Home Novel Seram/Misteri Banglo Tasik Kundang
Banglo Tasik Kundang
Sang Jerry
10/11/2017 12:43:39
11,549
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 1

"Awak dah kemas semua barang yang nak dibawa tu?" tanya Daus kepada isterinya sekali lagi.

"Dah bang, saya dah siapkan awal pagi semalam. Cuma tinggal barang-barang kecil ni saja yang belum," balas May.

"Kalau macam tu, abang nak call lori sekejap lagi," ringkas sahaja jawapan balas Daus sambil mencari nombor telefon pemandu lori tersebut di dalam telefon bimbitnya.

"Bang... betul-betul ke ni kita nak pindah ke Tasik Kundang?" pertanyaan May yang penuh keraguan. Sebenarnya dia kurang bersetuju dengan keputusan suaminya itu untuk berpindah ke sana. Selain jauh dari pusat Bandaraya Kuala Lumpur, dia merasa sedikit aneh terhadap rumah banglo yang baru dibeli itu.

"Ya, abang dah bertekad. Kita akan bina semula kehidupan baru kita di sana tanpa gangguan mereka lagi. Dan abang nak kita sama-sama membesarkan anak-anak kita di sana," jelas Daus kepada May. Dia menghampiri May, dirangkul erat tubuh isterinya itu.

Air muka May ketika itu kelihatan sedikit gusar, kerana hatinya tidak menggambarkan kegembiraan yang bakal mereka jalani dikemudian hari. Tambahan lagi hanya tinggal dua bulan sahaja lagi dia bakal bergelar ibu. Tetapi kerana suami, dia terpaksa akur jua.

"May tak happy ke?" soal Daus ke telinganya dengan perlahan sekali.

"Err... abang pun tahukan apa yang May rasa? May dah pernah bagitahu abang dulu, yang May tak sedap hati. Bukan May tak seronok tapi entahlah bang... . May jadi takut sebenarnya." Balas May sambil menggenggam erat jari jemari suaminya itu. Sesekali dia tertunduk. Sesekali dia memandang raut wajah Daus. Seperti hatinya juga yang masih tidak keruan antara dua rasa yang berbeza.

"Ish awak ni, May... takder apalah yang nak dirisaukan, rumah banglo yang abang beli tu khas buat May tau... Banglo tepi Tasik Kundang, airnya hijau setenang dan sedamai cinta antara kita, semoga kita bahagia sebegini sehingga ke akhir nyawa," kata-kata Daus membuatkan May terkesima seketika.

"Betul abang cintakan May?" sengaja May menanyakan soalan sebegitu kepada Daus walaupun telah diketahui jawapannya. Dia memandang Daus lagi, matanya tidak berkelip menunggu jawapan balas suaminya itu.

"Dah semestinya... I Love You, Kamaylea!" balas Daus lalu mengucup dahi May berulang-ulang kali. Tangan May dilepaskan. Lantas diusap-usap ke perut May yang kini sedang sarat mengandung tujuh bulan. Anak pertama yang bakal lahir di tempat dan suasana baru nanti. Yang sudah tentunya menjadi penyeri dalam kehidupan mereka berdua nanti.

"Thanks sebab mencintai May, apa yang berlaku sebelum ni... May berharap kita sama-sama lupakan. Kita mulakan hidup kita yang baru ya bang... ." Lembut sekali susunan kata May. Dia tidak mahu suaminya tersinggung. Dia tidak mahu menganggu emosi suaminya ketika itu berubah hanya kerana sepotong kata yang kurang enak didengar.

"Dah la May, tak perlulah sebut-sebutkan lagi hal tu. Biarlah, abang dah malas nak ingat," balas Daus ringkas.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.