Bab 7

WAKTU asar telah masuk. Encik Haidi memakirkan keretanya di luar masjid. Dia perlu solat dulu sebelum meneruskan kembali perjalanan mereka.

“Saihah, mari pergi solat.” Ajak Puan Syifa yang masih berada di dalam kereta. Dua anak terunanya itu sudah pun bergerak mengikuti ayah mereka. Saihah yang masih lemah hanya menganggukkan kepala.

Kakinya terhenti saat dia melihat sekumpulan manusia sedang berkumpul di depan pintu bilik jenazah. Hatinya mula gelisah. Dia takut melihat situasi tersebut. Dia kembali masuk ke dalam perut kereta.

“Kenapa ni Saihah?” Tanya Puan Syifa.

“Ibu, nanti Saihah ganti solat sajalah.” Kata Saihah perlahan. Perasaannya mula kacau. Tidak sedap hati melihat jenazah yang tidak jauh dari tempat ayahnya memakirkan kereta.

 

HAMPIR maghrib barulah mereka sampai ke tempat destinasi. Kereta yang dipandu oleh Encik Haidi memasuki kawasan perumahan dan saat itu tangisan Saihah kembali kedengaran.

“Ayah, Saihah tak nak naik atas. Saihah tak nak masuk rumah tu.” Ujar Saihah ketakutan. Encik Haidi dan Puan Syifa saling berpandangan. Dua orang adiknya yang duduk di sebelahnya mula kelihatan takut.

Kereta Encik Haidi selamat berpakir di hadapan rumah flat 4 tingkat itu. Enjin kereta dimatikan. Dia berpaling ke belakang. Saihah masih dalam keadaan menangis.

“Ayah, Saihah tak nak naik atas.” Pinta anak perempuannya sekali lagi. Encik Haidi mengeluh.

“Ya.Ya. Ayah biarkan Saihah dekat dalam kereta ni dulu. Biar ayah dengan yang lain angkat barang-barang di belakang tu.” Kata Encik Haidi. Puan Syifa dan dua orang adiknya itu sudah pun keluar daripada kereta.

“Dah, jangan nangis. Mata tu dah bengkak. Saihah tak nak kan kalau orang lain nampak Saihah nangis macam ni.” Pujuk si ayah.

“Saihah tak boleh nak berhenti nangis. Air mata ni asyik keluar sendiri.” Kata Saihah.

“Tarik nafas. Zikir banyak-banyak. Kuatkan semangat.”

Pantas Saihah membuat apa yang disuruh oleh ayahnya itu. Sementara anak perempuannya membuat apa yang disuruh, Encik Haidi keluar membantu isteri dan anak-anaknya mengangkat barang-barang di bonet kereta.

Beberapa minit berlalu. Malam pun menjelma dan suasana di dalam kereta semakin sunyi. Saihah mula ketakutan. Tangisannya sudah berhenti dan dia melajukan langkah keluar daripada perut kereta itu lalu naik ke tingkat atas.

Jantungnya berdegup kencang. Encik Haidi turun ke bawah semula untuk mengunci pintu kereta. Puan Syifa di atas membuka kunci pintu rumah. Barang-barang mereka berselerak di luar rumah itu.

Saihah duduk di tepi dinding berdepan dengan pintu rumahnya. Perasaannya kacau. Dia terasa ingin menangis lagi. Sedang dia dengan yang lain menunggu kunci pintu rumah dibuka, anak jiran sebelah mereka muncul dengan sengihan. Saihah cepat-cepat menundukkan wajahnya. Tidak mahu wajahnya dilihat oleh anak jiran mereka. Tidak lama kemudian, bapa kepada anak-anak jiran itu keluar. Dia memandang Saihah dengan satu senyuman.

“Baru balik ke?” Sapa pak cik itu kepada Saihah. Saihah hanya membalas dengan senyuman. Dia cuba memaniskan wajahnya semanis yang mungkin. Tidak mahu jirannya mengetahui keadaannya yang sebenar.

Pak cik itu masuk semula ke dalam rumah dengan anak-anaknya. Saihah melepaskan kelegaan. Dia memandang semula ibunya.

“Ibu, kenapa tak buka lagi kunci tu?” Tanya Saihah.

“Ibu tak tahu. Rasanya ini bukan kunci rumah ni.” Puan Syifa mula risau. Terlalu banyak kunci yang dibawa olehnya sehinggakan dia lupa kunci yang mana satu untuk rumahnya ini.

“Tak buka lagi?” Tanya Encik Haidi yang baru muncul.

“Tak. Entah apa masalahnya dengan kunci ni.”

“Tak apa. Kita guna kad saja untuk buka pintu ni.” Encik Haidi mengeluarkan salah satu kad ahli pasaraya dan kemudian menyuruh anaknya Hazri membuka pintu tersebut. Dalam hal ini, Hazri memang pakar dalam membuka kunci pintu rumah.

Setelah berjaya membuka pintu rumah tersebut, mereka pun mengangkat barang-barang mereka masuk ke dalam rumah. Saihah mula rasa lain. Ayahnya memesan agar dia membaca surah 3 Qul terlebih dahulu sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Dengan rasa berat hatinya, Saihah ikutkan juga kata ayahnya itu.

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk, suasana aneh dirasakan olehnya. Rumah itu dirasakan padat dan berat. Seolah-olah ruang rumah itu dipenuhi oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi boleh dirasakan kehadirannya. Bukan Saihah sahaja yang merasakan perasaan sebegitu tetapi ibunya turut sama merasakan benda tersebut.

Saihah jadi tidak keruan. Perasaan menangis menganggu emosinya kembali. Dia menahan tangisan itu namun gagal. Saihah laju menghenyakkan punggung di kerusi panjang lalu menarik nafas sambil berzikir. Hatinya tidak senang. Encik Haidi yang perasan akan kelakuan Saihah itu terus menenangkan anak perempuannya.

“Lawan perasaan tu Saihah. Jangan tunduk pada benda tu. Ingat Allah. Allah lebih berkuasa daripada segalanya.” Kata Encik Haidi. Saihah mengangguk faham. Dia menarik nafas sedalam yang mungkin dan berzikir. Dia harus melawan benda itu jika dia ingin sembuh.

 

PERASAANNYA tenang sedikit. Saihah tidak terus ke bilik mandi. Dia ke dapur membantu ibunya memasak walaupun ibunya menegahnya. Kerja memasak sudah selasai dan ibunya keluar daripada dapur tersebut. Tinggal Saihah seorang di situ mencuci kuali yang telah digunakan sebentar tadi.

Tidak semena-mena bulu suak di tengkuknya naik meremang. Dia merasakan ada sesuatu didalam dapur itu sedang merenung dia. Saihah cepat-cepat beristighfar. Dia meneruskan lagi cuciannya pada kuali itu.

Saihah...

Laju Saihah memusingkan kepalanya ke kiri dan kanan. Dia perasan kuali yang bergantung di dinding belakangnya itu berayun dengan sendirinya. Dia mula rasa takut.

Saihah...

Sekali lagi namanya dipanggil. Kali ini dengan nada yang kuat. Suara halus itu milik seorang perempuan. Saihah laju berlari keluar daripada dapur tersebut. Tangisannya pecah lagi. Encik Haidi dan yang lain panik melihat keadaan Saihah. Dia laju menenangkan diri anak perempuannya itu.

Puan Syifa berlalu ke bahagian dapur. Dari luar dapur, mereka dapat dengar suara Puan Syifa sedang berbicara sendirian. Kata-kata Puan Syifa lebih kepada menghalau benda itu dan dia tidak mahu benda itu menganggu anak perempuannya.

Malam itu tidak seperti malam-malam sebelum ini. Saihah tidak mahu tidur di biliknya. Dia mahu tidur dengan adik-adiknya di ruang tamu.  Puan Syifa yang amat risau dengan keadaan Saihah itu turut sama tidur di ruang tamu tersebut. Encik Haidi pula tidur di bilik.

Puan Syifa memasang ayat-ayat al-quran sebelum mereka semua tidur. Dia mahu anak perempuannya tenang semasa tidurnya. Tapi, cara itu tidak berkesan dengan Saihah apabila dia mendengar suara halus itu kembali menyapa telinganya. Benda itu sedang menangis dan merintih saat ayat-ayat suci al-quran bergema di ruang tersebut. Suara itu begitu dekat dengannya. Saihah menguatkan diri untuk melawan benda itu. Dia menutup telinga dan berzikir sambil membaca beberapa surah pendek al-quran.

Dia tidak peduli dengan suara itu. Matanya semakin berat. Zikirnya terhenti. Saat dia melelapkan mata dia merasakan sesuatu bergerak di belakang tubuhnya. Dia terasa sesuatu bergerak-gerak di dalam kulit belakang tulang belikatnya. Saihah panik. Dia segera menyedarkan ibunya yang sudah lena itu. Saihah tidak tahan dengan benda yang bergerak-gerak belakang tubuhnya.

Saihah memberitahu Puan Syifa tentang apa yang dirasakan olehnya sekarang. Lantas, Puan Syifa memanggil suaminya di bilik. Mereka berdua muncul semula di ruang tamu. Saihah memberitahu ayahnya. Encik Haidi membaca ayat-ayat penawar lalu meniup di telapak tangannya dan memukul di belakang tubuh anak perempuannya. Saihah tidak menahan dengan benda tersebut. Dia merasakan benda itu sedang menggali-gali isi di bahagian tulang belikatnya. Malam itu sekali lagi menjadi malam ngerinya.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh