Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,773
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 19

Bab 19

SETIBANYA dia di Lorong Setia, Muthu sengaja memarkir keretanya jauh sedikit dari kedai. Dari dalam kereta, dia memerhati Kedai Beng yang sudah dibuka. Pekerja Beng yang seramai lima orang sedang sibuk menyusun kerusi. Dapat dilihat juga adik lelaki Beng mengarah itu ini. Apa yang tidak kelihatan ialah Beng yang berperut boroi itu.

Dia percaya Beng masih terlantar di ICU. Tetapi apa yang lebih penting, sekiranya kedai Beng sudah dibuka hari ini, kedainya ada persaingan semula. Dia rasa sedikit risau namun segera dipintas keyakinan yang menjalar apabila dia memegang bungkusan yang diberi tok sami tadi. Akhirnya dia bersiul riang seraya meninggalkan keretanya.

“Pooja,” panggilnya sebaik sahaja masuk ke dalam kedai. Kali ini dia tidak lagi dapat menyembunyikan perkara itu dari pengetahuan Pooja lantaran topeng yang dibawa balik itu bukannya kecil dan boleh disembunyikan.

Mendengarkan namanya dipanggil, Pooja segera menghampiri Muthu dengan wajah muram.

“Tadi aku pergi sembahyang kuil.”

Pooja terkebil-kebil.

“Ini ada barang tok sami suruh letak dalam kedai.” Muthu tunjukkan bungkusan yang dibawanya.

Pooja pandang sahaja.

Gelagat Pooja menimbulkan kehairanan di hati Muthu. “Ada apa-apa masalah ka?”

“Tadi semasa saya masuk kedai.. aiyoo… kedai ni banyak busuk. Saya sampai muntah dua kali,” cerita Pooja laju. Mukanya sudah pucat.

“Busuk?” Muthu tersentak ke belakang. Dia gosok batang hidung. Kemudian dia menggeleng laju. “Tak bau pun.”

“Sudah hilang. Tadi sembur minyak wangi satu kedai.”

“Tikus mati kut.” Perasaan terkejut Muthu mula hilang. Selepas beberapa kejadian yang mengejutkan sejak beberapa hari yang lalu, dia yakin Pooja mudah sangat terkejut. Padahal dia tidak bimbang apa-apa pun.

Air muka Pooja berubah. Ternyata dia tersinggung apabila Muthu tidak mempercayainya.

“Cari paku, aku nak pasang benda ni,” arah Muthu.

Melihatkan Muthu seperti tidak ambil berat kerisauan hatinya, Pooja akur. Dia melangkah ke stor dan mula menyelongkar. Tidak lama kemudian dia bawa tiga batang paku dan sebatang penukul. Diletakkan sahaja di atas kaunter.

“Balan macam mana?”

“Balan?”

“Tadi awak pergi tengok Balan, kan?”

Muthu tidak dapat mengelak lagi tetapi dia juga tidak mahu mengatakan hal yang sebenar kepada Pooja. Dia bimbang Pooja takut.

“Sudah bawa klinik. Dia demam sikit,” balasnya.

Jawapan Muthu membuat hati Pooja tenang. Tanpa sepatah kata, dia kembali ke ruang dapur untuk menyambung kerja.

Dari jauh Muthu tarik nafas lega. Dengan sepenuh keyakinan dia mula memasang topeng yang dibawa balik dari kuil tadi. Selepas ini semuanya akan bertambah baik, fikirnya.

*****

PUKUL 9.00 pagi, kedai mula didatangi pelanggan pertama. Agak lewat. Mungkin kerana kedai Beng hari itu dibuka maka pelanggan lebih ramai ke sana berbanding ke kedai Muthu. Satu perkembangan yang kurang sihat berbanding hari semalam. Tetapi Muthu tidak risau. Dia masih yakin topeng yang dipasang di hadapan kedai akan melindungi kedainya daripada sebarang masalah.

“Roti satu, teh kurang manis satu,” pinta pelanggan lelaki Cina yang hanya datang berseorangan.

Dia memakai kasut sukan dengan stokin putih lusuh. Seluar pula hanya seluar suka pendek hingga menampakkan pehanya yang putih melepak. Sambil duduk, dia membelek akhbar berbahasa Inggeris keluaran semalam yang ada di atas meja.

“Bos!” panggilnya kepada Muthu. “Surat khabar pagi ni tak ada ka?”

Muthu bergerak ke arah mejanya. Dia toleh sebentar ke arah hadapan kedai. Kemudian menjawab, “Belum sampai. Patut sudah sampai.”

Pelanggan tadi hanya menyambung bacaannya. Dia makin khusyuk.

Muthu baru hendak membuka mulut bertanya tetapi tidak jadi. Raju sudah memanggil dengan muka cemas. Spontan, hati Muthu juga jadi cemas.

“Apa?” Rasa marahnya terus tiba.

“Basi,” bisik Raju takut-takut.

Basi lagi? Nafas Muthu tertahan sejenak. Biar betul? Dia lantas mengambil doh roti canai yang masih lagi terasa sejuk. Dibawa ke hidung. Tengik dan masam! Ah! Sudah! Tidak usahkan Raju, dia sendiri diasak rasa cemas.

“Cuba check semua. Mungkin ada yang elok.” Dia tunduk mengambil besen besar yang mengandungi semua doh yang telah disiapkan Raju petang semalam.

Raju mengeluh. Setelah memeriksa apa yang ada, dia menggeleng.

Pada waktu itu, Muthu sendiri terasa sangat hampa. Sambil menenangkan perasaannya sendiri, dia menghampiri pelanggan tadi.

“Encik, kami tak dapat buat roti pagi ni. Roti ada masalah sikit.”

Pelanggan tadi menoleh sekejap ke arah kaunter roti, kemudian dia menutup surat khabar yang dibaca. Diletak di atas meja elok-elok.

“Nasi ada?” tanyanya kemudian.

“Tunggu sekejap, saya tengok dapur.” Muthu terus menuju ke dapur pula. Besar harapannya agar nasi putih dan beberapa lauk sudah siap dimasak.

“Nasi dah masak?”

Pooja yang sedang sibuk mengacau gulai di atas api tersentak. “Nasi? Dah masak,” katanya.

“Ada masalah ka?” Muthu rasa tidak sedap hati melihat air muka Pooja. Pooja seperti memendam perasaan.

Kali ini Pooja berhenti mengacau gulai.

“Tadi... kuah kari basi, sekarang gulai ni tak masin-masin,” katanya.

Selepas mendengar aduan Pooja, Muthu segera merapati periuk gulai lalu menceduknya sedikit dengan sudu kecil.

“Cit!!!” Dia terus meludah ke dalam sinki. Dia berkumur beberapa kali. “Aiyoo… mau bunuh orang ka?”

Muka Pooja berubah pucat apabila dibentak. Dia menggelabah.

“Masin sangat?”

Muthu angkat tangan. Kepalanya sudah pening. Apa yang dirasa hampir membuatnya termuntah. Masam, masin dan meloyakan. Dia sudah tidak tahan lagi.Hendak muntah!

Dicapainya sebiji pinggan kosong dan diisi dengan nasi. Masih terlalu awal untuk dia membentang daun pisang seperti selalunya. Nasi itu dibawa ke ruang hadapan dengan langkah yang laju. Sejujurnya dia sendiri bingung tetapi juga tidak mahu pelanggan tadi lari meninggalkan kedai. Dia perlu berfikir pantas. Pelanggan adalah duit.

Di dapur, Pooja tersandar di tepi dinding. Tidak faham apa yang tidak kena dengan dirinya sendiri. Dengan tiba-tiba sahaja lidahnya tidak dapat merasa apa-apa pagi itu.

“Mau lauk apa, bos?’ tanya Muthu seraya meletakkan nasi ke hadapan pelanggan tadi.

“Kari ikan ada?”

Muthu menggeleng. “Ayam goreng ada, sama sayur. Mau?”

Pelanggan tadi angguk sahaja. Sudah tidak ada pilihan.

Dengan itu, Muthu segera melangkah ke dapur untuk mengambil lauk namun belum sempat jauh, dia terdengar pelanggan tadi terjerit, disusuli bunyi kerusi tertolak ke belakang. Kemudian lelaki itu mengaduh di atas lantai. Terlentang.

“Aiyo... kenapa?” Muthu berlari untuk membantu. Raju juga menerpa.

Lelaki itu tergigil-gigil. Ditunjuknya ke arah meja di mana pinggan nasi masih terletak elok walaupun gelas yang berisi teh kurang manis tadi sudah terlingkup dan airnya telah membasahi lantai.

Melihatkan keadaan lelaki itu, Muthu menoleh ke arah meja. Spontan dia bergerak setapak ke belakang dan hampir jatuh apabila terlanggar Raju. Di atas meja, pinggan nasi yang berisi nasi putih tadi kini dipenuhi ulat berenga yang beribu-ribu jumlahnya. Menyeronot, menggeletik, melompat-lompat.

Muthu dan Raju sama-sama menutup mulut menahan rasa geli.

Belum sempat Muthu meminta maaf kepada pelanggan tadi, pelanggan tadi terus bingkas bangun meninggalkan kedai.

“Encik!” Muthu mengejar dan menahan lelaki itu. “Sorry, ha…aku pun…”

Lelaki itu tergamam dengan tindakan Muthu tetapi terus memintas dengan kasar. “Macam mana awak berniaga? Mau kasi orang mati ka?”

Muka Muthu sudah terasa kembang sekaki. Rasa malu bagaikan setinggi gunung.

“Tolong jangan kasi heboh ini cerita. Ada orang kacau kedai aku,” katanya tergesa-gesa namun sepenuh hati mengharapkan lelaki itu menerima alasannya.

Sayangnya, lelaki tadi hanya menggeleng dan menepis tangan Muthu. Kemudian berlalu dengan muka yang masih merah padam sampai ke cuping telinga.

Ketika itu Muthu hanya mampu memandang. Sekujur jiwanya lesu. Kemudian diserbu rasa marah yang menggila. Dia terus melangkah menuju ke kedainya semula. Dari luar sahaja, dia sudah menjerit kepada Raju.

“Tutup kedai!”

*****

SETENGAH jam kemudian, dia sudah tiba semula ke kuil. Kali ini dia hanya datang berseorangan. Sayangnya, tok sami yang dicari tidak kelihatan di situ. Dia terus mencari penjaga kuil yang selalu dilihatnya.

“Bila dia balik?”

Penjaga kuil itu hanya menggeleng.

“Aku tunggu,” katanya sambil merengus geram.

Dia sudah nekad, berapa lama pun dia akan tunggu tok sami itu datang ke situ semula. Dia akan tuntut penjelasan tentang gangguan di kedainya yang bukan bertambah baik tetapi bertambah teruk. Mujurlah beberapa minit kemudian tok sami itu tiba dari arah pagar hadapan. Muthu terus menerpa.

Air muka tok sami berubah pucat.

“Tok!” bentak Muthu.

Tok sami angkat tangan menahan.

“Kita cakap di dalam,” katanya.

Kali ini Muthu tidak jadi menyambung kata-katanya, sedikit sebanyak dia masih ada rasa hormat kepada orang tua berkepala botak itu. Dengan langkah lemah dia mengikut sahaja tok sami masuk ke ruang dalam sambil diperhati oleh penjaga kuil.

“Aku tahu,” kata tok sami dengan tenang.

“Kenapa boleh jadi macam ni, tok?”

“Mereka balas lagi kuat.”

Untuk sesaat, Muthu terdiam.

“Tok tak boleh lawan ke? Lawan lagi kuat. Kasi buang semua.”

Tok sami hanya diam termenung.

“Kalau boleh… sudah lama boleh. Tapi ini benda dia orang hantar banyak kuat. Itu orang mati punya tulang, dalam-dalam… kasi tanam.” Dahinya berkerut halus.

“Siapa yang hantar?” Muthu makin tidak puas hati.

Dia tidak peduli, tulang orang mati ke, tulang orang hidup ke yang penting kedainya selamat. Dan kalau dia tahu siapa yang buat, biar dia sahaja yang tanam orang itu dalam-dalam. Dia geram sungguh apabila memikirkan soal itu. Dia berniaga baik-baik pun, orang masih mahu ganggu. Ada orang tidak senang hati. Dengki pada dia.

“Orang mau kasi bisnes tutup,” jawab tok sami.

Muthu tidak terkejut langsung dengan jawapan itu. Siapa lagi yang sanggup dengki kepada perniagaan dia kalau bukan pesaing?

“Aku tak peduli berapa tok sami mau. Aku mau tok sami lawan juga.” Muthu merenung muka tok sami. Antara percaya dan tidak sahaja tok sami itu tidak mampu melakukannya.

Tok sami hanya termenung. Kemudian tok sami menggeleng. “Cari orang lain,” katanya. “Benda ini banyak kuat.”

Seakan-akan luruh semangat Muthu. Kalau tok sami pun mengalah, siapa yang boleh membantu dia lagi? Dia tidak mahu kalah dengan Beng. Dia tidak mahu perniagaannya lingkup.

Akhirnya dia nekad. Ada satu saja jalan yang patut diambil. Jalan yang terakhir.

******

SEMENTARA itu di gerai Pak Cik Kasim, Aunty May riuh bercerita. Hendak ditanya pada jiran sebelah rumah, jiran sudah pergi melancong dan entah bila balik. Akhirnya dia gagahkan juga ke gerai itu; mana tahu mungkin ada seseorang yang tahu apa yang sedang berlaku di situ.

“Sudah dua malam gua nampak.” Dahi tuanya berkerut. Dia bimbang dikatakan sudah gila atau nyanyuk pula.

Pak Cik Kasim dan Mak Cik Hanum tidak bersuara. Hanya mata yang terkebil-kebil.

“Itulah gua datang sini mau tanya, kalau ada sesiapa nampak apa yang gua nampak,” tambah Aunty May.

Kata-kata terakhir Aunty May buat Pak Cik Kasim menarik nafas. Kepalanya mula pening. Sejak beberapa hari yang lalu macam-macam cerita yang dia dengar mengenai perempuan yang selalu ditemui orang di hadapan kedai Muthu. Bukan setakat pada waktu malam; pada waktu siang pun ada. Ada juga yang jumpa pada waktu penghujung senja. Pendek kata pada bila-bila masa sahaja. Anehnya ada pelbagai versi.

Ada yang kata makhluk itu berupa seorang perempuan yang sangat cantik, berkebaya nyonya bersulam halus dari kain kasa hitam. Ada yang kata makhluk itu berupa seorang perempuan yang berwajah hitam dan berdarah-darah dan ada pula yang kata makhluk itu menyerupai sesiapa sahaja yang mereka kenal. Ada tiga rupa. Tetapi yang bermain di kepalanya ialah siapa yang bawa makluk itu ke situ kerana sebelum ini memang tidak ada.

“Tak ada pula,” jawab Mak Cik Hanum.

“Cuma gua seorang la?” tanya Aunty May lagi.

Pak Cik Kasim merenung wajah Aunty May yang makin kusut dan sedih. Tetapi kalau dia menceritakan hal yang sebenar, dia bimbang orang tua itu akan diburu rasa takut yang berpanjangan.

“Mungkin tak ada apa-apa tu, aunty. Mungkin ada orang balik kerja lambat. Tunggu orang jemput ka.” Dia mengambil jalan singkat. Dia percaya Aunty May juga diganggu makhluk itu tetapi buat sementara itu; biarlah mereka semua berhati-hati.

Aunty May pandang muka Pak Cik Kasim kemudian mengangguk lesu.

Pak Cik Kasim sekadar menelan air liur. Dia harap Aunty May tidak terlalu takut atau susah hati. Dia akan memerhati keadaan.

“Kalau ada apa-apa nanti, saya beritahu aunty ya,” tambahnya untuk menyedapkan hati.

“Gua balik dulu.” Aunty May angkat punggung.

“Nah! Buat makan-makan.” Mak Cik Hanum serahkan seplastik kecil keropok lekor yang masih panas. Aunty May hendak membayar tetapi Mak Cik Hanum menolak.

“Terima kasih ha.” Aunty May beredar perlahan-lahan. Plastik yang berisi keropok lekor terbuai-buai apabila dijinjit.

Dari gerai Pak Cik Kasim dan Mak Cik Hanum memandang dengan penuh rasa simpati. Gerai kembali sunyi tetapi hati Pak Cik Kasim asyik berdebar-debar bagaikan ada yang tidak kena.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.