Home Novel Seram/Misteri LENGLOI
LENGLOI
Maria Kajiwa
28/9/2013 06:31:31
109,736
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4
Bab 4

PUKUL 4.30 petang, Lim berjalan kaki ke Kedai Beng. Oleh kerana kedai Muthu tutup, dia terpaksa mencari tempat melepak yang lain. Tetapi sebenarnya dia bukan suka sangat ke Kedai Beng. Cuma tidak ada pilihan. Setibanya di sana dia ternampak Gark, abangnya dan seorang lagi kawan abangnya, Jacky. Baru hendak duduk semeja mereka sudah minta diri.

“Aiyaa…duduklah dulu,” tegurnya. Geram dengan Gark. Tadi dia lihat abangnya relaks sahaja berborak dengan Beng; sekarang sudah mahu pergi pula.

“Ada kerjalah,” balas Gark yang tergesa-gesa meninggalkan meja. Begitu juga Jacky. Yang tinggal hanya Beng.

Lim tarik muka masam. Terpaksalah dia minum seorang di situ.

“Mau makan apa?” tanya Beng yang juga bangun perlahan-lahan.

Lim lantas membuat pesanan. Sementara menunggu, dia memandang pelanggan dalam kedai Beng yang pelbagai rupa dan bangsa. Namun tidak ada seorang pun dia kenal dan boleh diajak minum bersama.

“Apa pasal Kedai Muthu tutup cepat ha?” Beng letakkan secawan kopi bersama sepiring roti bakar di hadapan Lim. Tanpa dipelawa Lim, dia menarik kerusi lalu duduk dengan selesa.

Lim angkat bahu tanpa menoleh ke arah Beng. Dikacaunya kopi pekat dengan selamba. Hatinya mula kurang senang. Dia tahu Beng akan menggunakan dia untuk mengorek rahsia Muthu. Beng memang tahu dia pelanggan tetap kedai Muthu selama ini.

“Ada orang cakap kari dia basi. Betul ka?”

Dahi Lim berkerut. Dia dihimpit rasa serba-salah. Hendak dinafikan, itulah kebenarannya. Hendak diakui, nanti dia pula yang dituduh bawa mulut tentang kedai Muthu. Dia mula rasa menyesal datang minum di situ. Kalau dia tidak datang ke situ lagi bagus.

Beng pula, walaupun Lim buat acuh tidak acuh masih tetap merenung muka Lim.

“Aku makan tadi, tak ada apa-apa pula yang basi.”

Lim terpaksa berbohong. Antara Beng dan Muthu, dia memilih Muthu. Kalau Suzy masih ada pun, dia yakin Suzy akan bersetuju dengan keputusannya itu. Bagaimanapun Muthu kawan mereka berdua.

Jawapan Lim, membuatkan Beng merenung lebih tajam.

“Tapi mesti ada sebab kenapa dia tutup awal hari ni. Selalunya malam baru tutup.”

“Baguslah dia tutup awal,” kata Lim dengan selamba.

Dia yakin Beng suka hati dengan perkembangan itu. Selama ini pun dia ada mendengar desas-desus yang Beng sakit hati dengan Muthu. Sejak Muthu membuka perniagaannya, kedai Beng semakin kurang pelanggan.

Kali ini Beng tersenyum lebar. Pipi bulatnya yang hampir sebesar pau yang baru kembang berkilat-kilat.

“Terus tutup pun tak apa.” Dia tepuk meja lalu bangun meninggalkan Lim.

Lim berdengus. Dia panas hati dengan senyuman Beng. Nampak sangat Beng suka sekiranya kedai Muthu ditutup. Tetapi bukan dia, dia tidak suka. Kedai itu banyak menyimpan kenangannya bersama Suzy. Oleh kerana mood dia untuk berehat di situ terganggu, dia terus tinggalkan meja. Kopi dan roti bakar terbiar tidak disentuh.

*****

OLEH kerana masih malas mahu balik ke rumah, Lim singgah pula ke gerai Pak Cik Kasim yang terletak menghadap bangunan yang sederet dengan kedai Muthu. Mungkin di situ dia boleh makan dan minum dengan aman sambil mendengar kisah Pak Cik Kasim mengenai politik atau apa sahaja. Pak Cik Kasim memang rajin bercerita.

“Pisang goreng cheese mau?” Pak Cik Kasim yang berkulit sawo matang dan bermuka tirus itu bertanya sebaik sahaja Lim memesan air tebu segelas besar.

“Boleh.”

Lim tarik kerusi plastik lalu duduk menyelesakan diri. Sebaik sahaja duduk dia melontar pandang ke arah kedai Muthu. Hanya nampak papan tanda danroller shutter. Satu pemandangan yang di luar kebiasaan kerana antara kesemua kedai-kedai makan di situ, kedai Muthu yang paling jarang tutup.

“Kasihan Muthu.”

Pak Cik Kasim letak sepiring pisang goreng cheese di atas meja Lim sebelum duduk. Pada waktu tidak ada pelanggan lain di gerai itu selain Lim. Isterinya pula sedang sibuk menggoreng keropok lekor.

Lim tergamam. Kata-kata Pak Cik Kasim buat dia mengalihkan tumpuan ke arah lelaki tua itu pula.

“Kenapa, pak cik?”

“Awak tak tahu ke?” Pak Cik Kasim renung muka Lim. Tangannya mengusap rambut lurus berkilat yang lembap dengan minyak rambut sambil menghempaskan keluhan.

Lim menggeleng. Walaupun banyak perkara buruk yang melintas di fikirannya. Dia tidak mahu serkap jarang.

“Tadi kaki Devi luka teruk. Itu yang Muthu tutup kedai awal.” Dengan penuh yakin Pak Cik Kasim bercerita.

“Kena apa?” Satu perkembangan baharu bagi Lim. Dia memang tidak tahu hal itu. Dia fikir Lim tutup kedai kerana hal pagi tadi.

“Kata isteri Muthu tadi, kena kaca. Gelas jatuh atas kaki Devi.”

“Bila pak cik jumpa dia?”

“Kebetulan pak cik pergi klinik cari ubat darah tinggi. Dia ada kat situ, sedang tunggu doktor jahit luka anak dia.”

“Teruk?”

“Dengarnya banyak juga kena jahit.”

“Macam mana la boleh jatuh.” Lim merungut sendirian.

Kini rasa simpatinya kepada Muthu bertambah-tambah. Dengan apa yang baru berlaku, ditambah kemalangan yang menimpa Devi, dia yakin Muthu sedang susah hati. Dia hendak membantu pun tidak tahu bagaimana.

“Tapi tadi pak cik ada dengar cerita.”

“Cerita apa?” Lim sudah tidak sedap hati. Dia yakin Pak Cik Kasim sudah mendengar cerita pasal kedai Muthu. Cerita buruk memang selalu cepat tersebar bagai dibawa angin ke sana-sini.

“Ada orang kata Muthu masak kotor.” Mata Pak Cik Kasim terkelip-kelip.

“Hisy! Mana ada…” balas Lim sambil ketawa pura-pura.

Pak Cik Kasim ikut tersenyum.

“Pak cik manalah pernah makan kat kedai dia tu. Dia selalulah datang sini borak-borak. Kadang-kadang anak dia Devi tu pun ada singgah beli air tebu.”

“Mulut orang, pak cik. Apa-apa pun boleh cakap,” kata Lim.

Kini dia sedar, cerita buruk pasal kedai Muthu sudah mula tersebar. Itu betul-betul tidak bagus untuk sesebuah bisnes. Dia percaya lambat-laun pasti ada kesannya.

Selepas puas berborak dengan Pak Cik Kasim, Lim balik. Pada waktu itu, Pak Cik Kasim juga sudah mahu tutup gerai.

******

SEWAKTU melewati Lebuh Spa, pandangan mata Lim terarah ke Stadium Hang Jebat di sebelah kanan jalan. Serta-merta dia teringatkan Suzy. Dahulu, di situlah buat kali terakhir Suzy membuat persembahan dondang sayang dengan kumpulannya. Terasa-rasa lagi kemeriahannya kerana dia turut datang menyaksikan setiap persembahan Suzy. Kini semua itu hanya tinggal kenangan. Dadanya mula sebak.

Ditekan punat radio di sebelah kiri. Berkumandang sebuah lagu Cina yang sedih. Lagu putus cinta. Dia tidak selesa lalu jarinya menekan-nekan skrin untuk mencari siaran radio lain sehinggalah keluar sebuah lagu keroncong. Jarinya terhenti.

Dia termenung. Hati terasa tenang. Ingatan kepada Suzy cuba dikuis jauh-jauh. Habis sahaja lagu keroncong keluar pula lagu dondang sayang. Dia tergamam. Apatah lagi suara penyanyi dondang sayang itu mirip sekali dengan suara Suzy. Biar betul? Mungkin kerana pada senja itu dia teringatkan Suzy maka semua kedengarannya sama. Otaknya pantas menafikan pula. Lalu jarinya menekan-nekan skrin untuk mencari siaran yang lain. Sayangnya walaupun frekuensi berubah, lagu yang keluar semuanya lagu keroncong yang sama.

Dia hairan. Lalu cuba ditutup tetapi setelah ditutup, radio itu terpasang semula. Dua tiga kali diulang, hasilnya tetap sama. Lagu dondang sayang tadi kedengaran lagi malah semakin kuat.

Dia mula rasa lain macam. Lalu dia memandu semakin laju.

****

SETIBANYA di halaman rumah, dia lihat Gark, Janet dan anak mereka, Ben ada di luar rumah. Sebaik sahaja kereta berhenti, dia terus buka pintu.

“Aiyaa… banyak kuat!” Janet merungut sambil menutup kedua belah telinga. Ben yang berdiri di sisi Gark juga terkejut.

Lim yang sudah berada di luar kereta pun terkejut. Dia tidak sangka bunyi lagu dalam keretanya terlalu kuat sampai boleh didengari dari luar. Dan apabila dia membuka pintu kereta untuk memadamkan lagu, baru dia sedar yang dia telah memasang siaran radio bahasa Tamil. Lagu yang berkumandang pada waktu itu memang lagu Tamil. Bukan dondang sayang. Dia terpinga-pinga.

“Jangan lupa kunci pintu,” pesan Gark. Dia dan keluarganya mahu keluar makan.

Dalam kebingungan, Lim angguk sahaja. Dia malas memikirkan soal itu lagi. Sebelum masuk dia sempat bermain-main dengan Lassie, anak anjing baka German Sherperd peliharaan Gark. Akan tetapi, pada petang itu Lassie tidak seriang selalu. Asyik menderam dan menyalak ke arah dia. Dia hulur tangan tetapi hampir lagi digigit. Dia benar-benar rasa malang petang itu.

Sewaktu dia masuk ke dalam rumah terasa bahunya berat seperti dipaut seseorang. Apabila dia menoleh. Tidak ada sesiapa. Apa yang ada hanyalah deru angin senja yang dingin dan berbau bunga ros. Rindunya pada Suzy membuatnya pilu.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.