Bab 6

“TOLONG panggilkan Saihah.” Arah Pak Am kepada adik bongsunya. Walaupun Puan Syafirah sudah menceritakan hal sebenar ketika membuat panggilan tadi, namun, sekali lagi mereka menceritakan hal yang sama yang berlaku kepada Saihah semalam dan juga sebelum ini.

“Saihah, pak cik kamu panggil kamu tu.” Puan Syafirah muncul di depan bilik anak saudaranya. Saihah baru sahaja selesai memakai pakaian. Rambut Saihah pula masih basah lagi. Dia membalas dengan anggukan kepala. Puan Syafirah kemudian keluar semula dari bilik tersebut.

Saihah mula rasa gelisah. Dia ingin keluar daripada bilik itu namun kakinya bagai dikunci oleh sesuatu. Berat untuk mengorak langkah keluar dari bilik tersebut. Sekali lagi mak ciknya memanggilnya keluar. Saihah diam dan duduk di tepi dinding.

“Saihah, pak cik kamu tunggu kamu dekat luar tu.” Mak ciknya muncul semula di depan pintu. Saihah terpaksa akur. Perasaan yang ditakutkan sebelum ini kembali bertandang ke dalam hati. Semakin dia menghampiri pak ciknya semakin dia berasa takut. Dia keluar tanpa hijab di kepala.

Saihah duduk bersebelahan dengan pak ciknya. Encik Haidi pula duduk di tepi sebelah Pak Am. Encik Daus pula entah kemana menghilang. Kata Encik Haidi, iparnya itu ke rumah jiran sebelah.

Pak Am merenung dalam wajah anak saudaranya. Saihah menundukkan kepalanya. Dia tidak mahu menatap wajah tua itu. Pak Am mula bersuara. Soalan demi soalan dia tanyakan kepada anak saudaranya itu. Bila dia sudah pasti, dia meminta Puan Syafirah menyediakan air mineral kepadanya. Puan Syafirah segera mendapatkan apa yang dimahukan oleh abangnya itu.

Pak Am selesai membacakan ayat-ayat al-quran dan ditiupkan ke dalam air tersebut. Separuh air dituangkan ke dalam gelas dan kemudian menyuruh anak saudaranya itu minum. Seperti keadaan semalam, Saihah diam dan merenung sahaja gelas tersebut. Langsung tidak menyentuh mahupun mengambil gelas tersebut.

Encik Haidi mula rasa tidak sedap hati dengan situasi tersebut. Begitu juga dengan Puan Syifa dan Puan Syafirah. Budak-budak mereka semua ketika itu hanya duduk di tingkat atas. Langsung tidak disuruh turun ke bawah.

Encik Haidi dan Pak Am bertukar posisi. Pak Am duduk di bawah manakala Encik Haidi pula duduk di sebelah anaknya. Gelas bertukar tangan. Giliran Encik Haidi memujuk Saihah untuk minum air tersebut. Tapi, Saihah menolaknya. Encik Haidi mencuba sekali lagi namun reaksi yang diberikan oleh anak perempuannya tetap sama.

Pak Am mengambil gelas tersebut dari tangan adik iparnya. Matanya tajam memandang anak mata Saihah. Gelas yang berisi air bacaan ayat-ayat al-quran itu di dekatkan ke mulut Saihah.

“Saihah, pak cik nak kamu minum air ni.” Arah Pak Am pada anak saudaranya itu. Saihah hanya merenung gelas tersebut. Bibirnya diketap kuat. Dia langsung tidak mahu membuka mulut apabila pak ciknya memaksa dia minum air minuman tersebut.

Jangan minum airitu...! Suara halus bertandang ke hatinya. Saihah ingin melawan perasaan itu namun tubuhnya ketika itu sudah dikunci oleh sesuatu. Tapi, Saihah tetap melawannya.

“Saihah, minum air ni.” Suara Pak Am sedikit keras. Dia memaksa juga Saihah minum air minuman tersebut. Saihah tetap dengan reaksinya yang tidak mahu minum. Beberapa kali juga cubaan dari Pak Am dan akhirnya Saihah membuka mulutnya.

Saat air minuman itu masuk ke dalam rongga mulutnya, Saihah memuntahkannya semula. Ada sesuatu di bahagian kerongkongnya yang menghalang air itu masuk ke dalam tubuhnya. Seperti ada benda bulat yang tersekat di bahagian itu. Pak Am hanya bereaksi tenang.

Pak Am memaksa anak saudaranya minum semula air tersebut sehingga habis. Saihah yang sudah tidak tentu arah itu terus menangis apabila pak ciknya memaksanya minum minuman tersebut. Setiap kali air minuman itu masuk ke dalam mulutnya setiap kali itulah dia terasa benda bulat menghalang air tersebut. Habis basah pakaian Saihah dengan muntah airnya itu.

Tangisan Saihah menjadi semakin kuat. Pak Am segera membaca ayat-ayat ruqyah di depan anak saudaranya. Gelas yang masih berisi dengan separuh air itu diberikan kepada Encik Haidi. Pak Am menyentuh ibu jari kaki Saihah. Ayat-ayat rukyah mula dibacakan. Saihah menjadi tidak keruan apabila mendengar bacaan ayat-ayat suci al-quran itu. Dia meronta-ronta untuk diminta dilepaskan kakinya.

Pak Am tidak mengambil peduli tentang reaksi anak saudaranya. Dia menyuruh Encik Haidi membawa anak perempuannya duduk di atas lantai dengan kaki yang melunjur ke depan dan badan ditegakkan.

Melihat keadaan Saihah yang sudah semakin teruk itu membuatkan Puan Syifa dan adiknya gelisah. Tangisan yang kuat bergema di segenap ruang. Puan Syafirah segera menutup pintu rumah. Dia tidak mahu jiran-jiran sebelah dengar suara tangisan Saihah yang begitu kuat. Entah kemana pula suaminya itu pergi di saat-saat begini.

Ayat-ayat ruqyah mula dibaca dengan kuat. Encik Haidi menahan tubuh anaknya dari jatuh. Pada masa yang sama, Encik Haidi juga turut sama membacakan ayat-ayat suci al-quran yang dia tahu di telinga kiri anak perempuannya. Pak Am menyentuh ibu jari kaki Saihah. Semakin di tekan semakin kuat tangisan Saihah sehingga satu tahap menyebabkan dia mengeluarkan angin dari mulut seperti hendak muntah.

Pak Am meminta adiknya, Puan Syifa untuk menyediakan besen agar Saihah dapat memuntahkan isi perutnya di dalam besen tersebut. Sepanjang Pak Am dan Encik Haidi mengalunkan bacaan daripada ayat-ayat ruqyah, Saihah tidak henti-henti memuntahkan isi perutnya. Apa yang keluar daripada perutnya hanyalah air lendiryang jernih.

“Assalamualaikum!” Laung seseorang dari luar rumah.

“Firah, pergi buka pintu. Itu Hashim. Abang minta dia datang tolong abang.” Beritahu Pak Am. Pak Hashim juga mempelajari ilmu perubatan islam sama seperti Pak Am. Puan Syafirah segera membuka pintu tersebut.

Terkejut Pak Hashim bila melihat situasi tersebut. Saihah masih dalam keadaan menangis. Tingkap rumah semuanya ditutup rapat. Langsir juga ditarik menutup tingkap tersebut. Tidak mahu ada yang datang melihat keadaan di dalam rumah itu.

Pak Am menceritakan serba sedikit tentang apa yang telah terjadi sebentar tadi. Pak Hashism sudah sedia maklum cerita sebenar yang diceritakan oleh Pak Am sewaktu mereka di pekan tadi. Tanpa melengahkan masa, Pak Hashim terus ke posisinya dibelakang Saihah. Encik Haidi sekadar membantu mereka berdua. Pak Am dan Pak Hashim mula membuat rawatan ke atas Saihah.

“Dekat mana yang sakit?” Soal Pak Hashim pada Saihah. Saihah diam dan langsung tidak menjawab. Matanya sudah bengkak akibat menangis yang terlalu lama.

“Pak cik akan sentuh belakang tubuh kamu. Kalau kamu rasa sakit bagi tahu pak cik, ya.” Ujarnya lembut bila Saihah tidak memberikan apa-apa tindak balas kepadanya. Langsung tiada anggukkan daripada anak dara itu.

Sewaktu Pak Hashim menggerakkan tangannya di belakang tubuh Saihah, Saihah tiba-tiba sahaja mengangguk. Pak Hashim, Pak Am dan Encik Haidi saling berpandangan. Kemudian dia meneruskan lagi tugasnya untuk mencari benda tersebut. Sekali lagi Saihah menganggukkan kepala apabila Pak Hashim menekan di bahagian tulang belikatnya.

“Sini yang sakit?” Pak Hashim meminta kepastian. Saihah mengangguk. Sukar untuk dia mengeluarkan kata kerana mulutnya sudah dikunci oleh benda tersebut.

Mereka bertiga meneruskan lagi pembacaan ayat-ayat ruqyah. Tangisan Saihah semakin kuat dan saat itu juga dia memuntahkan lendir bewarna putih. Hidungnya berair. Matanya semakin membengkak. Pak Am kemudian melepaskan tangannya. Tangisan Saihah kembali reda.

“Saihah, Saihah ikut apa yang pak cik ucap ni, ya.” Kata Pak Am sambil memandang anak saudaranya yang hanya mengeluarkan bunyi esakkan.

Asyhadu an la ilaha illallah...”

Saihah diam. Pak Am meneruskan lagi.

Wa asyhadu anna muhammadar rasulullah...”

Tiada sahutan. Saihah langsung tidak mahu mengucapkan lafaz dua kalimah syahadah itu.

“Ucap Saihah. Ikut pak cik mengucap.” Sekali lagi Pak Am mengucapkan dua kalimah syahadah itu namun tiada balasan dari anak saudaranya.

“Rasanya benda tu tak nak keluar lagi.” Kata Pak Hashim. Matanya berpaling menghadap sebelah Encik Haidi. Dia beristighfar panjang.

“Hashim, kenapa?” Tanya Encik Haidi kebingungan.

“Tak ada apa-apa. Kita teruskan lagi.” Ujar Pak Hisham. Dia kembali fokus dengan perawatan mereka. Mereka bertiga membaca semula ayat-ayat ruqyah tersebut.

Saat ayat-ayat ruqyah dialunkan, Saihah kembali menangis. Matanya yang merah mengerling ke arah ibu, mak cik dan juga adik-adiknya yang sudah berada dibelakang tubuh ibu dan mak ciknya itu. Puan Syifa dan Puan Syafirah membawa anak-anak mereka jauh sedikit dari Saihah apabila anak dara itu merenung mereka seperti begitu.

Saihah hampir kehilangan suaranya akibat menangis. Pak Am dan yang lain masih lagi berusaha untuk mengeluarkan benda tersebut.

“Keluar kau dari sini! Sekiranya kau masih ada di dalam tubuhnya, maka keluarlah! Dari mana kau datang dan dari situ jugalah kau keluar. Keluar!” Pak Am meninggikan suaranya.

“Sekiranya kau di hantar oleh seseorang, maka pulanglah kau ke tempat asal. Sekiranya kau hanya menumpang di dalam tubuh perempuan ini, keluarlah. Itu bukan tempat kau! Keluar! Keluar sebelum aku guna cara kasar untuk menghalau kau!” Sambung Pak Am lagi. Suara tangisan Saihah sama tinggi dengan nada Pak Am menyuruh benda itu keluar dari tubuhnya.

Puan Syafirah begitu risau melihat keadaan anak saudaranya yang sudah tidak bermaya itu. Ada sesekali, di hujung suara Saihah itu kedengaran agak lain. Seperti suara itu bukan milik anak saudaranya.

Rambut panjang Saihah yang masih basah itu sudah tidak terurus lagi. Puan Syafirah yang kesian melihat anak saudaranya itu laju mengambil ikat rambut dan mengikat rambut Saihah. Jelas kelihatan wajah pucat Saihah. Puan Syafiran kembali semula ke tempat kakaknya dan yang lain sedang berdiri.

Setelah Puan Syafirah berlalu ke belakang, Pak Am mendekati anak saudaranya pula. Saihah ketika itu sudah senyap. Tangisannya sudah berhenti.

“Saihah, assalamualaikum.” Pak Am memberi salam. Saihah diam. Pak Am dan Pak Hashim berpandangan. Saihah tidak menjawab salamnya. Anak saudaranya itu langsung tidak memandang mereka. Pandangannya jatuh ke bawah.

Pak Am mengambil lebihan air yang telah dibaca tadi lalu menyuruh anak saudaranya itu minum. Reaksi sama diberikan kepada mereka. Saihah mengetap bibir kuat. Dia tidak mahu air itu masuk ke dalam mulutnya.

“Benda tu ada lagi di dalam tubuh dia ni.” Kata Pak Am. Mereka meneruskan lagi perawatan mereka kepada Saihah walaupun Saihah sudah kelihatan lemah.

 

“AYAH, nak air...” Akhirnya Saihah bersuara setelah beberapa jam dia di rawat. Semua mengucapkan kata syukur. Encik Haidi segera memberikan air yang telah dibaca dengan ayat-ayat suci al-quran itu kepada anak perempuannya. Saihah meneguk rakus air tersebut. Sepertinya dia sangat kehausan.

Selesai perawatan mereka terhadap Saihah, Pak Am dan Pak Hashim meminta diri. Tidak lupa juga mereka menitip pesan kepada Encik Haidi dan Puan Syifa.

“Kalau ada apa-apa berlaku dekat Saihah lagi, telefonlah abang. In Shaa Allah, abang akan tolong.”

“Abang Am, abang Hashim. Boleh Ifa tahu kenapa Saihah jadi begitu?” Tanya Puan Syifa.Pak Hashim mengeluh.

“Sebenarnya, ada benda yang nak berkawan dengan budak tu. Walaupun benda tu dah lari, abang risau kalau benda tu datang balik.” Kata Pak Hashim.

“Maksud abang Hashim?”

“Ifa tak payahlah cakap pasal ni dulu. Nanti saja abang bagi tahu abang Am kamu. Biar abang Am kamu yang ceritakan nanti. Lagipun, kamu semua dah lewat nak balik ke tempat masing-masing, kan.”

“Yalah.”Akhirnya Puan Syifa mengalah. Lagipun, mereka perlu bersiap untuk pulang hari ini.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh