Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku villainess pantang menyerah kalah!
Aku villainess pantang menyerah kalah!
Seri Pagi
12/3/2020 11:52:05
2,417
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
14

Sepanjang malam Farrah mendengar luahan marah Putri melalui panggilan. Farrah hanya mendengar lalu mengiyakan apa yang dikatakan.

 

Uwahh- Seseorang luahkan perasaan pada Farrah! Farrah masih lagi popular!

 

Farrah hanyut dalam khayalan sendiri membuatkan Putri lebih marah sebelum menutup panggilan. 'Putri pergi complain pada abang Haris.' Itulah mesej terakhir Putri.

 

Keesokkannya, keinginan untuk bersama Haris lebih lama terbantut apabila ramai pekerja mula mengelilinginya seawal tiba di lobi. Pengumuman Dato Kamal tempoh hari membuatkan ramai pekerja ingin mendekati Haris. Bisnes seperti biasa. Kali ini giliran Haris mendapat segala perhatian dan layanan. Malah Shiela dan Nana dilihat lebih banyak mengikut Haris demi menolongnya dalam beberapa perkara.

 

Farrah diabaikan!

 

Ingin bertenang dan bersendirian seketika, Farrah membuka pintu bilik mesyuarat. Dia mendapati Amir sedang duduk memikirkan sesuatu dengan wajah rungsing keseorangan. Mereka berdua saling berpandangan.

 

Tak bertuahnya! Amir adalah orang terakhir sekali Farrah ingin jumpa pada waktu ini.

 

Perlahan-lahan, Farrah menarik semula tombol lalu menutup pintu itu.

Fuuh.. Cemas dibuatnya. Hanya masalah sahaja timbul apabila terjumpa Amir.

 

Pintu dibuka. Amir terpacul dihadapan pintu memandang Farrah dengan wajah muram. "Mengapa tutup pintu semula? Kita perlu berbincang." sambil mencadangkan keluar makan bersama-sama.

 

Tak nak! Inilah yang Farrah maksudkan apabila Amir mengundang masalah. Entah apa masalah yang datang kali ini!

 

"Rasa t-trauma bila lihat kereta awak. Apa lagi naik kereta awak. Teringatkan kemalangan. Bye-" Farrah melarikan diri.

 

Amir tidak mengalah. Terserempak dengan Farrah sepanjang hari itu, dia akan mengajak Farrah untuk berbual dengannya. Hinggalah esoknya, dia masih tidak putus asa. Permintaan Amir bertukar menjadi desakan.

 

"Hari ini saya bawa kereta yang berbeza. Dan saya dah reserved sebuah restaurant."

 

Farrah mengalah. Waktu malam selepas tamat waktu kerja, Farrah terpaksa mengikut Amir. Mereka tiba di sebuah bangunan yang mempunyai fine-dining restaurant dalamnya.

 

Bila Amir mengajak ke tempat sebegini, maknanya perbualan nanti betul-betul serius. Apa yang Amir mahukan? Adakah ini salah satu tempat temujanji awak bersama Diyana? Awak tak pernah bawa Farrah ke tempat baik seperti ini sepanjang kita berkawan dahulu. Mengapa kali ini? Jangan-jangan ini sahaja tempat yang awak tahu. Atau ini sahaja tempat terlintas dalam fikiran awak untuk menunjuk-nunjuk. Menunjuk-nunjuk pada Diyana! Awak tahu Amir… Farrah akan makan banyak dan buatkan awak bayar semuanya!

 

Tapi sebelum mereka melangkah masuk ke bangunan itu, Amir terhenti memandang kesuatu arah. Farrah turut memandang ke arah yang sama dengan Amir. Mereka berdua terserempak dengan Diyana dan Bayazid, turut sama melalui kawasan itu. Keempat-empat mereka saling berpandangan.

 

"Diyana!? Apa yang awak buat disini?" Amir menghampiri Diyana lalu merenung Bayazid. Berkali-kali dia mengulang soalan sama pada Diyana.

 

"Saya boleh soal perkara sama pada awak. Mengapa awak boleh bersama Farrah disini?" Tidak tahan, Diyana turut mempersoalkan Amir. Dia membalas pertanyaan dengan pertanyaan.

 

"Awak tak perlu tahu! Tapi awak sepatutnya cakap dengan saya jika ada apa-apa berlaku. Bukan cari Bayazid! Malah pada waktu begini?" marah Amir.

 

"Apa masalahnya? Saya dan Bayazid cuma berbual. Awak sendiri bermasalah, rungsing dengan perkara berkaitan keluarga awak. Dan awak tak ceritakan pada saya semuanya. Dengan apa yang berlaku, mungkin awak mula menyesal pilih saya. Sebab itulah awak cari Farrah!"

 

Beremosi dan menuduh, Diyana yang stress mempertahankan diri dengan hujah. Dia dan Amir mula bertengkar. Farrah mengalih pandangan melihat Bayazid, menunggu tindakan seterusnya. Bagaimanapun Bayazid hanya diam, tidak mahu masuk campur. Dia juga tidak menegur Farrah.

 

Apa yang Farrah patut buat? Patutkah Farrah cakap sesuatu? Jika Farrah masuk campur, ada kemungkinan pertengkaran tersebut jadi lebih besar.

 

"Saya taknak tengok muka awak sekarang ni! Lebih baik awak pergi sekarang! Pergi Amir! Pergi!" Muka Diyana jadi merah kerana marah. Diyana yang lembut kini menghalau Amir dari pandangannya. Sekarang ini Amir seperti memendam rasa marah dan kecewanya. Hanya diam.

 

"Jangan risau. Kami berdua hanya berbincang. Itu sahaja." Mahu tidak mahu, Farrah bersuara.

 

"Cukup! Saya tak dengar semua ini. Saya takkan maafkan awak kerana malukan saya dihadapan Dato Kamal. Awak Cuma berpura-pura. Awak pasti gembira lihat apa yang berlaku antara saya dan Amir sekang ini. Awak masih sukakan Amir!"

 

Kali ini Diyana menarik Farrah masuk dalam pertengkaran mereka. 

 

"Saya dengar apa yang berlaku. Betulkah awak menampar Diyana?" Kali ini giliran Bayazid masuk campur walaupun nadanya lebih kepada keliru. Meminta kepastian.

 

Ah! Farrah lupa pasal perkara ini. Apa yang telah berlaku dalam bilik pengarah. Apa yang Farrah lakukan ialah tindakan drastik supaya Diyana berhenti berkata-kata dihadapan Dato Kamal dan berharap Diyana beredar dari bilik itu dengan segera. Dari sudut pandangan Diyana, dia percaya Farrah hanyalah ingin memalukannya dan menghentikan rayuannya bagi pihak Amir.

 

"Saya ada waktu itu. Saya juga ingin tahu." Amir turut memandang Farrah.

 

Ketiga-tiga mereka menunggu jawapan Farrah. Dia mengaku.

 

"Memang betul. Tapi Farrah ada sebab sendiri. Dalam situasi sebegitu, itu sahaja caranya untuk buatkan Diyana berhenti bercakap. Jika tidak keadaan jadi lebih buruk. Amir ketika itu dengan perasaannya sendiri. Dato pula bertambah marah dengar apa yang awak cakapkan. Kak Siti pula tidak ambil peduli. Jadi Farrah terpaksa bertindak waktu itu."

 

Tolong percayakan Farrah, Bayazid! Cuba ingat waktu yang kita kongsi bersama-sama. Bukankah kita 'Sweet time Friend' !? Farrah pernah temankan awak makan manisan dan segala desserts bersama-sama. Lebih dari sekali. Percayalah 'kawan gula-gula' awak!

 

Betapa susah berpeluang untuk berbaik dengan Bayazid, Farrah taknak hubungan mereka berubah selepas ini.

 

Bayazid berfikir. Dia tidak tahu ingin memilih siapa.

 

"Saya ingin tolong Amir. Minta ehsan ayahnya sendiri. Ini hanya alasan awak. Mengapa tak hentikan dengan cara baik!?"

 

Diyana tidak dapat menerima apa yang dikatakan Farrah. Matanya mula berair.

 

Tiada apa yang boleh Farrah lakukan lagi. Pertengkaran ini menyebabkan orang yang melalui kawasan itu kini memandang mereka. Salah seorang dari mereka berempat perlu berundur diri. Farrah sudi lakukannya.

 

Dengan perlahan Farrah mendekati dan berdiri dihadapan Diyana yang mengesat air matanya yang masih lagi mengalir.

 

"Mungkin memang ada cara yang lebih baik dari menampar awak pada waktu itu tapi adakah awak tetap akan berhenti? Fikirkan. Tapi Farrah percaya mengasari awak pada waktu itu tetap salah. Farrah minta maaf. Maafkan Farrah."

 

Farrah memandang tepat mata Diyana.

 

"Awak selalu memandang orang dengan yakin seperti sekarang. Seolah-olah memandang rendah pada orang lain. Tentu awak ingat saya ni bodoh. Selama ini saya cub atiru apa yang awak lakukan tapi semuanya sia-sia." Diselubungi pelbagai perasaan, Diyana mengalihkan mata, tidak tahu reaksi apa yang harus diberikan. "Awak mungkin minta maaf sekarang, akan datang awak tetap akan buat perkara yang sama. Awak sama sahaja seperti pekerja lain. Pentingkan status dan suka membandingkan orang lain. Awak fikir saya akan maafkan awak!"

 

Diyana hanyut dalam emosi sendiri. Tiada apa yang boleh dikatakan Farrah untuk mengubah fikirannya.

 

Jangan salahkan keadaan. Seperti pekerja lain, Farrah juga bersaing dan bertungkus-lumus dengan keupayaan diri sendiri. Sebagai orang baru awak tentu merunggut banyak, tapi jangan lupa awak juga terima 'special treatment' sebagai kekasih Amir selama ini! Jika awak ingin ubah keadaan ini, mulakannya! Tunjukkan usaha awak!

 

Farrah kemudiannya cuba beredar meninggalkan kawasan itu. Tidak berkata apa-apa lagi.

 

Bagaimanapun Amir menarik tangan Farrah membuatkannya terhenti. "Masih ada perkara yang perlu diselesaikan antara kita berdua."

 

"Apa yang awak buat Amir? Awak pilih Farrah dari saya!?" Diyana menjerit dari arah belakang.

 

Tanpa pedulikan Diyana, Amir terus menarik Farrah beredar dari tempat itu meninggalkan Diyana dan Bayazid.

 

*

 

Berada jauh dari kawasan bangunan tadi, Amir akhirnya duduk di sebuah bangku agak jauh dari laluan pejalan kaki. Masih lagi diam, wajahnya sugul.

 

"Amir.. Perkara apa yang awak nak bincangkan?" soal Farrah tidak membuang masa.

 

"Semua yang berlaku salah awak Farrah. Walaupun awak minta maaf sekalipun, keadaan takkan kembali kepada sediakala. Awak dan keluarga awak sama sahaja. Apa lagi yang awak cuba musnahkan dari saya? Awak lakukan ini semata-mata saya menolak awak?"

 

Farrah tak faham. Apa yang awak merepek ni?

"Apa yang awak cakapkan ni??"

 

"Awak ingat saya tak tahu. Awak ingin balas dendam. Awak minta ayah awak pergunakan Haris untuk jatuhkan awak. Awak memang hebat. Semua perkara berlaku seperti yang awak rancangkan. Tak sangka awak seteruk ini." tambah Amir lagi.

 

Haaaahhhh? Apa yang berlaku sebenarnya? Dari gaya awak bercakap, seolah-olah awak tidak dipilih menjadi Pengarah syarikat dan merajui group milik keluarga awak berpunca dari Farrah? Mustahil!

 

Nampaknya selepas Diyana, giliran Amir memarahinya. Sekarang ini Farrah kena melayan tuduhan dari Amir.

 

"Mengapa awak kata begini? Apa bukti awak?" soal Farrah.

 

"Sewaktu ayah awak datang ke syarikat, ayah awak bisikkan sesuatu pada saya. Dia datang untuk lihat saya dalam keadaan memalukan. Ayah awak gunakan Haris. Awak juga sama. Haris dipengaruhi awak. Sebab itulah dia sentiasa bersama awak. Semuanya salah awak!"

 

"Tak mungkin!"

 

"Tanya ayah awak sendiri Farrah!"

 

Farrah kelu. Tidak menyangka ayahnya ada terlibat sama. Farrah faham niat ayahnya itu. Ayah cuba lakukan sesuatu untuk dirinya. Bagaimanapun dia tidak menyangkal apa yang dilakukan ayahnya semata-mata untuk melihat Amir dalam keadaan kalah bukanlah perkara yang baik.

 

Mengenai Haris pula, Farrah tak tahu sebabnya tapi Farrah boleh mengagak dia mendapat idea dan peluang selepas melihat perjanjian antara Amir, Farrah dan Dato Kamal berlaku beberapa bulan lepas. Secara tidak langsung perkara ini ada kaitan dengan dirinya. Farrah terluka seperti apa yang diramal Haris. Haris.. Awak kata akan ceritakan segalanya pada Farrah!

 

Kedua-dua mereka mempunyai sebab sendiri untuk bertindak demikian.

 

"Ada satu yang awak silap Amir.. tentang Haris. Ada baiknya awak tanya Haris sendiri apa yang berlaku. Tapi mengenai ayah Farrah pula.. Farrah takkan minta maaf. Apa yang berlaku pada awak sekarang ini disebabkan tindakan awak pada asalnya. Farrah hanya boleh minta ayah Farrah supaya tidak bertindak melulu dan susahkan awak lagi selepas ini."

 

"Apa? Buat sesuatu Farrah! Sekarang ini kita sama sahaja. Jika awak buat sesuatu, saya akan lupakan apa yang awak dah lakukan sehingga hari ini."

 

"Kita tak sama. Semuanya berpunca dari awak. Jangan lupa awak sentiasa susahkan Farrah dengan pelbagai kerenah awak. Ada baiknya kita masing-masing buat hal sendiri. Farrah takkan tolong awak." Farrah bergegas dengan cepat ingin meninggalkan kawasan itu. "Farrah akan balik sendiri. Selamat tinggal!"

 

Malam ini sangat teruk! Terserempak dengan Diyana yang marah, Bayazid mungkin tidak percayakannya lagi dan Amir pula menyalahkannya.

 

Cinta betul-betul boleh merubah seseorang. Diyana pada asalnya seorang yang lembut, tidak berani memberi pandangan sendiri dengan jelas bertukar jadi dramatik apabila timbul perkara berkaitan Amir. Dalam beberapa bulan ini Farrah dapat rasakan perbezaan sikap Diyana. Mungkin sekali terpengaruh Amir; kekasih high-spec-nya.

 

Amir pun sama. Dari sudut positif, bukan semua benda hilang diambil darinya. Dia masih mampu bahagia dan senang walaupun kehilangan jawatan yang diidamkan. Adakah sebab maruah awak? Rasa tercabar disebabkan adik sendiri telah mendahului awak?

 

Kedua-dua mereka menyalahkan Farrah. Anggap segalanya berpunca dari Farrah. Walaupun Farrah berusaha mengelakkan diri dari mereka sepanjang berada disyarikat. Walaupun Farrah sebenarnya si penakut yang hanya ingin hidup aman!

 

"Berpunca dari saya? Apa yang saya buat hanyalah jatuh cinta. Salah ke?" Amir mengejar Farrah dan tidak melepaskannya. Lengannya ditarik. Mukanya serius.

 

"Jatuh cinta tidak salah. Tapi awak perlu tanggung sendiri kesan dan akibatnya.Situasi awak berbeza dari kebanyakan orang lain."

 

Farrah menarik lengan minta dilepaskan tetapi tidak berjaya. Amir masih merenung dan menarik tangannya. Apa yang Farrah patut buat sekarang ini?

 

Dengan pantas, dia memijak kaki Amir sekuat-kuat hatinya. Sasaran ialah jari kaki.

 

Amir mengerang kesakitan lalu melepaskan tangannya. Farrah mengambil kesempatan untuk melarikan diri. Dia juga sempat menjerit, "Jangan cari Farrah lagi!"

 

Dari jauh Farrah dapat mendengar Amir menyumpahnya.

 

 

 

 

Dua minggu berikutnya, ada dua gosip yang tersebar dalam LinkComm.

 

Semua pekerja terkejut mendengar hubungan pasangan hangat syarikat itu, Amir dan Diyana sedang renggang. Diyana cuba menjauhkan diri, berkelakuan seperti kekasih yang asyik cemburu terhadap semua perkara manakala Amir berusaha memujuknya kembali. Tapi melihat betapa rajinnya Amir cuba mengambil hati dan juga reaksi Diyana, hanya masa menentukan mereka berdua akan kembali bersama semula.

 

Amir masih mendesak Farrah supaya melakukan sesuatu untuk membaiki keadaan menyebabkan Farrah asyik melarikan diri apabila terjumpanya dimana-mana.

 

Gosip kedua adalah mengenai Farrah. Semua pekerja kecoh apabila mendapat tahu Farrah dalam tempoh untuk berhenti kerja. Farrah memberi alasan ingin membantu ibunya walaupun wujud khabar angin lain mengatakan hubungan Amir dan Diyana sekarang ini ada kaitan dengan sebab Farah ingin berhenti. Tekaan mereka hampir tepat!

 

Shiela dan Nana memujuk Farrah supaya terus kekal bekerja menyebabkan Farrah memberitahu mereka berdua perkara sebenarnya. Oleh kerana ini adalah rancangan awal Farrah untuk berhenti pada mulanya, mereka berdua terpaksa menerima. Bersama Kak Siti, Kevin dan Cynthia, Farrah menghabiskan masa dengan orang yang rapat dengannya sepanjang tempoh itu.

 

Apabila Haris mendengar perkara ini, seperti biasa dia bertanya jika ada sesuatu yang boleh dilakukannya. Tiada!

 

"Ini masalah Farrah. Pengakhiran ini tidak seteruk mana. Janji dengan Farrah awak takkan buat sesuatu atau apa-apa sahaja demi Farrah. Janji!"

 

Bagaimanapun Haris hanya diam. Apabila Farrah memaksanya untuk berjanji, dengan cepat dia mengelakkan diri. Akibatnya, tiap kali berjumpa Haris dalam tempoh itu, perkara ini hilang tanpa disebut panjang. Atau lebih tepat lagi, Haris berusaha tidak mengungkit perkara ini.

 

Tak mungkin Haris yang berharap Farrah berada di syarikat itu tidak melakukan sesuatu. Rasa bimbang. Ada baiknya Farrah perhatikan setiap tindakannya. Orang seperti Haris mampu lakukan sesuatu. Apabila dipantau prosedur yang berlaku, Farrah dapati tiada campur tangan daripada orang lain atau Haris. Fuuh! Agaknya Farrah terlalu paranoid.

 

 

 

 

Hari berikutnya, Kak Siti mengajak Farrah keluar makan bersama-sama. Mereka berdua memilih kawasan tidak jauh dari syarikat.

 

"Maaf sebab rahsiakan perkara sebenar dan asyik meminta pertolongan awak. Mungkin awak dah sedar tapi ada sebahagian permintaan berasal dari Dato Kamal." Luah Kak Siti sambil meminta untuk terus berhubung dan berkawan walaupun selepas Farrah pergi.

 

Semuanya telah berlaku. Lain kali kita bertemu, kali ini giliran Farrah pula akan minta pertolongan dari Kak Siti. Sebagai pelanggan.

 

"Mana Bayazid ni? Sebenarnya Bayazid ingin bertemu awak. Harap awak tak kisah." Ujar kak Siti sambil melihat sekeliling.

 

Agaknya inilah tujuan sebenar Kak Siti.

 

Tidak lama kemudiannya Bayazid muncul lalu menghampiri mereka berdua. Kak Siti kemudiannya minta diri untuk beredar. "Kamu berdua perlu bincang baik-baik!" tambah Kak Siti lagi.

 

"Kak Siti berikan pandangannya tentang apa yang berlaku dalam bilik pengarah. Sekarang saya faham tindakan awak. Bagi saya, awak tak salah. Tapi Diyana terasa marah dengan tindakan awak adalah normal. Banyak perkara yang terjadi menyebabkan dia menolak untuk faham niat awak sebenarnya." Sambil bersuara Bayazid duduk bertentangan dengan Farrah.

 

Mendengar apa yang dikatakan Bayazid, Farrah merenung kembali tindakan yang dilakukanya.

 

Bayazid turut menceritakan apa yang berlaku selepas Diyana keluar dari Bilik Pengarah. Kecewa dengan sikap Amir yang tidak menghiraukan dan mempertahankannya, Diyana marah dan gelisah. Terserempak dengan Bayazid yang menegur keadaan Diyana yang tidak berkelakuan seperti selalunya, Diyana memberitahu apa yang berlaku kerana selain Amir hanya Bayazid yang rapat dan risau dengan dirinya. Terutama sekali pada waktu dia sangat-sangat memerlukan tempat untuk mengadu.

 

Diyana dan Bayazid bertemu secara senyap tanpa pengetahuan Amir. Keadaan itu berlarutan sehingga mereka berdua terserempak dengan Amir bersama Farrah pada suatu malam. Tapi Bayazid memberitahu apa yang mereka berdua lakukan cumalah berbual dan kebanyakannya mendengar masalah hubungan Diyana dan Amir.

 

Mmm.. Farrah dapat rasakan tidak semua Bayazid luahkan apa yang sebenarnya berlaku. Pastinya ada drama terikut sama dimana Bayazid cuba memujuk Diyana menerimanya sekali lagi tetapi akhirnya tetap ditolak. Dimana Farrah sedang meraikan kejayaan bersama Shiela dan Diyana dan juga keluar seharian bersama Haris, dalam seminggu itu juga, awak dan Diyana berada dalam situasi memikirkan masalah berkaitan hubungan kamu berdua. Mmm.. Ada baiknya Farrah tidak bertanya lebih-lebih dari sepatutnya.

 

"Melihat Diyana berkeras ingin bersama Amir, tiada peluang untuk saya mengganggu mereka.Walaupun banyak kali saya pujuk.."

 

Dah agak!

 

Melalui kata-katanya lagi, Bayazid mulai berkira-kira untuk pasrah dengan hubungannya dengan Diyana.

 

Biar betul? Nampaknya Bayazid sedia mengambil keputusan yang berat. Farrah rasa bersimpati. Awak lelaki baik. Pasti ada perempuan diluar sana yang sudi jadi pengganti Diyana. Farrah doakan kebahagian awak. Ambil ini! Farrah pesan sepotong Matcha Burnt Cheesecake khas untuk awak. Farrah belanja.

 

"Awak sangat penyabar. Dengan apa yang berlaku, awak sepatutnya marah Amir dan Diyana dan luahkan apa yang awak rasakan selama ini seperti mereka berdua." soal Bayazid.

 

"Farrah bukannya penyabar seperti yang awak fikirkan. Rasa marah memang ada tapi luahkan segalanya pada mereka berdua hanya memanjangkan lagi konflik yang ada. Sangat memenatkan. Tengoklah apa yang berlaku. Tanpa lakukan sesuatu sekalipun, Farrah dapat gelaran yang pelik dan kebanyakan orang masih salah faham dengan diri Farrah."

 

"Awak terlalu baik hati."

 

Farrah hanya tersenyum mendengar komen Bayazid.

 

Mereka berdua terus berbual-bual mengenai perkara lain kebanyakannya berkisar mengenai rancangan Farrah selepas berhenti kerja.

 

"Kak Farrah!" Seseorang menghampiri Farrah lalu menyapanya. Orang itu ialah Putri. "Putri dalam perjalanan ke syarikat untuk cari kak Farrah. Semasa singgah kawasan ini, ternampak kelibat Kak Farrah dari jauh."

 

Dia kemudian tersedar kehadiran Bayazid. Melihat reaksi Putri, ini kali pertama dia melihat Bayazid.

 

"Putri.. Perkenalkan lelaki ini ialah Bayazid Iskandar. Kawan akak. Salah seorang pekerja syarikat ayah awak."

 

"Nama saya Putri Sofea. Dato Kamal adalah ayah saya. Saya harap saya tak menganggu kamu berdua. Tapi saya betul-betul ada sedikit urusan bersama Farrah. Boleh saya ambil sedikit masa kamu berdua?"

 

Berbeza dengan sikapnya yang suka merenggek dihadapan Farrah, nampaknya Putri boleh bersopan dan membawa diri dengan baik apabila berjumpa dengan orang yang tidak dikenalinya.

 

"Saya kenal awak. Amir pernah tunjukkan gambar awak dan ceritakan serba sedikit mengenai awak. Katanya dia ada seorang adik perempuan yang sangat bising dan kuat mengarah. Agaknya Amir silap." Balas Bayazid.

 

"Betulkah? Tak sangka awak salah seorang kawan abang saya! Ya, saya pasti abang Amir silap cakap. Huhuhuhu!"

 

Bayazid mungkin sekali tiada niat dan maksud tertentu apabila dia berkata begitu tapi cukup membuatkan Putri jadi panik seketika. Malam ini di kediaman Dato Kamal, seseorang akan ditengking Putri.

 

Oleh kerana Bayazid tidak kisah, akhirnya Putri turut makan dan berbual dimeja yang sama. Dalam perbualan itu, Putri turut terkejut dengan berita mengenai Farrah yang akan berhenti kerja. Dihadapan Bayazid, Putri berusaha tidak melepaskan segala perasaan dan pandangannya mengenai hal tersebut.

 

"Sebenarnya tujuan kedatangan Putri berkaitan dengan Parti Hari Jadi nanti. Bayazid, oleh kerana awak kawan abang dan Kak Farrah, apa kata awak datang sekali? Awak tak perlu bawa hadiah. Cukuplah dengan kehadiran awak."

 

Mereka berdua kemudiannya bertukar nombor untuk memudahkan Putri menghantar info mengenai partinya.

 

Nanti dulu! Apa yang awak buat Putri? Awak cuba memujuk Bayazid supaya hadir ke parti awak? Mengapa awak kelihatan segan? Jangan-jangan awak jatuh hati pada Bayazid. Adakah Bayazid salah seorang sasaran bakal kekasih awak? Umur Bayazid tujuh tahun dari awak! Adakah lelaki berumur type awak? 

 

Tidak pasti jika Farrah bersetuju atau tidak, tapi ada baiknya Farrah perhatikan sahaja tindakan Putri mulai sekarang. Dan Bayazid tidak sedar langsung perasaan Putri terhadapnya. Jalan awak masih terlalu jauh Putri!

 

 

 

 

Selepas itu, Farrah dapat tahu bahawa Putri juga turut menjemput Diyana ke partinya. Dengan kehadiran Bayazid dan Diyana sewaktu parti itu nanti, pasti ada sesuatu yang akan berlaku nanti!


Mungkin Farrah patut berpura-pura sakit pada hari itu.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Seri Pagi