Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,775
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 13

Bab 13

KIRA-KIRA sejam selepas itu, Muthu dan Balan tiba di sebuah kuil hindu yang terletak jauh di hujung sebuah estet. Sebuah kuil kecil yang tersorok di balik sebuah ladang getah. Balan yang menunjuk arah ke situ. Kata Balan, tok sami di kuil itu handal. Masalah itu pasti dapat diselesaikan dengan mudah.

“Tak kisah apa tok sami mau buat. Aku cuma mau kedai itu bankrap.” Tegas sekali suara Muthu semasa berdepan dengan tok sami.

Tok sami itu hanya terangguk-angguk. Tajam matanya merenung sambil mulutnya terkumat-kamit membaca mentera. Sebiji gelas dari Kedai Beng dipegang dengan tangan kiri dengan kemas. Gelas yang diambil Balan dengan penuh tipu helah sebelum mereka datang ke situ tadi.

Muthu memerhati dengan penuh debaran di dada. Dia yakin tidak lama lagi Beng akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang Beng lakukan ke atas restorannya. Memang sejak mereka membuka restoran di situ, Beng selalu datang mencemuh dan mengejek. Dia tahu perniagaan Beng terjejas dengan restorannya tetapi dia bersaing dengan cara sihat sehinggalah hari itu. Dia tidak boleh bersabar lagi kerana Beng sudah melampau.

“Gelas ni, kasi hantar sana balik.” Tok sami serahkan semula gelas yang dipegang.

Muthu sambut dengan sehelai sapu tangan. Dia tidak berani menyentuh gelas itu dengan tangannya. Rasa semacam sahaja perasaannya. Rasa gementar.

“Ada lagi satu, tok.” Muthu cepat-cepat bersuara. Bimbang tok sami mahu berehat pula.

Tok sami hanya merenung wajah Muthu. Dia menderam.

“Ini ha... banyak kuat,” katanya sebelum mengemam bibir.

“Benda apa, tok? Tolonglah halau. Atau... hantar balik pada Beng. Banyak kacau....” Muthu mahu segala-galanya diselesaikan pada hari itu juga. Makin lama, makin teruk bisnesnya disebabkan perbuatan Beng. Ah! Siapa lagi kalau bukan Beng.

Tok sami menggeleng keras sambil tajam matanya merenung dupa yang makin tebal asapnya.

“Tak boleh halau ke, tok?” Muthu berasa sedikit marah. Takkanlah tok sami yang terkenal itu kalah dengan ‘benda’ yang duduk dalam bilik air itu?

“Boleh cuba tapi...”

“Tapi apa, tok? Berapa mahal pun aku bayar. Tok tolong buat dia pergi jauh saja. Tak mau duduk situ kacau aku punya kedai.”

Tok sami terangguk-angguk. Tekun dia membaca jampi dan serapah.

“Ini barang, atas pintu kasi letak.” Diserahkan sebuah bungkusan kecil yang berbalut kain jingga kemerahan.

Tanpa teragak-agak Muthu mengambilnya. Dia berharap benar tangkal yang diberi tok sami itu akan berjaya menghalau apa sahaja gangguan yang menggangu perniagaannya. Dia akan buktikan pada Beng, dia sebenar-sebenarnya pesaing yang kental. Beng tidak boleh main-main dengan dia.

Selepas meninggalkan beberatus ringgit kepada tok sami, dia pulang dengan semangat yang tinggi. Dengan penuh yakin diri.

*****

DARI kuil, Muthu terus balik ke kedai. Di pertengahan jalan, dia menurunkan Balan tidak jauh dari Kedai Beng.

“Jangan sampai sesiapa perasan,” pesan Muthu untuk sekian kalinya. Bagi dia tidak ada orang lain yang dia percaya pada waktu itu selain Balan. Malah, dia tidak mahu sesiapapun tahu termasuk Pooja.

Balan angguk sahaja. Gelas yang berbungkus sapu tangan dan berbalut plastik merah itu dipegang kemas.

“Ni duit, bayar makan nanti.” Muthu hulurkan pula sekeping duit dua puluh ringgit. “Kalau mereka tanya, tipu sajalah. Jangan sampai mereka syak apa-apa.”

Duit yang dihulurkan Muthu, Balan ambil lalu simpan di poket. Tanpa berlengah, dia membuka pintu kereta.

“Lagi satu... jangan beritahu sesiapa. Pooja pun tak boleh tahu.” Muthu renung tajam wajah Balan, menuntut satu perjanjian.

Balan angguk lagi. Pintu kereta lalu ditutup. Dengan perlahan-lahan, Balan melangkah ke Kedai Beng. Sesekali berkerut dahi menahan pedih di pehanya apabila luka lecur tergeser dengan kain pelikat yang dipakai.

Ketika itu, Muthu sudah menggerakkan keretanya dengan laju meninggalkan Balan. Dia yakin Balan akan mampu melakukan arahannya dengan baik. Dia lantas menuju ke kedainya pula dengan senang hati.

*****

SEMENTARA itu kedai Muthu satu perbincangan yang serius sedang diadakan. Lim terpaksa datang ke situ semula lantaran Aunty May mahu berjumpa dengan dia. Dia rasa tempat itulah yang terbaik kerana bukan sahaja dekat malah nampak dari rumah Aunty May.

“Semua ni untuk cari Suzy juga. Mana tau ada orang nampak Suzy,” kata Lim. Dia geram kerana hasrat dia dihalang. Dia berniat baik. Sudah beberapa kali dia cuba melakukannya tetapi sentiasa ditegah oleh Aunty May.

“Gua tau. Tapi gua tak suka tengok gambar Suzy ditampal sana-sini,” balas Aunty May dengan jelas.

Lim menarik nafas. Entah bagaimana lagi mahu diterangkan kepada Aunty May. Sudah pelbagai cara dia lakukan sejak sebulan lalu untuk mencari Suzy tetapi masih gagal. Dalam hati dia selalu merasakan Suzy masih ada berdekatan dan selalu juga terasa bagai dipanggil-panggil. Semua itu memberi dia semangat untuk terus berusaha menjejak Suzy.

“Kita usaha sajalah. Semua cara kita perlu cuba.” Dia tidak mahu berputus asa. Dia percaya satu hari nanti dia akan jumpa juga Suzy.

Aunty May mengeluh perlahan. Wajahnya suram. Mulutnya diketap rapat. Pandangan mata menekur meja bagaikan sedang berfikir jauh.

Hati Lim mula berbelah bahagi. Dia bukan mahu menambah kesedihan hati ibu Suzy cuma pada dia duduk diam tanpa berusaha tidak akan membantu apa-apa. Entah kenapa dia dapat merasakan yang ibu Suzy sudah mengalah dan berputus asa.

“Satu hari nanti kita akan jumpa juga Suzy.” Dia mahu Aunty May terus bersemangat.

Sayangnya Aunty May menggeleng.

“Gua ibu. Gua lebih tahu.”

“Jangan cakap macam tu, aunty,” tegur Lim. Hatinya pedih.

“Apa punya malang Suzy kawan sama lu. Kalau tidak anak gua tentu masih hidup.” Air mata Aunty May bergenangan.

Lim kematian kata-kata. Dia dihurung rasa bersalah yang begitu besar bagaikan dihempap batu gunung. Dia tahu selama ini Aunty May memang tidak bersetuju dengan perhubungan dia dan Suzy tetapi itu bukan saatnya untuk mereka berdua saling berbalah. Apa yang penting dia tidak akan mengalah begitu sahaja.

“Saya tetap akan cari Suzy sampai dapat. Saya akan hantar Suzy balik rumah,” katanya dengan penuh tekad.

Aunty May tidak sedikit pun tersenyum.

Lim semakin rasa tidak selesa di situ mujurlah dia ternampak kelibat Muthu masuk ke dalam kedai.

*****

SETIBANYA di kedai, Muthu disambut dengan rasa yang amat sunyi. Kedainya bagaikan disumpah tujuh keturunan. Terasa kering, hambar, sunyi dan sesekali dingin mencengkam. Hanya kehadiran Aunty May dan Lim yang sedang bercakap di sudut kedai menyuntik sedikit keceriaan di hati.

Selepas menyimpan tangkal yang diberikan tok sami di bawah kaunter, Muthu segera mendekati Lim. Di atas meja, dia perasan terdapat dua buah cawan berisi teh yang sudah hampir habis. Dia segera tahu Aunty May dan Lim sudah agak lama di situ.

“Pergi mana?” tanya Lim dengan bersahaja.

“Jumpa kawan.” Muthu tarik sebuah kerusi lalu duduk. Tersenyum kepada Aunty May sekali imbas. Tertanya-tanya juga apa yang sedang dibincangkan.

“Ada apa-apa berita ka?” Dia berharap ada berita baik.

Lim terdiam seketika, kemudian memandang wajah Aunty May yang begitu tenang.

“Ini poster yang uncle minta tu.” Lim hulurkan poster tentang kehilangan Suzy kepada Muthu. Dia sudah buat beberapa salinan seperti yang disuruh Muthu tengah hari tadi.

Muthu sambut dan melihatnya sejenak.

“Tapi aunty tak kasi letak ini kedai,” sambung Lim.

Anak mata Muthu terus melirik ke arah Aunty May yang masih mendiamkan diri. Sememangnya orang tua itu seorang yang tidak banyak cakap. Dia arif dengan sikap orang tua itu.

“Kenapa? Mungkin nanti ada yang jumpa Suzy.” Dia pandang muka Aunty May lama-lama. Dia cuba menyelami perasaan orang tua itu.

“Tak payahlah tampal. Hati gua banyak sedih kalau nampak gambar Suzy.” Akhirnya Aunty May bersuara juga. Kemudian menunduk merenung cawan.

Muthu tarik nafas. Jadi, itulah masalah yang sedang dibincangkan. Baru dia sedar.

“Kalau macam tu... biar aku tampal di kawasan rumah aku saja. Tak payah tampal sini.” Muthu pandang wajah Aunty May kemudian pandang wajah Lim.

Lim diam. Aunty May tidak membantah.

Muthu ambil poster bersaiz kertas A4 itu lalu dibawa ke kaunter. Aunty May juga meninggalkan meja lalu mahu keluar dari kedai.

“Aunty!” panggil Muthu. Di tangannya sudah ada sebungkus gula-gula SUGUS kegemaran Aunty May. Selalunya Suzy yang belikan untuk ibunya.

“Terima kasih, ha.” Aunty May tersenyum seraya menerima gula-gula itu. Dia menyeluk poket untuk mengambil duit.

“Tak payah bayar,” kata Muthu. Niatnya ikhlas.

Mata Aunty May terkelip-kelip seketika. Kemudian dia menghayun langkah tuanya perlahan-lahan sambil dipandang oleh Muthu.

“Orang tua tu masih sedih,” kata Muthu apabila sudah kembali semula ke meja Lim. Dalam hal itu dia tidak tahu mahu menyebelahi siapa. Dia simpati dan hanya mahu membantu kedua-duanya.

Lim mengeluh.

“Polis tak ada maklumat baru?” tanya Muthu lagi.

“Tak ada.” Lim pandang muka Muthu.

“Satu hari nanti kita mesti jumpa Suzy,” balas Muthu untuk menyedapkan hati Lim.Tetapi Lim meninggalkan kerusi.

“Balik dulu. Dah petang ni.Saya kena pergi hospital pula. Jaga Gark.” Di atas kaunter, dia tinggalkan sekeping duit lima ringgit sebagai bayaran air yang diminumnya bersama Aunty May.

Muthu hanya memandang dengan rasa simpati yang membelit hati. Melihatkan Lim yang berjalan lesu, dia terfikir sendiri. Siapa kata dalam dunia yang moden ini tidak ada cinta yang kuat seperti cinta Mumtaz dan Shah Jehan lagi?

“Khushiyaan aur gham sehti hai… phir bhi yeh chup rehti hai…”Lagu kegemarannya itu mengalun perlahan dari bibirnya. Ya, hidup ini penuh kisah suka dan duka. Lain orang lain kisahnya. Dia termenung seketika sehinggalah Raju masuk ke bahagian hadapan.

“Pooja mana?”

Raju tidak terus menjawab. Muthu menjungkit kening. Tidak faham.

“Dia kata mau balik. Kepala banyak sakit.”

Muthu baru sedar Pooja sudah tidak ada di kedai. Perlahan-lahan pandangan matanya melotot ke arah skrin telefon di tangan. Tidak ada pula sebarang mesej. Dia tahu Pooja sedang merajuk.

“Dia balik dengan apa?”

“Teksi,” jawab Raju sambil terkulat-kulat.

“Tutup kedai,” katanya kepada Raju. Pada dia cukuplah berada di situ sepanjang hari tanpa membawa hasil apa-apa. Lagipun ada lagi kerja yang mahu dilakukan.

*****

“TUTUP?” tanya Raju semula.

Muthu tidak menjawab. Dia hanya memandang Raju dengan perasaan jengkel. Banyak tanya pulak budak ni, rungutnya dalam hati.

Melihatkan renungan tajam Muthu, Raju terus meninggalkan kerjanya dan menuju ke arah pintu. Dengan sebatang besi bengkok, dia tarikroller shutterturun ke bawah.

Mendengarkan bunyiroller shutter menghentam lantai, Murugan pula keluar dari dapur. Dia memandang ke arah Raju dengan wajah kehairanan.

“Cepat kemas,” kata Muthu apabila terpandang wajah Murugan yang terpinga-pinga. Mungkin Murugan tidak mendengar arahannya tadi.

“Kalau dah siap, balik dulu,” katanya sambil berlengah-lengah dekat kaunter. Kemas itu, kemas ini. Dia terpaksa menunggu kira-kira hampir setenah jam di situ barulah Raju dan Murugan meninggalkan kedai.

Melihatkan Raju dan Murugan sudah tidak ada, Muthu segera mengeluarkan tangkal yang dibawa balik tadi. Dibuka pembalutnya baik-baik lalu dibawa ke dahi. Kemudian, tergesa-gesa dia menarik sebuah kerusi. Dibawa ke hadapan pintu yang sudah dikunci. Di belakang sebuah gambar, diselitkan tangkal itu. Kemudian dia tersenyum. Dia yakin hari esok semua akan pulih seperti biasa.



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.