Mungkin di sini,
hanya kamu sahaja yang lain daripada yang lain.”
“Maksud kamu?”
“Kamu memakai tudung
kepala dan cantik. Itu yang mereka tertarik untuk melihat.”
“Iyalah tu, pandai
kamu membuat persepsi. Keretapi ITX ni macam komuter kalau di Malaysia.”
beritahu Rania tanpa di suruh. Di stesen itu dipenuhi dengan lelaki dan wanita
Korea yang pelbagai usia. Susah sekali mahu berjumpa dengan orang Korea yang
berbadan besar dan gemuk seperti di Malaysia. Rania tertarik melihat ada
beberapa kumpulan pengunjung yang memakai topi, membawa beg sandang yang
mengandungi tali dan peralatan mendaki bukit.
“Mereka itu mahu ke
mana?” soal Rania ingin tahu.
“Mereka mahu mendaki
bukit. Orang Korea amat suka aktiviti hiking.
Itu sebab mereka menaiki ITX, kerana sepanjang perjalanan ada tempat untuk
aktiviti itu. Musim bunga amat sesuai untuk aktiviti luar. Kamu suka aktiviti hiking?”
“Suka lihat orang
buat aktiviti hiking, saya sendiri
tak suka.” gelak Rania.
“Sekejap lagi
keretapi akan tiba. Pegang beg kamu elok-elok.” nasihat Alex.
Setelah mereka
mendapat tempat duduk, Rania segera mengeluarkan kamera digital yang dibawa
bersama. Dia mahu merakamkan suasana menarik di sepanjang perjalanan ini.
Keadaan dalam keretapi ITX amat selesa kepada penumpang.
“Kamu tahu Pulau
Nami sebenarnya diambil sempena nama seorang pahlawan muda Korea yang menjadi Jeneral
semasa berusia 25 tahun. Makam Jeneral Nami ini masih ada di Pulau Nami. Namun,
setelah drama Winter Sonata membuat
pengembaraan di situ maka Pulau Nami menjadi popular sehingga sekarang. Drama
ini meletup di negara Jepun, Thailand, China, Indonesia dan Malaysia.” jelas
Alex yang turut memerhatikan pemandangan di luar.
“Pulau Nami amat
sinonim dengan drama Winter Sonata.
Saya sukakan watak heronya. Kamu banyak juga tahu tentang Pulau Nami.”
“Bolehlah
sikit-sikit. Kawan-kawan saya dari luar negara kata, Pulau Nami antara
destinasi wajib jika berada di Seoul.”
Negara Korea masih
banyak hutan dan bukit-bukau. Kawasan pendalaman mereka masih lagi terpelihara.
Rania melihat dengan kusyuk sehingga tidak menyedari bahawa mereka telah sampai
di stesen Gapyeong. Semasa mereka menuruni dengan menggunakan tangga eskulator
yang tinggi, Rania tertarik melihat beberapa orang Korea yang membawa mountain bike sekali dengan mereka.
Pemandangan yang lain dan tidak ada di Malaysia. Rania segera meminta kamera
daripada Alex untuk merakam peristiwa itu.
“Kamu mahu naik
teksi atau bas ke jeti Pulau Nami.” soal Alex sambil melihat kiri dan kanan
mereka.
“Mana yang senang.
Saya ikut sahaja.”
“Kita naik teksi
sahaja. Mahu menunggu bas, ramai orang pula.” Alex membuat pilihan.
Tidak sampai 5 minit
menaiki teksi mereka sudah sampai di jeti Pulau Nami. Di situ kelihatan banyak
bas ekspress dan teksi. Di sebelah kiri mereka ada ZIP-Tower yang mempunyai bungee jump, Alex segera ke kaunter tiket untuk membeli tiket feri.
“Berapa harga
tiket?” soal Rania sebaik sahaja Alex menyerahkan tiket kepadanya.
“8000 Won. Ayuh,
kita ke sana. Tunggu feri.”
“Ramainya orang.
Tidak mustahil dikhabarkan 2,300,000 pengunjung yang datang pada setiap tahun.”
bisik hati Rania. Di jeti itu terpampang slogan Welcome to Naminara Republic. Dari kejauhan, nampak feri hampir
sampai di jeti.
Mereka segera
menaiki feri yang mempunyai 2 tingkat, Rania tersenyum lebar apabila terlihat
salah satu bendera yang dikibarkan adalah bendera Malaysia.
“Alex, bantu saya
ambil gambar dengan bendera negara saya. Bendera ini mempunyai nama iaitu Jalur
Gemilang.” ujar Rania penuh semangat.
“Baik. Berapa lama
kamu mahu berada di Pulau Nami?” soal Alex kepada Rania yang teruja melihat
keindahan alam semula jadi di sepanjang Sungai Han ke Pulau Nami.
“Keluasan Pulau Nami
dalam 5 kilometer atau 460,000 meter per segi. Jadi, saya boleh menjangkakan
separuh hari saya di sini.” balas Rania dengan gembira.
Tidak sampai 10
minit, mereka sudah tiba di Pulau Nami. “Selamat datang ke Pulau Nami wahai
Puteri Rania!” ucap Alex dengan gaya selamat datang sebaik sahaja mereka
menjejakkan kaki di jeti Pulau Nami.
“Terima kasih wahai
Putera Alex!” sambut Rania. Mendengar itu, serentak mereka ketawa girang.
“Kita lihat peta
Pulau Nami ni dulu.” ajak Rania setelah melihat beberapa orang asyik melihat
peta keseluruhan Pulau Nami yang kelihatan seperti separuh bulan.
“Pulau Nami ni
kepunyaan siapa ya?” soalan Rania membuatkan Alex memegang dagunya.
“Kepunyaan ayah
saya!” jawab Alex dengan berseloroh. Rania memegang kedua tangannya di pinggang
dan bibirnya diketapkan.
“Alex! Kamu
main-main ya. Saya serius ni.” Rania memalingkan muka.
“Janganlah serius. Enjoy saja perjalanan ni. Saya pernah
terbaca bahawa pengasas Pulau Nami ini adalah Mr. Byeong-do
Minn seorang president di Korea First Bank. Beliau kemudian
menubuhkan Kyoungchoon Tourism Development Corporation di sini. Tahun
2006, beliau telah meninggal dunia.”
“Mesti
beliau seorang pencinta alam semulajadi. Saya sangat suka dengan kehijauan yang
penuh ketenangan!” Rania mengambil posisi di tengah lorong pokok metasequoia untuk bergambar
kenang-kenangan.
“Wah!
Cantiknya pemandangan di sini!” Rania mendepakan tangan sambil memejamkan
matanya seketika. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Alex hanya memerhatikan
Rania yang sungguh gembira dapat ke Pulau Nami yang juga dikenali sebagai Fairytale World dan Song Island.
Sebaik
sahaja Rania membuka matanya semula, “Alex, tolong rakamkan video saya di
celah-celah pokok metasequoia, saya
mahu hantar pada seseorang di Malaysia.” Rania segera beraksi di depan telefon
pintarnya, “Hai Zaidah, jangan jelous ya.
Aku kini berada di Pulau Nami lokasi popular Winter Sonata. Terasa jadi heroin
pulak, cuma heronya tak ada. Tempat ni best sangat dan romantik tau! Okay,
Zaidah jumpa lagi. Jaga diri, bye!”
“Kamu mahu
hantar kepada siapa video ni?” soal Alex setelah berjaya merakamkan aksi Rania.
“Zaidah,
kawan baik saya di Malaysia. Sepatutnya kami datang datang berdua.”
“Comelnya pasangan tu naik basikal!” teriak
Rania membuatkan Alex turut memandang. Rania berasa cemburu melihat pasangan
itu, dia terfikir alangkah bagusnya dapat honeymoon
di situ bersama suami tersayang. Bilalah aku mahu mengakhiri status bujang.
“Kamu mahu
naik basikal ke?” pelawa Alex. Rania mengelengkan kepala. Dia mahu menikmati
keindahan alam semulajadi, menghirup udara segar, hasil seni seniman,
kebudayaan dan kreativi pengiat seni di situ.
“Selain
basikal, di sini juga ada disediakan kemudahan seperti electronic bicycle (tryway), namycar, UNICEF
Train, sky bike dan elctronic
car. Pilih sahaja mana yang kamu suka.”
“Bagus. Nanti
kita singgah makan di sebuah restoran halal. Di situ ada nasi goncang, saya
mahu cuba!”
“Dosirak? Itu nasi putih yang diletakkan
bersama telur dan kimchi sahaja.” Alex memberitahu.
Rania
berlari anak ke arah sebaris pokok metasequoia.
Alex memerhati dengan hati yang girang, alangkah bahagianya andai Rania
menjadi miliknya. Pasti dunia ini indah sekali. Adakah ini masa yang sesuai
untuk aku meluahkan isi hati kepada Rania?. Alex cuba mengumpulkan kekuatan
untuk melakukannya walaupun dia tidak tahu apa yang bakal terjadi.