Home Novel Seram/Misteri Banglo Tasik Kundang
Banglo Tasik Kundang
Sang Jerry
10/11/2017 12:43:39
11,552
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 6

Jam tangan yang dipakai Daus menunjukkan tepat 8.30 pagi. Seperti dijanjikan sebelum ini, sebuah lori perkhidmatan pindah rumah pun tiba di perkarangan rumah. Hon dibunyikan.

Daus segera membuka daun pintu pagar. Lori 3 tan itu sudah cukup besar untuk membawa semua perkakas ke rumah barunya di Tasik Kundang, Rawang.

"Boss, barang-barang sudah packing ke?" tanya pemandu lori itu.

"Sudah-sudah. Tinggal nak angkat masuk atas lori je," balas Daus.

"Wah, kalau macam tu senanglah kerja kami,"

"Wife saya yang urus semuanya semalam, tak sabar nak masuk ke banglo katanya. Maklumlah, rumah sekarang teres sahaja."

Pemandu itu hanya tersenyum. Manakala beberapa kelindannya yang lain sudah mula mengangkat barang-barang masuk ke atas lori. Daus dan May hanya memerhatikan mereka bekerja.

Lewat tiga jam kemudian, barulah mereka berhenti berehat kepenatan setelah usai tugas masing-masing. Lori 3 tan itu muat-muat dengan perkakas dan perabot.

May menghidangkan teh ais sebagai penjamu tekak yang sedang kehausan. Manakala Daus pula meninjau di sekeliling rumah, memeriksa jika ada sebarang yang tertinggal. Tambahan pula jarak antara Cheras ke Rawang agak jauh, Daus malas berpatah balik sekiranya ada sesuatu yang terlupa dibawa bersama.

"Eh, ni bungkusan apa pula?" Daus membelek-belek sebungkus kotak kecil yang berbalut dengan kain merah. Dek kerana kesuntukan masa, Daus terus menyimpan bungkusan itu ke dalam poket seluarnya lalu beredar dari situ.

Enjin lori itu dihidupkan kembali. Tali pengikat diikat seketat-ketatnya oleh kelindan yang sedikit berumur itu.
Manakala rakannya pula sedang sibuk memasang kanvas berwarna kelabu. Pemandu lori yang sedikit gemuk, hanya memerhatikan sahaja sambil menghembus asap rokok yang dihisapnya dari tadi.

"Kalau semua dah siap, nanti follow kamilah ye," Daus bersuara.

Pemandu lori itu hanya mengangguk. Dicampaknya puntung rokok ke dalam longkang berhampiran lalu menuju ke lorinya. Manakala Daus dan May bersiap-siap untuk mengunci pintu pagar rumah yang bakal ditinggalkannya.

-----------

Hampir dua jam perjalanan, setelah menempuh kesesakan lalulintas Ibukota Kuala Lumpur, akhirnya mereka tiba juga di Tasik Kundang. Suasana tenang dan mendamaikan itu menarik hati May. Tersenyum puas jelas tergambar tatkala raut wajahnya mencerminkan perasaannya ketika itu.

Kereta yang dipandu Daus diparkir di pinggir jalan betul-betul di hadapan banglo itu. Tasik Kundang yang menghijau airnya mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang melewati kediaman mereka. Cantik sekali.

"Cantiknya sayang... ." Puji May.

"Ini semua untuk awak, May. Hadiah dari saya."

"Are you serious, sayang?"

"Eh... Ye la, sumpah!" Daus mengangkat tangan kanannya.

"Dan untuk baby ni juga, kan?"

"Haaa... lupa pula, yes for our baby too." Daus mengusap-usap perut May.

"Aduh, sakitnya! Tangan sayang panas!" jerit May yang ketika itu sedikit panik.

"Panas?"


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.