Bab 4

SEMUA panik melihat Saihah yang tiba-tiba sahaja menangis tanpa sebab. Puan Syifa dan Puan Syafirah membawa Saihah duduk di sofa. Tudung Saihah dibuka dan diletakkan di tepi sofa. Saat itu juga yang lain muncul di ruang tamu itu. Semua berubah riak.

“Kenapa Saihah menangis ni?” Soal Encik Haidi. Dia mendekati anak perempuannya yang duduk di sofa. Encik Daus pula duduk di bawah dekat dengan anak saudaranya itu.

“Saihah, bagi tahu kami. Kenapa Saihah nangis tiba-tiba ni?” Riak risau terpancar di wajah tua Encik Haidi bila anak perempuannya tidak memberi apa-apa respons kepada mereka.

Saihah cuba untuk menghentikan tangisannya namun, air matanya tetap jatuh mengalir membasahi wajah. “Sai... Saihah tak tahu. Saihah tak tahu kenapa Saihah nangis.” Beritahunya dengan suara yang teresak-esak. Encik Haidi menyentuh tangan Saihah. Terlalu sejuk.

“Jantung Saihah ni berdegup laju. Saihah rasa takut. Saihah tak tahu kenapa Saihah takut.” Tangisannya semakin menjadi-jadi.

“Saihah ada rasa pening-pening ke?” Soal Encik Daus tiba-tiba. Renungannya tajam melihat anak saudaranya itu.

“Saihah tak rasa pening. Cuma....” Dia tidak dapat meneruskan katanya kerana tangisan lebih menguasai dirinya sekarang.

“Saihah sabar. Ingat Allah. Cuba berzikir.” Tenang si ayah memujuk anak sulungnya itu. Puan Syifa tidak tenang melihat keadaan anak perempuannya.

“Sebelum ni, Saihah dah pernah kena macam ni.” Puan Syifa membuka cerita. Terkejut Puan Syafirah dan juga suaminya.

“Bila?” Tanya Puan Syafirah. Dia seperti merisaukan sesuatu.

“Sebelum balik sini. Rasanya tiga hari sebelum ke sini.” Beritahu Puan Syifa. Selepas itu Saihah mencelah. Dia menceritakan apa yang berlaku pada dirinya tempoh hari. Dia tidak pasti jika kejadian tempoh hari ada kena mengena dengan apa yang terjadi pada dirinya sekarang.

Puan Syafirah memandang suaminya. Meremang dirasakan bila mendengar cerita anak saudara mereka itu. Sudahlah cahaya ruang tamu itu samar-samar. Lampu hanya dipasang di bahagian ruang dapur sahaja.

“Abang Daus, abang cuba tolong Saihah ni.” Puan Syafirah memujuk suaminya. Dia tahu suaminya tahu tentang hal-hal sebegini. Lagi pula suaminya itu ustaz.

“Sekejap. Saya minta diri dulu.” Setelah berfikir panjang Encik Daus terus menghilangkan diri. Puan Syafirah dan yang lain cuba untuk menenangkan Saihah.


ENCIK DAUS kembali ke ruang tamu dengan segelas air kosong. Dia membawa Encik Haidi jauh sedikit dari Saihah. Sepertinya ada sesuatu yang mereka berdua tengah bicarakan.

Dalam keadaan menangis, Saihah memerhatikan ayah dan pak ciknya. Pak ciknya memberikan gelas yang berisi air kosong itu kepada ayahnya. Pandangannya beralih pada dua adiknya dan juga adik-adik sepupunya yang berdiri tidak jauh darinya. Adam yang kelihatan sangat takut itu bersembunyi di belakang tubuh abangnya. Selesai sahaja perbualan mereka, ayahnya mendekatinya semula.

“Nah, Saihah minum air ni dulu.” Tenang Encik Haidi memberikan gelas berisi air kosong itu kepadanya. Saihah diam. Dia tidak mengambilnya. Sebaliknya merenung dalam gelas yang ada di tangan ayahnya itu.

“Saihah, minum air tu.” Giliran Encik Daus pula menyuruhnya minum. Namun, reaksi yang diberikan oleh Saihah sama sahaja. Perasaan dua wanita itu tidak sedap hati sejak dari tadi.

“Saihah, pegang gelas tu. Minum air tu.” Arah Puan Syafirah. Tetapi reaksi Saihah tetap sama. Dia merenung gelas itu sambil menangis.

“Lawan perasaan tu Saihah.” Pujuk ibunya. Namun pujukannya gagal. Saihah diam dan menangis. Encik Haidi memandang iparnya.

“Cuba lagi.” Kata Encik Daus. Masing-masing cuba memujuk anak dara itu. Namun semuanya gagal.

“Ayah...” Saihah bersuara.

“Ya, Saihah.” Encik Haidi dan yang lain memandangnya.

“Saihah rasa nak ketawa.” 

Terkejut semua orang yang ada di situ. Puan Syifa dan Puan Syafirah yang memang tidak sedap hati dari tadi laju mendekati anak-anak mereka yang berdiri tidak jauh dari mereka. Masing-masing memeluk ibu mereka. Hanya Encik Haidi dan Encik Daus sahaja yang ada bersama dengan Saihah sekarang.

“Saihah kawal perasaan tu. Jangan biarkan benda tu kawal tubuh kamu.” Beritahu Encik Daus. Encik Haidi yang duduk di sebelah anak perempuannya itu membaca selawat dan dia mahu anak perempuannya ikut berselawat dengannya.

“Sai... Saihah...” Perasaannya sudah tidak menentu. Perasaan ingin ketawa itu sudah mengawal emosinya sekarang. Encik Daus perasan yang anak saudaranya itu sedang menyimpul sagaris senyuman misteri di sebalik tangisannya. Encik Daus beristighfar.

“Saihah lawan. Jangan ikut emosi tu.” Tajam pandangan Encik Daus pada anak saudaranya.

“Berzikir dalam hati. Lawan benda tu. Jangan biarkan benda itu kuasai kamu.” Sekali lagi Encik Daus menasihatinya. Saihah cuba mengikut apa yang di suruh.

Ya, Allah. Bantulah hambamu ini. Aku tidak mahu benda itu mengawal aku. Saihah, kuatkan semangat! Lawan perasaan tu! Dia memberi semangat kepada dirinya. Dia tidak mahu tunduk kepada perasaan tersebut. Zikir Lailahaillallah dibaca di dalam hati berkali-kali.

Encik Daus memberi isyarat kepada Encik Haidi. Encik Haidi kemudian mengambil semula gelas yang masih belum diminum airnya kepada Saihah. Dia menyuruh anak perempuannya itu minum. 

Laju Saihah berpaling. Dia tidak mahu minum minuman tersebut. Tangisan kecil kini semakin kuat bergema di ruang tamu itu. Semakin risau mereka dibuatnya.

“Saihah, minum air ni. Paksa diri kamu minum air ni.” Si ayah tidak berputus asa. Oleh kerana anak perempuannya tidak mahu, terpaksalah dia meminumkan air tersebut kepada anaknya. Berkali-kali juga Saihah menepis gelas di tangan ayahnya itu. Mulutnya juga dikunci ketat agar minuman itu tidak masuk ke dalam mulutnya.

Saihah! Minum! Dia memaksa dirinya untuk membuka mulut namun bagai ada sesuatu yang mengunci mulutnya ketat. Saihah berusaha lagi untuk buka mulutnya namun tetap gagal kerana dia merasakan sesuatu mengawalnya sekarang. Dia tidak pasti apa yang sedang mengawalnya sekarang dan yang pastinya apa yang dia lakukan sekarang bukan dirinya. Dia hanya sedar pada batinnya tapi bukan pada luarannya.

Encik Daus mula kelihatan risau melihat anak saudaranya yang sudah beberapa kali menolak dan menepis gelas berisi air itu. Dengan lafaz bismillah, Encik Daus membaca ayat-ayat al-quran tertentu dan tapak tangannya menyentuh kepala Saihah yang sudah tidak berpalik itu.

Saihah merasakan tubuhnya panas. Debarannya juga pantas. Air mata semakin laju mengalir. Dia tidak henti-henti mahu menangis. Saat Encik Daus membaca ayat-ayat al-quran, Encik Haidi pula berselawat di telinga kanan anak perempuannya. Yang lain hanya memerhati dari jauh.

Puan Syifa berdoa dalam hati agar tiada apa-apa yang berlaku pada anak perempuannya. Apa yang terjadi hari ini sama dengan apa yang terjadi pada anak perempuannya tempoh hari. Lagi menakutkannya apabila Saihah tiba-tiba mahu ketawa.

Hampir sejam lebih mereka berdua berusaha mengubati Saihah. Saihah juga turut sama melawan emosi yang sedang menganggunya. Tidak lama kemudian Saihah berhenti menangis. Dia memandang ayahnya.

“Ayah, Saihah haus sangat. Saihah nak air.” Pinta Saihah yang sudah kepenatan itu. Wajahnya pucat lesu. Encik Haidi dan yang lain mengucap syukur. Pantas Encik Haidi memberikan gelas yang berisi air tersebut. Air itu adalah air yang sudah dibacakan dengan ayat-ayat al-quran. Saihah meneguk rakus minuman tersebut.

Puan Syifa dan Puan Syafirah membawa Saihah ke bahagian dapur untuk membersihkan wajahnya yang sudah bengkak akibat menangis. Budak-budak itu pula laju berlari menuju ke arah ayah mereka. Encik Haidi dan Encik Daus berbual di ruang tamu itu tentang apa yang telah terjadi tadi.

Saihah duduk di bangku panjang yang tersedia di bahagian dapur itu. Walaupun tangisannya sudah berhenti namun tubuhnya masih menggigil. Puan Syafirah sayu melihat anak saudaranya. Apa yang terjadi pada Saihah pun mereka semua tidak tahu.

“Kak Ifa. Akak cubalah telefon abang Am. Mana tahu dia boleh bantu. Firah takut kalau Saihah tu tak baik lagi. Kalau nak harapkan abang Daus pun tak boleh. Firah takut kalau sesuatu buruk berlaku nanti.” Beritahu Puan Syafirah. 

Puan Syifa diam. Dia tahu antara abang-abangnya itu, abang Am ini yang kuat agamanya dan tahu bagaimana hendak mengubati orang. Tapi soal Saihah... Dia sendiri tidak pasti apa yang sedang berlaku pada anak perempuannya itu.

“Tak menyusahkan ke?” Berat hati pula Puan Syifa meminta pertolongan daripada abang mereka.

“Apa pula menyusahkan. Lagipun, abang Am tahu kalau hal-hal macam ni.” Ujar Puan Syafirah. Puan Syifa terdiam sekali lagi. Ada benda lain yang difikirkan olehnya.

“Akak fikir lebih baik bawa Saihah jumpa doktor. Mana tahu dia ada penyakit yang kita tak tahu yang menyebabkan dia jadi macam tu.”

Bulat mata Puan Syafirah mendengar kata-kata tersebut. Dia beristghfar panjang sebelum bersuara.

“Akak tahu tak apa yang akak cakap ni? Hati Firah ni tak kata macam tu pun. Firah tahu ada sesuatu yang tak kena dengan Saihah. Tapi yang pastinya bukan sebab penyakit. Macam mana akak boleh fikir benda lain sedangkan apa yang berlaku pada anak akak itu sudah terang-terang menunjukkan ada benda lain yang menganggunya. Cuma kita tak pasti lagi apa benda tersebut.” Marah Puan Syafirah.

“Akak minta maaf. Fikiran akak bercelaru sekarang ni. Lagipun, Selama 25 tahun ni, ini kali pertama Saihah jadi macam ni.” Puan Syifa menangis. Puan Syafirah menenangkan kakaknya.

“Dah. Dah. Firah faham akak. Awal pagi esok kita telefon abang Am. Kita minta tolong dengan dia.” Puan Syafirah memberi kata putus. Saihah yang duduk di bangku panjang itu diperhatikan.

“Ibu,” Saihah bersuara lemah.

“Ibu, Saihah nak tidur.” Beritahunya.

“Dah lewat malam ni. Eloklah kita pergi tidur dulu. Lagipun, esok kita dah nak balik ke tempat masing-masing, kan.” Kata Puan Syafirah. Puan Syifa mengangguk lalu membawa Saihah tidur bersamanya. Biarlah malam ini anak perempuannya tidur di bilik mereka. Budak-budak yang lain pula tidur di ruang tamu dengan Puan Syafirah dan juga suaminya. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh