Bab 2

Tiga hari kemudian…

KEJADIAN sebelum subuh itu sudah pun dilupakan oleh Saihah. Dia tidak mahu mengambil tahu sangat tentang hal yang terjadi tempoh hari. Hari ini, Saihah dan yang lain sibuk mengemaskan rumah dan juga pakaian-pakaian mereka. Saihah dan sekeluarga akan pulang ke kampung kerana cuti penggal pertama sekolah sudah pun bermula. Nasib baiklah, kampung ayah dan ibunya sama. Tidak penatlah mereka berdua memikirkan hendak pulang ke mana. Encik Haidi mengambil keputusan untuk bertolak selepas menunaikan solat Jumaat.

Sementara Encik Haidi dan dua adik lelakinya pergi ke masjid berdekatan, Saihah dan Puan Syifa menyediakan bekalan untuk mereka berlima. Puan Syifa menyuruh anaknya mencari bakul makanan di dapur dan menyuruhnya memasukkan bekalan makanan tersebut ke dalam bakul makanan.

“Mana ibu letak bakul makanan tu? Saihah tak nampak pun.” Kata Saihah sambil matanya meliau mencari bakul makanan di dapur. Terdengar juga keluhan kecil yang dilepaskan oleh gadis itu. Puan Syifa diam seketika. Sepertinya dia sedang berfikir sesuatu.

“Eh, ibu lupa pula. Bukan dekat sini tapi dekat bilik Saihah. Cuba Saihah cari dekat bilik Saihah.” 

Saihah mengikut arahan. Dia terus ke biliknya dan mencari bakul makanan yang di simpan di bilik tersebut. Sedang dia mencari bakul makanan itu, kejadian yang menimpa dirinya kembali berlegar diingatan. Sepatutnya dia sudah melupakan tentang kejadian itu tetapi nampaknya dia gagal. Suara perempuan menangis dan perasaan yang dirasakan ketika itu membuatkan bulu suak di tengkuknya tiba-tiba naik meremang. Seolah-olah benda itu ada di sekitarnya.

“Ish, jangan fikir lagi boleh tak!” Marah Saihah pada dirinya sendiri. Dia kembali fokus dengan pencariannya. Dapat saja bakul makanan itu, dia terus keluar daripada bilik tersebut.


JAM menunjukkan tepat jam 2.30 petang dan kesemuannya sudah bersiap sedia untuk bertolak ke kampung. Barang-barang semua sudah pun dimasukkan ke dalam kereta.

“Tak ada barang lagi yang tinggal ke?” Tanya Encik Haidi. 

“Rasanya tak ada. Semua barang keperluan dah ada dalam beg-beg ni. Saihah?” Puan Syifa beralih pandang ke arah anak perempuannya pula.

“Barang-barang Saihah pun dah cukup. Barang-barang Hazri dengan Saleh pun cukup.” Saihah menoleh ke arah dua orang adiknya yang berada di dalam perut kereta. Azri yang berumur 14 tahun itu sibuk bermain dengan game di dalam tab manakala adik bongsunya, Saleh sedang mengunyah keropok yang dibelinya di kedai runcit tadi.

“Kalau macam tu, kita dah boleh gerak sekarang. Nanti lambat pula sampai kampung.” Kata Encik Haidi. Masing-masing meloloskan diri ke dalam kereta. Sementara Encik Haidi memanaskan enjin kereta, dia mengetuai ahli keluarganya untuk membaca doa selamat sebelum bergerak meninggalkan kawasan perumahan.


DALAM perjalanan pulang ke kampung, Puan Syifa sempat menelefon memberitahu kepulangan mereka kepada abangnya dan juga isteri kepada abang iparnya yang pertama. Sekejap-kejap Saihah mencelah bila ibunya membuat panggilan dengan mak longnya itu.

“Ibu cerita apa dengan mak long?” Tanya Saihah apabila ibunya sudah menamatkan panggilan.

“Mak long nak kita bermalam di rumah dia malam ni. Banyak kerja nak di buat sebelum majlis esok. Kita tolong apa yang patut. Lagipun, esok majlis perkahwinan kakak sepupu kamu.” Beritahu Puan Syifa.

“Kita semua?” Encik Haidi yang sedang memandu itu mencelah perbualan isteri dan anaknya. Dia teringat akan rumah mereka di sana. Kalau mereka semua bermalam di rumah abangnya, siapa pula yang nak bersihkan rumah mereka tu?

“Kalau boleh kita semua. Tapi, tak apalah. Biar Ifa dengan Saihah saja yang bermalam dekat sana nanti. Abang dengan budak-budak tu nanti tolonglah kemaskan rumah sementara kami tak ada, ya.” Ujar Puan Syifa sambil tersengih. Encik Haidi membalas dengan senyuman.

“Pak Am pula apa katanya?” Tanya Saihah bila teringat yang ibunya ada menelefon pak ciknya, abang kepada ibunya itu.

“Oh, ya. Ibu hampir lupa. Pak Am kamu buat kenduri kecil malam ni. Sampai nanti, dia suruh kita ke sana. Makan dekat sana nanti.”

Encik Haidi terfikirkan sesuatu. Dia mengerling isterinya. “Tapi…”

“Begini abang.” Puan Syifa laju memotong kata suaminya.

“Kita singgah dulu dekat rumah abang Ifa. Lepas makan nanti baru pergi rumah Dijah. Lepas tu, abang dengan dua budak tu baliklah rumah. Kemaskan rumah, okey?” Terangguk-angguk Saihah mendengar cadangan ibunya itu. 

“Okeylah kalau macam tu.” Balas Encik Haidi.


PERJALANAN mereka yang memakan masa selama 5 jam itu akhirnya membawa mereka ke tempat destinasi dalam keadaan yang selamat. Selesai beramah mesra di rumah Pak Am, Encik Haidi dan yang lain bergerak pula ke rumah abang sulungnya.

Dari jauh kelihatan beberapa pondok kanopi sudah siap dipasang di bahagian luar rumah. Beberapa orang lelaki dan perempuan sedang sibuk mengangkat meja dan kerusi. Ada yang sedang menghias meja sebaik sahaja meja itu diletakkan di tempat yang betul. Sepasang mata Saihah tertancap pada bahagian yang tertutup dengan beberapa kain rentang. Entah, apa agaknya yang ada di dalam tersebut?

Encik Haidi mematikan enjin kereta. Puan Syifa dan Saihah terlebih dulu keluar daripada perut kereta. Kemudian diikuti oleh Hazri dan juga Saleh. Encik Haidi orang terakhir yang keluar daripada perut kereta itu. Puan Syifa membawa Saihah masuk ikut bahagian dapur manakala suaminya membawa dua anak teruna mereka ke bahagian depan.

“Assalamualaikum, Dijah.” Sapaan Puan Syifa mengejutkan iparnya dan juga orang di sekeliling mereka. Semua mata memandang ke arah yang sama dengan senyuman yang lebar. Rata-rata mereka semua yang ada di sana itu mengenali Puan Syifa.

“Waalaikumussalam, Syifa.” Bukan main girang lagi bila ipar bertemu dengan ipar. Laju sahaja Puan Dijah memeluk iparnya.

“Takkan mak long nak peluk ibu saja. Saihah pun nak peluk mak long juga.” Terselit rasa cemburunya bila melihat mak longnya memeluk ibunya.

“Ish, kamu ni. Kacau saja mak long nak lepaskan rindu dekat ibu kamu ni.” Puan Dijah meleraikan pelukan mereka berdua. Saihah tersengih.

“Semuanya sibuk dengan tugas masing-masing.” Matanya memerhatikan orang-orang sekeliling yang sibuk memotong sayur-sayuran dan juga daging.

“Hmm… Saihah nak tolong apa ni mak long?” Tanya Saihah. Dia sudah bersedia hendak membantu di dapur itu. Lengan bajunya disingsingkan sehingga ke paras siku.

“Nanti saja Saihah tolong mak long. Lagipun, Saihah dengan ibu Saihah ni kan baru saja sampai. Rehat-rehatlah dulu. Biarkan saja mereka yang buat kerja.” Kata Puan Dijah kemudian membawa ipar dan anak saudaranya duduk di atas tikar bersama-sama dengan yang lain. Ruang bahagian dapur Puan Dijah itu sangat luas dan memudahkan orang lain membuat tugas mereka masing-masing. Ada juga yang menggunakan bahagian luar dapur untuk kerja memasak.

Puan Dijah membawa minuman panas berserta biskut kering untuk ipar dan juga anak saudaranya. Sebelumnya, Puan Dijah mengajak Puan Syifa makan terlebih dahulu tetapi iparnya menolak kerana dia dan anak perempuannya sudah pun makan di rumah abangnya tadi.

“Mak long, kak Tiya mana?” Soal Saihah sambil mengunyah biskut kering.

“Ada dekat dalam bilik. Tengah berinai.”

“Kak Haya?” 

“Dekat depan.”

“Yang lain?” Tanya Saihah lagi. Anak matanya meliau mencari kelibat sepupunya yang lain.

“Ish, kamu ni. Pergi cari sendiri.” Geram Puan Dijah bila anak saudaranya ini banyak bertanya. Bukan dia tidak tahu perangai anak saudaranya yang satu ini. Suka menyakatnya. Lepas tu, banyak tanya pula. Puan Dijah geleng kepala.

“Sepupu-sepupu kamu ada yang di dalam bilik, ada yang dekat depan. Dia orang tengah siapkan perhiasan perkahwinan kakak sepupu kamu.” Walaupun geram dia tetap membalas juga. Bertambah sengihan si anak dara itu. Puan Dijah beralih pandang ke arah ibu Saihah pula.

“Mana anak-anak kamu yang lain, Ifa? Tak ikut kamu ke?” Tanya Puan Dijah. Minuman kopi yang masih panas itu dihirup perlahan-lahan.

“Hazri dengan Saleh ada dengan ayah dia orang dekat depan tu. Tiga orang lagi tak balik. Kata mereka tak ada cuti. Yang satu sibuk dengan assignments yang melambak dekat sana. Yang dua orang lagi sibuk dengan exam semester.” Beritahu Puan Syifa.

“Jarang tiga orang tu balik. Anak sulung kamu ni saja yang selalu ikut kamu.” Saihah yang mendengarnya hanya tersenyum.

“Hah, Saihah kamu dah ada kerja sekarang? Dah habis belajar, kan?” Soalan diajukan kepada anak saudaranya itu pula. Saihah angguk kepala.

“Tapi, Saihah tak dapat kerja lagi. Rezeki tak sampai lagi.” Saihah senyum tawar.

“Tapi, Saihah ada buat business kecil dekat rumah. Sambil-sambil tu Saihah tolong ibu juga, jaga kedai yang tak seberapa nak runcit tu.” Wajahnya kembali ceria.

“Baguslah kalau macam tu. Ada juga duit poket masuk, kan.” Mereka sama-sama gelak.

“Tadi, saya dengar akak cakap sesuatu. Pasal business? Business apa?” Tegur satu suara milik seorang perempuan. Mereka bertiga serentak menoleh ke arah suara tersebut. Tersenyum lebar Saihah dan juga ibunya melihat gadis molek yang bertudung muslimah.

“Hani! Hani dari mana?” Gembira sungguh Saihah melihat adik sepupunya itu.

“Hani dari bilik kak Tiya. Kenapa kak Saihah tak terus pergi bilik?” Hani duduk di sebelah kakak sepupunya.

“Kejap lagilah. Akak nak duduk berbual dekat sini dulu.”

“Kak, tadi akak cakap akak buat business kecil. Business apa tu?”

“Business makanan. Tapi, akak jual dekat kawasan perumahan akak saja.” Beritahu Saihah. Kemudian cerita mereka mulalah berjelar-jelar sehinggakan orang di sekeliling mereka tidak di ambil peduli sudah.

“Saihah, tolong ibu ambilkan air kosong.” Puan Syifa mencelah ketika dua anak dara itu sedang sibuk bercerita. Saihah memandang ibunya dan kemudian mencari jag atau bekas air lain yang berisi air kosong. Dia garu kepala yang berlapik.

“Saihah tak nampak air kosonglah...”

“Pergi ambil dekat luar tu. Semua minuman ada dekat sana.” Beritahu Puan Dijah. Saihah terpaksa membantutkan ceritanya dulu. Dia mengambil gelas ibunya yang sudah kosong itu lalu menuju ke luar.

Di luar dapur, Saihah melihat beberapa orang sedang sibuk menggoreng ayam di atas kuali yang bersaiz besar. Ada juga yang sedang masak makanan lain. Sebaik sahaja Saihah nampak apa yang di cari, dia terus ke sana. Dia menuang air ke dalam gelas ibunya dan kemudian masuk semula ke dalam dapur.

Baru sahaja tadi ibunya duduk berbual dengan mak long dan kawan-kawannya yang lain. Sekarang, ibunya memegang pisau sambil mengupas bawang. Saihah geleng kepala. Nampak orang lain sibuk, ibunya juga turut sama mahu menyibukkan diri. Padahal, penatnya tak hilang lagi.

“Ibu, nah air.” Saihah memberikan gelas tersebut kepada ibunya. Puan Syifa meletakkan pisaunya lalu mengambil gelas tersebut dan meneguk perlahan minuman itu.

“Ibu kamu ni Saihah nak juga tolong mak long buat kerja ni. Mak long suruh rehat dia tak nak.” Adu Puan Dijah kepada anak saudaranya itu.

“Takkan mak long tak kenal ibu lagi. Dia kan memang macam ni. Tak senang duduk kalau orang lain buat kerja. Ibu pun nak join sekali.” Saihah ketawa kecil. Entah ke mana pula adik sepupunya itu telah pergi.

Puan Dijah, ibunya dan teman-teman mereka saling bertukar cerita. Sesekali Saihah mencelah perbualan mereka. Dia belum terasa hendak keluar lagi dari dapur itu. Tiba-tiba dia terfikirkan sesuatu.

“Mak long,” panggil Saihah.

“Hmm...” Puan Dijah kembali fokus dengan kerja mengupas bawangnya. Begitu juga dengan Puan Syifa.

“Mak long tahu tak? Tempoh hari, Saihah kena ganggu.” Beritahu Saihah.

“Ganggu? Kamu kena ganggu apa?” Berkerut dahi Puan Dijah.

“Budak ni kena ganggu tiga hari lepas. Tiba-tiba saja dia nangis tengah-tengah malam. Terkejut Ifa dengan Abang Haidi.” Kata Puan Syifa.

“Masa tu, Saihah terdengar suara perempuan.” Syifa menyambung semula ceritanya.

“Saihah dengar dekat mana?” Puan Dijah berminat ingin tahu pula.

“Suara tu dekat dengan Saihah. Lepas tu, badan Saihah tiba-tiba panas. Angin kipas yang begitu kuat pun Saihah tak rasa. Hati Saihah ni pula laju berdebar-debar. Bila Saihah pasang ayat Yaseen, Saihah lagi kepanasan. Lepas tu, ada suara perempuan menangis. Suara tu betul-betul dekat dengan Saihah. Meremang terus bulu roma ni. Kali pertama Saihah rasa macam tu, mak long.” Panjang lebar Saihah menceritakan pengalamannya itu.

Puan Dijah memandang iparnya. “Betul ke Ifa?”

“Ya, Jah. Tangan dia sejuk. Pucat betul dia masa tu.” Kata Puan Syifa.

“Tu lah. Lain kali, sebelum tidur baca doa dulu. Baca selawat. Berzikir. Supaya tak kena ganggu dengan benda-benda macam tu.” Puan Dijah geleng kepala. Wajah risau kembali dengan riak biasa. Saihah tersengih-sengih.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh