Bab 3

SEHARIAN mereka membantu menguruskan majlis perkahwinan Tiya. Akhirnya Saihah dan ibunya dapat juga berehat. Petang tadi ibunya memberitahu bahawa adik bongsu ibunya akan ke sini esok. Saihah gembira sekali bila mengetahui kedatangan mak ciknyaitu.

Keesokkannya, selepas subuh sahaja Saihah terus mengemas rumah. Rumah perlu kelihatan kemas kerana hari ini pak cik, mak cik dan adik-adik sepupunya akan ke sini.

Sedang Saihah membuat sarapan, bunyi mesej dari telefon ibunya berbunyi. Oleh kerana telefon ibunya tidak berkunci memudahkan dia membuka mesej tersebut. Lagipun, ibunya tidak kisah jika dia membaca mesej di dalam telefon milik ibunya itu.

Mesej dari Puan Syafirah iaitu adik bongsu Puan Syifa. Saihah tersenyum lebar kerana sekejap lagi mak ciknya sekeluarga akan ke sana.

“Ibu! Mak cik Syafirah nak datang kejap lagi.” Beritahu Saihah dengan suara yang separuh menjerit. Ketika itu ibunya berada di ruang tamu dan ayahnya pula berada di halaman belakang rumah.

 

“KAK IFA!”

“Syafirah! Eh, masuklah. Mana yang lain?” Gembira sungguh Puan Syifa melihat kedatangan adik bongsunya itu.

“Mereka ada dekat luar.” Jawab Puan Syafirah dengan senyuman lebar.

“Saihah mana?” Rindu pula Puan Syafirah dengan anak sulung kakaknya itu.

“Ada dekat dapur. Dia tengah buat sarapan.” Kata Puan Syifa.

“Assalamualaikum, umi!” Laju Ainul memeluk Puan Syifa. Ainul yang berumur 12 tahun itu adalah anak kedua daripada empat orang anak Puan Syafirah.

Waalaikumussalam. Wah, dah besar anak saudara umi ni.” Puan Syifa mengusap lembut pipi gebu budak itu. Dia sudah biasa dipanggil dengan panggilan umi oleh anak-anak saudaranya. Kadang-kadang anak perempuan sulungnya juga memanggilnya dengan panggilan tersebut.

“Mama, Ainul pergi dapur dulu ya.” Belum sempat Puan Syafirah dan Puan Syifa memberi isyarat, Ainul terus berlari ke dapur. Tersenyum kedua-dua wanita separuh abad itu.

 

MERIAH sungguh rumah Puan Syifa hari ini dengan kedatangan adik bongsu sekeluarga. Kehadiran Adam yang berusia 4 tahun, anak bongsu adiknya itu meriuhkan lagi suasana di dalam rumah. Saihah dan Ainul selesai menyediakan sarapan. Ainul memanggil yang lain datang ke dapur untuk bersarapan.

Senyuman Puan Syifa tidak lekang di wajahtuanya. Gembira dapat makan bersama-sama dengan mereka semua. Di dalam keluarga Puan Syifa, hanya dia dan Puan Syafirah sahaja yang perempuan dan empat orang lelaki pula adalah abang-abang mereka.

Puan Syifa dan Puan Syafirah masih duduk di meja makan. Yang lain sudah pun ke ruang tamu kecuali anak sulung Puan syafirah dan juga anak bongsunya.

“Hah, Idlan nak ke mana pula? Nasi goreng tu tak habis lagikan.” Tegur Puan Syafirah bila melihat anak sulungnya tidak menghabiskan sisa makanan yang masih ada di dalam pinggan.

“Idlan dah kenyang. Mama bagi sajalah lebihan makanan Idlan tu dekat si Adam ni. Idlan nak main game dengan Hazri dulu.”Jawab Idlan. Hazri yang seusia dengannya itu sudah pun menghabiskan hidangannya beberapa minit yang lalu.

“Si Irza mana pula? Dari tadi mama panggil dia. Budak tu tak juga muncul-muncul depan mama ni.” Geram Puan Syafirah.

“Irza ada dekat depan. Main dengan Saleh. Nanti Idlan panggil dialah.” Kata Idlan. Adik perempuannya, Irza muda setahun dari Saleh.

Puan Syafirah geleng kepala. Ada-ada sahaja perangai anak lelakinya ini. Dia menoleh semula kepada kakaknya.

“Kak Ifa sampai bila dekat sini?” Tanya Puan Syafirah yang sibuk menyuapkan kuih karipap ke dalam mulut anak bongsunya yang berusia 4 tahun.

“Ish, Adam ni. Jangan main kuih tu. Tak baik.” Puan Syafirah menegur perbuatan anak bongsunya yang membuang sisa-sisa kuih karipap di atas lantai.

“Biarkanlah saja Adam tu. Kalau nak marah pun bukannya budak itu tahu.” Sempat Puan Syifa mencubit pipi gebu Adam.

“Kami tak lama pun di sini. Hari khamis ni baliklah. Mulanya cadang nak tinggal sampai habis cuti sekolah ni tapi abang Haidi kamu tu banyak kerja. Tak boleh ambil cuti lama-lama.” Puan Syifa kembali ke topik utama.

“Ala... ingatkan lama lagi dekat sini.”

“Kamu pula tak bermalam sini?” Encik Haidi yang muncul semula di ruang dapur itu mencelah. Suami Puan Syafirah juga turut ada bersamanya.

“Tak. Tu, hah. Suami kerja esok.” Wajah cemberut Puan Syafirah mengundang tawa kecil suaminya.

“Tak apa, kak Ifa. Rabu nanti kami datang. Lagipun, abang Azlee suruh datang malam rabu. Katanya hendak buat majlis makan-makan di rumah sebelum akak, abang dengan yang lain pulang.” Beritahu Encik Daus, suami kepada Puan Syafirah.

“Makan-makan macam sebelum ni ke?” Puan Syifa meminta kepastian. Dia tahu sangat dengan sikap abang ketiganya itu. Suka buat majlis makan-makan sekeluarga. Puan Syafirah mengangguk.

“Mesti nak bawa makanan sendiri, kan? Jadi, kita nak bawa makanan apa malam sana nanti?” Puan Syifa mula berfikir hidangan untuk di bawa ke sana.

“Nanti, Firah fikir.” Ujar Puan Syafirah.

 

“JEMPUT makan semua. Jangan malu-malu. Hidangan-hidangan ni hasil masakan kita semua juga.” Jelas terpancar riak ceria pada wajah separuh abad Encik Azlee. Sebelum majlis makan-makan bermula sebentar tadi, mereka ada membuat bacaan doa selamat untuk sekeluarga. Bacaan doa diketuai oleh Pak Am.

Suasana malam itu sungguh meriah. Lagi menggembirakan hati Puan Syifa apabila adik-beradiknya semua berkumpul di rumah abangnya. Pelbagai jenis hidangan yang d isediakan. Puan Syifa dan adik perempuannya sepakat membawa juadah kuih keria dan juga popiah goreng serta pencuci mulut buah tembikai. Ahli keluarga yang lain pula ada yang membawa hidangan seperti ayam goreng berempah, daging masak hitam, nasi dan lain-lain.

Sambil menikmati hidangan, mereka saling bertukar cerita. Saihah dengan sepupu-sepupunya. Ibu dan ayahnya masing-masing dengan ipar-ipar mereka.Kesemua mereka rancak bercerita.

Selesai makan, Encik Azlee mula dengan aktiviti kesukaannya, berkaraoke. Aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh mereka semua. Setiap kali mereka membuat majlis makan-makan seperti ini, aktiviti karaoke pasti tidak ketinggalan. Masing-masing mencari lagu untuk disumbangkan pada malam itu.

“Saihah pergilah menyanyi.” Encik Azlee menyuruh anak saudarnya itu menyumbangkan lagu. Saihah tersengih.

“Sekejap lagilah Saihah nyanyi uncle.”

Encik Azlee hanya membalas dengan anggukkan. Dia tahu yang anak saudaranya ini akan menyumbangkan juga lagu nanti. Dia tahu yang Saihah itu suka menyanyi.

“Kak Saihah, kita nyanyi berduet nak?” Tegur seseorang. Wani, adik sepupunya dan anak bongsu dari tiga orang anak perempuan Encik Azlee.

“Boleh saja. Nak duet lagu apa?” Tanya Saihah. Dia mula berfikir hendak menyanyikan lagu jenis apa. Kebanyakkan lagu melayu dan luar negara dia tahu. Tapi, belum tentu lagu yang dia ingin nyanyi itu ada dalam senarai buku lagu unclenya.

“Lagu Hindi, nak?” Teruja Wani memberi cadangan. Saihah pula mengiakan saja. Lagipun,dia sendiri teringin hendak nyanyi lagu dari genre tersebut.

Selesai giliran pak long mereka menyumbangkan lagu, giliran Saihah dengan adik sepupunya pula. Lagu Hindi berjudul Suraj Hua Madgham dari filem Khabi Khushi Khabi Gham menjadi lagu pilihan duet mereka berdua. Tidak cukup dengan satu lagu mereka berdua berduet lagi dengan lagu lain. Yang lain tersenyum dangeleng kepala sahaja dengan telatah dua anak dara itu.

“Wani, kamu nyanyi dulu. Akak nak ke tandas.” Tersengih-sengih Saihah memberitahu adik sepupunya. Wani mengangguk lalu meneruskan lagi nyanyiannya.

 

SELESAI membuang hajat, Saihah keluar dari tandas tersebut. Pintu dapur yang terbuka luas menjadi perhatiannya. Semak-samun yang hanya beberapa kaki dari luar dapur itu menjadi tarikannya. Lama matanya merenung di kawasan semak-samun itu. Saat itu juga imaginasi hantu bermain di mindanya. Saihah mengetuk kepalanya yang berhijab itu. Cepat-cepat dia beredar dari situ.

Ish, kenapa aku boleh terfikirkan benda menakutkan tu pula? Marahnya di dalam hati.

Majlis makan-makan berakhir sekitar jam 12.00 tengah malam. Ahli keluarga Puan Syifa masing-masing meminta diri untuk pulang. Puan Syifa dan Puan Syafirah sekeluarga juga meminta diri untuk pulang dulu.

Encik Haidi membawa kereta keluar dari kawasan perumahan iparnya diikuti oleh kereta Encik Daus yang berada di belakang. Dalam perjalanan pulang, sekali lagi imaginasi negatif menjengah ke minda Saihah. Kebetulan saat itu, Encik Haidi membawa kereta melalui kawasan perkuburan. Saihah geleng kepala berkali-kali. Dia cuba untuk buang fikiran tersebut.

Mereka telah tiba di kawasan rumah. Encik Haidi memakirkan keretanya dan Encik Daus pula memakirkan kereta di sebelah kereta iparnya. Semua mereka sudah pun keluar daripada perut kereta kecuali Saihah. Sejak dari tadi fikirannya bercelaru dengan hal yang tiba-tiba menganggu fikirannya. Perlahan-lahan dia keluar dan menuju ke arah mereka. Pintu kereta sudah di kunci.

Saihah mula tidak sedap hati. Perasaannya lain sahaja di tengah malam itu. Tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup dengan pantas.

Sebaik sahaja Encik Haidi membuka kunci pintu rumah, Saihah merasakan sesuatu aneh. Tubuhnya mula menggigil saat dia memasuki rumah mereka. Dia seperti takutkan sesuatu. Debaran yang dirasakan olehnya semakin laju sehingga membuatkan dia sesak nafas. Mak ciknya yang berada di hadapannya di pandang lama.

“Ma... Mak Cik...” Saihah menyentuh bahu mak ciknya.

“Saihah, kenapa ni? Kenapa muka Saihah ni pucat?” Sebaik sahaja Puan Syafirah berpaling ke belakang, dia mendapati wajah anak saudaranya itu pucat.

“Pu... Pucat?” Saihah meraba-raba wajahnya. Perasaannya semakin menjadi-jadi.

“Kak Ifa. Akak tengok anak akak ni.” Panggil Puan Syafirah pada kakaknya yang beradadi bahagian dapur. Laju Puan Syifa keluar dari dapur dan menuju ke ruang tamu.

“Saihah, kenapa ni?” Tanya Puan Syifa. Perasaannya mula tidak sedap hati. Saihah kelihatan lain di tengah malam itu. Encik Haidi dan Encik Daus pula masing-masing berada di dalam bilik. Adik-adiknya dan juga adik-adik sepupunya sudah naik ke tingkat atas.

“Ibu... mak cik Firah.....” Tubuhnya terasa sejuk. Dia sudah tidak dapat menahannya.

“Saihah..... Saihah rasa nak nangis.” Saihah yang tidak dapat menahan tangisan terus menjatuhkan air matanya. Terkejut kedua-dua wanita itu. Tangisan Saihah semakin kuat dan sekaligus membuatkan orang rumah semua keluar melihat keadaan tersebut.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh