Bab 5

BEBERAPA ekor anjing yang melolong dan menyalak di depan bilik tidur itu membangkitkan Saihah dari tidurnya. Dia mula tidak rasa selesa. Perasaan takut bertandang ke dalam hatinya. Debaran yang dirasakan sebelum ini kembali berdegup kencang.

Saihah bangun dari pembaringan dan memerhatikan ibunya yang tidur di sebelahnya dan ayahnya yang tidur berasingan dengan mereka berdua. Lolongan anjing yang tidak henti-henti itu membuatkan Saihah semakin takut. Dia cuba untuk membuang perasaan itu dengan tidur semula namun gagal.

“Ibu...” Saihah mengejutkan ibunya dari tidur dengan suara perlahan.

“Ibu bangunlah...” Sekali lagi Saihah mengejutkan ibunya. Perlahan-lahan Puan Syifa membuka matanya.

“Ah, kenapa ni Saihah?” Tanya Puan Syifa sambil memisat-misat matanya.

“Ibu, Saihah takut...” Beritahunya. Dia juga beritahu yang bunyi lolongan dan nyalakkan anjing-anjing itu membuatkan dia kecut perut. Puan Syifa bangun dari pembaringan dan merapati suaminya yang tidur tidak jauh dari mereka berdua.

“Abang bangun.” Puan Syifa mengejutkan suaminya. Dengan sekali gerakan tangan Puan Syifa membuatkan suaminya terjaga dari tidur.

“Kenapa ni?” Soal Encik Haidi pada isterinya.

“Saihah kata dia takut. Dia takut dengan bunyi anjing-anjing tu.” Ujar Puan Syifa.

“Bunyi anjing-anjing tu bukan dekat sini pun. Saihah tak payah takut, ya.” Kata Encik Haidi. Dia cuba menyedapkan hati anak perempuannya itu.

“Dah. Tidur. Baca doa sebelum tidur.” Pesan Encik Haidi sambil melihat jam di telefon pintarnya. Hanya beberapa minit lagi sebelum jam 4.00 pagi. Encik Haidi dan Puan Syifa tidur semula.

Saihah turut sama membaringkan tubuhnya di atas tilam itu. Dia cuba kawal perasaan negatifnya. Bunyi lolongan dan nyalakkan anjing-anjing itu semakin senyap. Namun, perasaan takut Saihah masih lagi terasa dan akhirnya dia hanya tidur-tidur ayam sahaja sehingga bunyi azan subuh berkumandang di masjid.

Saihah kembali segar dengan bunyi lolongan anjing akibat mendengar laungan azan subuh. Saihah bertambah takut. Saat itu, kelibat ayahnya tiada. Ibunya pula masih tidur.

“Saihah tak payah takut. Yang Saihah perlu takuti adalah Allah. Allah lebih berkuasa daripada benda itu. Ingat Allah, Saihah.” Encik Haidi yang muncul dengan pakaian melayu sempat menegur anak perempuannya sebelum ke masjid. Encik Daus yang berada di ruang tamu itu sudah bersedia untuk ke masjid bersama-sama dengan iparnya. Hazri, Idlan dan Saleh pula terlebih dahulu ke masjid.

“Dah, pergi ambil wuduk. Lepas tu solat.” Kata Encik Haidi sebelum meninggalkan Saihah dengan yang lain. Saihah mengangguk faham.


MATAHARI sudah menampakkan bayangnya dan itu menunjukkan hari sudah pun pagi. Mereka semua berkerjasama untuk membersihkan rumah sebelum pulang ke tempat masing-masing kecuali Saihah. Saihah senyap dan langsung tidak mahu mengeluarkan suara sejak dia selesai mengerjakan solat subuh tadi.

Sedang Puan Syifa dan Puan Syafirah mengemas bahagian dapur, tiba-tiba Saihah yang duduk di bangku panjang itu menangis. Terkejut mereka berdua bila mendengar tangisan Saihah itu. Puan Syifa teringat akan kata-kata adiknya semalam. Dia sudah lupa tentang hal itu.

“Firah, akak nak telefon abang Am. Kamu tolong tengok-tengokkan Saihah, ya.” 

Puan Syafirah mengangguk lalu menuju ke arah Saihah. Dia mengusap kepala Saihah. 

Beberapa kali Puan Syifa cuba menelefon abangnya namun gagal. Di cuba lagi untuk sekian kalinya dan tetap gagal. Puan Syifa mula risau.

“Kenapa kak? Abang Am tak jawab panggilan ke?” Tanya Puan Syafirah bila melihat wajah kakaknya yang runsing itu.

“Tak.”

“Tak apa. Biar Firah cuba telefon dia.” Puan Syafirah mengambil telefonnya lalu mendail nombor abang mereka. Hampa. Panggilannya juga tidak berjawab. Mereka berdua tidak berputus asa selagi abang mereka itu tidak menjawab panggilan salah satu daripada mereka. Entah kemana pula suami mereka berdua itu telah pergi. Suami mereka tidak ada pula di tingkat atas mahupun di ruang tamu.

Kring!! Kring!!

Bunyi deringan daripada telefon Puan Syifa itu membuatkannya segera menjawab panggilan tersebut. Panggilan itu daripada abang mereka. Puan Syafirah hanya menjadi pemerhati. Sekejap-kejap dia mengerling ke arah Saihah yang masih menangis.

“Assalamualaikum, abang Am. Abang dekat mana ni?” Puan Syifa terus bertanyakan soalan kepada abangnya.

“Abang dekat pekan. Kenapa? Suara Ifa ni lain macam saja abang dengar.” Ujar Pak Am di hujung talian.

“Err... Ifa tak tahu nak cerita macam mana. Hmm...”

“Sini. Biar Firah saja cakap dengan abang Am.” Laju Puan Syifa memberikan telefonnya kepada adiknya. Biar adiknya sahaja yang berbicara dengan abang mereka itu.

Hampir 15 minit mereka berdua berbicara dan akhirnya Puan Syafirah menamatkan panggilan. Dia memulangkan semula telefon milik kakaknya itu.

“Abang Am kata apa?” Tanya Puan Syifa ingin tahu.

“Jangan risau. Sekejap lagi dia datang. Dia pergi pekan dengan kawan dia, abang Hashim.” Beritahu Puan Syafirah. Mereka berdua kembali fokus dengan anak dara itu. Puan Syafirah berlalu sebentar ke bilik air.

“Saihah jangan nangis lagi. Pergi mandi. Lepas bersihkan diri tu mandi pula dengan air yang sudah dicampurkan dengan air bacaan doa, ya.” Saihah tidak menjawab dan tidak juga menganggukkan kepala dengan arahan mak ciknya. Dia berdiri dan terus masuk ke dalam bilik air. Sempat juga Puan Syifa memberikan anak perempuannya tuala dan juga kain sarung. Air mandian yang telah dicampur dengan air bacaan doa yang dibaca oleh suami Puan Syafirah juga telah diasingkan sebentar tadi.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh