Bab 1

SAIHAH tidur agak lewat malam itu. Ahli keluarganya yang lain pula sudah lena dibuai dengan mimpi masing-masing. Hampir pukul 1.00 pagi dan dia masih lagi khusyuk menyiapkan cerita imaginasinya di dalam tab yang berjenama Samsung Galaxy S bersaiz 8.4 inci.

Malam semakin larut, suasana kian sepi. Saihah masih leka dengan dunianya yang satu itu. Sedang dia menyiapkan cerita imaginasinya, dia terdengar seperti bunyi seseorang sedang melempar batu di bahagian berada luar rumah flat 4 tingkat itu. Saihah yang berada di dalam bilik itu agak terkejut. Dia kaku seketika. Bunyi lontaran itu terlalu kuat sehinggakan dia di dalam biliknya pun dengar akan bunyi tersebut.

Tangannya berhenti menaip. Dia mahu keluar untuk melihat siapa yang melontar batu tersebut namun hatinya menidakkannya. Agaknya siapa yang melontar batu lewat malam macam ni, ya? Tanyanya di dalam hati.

Bunyi lontaran itu hanya sekejap sahaja dan kemudian bunyi itu hilang. Saihah berfikir mungkin juga sekumpulan remaja lelaki kerana dia baru teringat akan hal yang berlaku sewaktu isyak tadi. Sekumpulan remaja lelaki datang ke rumahnya meminta izin untuk menjolok buah mangga. Beberapa pokok buah mangga yang sudah berbuah lebat di depan luar beranda rumah flat 4 tingkat itu adalah milik keluarganya. Namun ayahnya, Encik Haidi menolak kerana hari sudah malam. Dia tidak mahu perkara buruk berlaku ketika menjolok buah-buah mangga pada waktu malam sebegitu.

Selang beberapa minit Saihah meneruskan kembali cerita imaginasi yang tertangguh sebentar tadi. Baru beberapa minit dia menaip di dalam tab tersebut, ada bunyi lain pula menyapa telinganya. Kali ini bunyi tapak kaki sedang berlari di bahagian luar beranda. Saihah tergamam sekali lagi.

Siapa pula yang panjat beranda tingkat satu tengah-tengah malam buta ni? Ish, takkanlah ada pencuri pula. Setahu aku jarang ada pencuri dekat kawasan ni. Lagipun, kawasan perumahan ni ada pengawal. Katanya dalam hati.

“Ah, pedulikanlah.” Saihah membiarkan sahaja bunyi tapak kaki yang sedang berlari itu. Dia meneruskan kembali penulisannya di dalam tab. Jam menginjak pukul 1.40 pagi. Hanya beberapa minit lagi hendak pukul 2.00 pagi. Mata Saihah mula terasa berat. Dia menguap berkali-kali.

“Labih baik aku tidur.” Dia berhenti menaip. Tab ditutup. Dia bangun dan terus ke bilik air yang terletak di luar biliknya. Selesai membersihkan muka dia terus masuk tidur.

Saihah berasa tidak sedap hati. Kenapa dia terasa lain saja malam ini? Terdetik di hatinya untuk memasang zikir sebelum tidur. Tab di ambil dan dia mula mencari zikir yang dikehendaki. Zikir doa iman menjadi pilihan santapan telingannya. Dia memasang dan menekan mode ulang pada zikir yang dimainkan itu. Tenang mendengar zikir tersebut dan lama-kelamaan Saihah tertidur.

Entah jam berapa dia terbangun. Telinganya bingit mendengar zikir yang masih bermain di dalam tabnya itu. Badannya terasa sangat panas. Padahal, kelajuan kipas angin yang berada di depannya itu sudah di tahap maksimum.

Jantung mula berdegup dengan pantas dan dia terasa sesak nafas. Suara hati menyuruhnya menutup zikir tersebut. Namun, Saihah bertahan. Dia tidak mahu tunduk kepada suara hati yang tiba-tiba menghasutnya untuk menutup zikir yang dipasang sejak beberapa minit yang lalu. Dia tidak tahu apa yang terjadi pada dirinya sekarang ini.

Telinganya semakin panas mendengar zikir tersebut. Terlalu bising. Dalam keadaan sebegitu, Saihah tetap dengan pendirian. Dia meneruskan kembali tidurnya yang terganggu tadi. Dia tidak peduli dengan suara hati yang masih lagi mahu menghasutnya untuk menghentikan alunan zikir tersebut.

Tepat jam 3.00 pagi. Saihah sudah tidak dapat bertahan lagi. Terlalu panas dirasakannya. Kipas angin yang berpasang itu tidak dapat menyejukkan suhu badannya. Pantas dia menutup zikir tersebut dan memasang salah satu ayat al-quran yang ada di dalam applikasi al-quran dalam tab itu. Surah Yaseen, jantung kepada al-quran menjadi pilihannya. Bergema alunan bacaan surah Yaseen dari qari Mishary Rashid di ruangan bilik itu.

Saihah tidak senang tidur. Bacaan ayat al-quran itu pun tidak dapat menenangkan dirinya. Dia mengerekot ke kanan dan ke kiri. Apa yang terjadi dengan aku ni? Kenapa aku tiba-tiba tak senang tidur? Rasa panas yang amat. Jantung aku ni tiba-tiba saja berdebar laju. “Ya Allah…” Saihah berzikir. Cuba untuk menenangkan dirinya yang serba tidak kena itu.

Dari posisi baring dia terus bangun. Degupan jantung semakin kencang. Saat itu, dia terasa hendak menangis. Tapi untuk apa?

Saihah cuba mengawal perasaannya. Dia tidak mahu terikut sangat dengan perasaan itu. Perasaannya yang mahu menangis di tambah dengan telinga yang bingit dengan suara alunan qari itu saling berlawanan dan akhirnya dia sendiri tewas. Dia tunduk dengan keinginan hati yang sedang menganggunya itu. Saihah menangis tanpa sebab. Air matanya mengalir tanpa berhenti.

Saat itu juga dia terdengar satu suara sayup-sayup milik seorang perempuan sedang menangis dekat dengannya. Saihah terkejut. Dia mahu lari tapi tubuhnya mengeras di situ. Suara perempuan itu menyuruhnya supaya menutup bacaan al-quran yang sedang dipasang. Ketika itu juga bulu romanya naik. Laju dia berlari keluar daripada biliknya. Dia duduk di luar bilik sambil memeluk kedua belah kaki. Badannya mula menggigil dan tangisan semakin menjadi-jadi. Apa sebenarnya yang sedang berlaku ni?

Tangisan yang kuat mengejutkan Encik Haidi dan Puan Syifa yang sedang lena di bilik mereka. Pantas mereka berdua keluar daripada bilik dan mendapati anak perempuan mereka sedang menangis teresak-esak.

“Saihah,kenapa ni?” Puan Syifa di pagut risau. Anaknya tiba-tiba sahaja menangis.

“Kenapa Saihah menangis tiba-tiba saja ni?” Soal Encik Haidi pula. Dia turut sama risau melihat keadaan anak perempuannya. Sempat dia mengerling ke dalam bilik anak perempuannya yang gelap itu.

“Sai… Saihah…” Dia tidak dapat meneruskan katanya. Tubuhnya masih menggigil dan panas juga masih terasa. Surah Yaseen masih lagi berkumandang di biliknya.

“Dah. Jangan nangis.” Encik Haidi menenangkan anak perempuannya meskipun dia tidak tahu sebab apa anaknya itu menangis. Puan Syifa pula sudah ke ruang tamu menjenguk dua anak teruna yang sedang nyenyak tidurnya.

“Ayah… Saihah… Tadi…” Tersekat-sekat dia hendak membuka mulut.

“Ya, Saihah. Teruskan. Ayah dengan ibu dengar ni.” Ujar Encik Haidi tenang. Puan Syifa kembali ke tempat mereka berdua setelah memastikan dua anak terunanya itu tidur. Encik Haidi dan isterinya duduk berdepan dengan anak perempuannya.

“Saihah… Saihah tak tahu apa yang terjadi, ayah. Tiba-tiba saja Saihah hendak menangis…”Teresak-esak Saihah memulakan ceritanya. Encik Haidi mengusap belakang tubuh anak perempuannya.

“Sebelum Saihah pasang ayat Yaseen tadi, Saihah pasang zikir doa iman. Saihah biarkan zikir tu dipasang berulang-kali. Lepas tu, Saihah tak tahu…” Dia menarik nafas sebelum menyambung ceritanya kembali.

“Ada suara lain dalam bilik tu. Suara perempuan. Dia suruh Saihah tutup ayat al-quran tu. Perempuan itu seolah-olah tidak mahu mendengar ayat al-quran yang Saihah pasang. Saihah paksa juga untuk terus dengar ayat al-quran tu tapi, Saihah tak dapat tahan dan Saihah terus berlari keluar.” Dia menghabiskan ceritanya dengan tangisan. Saihah menyentuh dadanya. Debarannya masih kencang.

“Dah, dah. Jangan nangis. Banyakkan berzikir. Ingat Allah. Lawan perasaan tu.” Encik Haidi mengusap tangan Saihah. Sejuk dirasakan tangan anaknya itu. Hujung jari Saihah sudah kelihatan pucat.

“Ayah, ibu. Suara perempuan tu…” Saihah memandang wajah orang tuanya. Rupanya dia masih mahu bercerita.

“Tak sampai sepuluh ayat dari surah Yaseen itu dibaca, Saihah dengar suara perempuan menangis dekat dengan Saihah. Saihah takut…” Dia menundukkan wajahnya. Jari tangan dan kaki yang sudah kelihatan pucat bertambah sejuk.

“Zikir, Saihah. Banyakkan zikir. Ingat Allah.” Encik Haidi menepuk lembut bahagian belakang tubuh anaknya.

“Saihah berzikirlah. Jangan fikir sangat benda tu. Anggap benda tu tak wujud.” Puan Syifa yang dari tadi hanya menjadi pendengar setia kini bersuara. Saihah mengangguk perlahan.

 

HAMPIR sejam Saihah cuba menenangkan dirinya. Dia tidak mahu masuk ke biliknya. Dia ambil keputusan untuk duduk di ruang tamu saja dengan dua adik lelakinya yang masih lena. Ibunya yang sudah malas hendak masuk ke bilik lena di sebelah anak lelakinya yang berusia 11 tahun. Ayah Saihah pula menunaikan solat tahujud di dalam bilik. Itu sudah menjadi kebiasaan ayahnya untuk menunaikan salah satu solat sunat sebelum masuknya waktu subuh.

Bunyi lontaran dan juga bunyi tapak kaki di luar beranda itu kembali menjengah ke mindanya. Bunyi apa agaknya benda tu? Pencuri atau sebaliknya? Saihah tertanya-tanya di dalam hati.

Apayang berlaku padanya sebentar tadi pasti ada kaitan dengan bunyi-bunyi pelik yang dia dengar sebelumnya.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh