Home Novel Komedi/Romantik Komedi Aku villainess pantang menyerah kalah!
Aku villainess pantang menyerah kalah!
Seri Pagi
12/3/2020 11:52:05
50,010
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Senarai Bab
09

Amat jarang terserempak dengan Kevin pada waktu awal pagi, dengan segera Farrah menyapa dan berhenti seketika untuk berbual dengan lelaki itu. Dia kelihatan tidak bersemangat. Disebabkan cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini, kali ini hanya permainan bowling dan futsal sahaja mengisi jadual hujung minggu kumpulan mereka sepanjang musim ini. Sebagai seorang yang aktif, keadaan ini menyebabkan dia merunggut.

 

"Kak Siti pun satu hal. Awak tahu Cik Farrah, beberapa hari lepas dia tertinggal kunci kereta dan hanya sedar apabila sampai dilobi. Kemudian saya terpaksa bersusah payah naik ke atas semula untuk mengambil kuncinya. Walaupun saya ada ingatkan dia sebelum ini. Apa lagi cara yang patut saya buat?" Runggut Kevin lagi.

 

Maaf Kevin, Farrah hanya mampu bersimpati. Kak Siti dengan pelbagai kerenah adalah perkara biasa. Mungkin apa yang awak perlukan adalah seorang lagi rakan yang sudi berkongsi beban awak. Bukan Farrah.

 

Sewaktu sedang mendengar cerita Kevin, ekor mata Farrah telihat kelibat seseorang.

 

"Hai Bayazid! Mari sini kejap." Panggil Farrah.

 

Pada mulanya Bayazid teragak-agak tetapi akur apabila melihat Kevin disebelah Farrah.

 

Muka Kevin pucat bila teringat kembali perkara yang pernah berlaku antara mereka sebelum ini.Tapi Farrah menyuruhnya bertenang.

 

Ini peluang baik untuk Bayazid dan Kevin. Buat Bayazid, Kevin boleh jadi rakan barunya. Buat Kevin pula, dia boleh perkenalkan orang suruhan- Ehem! Calon penolong baru kepada Kak Siti.

 

Melihat potensi Bayazid, sudah tentu Kak Siti akan berminat padanya. Jika bernasib baik, Farrah akan terlepas bebas tidak lagi perlu terikat memenuhi permintaan Kak Siti yang kadangkala mampu membuatkan seseorang stress.

 

Ohohoho.Bijak! Kadangkala Farrah rasa kagum dengan diri sendiri.

 

"Bayazid..Ini Kevin. Awak pernah jumpanya sebelum ini. Banyak perkara berlaku antara kita bertiga sebelum ini. Mulai hari ini, lupakan kisah lama." ujar Farrah.

 

Bayazid menghulurkan tangan kepada Kevin. Kevin menyambutnya.

 

Melihat gelagat mereka berdua, Farrah mengerut dahi.

Cakap sesuatu Bayazid! Jangan diam. Awak pun sama Kevin. Jangan berlagak seperti awak faham apa yang berlaku.

 

Farrah takkan mengalah! Kamu berdua patut berbaik-baik.

 

"Hari ini, apa kata kita semua makan bersama-sama. Jangan lupa ajak Kak Siti, Kevin.Bayazid boleh berkenalan dengannya." Kevin bersetuju dengan cadangan Farrah itu.

 

Farrah terasa bagaikan cikgu sekolah yang melihat perkembangan anak muridnya. Dengan rasa tanggungjawab, Cikgu Farrah akan pastikan murid bermasalah Bayazid dapat menyesuaikan diri sepenuhnya dengan rakan baru Kevin!

 

Jadi Bayazid, berhenti lihat Farrah dengan pandangan terkejut 'Jangan buat keputusan sendiri!' Awak murid tidak tahu bersyukur!

 

Tiba-tiba lengan Farrah ditarik seseorang. Farrah melihat siapa yang ada disebelahnya. Kelihatan Haris sedang membalas pandangan Bayazid dan Kevin.

 

"Apa kamu berdua mahukan dari Farrah kali ini? Terutama awak Bayazid!" Nada Haris sedikit keras. 

 

Dari sudut pandangan Haris, dia berangapan Farrah dalam masalah sedangkan apa yang dilakukan mereka bertiga hanya berbual.

 

Ketiga-tiga lelaki itu saling membalas pandangan. Kevin bertukar pucat sekali lagi manakala Bayazid dengan wajah kakunya.

 

"Haris..Awak salah faham." dengan cepat Farrah meredakan keadaan.

 

Haris masih lagi tidak melepaskan lengan Farrah. Apa yang dikatakan Farrah sebentar tadi tidak diendahkan oleh Haris.

 

"Cik Farrah.. Bayazid..  Jumpa nanti. Saya perlu bersarapan dengan teman wanita saya, Cynthia. Cynthia sedang menunggu sekarang ini." beritahu Kevin sebelum melarikan diri. Suaranya ditekan memberi emphasis pada sebutan 'teman wanita'.

 

Kali ini tinggal Farrah, Bayazid dan Haris. Suasana kini jadi lebih dingin.

 

Berani Kevin melarikan diri seorang diri! Haris.. Bayazid.. Jangan bergaduh! Farrah percaya kamu berdua boleh jadi kawan.

 

"Haris.. Ada banyak yang berlaku sewaktu awak tiada. Farrah akan ceritakan semuanya pada awak. Pendek kata, Farrah dan Bayazid bukan lagi seperti sebelum ini." Ujar Farrah.

 

 Dia melihat Bayazid untuk memberi signal. 'Tolong leraikan salah faham atau ada baiknya awak beredar sekarang juga!'

 

"Saya dengar banyak cerita mengenai awak. Kata mereka, awak bekerja dengan baik sekali. Sebab itulah Dato Kamal berikan banyak tugasan kepada awak. Baru-baru ini, Khabarnya awak baru balik dari Jakarta atas urusan kerja."

 

"Tak sangka awak tahu banyak perkara mengenai saya walaupun awak sentiasa bersama Amir. Saya rasa bangga. Tapi sekarang ni saya ingin tahu apa yang awak mahukan dari Farrah? Saya nak tahu juga." jawab Haris.

 

Mereka berdua saling berpandangan. Bagaikan ada panahan kilat dalam renungan mereka berdua.

 

"Apa kata awak dengar dari Farrah sendiri. Dia yang panggil saya. Dan ada baiknya awak lepaskan pegangan awak. Nampak menyakitkan." Tegur Bayazid. Dia memandang lengan yang masih dipegang kuat oleh Haris sebelum beredar.

 

Melihat Bayazid yang semakin jauh, Haris melepaskan lengan Farrah lalu meminta maaf.Wajahnya kelihatan sugul seketika.

 

Ada baiknya Farrah tukar topik sekarang!

 

"Bagaimana dengan business trip selama dua minggu?"

 

"Teruk.Lawatan sepatutnya habis pada minggu lepas. Disebabkan adanya masalah, saya terpaksa tunggu seminggu lagi. Lain kali saya akan hantar orang lain ke sana untuk berbincang dengan mereka. Saya tak mahu berada jauh dari syarikat ini." runggut Haris sambil merenung Farrah.

 

Pada mulanya Kevin. Sekarang ini Haris. Semua orang merunggut pada hari ini. Adakah disebabkan musim hujan sekarang ini? Cuaca yang gelap dan suram mampu mempengaruhi mood.

 

"Haris!" Sapa Amir dari belakang. "Jangan buat saya tunggu disini. Lebih baik kita berdua segera ke bilik Pengarah sekarang juga."

 

"Kalau begitu, awak boleh pergi dulu. Saya masih ingin berbual lagi." balas Haris.

 

Amir mengeluh. Sebelum beredar, dia sempat menjeling ke arah Farrah.

 

Jika Amir tiba dalam masa yang sama dengan Haris, sangat pasti dia melihat segala-galayang berlaku sebentar tadi. Agaknya apa yang dia fikirkan sewaktu lihat keadaan ini semua? Farrah dapat rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku selepas ini.

 

*

 

*

 

Tengahari itu, kawasan meja dimana Farrah dan yang lain berkumpul amat meriah. Biasanya hanya Farrah, Shiela dan Nana menghabiskan waktu makan tengahari bersama-sama.kali ini, lima orang lain turut bersama mereka. Mengelilingi meja dihadapan mereka, di sebelah kanan Farrah ialah Haris, Shiela dan Nana manakala kirinya ialah Kak Siti, Bayazid, Kevin dan Cynthia.

 

Farrah amat terkejut apabila Cynthia dan Haris ingin turut serta sekali. Apa boleh buat. Makanan bertambah lazat apabila makan beramai-ramai. Malah Farrah dapat memerhatikan gelagat mereka semua satu-persatu. 

 

Cynthia sangat gembira sambil mengambil beberapa keping selfie sejak tadi.

 

"Bayazid.. Boleh saya ambil gambar awak bersama Kevin? Peluang sebegini jarang ada."

 

"Hei." tegur Kevin tapi tidak diendahkan Cynthia.

 

Dengan spontan Bayazid memandang kamera. Agaknya dia tidak kisah gambarnya diambil.

 

"Ada banyak aktiviti menarik dalam CSR tahun ini. Berminat? Kami alu-alukan orang seperti awak." Pelawa Kak Siti kepada Bayazid.

 

"Saya akan pertimbangkannya." jawab Bayazid.

 

"Hujung minggu ini ada perlawanan Bowling. Apa kata awak ikut sertai sekali? Datang tengok sahaja dah cukup." Tambah Kak Siti lagi.

 

Bersama dengan orang lain, reaksi Bayazid normal seperti orang lain. Mengapa dengan Farrah sahaja dia bersikap berbeza?

 

Pandangan Farrah kemudian beralih kepada Haris dan Nana.

 

"Saya dengar employee exchange programme dibuka tahun ini. Mereka kata awak yang kendalikannya. Betulkah?"

 

"Ya.Yang berminat boleh apply melalui system." Balas Haris kepada Nana.

 

Seperti biasa, mereka berdua bertukar info.

 

"Haris! Apa kata awak ikut perlawanan Bowling hujung minggu ini?" Kak Siti mencelah untuk mempelawa Haris. Dalam jangkaan, Dia tidak melepaskan peluang menarik banyak pekerja lain untuk terlibat dalam aktiviti mereka.

 

"Maaf. Saya sentiasa ada perkara yang perlu diuruskan walaupun pada hujung minggu." Haris menolaknya.

 

Kak Siti kelihatan sedikit hampa.

 

Hmm- Ini pertama kali Farrah dengar perkara ini. Takkanlah Haris masih sibuk walaupun hujung minggu? Atau ini cuma alasan? Mana satu yang betul?

 

Sebelum ini, bila Farrah ceritakan apa yang berlaku antara Farrah dan Bayazid, Haris menggerutkan dahinya. Dia tidak setuju betapa mudahnya Farrah memberi peluang kepada orang lain.

 

"Awak sangat naive. Tiada perkara teruk berlaku sekiranya awak biarkan Bayazid bersendirian sekalipun. Dia sendiri patut sedar risiko perbuatannya awal-awal lagi. Lebih baik awak jauhkan diri daripadanya."

 

Jangan kata sesuatu yang kejam! Apa yang dikatakan Haris mungkin betul tetapi tiada perikemanusiaan. Adakah awak salah seorang murid bermasalah? Nampaknya giliran Imaginary Cikgu Farrah untuk munculkan diri.

 

"Awak okey Shiela? Mengapa senyap?" tanya Nana.

 

"Cuba tengok sekeliling. Semua orang sedang perhatikan kita semua. Jarang ada kumpulan besar berkumpul di Kafeteria seperti begini." bisik Shiela.

 

"Awak terlebih risau sangat." ujar Nana.

 

"Jika ditanya, katakan sahaja kita sedang berbincang sesuatu yang penting." tambah Cynthia. Dia turut terdengar apa yang dibisikkan Shiela di sebelahnya.

 

"Cynthia, jangan lupa kongsikan gambar yang awak tangkap pada saya."

 

"Okey." jawab Cynthia kepada Nana.

 

 

 

Semua orang tidak mengendahkan apa yang berlaku. Shiela tetap berasa risau. Dia melihat Farrah. Sekarang ini Farrah sedang hanyut dalam dunianya sendiri.

 

 

 

 

 

Petangnya, Farrah terkejut apabila dipanggil masuk ke dalam sebuah bilik mesyuarat. Pintu dibuka, kelihatan salah seorang boss Farrah sedang meneliti dokumen di tangan manakala Amir sedang melihatnya masuk mengambil tempat duduk dihadapan mereka berdua. Farrah dapat agak ini perkara berkaitan dengan acara pelancaran yangakan diadakan tidak lama lagi.

 

"Pada hari launching event nanti, ada wakil dari anak syarikat datang untuk bermesyuarat. Oleh kerana mereka datang untuk buat inspection, Amir cadangkan mereka lihat acara yang awak kendalikan. Awak boleh dengar maklumbalas dari mereka. Ini peluang baik untuk dengar pandangan dari orang luar. Jadi Farrah, uruskannya dengan baik." Ulas ketua itu padanya.

 

Peluang baik hah.. Farrah tahu apa yang berlaku disini.

 

Acara pelancaran kali ini bukanlah majlis besar-besaran dimana pelangan yang berpotensi dari pelbagai tempat datang semata-mata untuk menghadirinya acara ini. Ianya Cuma salah satu aktiviti promosi permulaan yang berlaku disekitar kawasan lobi syarikat sahaja. Tujuannya untuk memberi penerangan dan menggembar-gembur kewujudan product dan servis baru. Itulah apa yang Farah kendalikan sekarang ini. Selebihnya serah kepada team lain untuk mempromosikannya melalui online.

 

Tapi Amir disini mencadangkan wakil anak syarikat meninjau acara pada hari lawatan mereka. Malah meminta untuk mendengar maklumbalas dari mereka. Walaupun ianya sesuatu yang baik dan boleh dilakukan, tapi ianya tidak perlu. Maklumbalas dari pelanggan biasa dah mencukupi.

 

Dari apa yang disampaikan oleh ketua Farrah lagi, wakil dari anak syarikat yang beroperasi di Jakarta itu datang membuat inspection sama seperti apa yang dilakukan Haris. Kebetulannya, hari mereka datang ke syarikat ini adalah sama tarikh dengan acara diadakan. Dan orang yang akan menemani wakil tersebut hari itu adalah Amir.

 

Amir sengaja berikan kerja tambahan kepadanya, Tengok sahaja matanya yang seakan-akan tersenyum sama seperti mulutnya. Mungkin dia sedang menunggu reaksi Farrah sekarang ini.

 

Farrah menyumpah dalam hati.

 

Semoga mata awak kering atau hidung awak berair semasa bekerja. Semoga awak sakit perut dan berada lama dalam tandas. Semoga jari kelingking kaki awak tersepak meja atau dinding. Semoga awak dapat mimpi buruk pada malam ini.

 

Perkara kecil sebegini sudah cukup menghalang kelancaran kerja seseorang dalam sehari. Biar mood awak sentiasa dalam keadaan buruk!

 

"Adakah awak guna prop yang sama seperti launching event sebelum ini? Boring! Tukar kepada idea baru! Buatkan wakil dari syarikat lain rasa terhibur. Syarikat kita patut jadi contoh pada mereka. Jangan lupa tambah aktiviti lain yang boleh pekerja LinkComm ikut serta sekali. Biarkan mereka release stress sekali sekala." Amir menyelit pelbagai permintaan sekaligus.

 

"Masa tidak mencukupi untuk lakukan sesuatu yang baru. Tolong pertimbangkan!" Bantah Farrah. Ada baiknya ikut sahaja rancangan asal. Masa lebih kurang dari dua minggu memang tidak cukup.

 

"Awak tak perlu ubah segalanya dalam proposal. Senarai baru boleh ditambah dalam borang lain. Proposal yang sama, performance sahaja berbeza. Jangan risau pasal budget. Saya mahu sesuatu kelainan kali ini." Jelas Amir.

 

"Jadi, Berikan contoh atau perkara specific yang awak mahukan. Sekurang-kurangnya Farrah boleh compromise dalam bab itu."

 

"Tiada. Itu kerja awak untuk fikir dan urus semuanya. Saya ingin lihat awak mampu lakukannya atau tidak!" cabar Amir. Tidak mahu menolongnya.

 

Jangan minta perkara mustahil!

 

Tentang wakil, awak yang sepatutnya hiburkan mereka. Itu kerja awak! Bukan Farrah. Slot aktiviti pula perlu dirancang baik-baik supaya menepati tujuan acara pelancaran kali ini. Farrah berhak abaikan apa yang awak cadangkan jika perlu.

 

"Cadangan yang baik. Mungkin kita patut ubah cara lama. Ambil kesempatan ini untuk tukar prop baru. Tentang aktiviti pula, satu atau dua dah cukup. Pastikan aktiviti boleh disertai oleh pelanggan dan pekerja syarikat yang tidak terlibat. Saya percaya awak mampu lakukan semua ini Farrah. " Sokong ketua Farrah tanpa mengetahui niat sebenar Amir.

 

TIIIDAAAKKKK!

 

Dua lawan satu. Farrah kalah.

 

Amir kelihatan berpuas hati. Senyumannya masih tidak hilang sejak tadi.

 

"Hahahaha. Buatkan kami semua surprise Farrah!" laung Amir apabila mesyuarat berakhir.

 

Aarrgghh! Berani Amir campur tangan pada waktu singkat begini! Rasa hendak mengamuk sekarang ini.

 

Farrah mengulangi sumpahan dalam hati.

 

*

 

Dalam perjalanan ke Bahagiannya, Farrah terpaksa berhenti apabila sekumpulan pekerja wanita mengelilinginya. Apa pula kali ini?

 

"Berkumpul ramai-ramai di Kafeteria? Awak rancangkan sesuatu?"

 

"Apa hubungan awak dengan Bayazid? Mengapa dia bersama awak jika dia ada hati dengan Diyana."

 

"Saya nampak awak keluar dari bilik mesyuarat yang sama dengan Amir tadi. Hal apa pula kali ini?"

 

"Jelaskan hubungan sebenar awak dengan Haris!"

 

Bertalu-talu soalan mereka berikan. Mereka antara pekerja yang suka mendengar gosip dalam syarikat. Farrah kenal mereka semua. Sebelum ini, mereka tidak pernah ambil peduli dengan hal Farrah kerana mereka lebih banyak fokus pada hal Amir, Diyana, Bayazid dan Haris.  Agaknya mereka mula memberi tumpuan kepada Farrah yang semakin menonjol kebelakangan ini.

 

Selepas gosip Bayazid, sekarang giliran Farrah.

 

Farrah akhirnya faham mengapa begitu mudah Diyana menceritakan apa yang berlaku antara Amir dan Bayazid. Dikelilingi oleh sekumpulan wanita yang asyik mendesak dengan pelbagai soalan seperti ini, sesiapapun terpaksa berterus-terang kerana tidak mahu masalah lain timbul.

 

Tapi..kamu semua takkan mudah mempengaruhi Farrah. Tiada gosip atau cerita yang awak semua boleh cari dari Farrah.

 

"No comment!"

 

Tergamam, semua pekerja wanita itu kaku sambil melihat Farrah bergerak membolosi ruang terbuka antara mereka semua.

 

"Sombongnya. Sememangnya villainess. Langsung tiada perasaan." Salah seorang wanita dalam kumpulan itu bersuara.

 

Hah?

 

Farrah terhenti tapi tidak menoleh.

 

Opps! Jangan terpengaruh Farrah. Sabar! Teruskan perjalanan. Jangan layan mereka.

 

"Tak sedar diri. Awak ingat awak hebat sangat!" Tambah salah seorang perempuan lagi dalam kumpulan itu lagi.

 

Berani mereka semua..

 

Dengan rasa marah Farrah menoleh.

 

Kemarahannya hampir dilepaskan bila Shiela dan Nana muncul pada masa yang tepat lalu menengking mereka semua bagi pihak dirinya.

 

"Apa? Ulang sekali lagi! Berani kamu semua mendesak Farrah sewaktu dia keseorangan.Tak malu!" Shiela muncul sambil bercekak pinggang. Nana berada dibelakangnya.

 

"Kami cuba menyoalnya dengan cara baik. Tapi dia sombong sangat."

 

"Saya nampak apa yang awak semua lakukan. Kamu kata soalnya dengan cara baik? Dari awal lagi kamu tidak layak menyoal Farrah." marah Shiela sekali lagi.

 

"Excuse me. Zaman Farrah dah lama tamat. Pengaruh dia semakin hari semakin berkurangan.Tak macam dulu lagi. Sekarang ini taraf dia sama sahaja dengan kita semua." lawan salah seorang wanita dalam kumpulan itu.

 

"Berani awak kata begitu. Saya cabar awak semua ulang sekali lagi. Walaupun kamu ada empat orang, saya tak takut." marah Shiela sambil mula menyingsing lengan blouse bajunya.

 

"Untuk pengetahuan awak semua, Farrah pilih untuk berdiam diri dan memerhati sahaja perkara yang berlaku. Ini pilihan dia sendiri!" Kali ini Nana mencelah dari tepi.

 

"Ada kami semua kisah!" Balas wanita berkumpulan itu.

 

Berhenti!

 

Melihat mereka semua yang sedia untuk bercakaran pada bila-bila masa, Perasaan marah Farrah tadi terus lesap.

 

Mengenai apa yang dikatakan oleh wanita berkumpulan itu, semuanya adalah betul. Farrah tidak nafikan pengaruhnya semakin berkurangan. Ini semua kerana imej dan nama baiknya semakin jatuh selepas kemalangan ditambah lagi hubungannya dengan Amir sekarang ini yang renggang. Apa yang menyebabkan dia masih bertahan dalam syarikat itu cumalah pengalaman kerjanya serta hubungan baiknya dengan beberapa orang pekerja senior.

 

Apa yang Farrah mahukan cumalah bekerja dengan aman sepanjang tahun ini. Farrah dah tak kisah dengan perkara lain.

 

Melihat keadaan sekeliling, nampaknya beberapa pekerja lain yang berada di kawasan itu mula memandang mereka semua.

 

Jika keadaan ini jadi lebih teruk, mereka semua akan dikenakan tindakan disiplin. Perkara terakhir yang ingin Farrah lihat ialah Shiela dan Nana yang turut menerima tindakan semata-mata kerana ingin menolongnya.

 

Hentikan pertengkaran ini!

 

Bagaimanapun berada ditengah-tengah dua kumpulan yang sedang saling menjeling tajam antara satu sama lain amat menakutkan. Tangan Farrah terasa seram sejuk.

 

Fikirkan sesuatu Farrah! Cepat! Cepat! Cepat!

 

"DENGAR SINI SEMUA! Farrah ada satu pengumuman. Perkara ini sepatutnya rahsia, tapi hari ini, Farrah sudi kongsikan satu info pada semua orang." dengan suara yang kuat, Farrah menarik perhatian semua yang ada di kawasan itu.

 

Semua orang tercengang sambil memandang Farrah.

 

Dalam diam, Farrah mula berpeluh dingin.

Penggumuman? Farrah sendiri tak tahu apa yang Farrah merepek sekarang ni!

 

Ah!

 

"S-SURPRISE! Dalam acara pelancaran dua minggu dari sekarang, akan ada kejutan besar pada semua pekerja LinkComm."

 

AAAAAAAAHHHHHHHHH!

 

Farrah menipu semua orang sekarang ini! Farrah tipu semua orang! Nanti dulu, adakah Farrah tersasul tadi?

 

Memalukan! Ini semua salah Amir. Tiba-tiba Farrah teringat apa yang dia laungkan sebelum keluar dari bilik mesyuarat.

 

"Apa kejutan yang awak maksudkan ni? Jangan tipu!" marah salah seorang wanita dalam kumpulan tadi.

 

"Acara pelancaran kali ini dikendalikan oleh team Farrah. Sudah tentu Farrah tahu apa yang berlaku." tambah Farrah lagi.

 

"Hmph- awak cuma mengarut sekarang ini. Agaknya kejutan yang awak cakap ni taklah sehebat mana. Apa lagi kejutan yang lebih hebat dari gosip sekarang ini?"

 

"Hei! Pekak ke? Tunggu sahajalah. Farrah tahu apa yang dia katakan. Saya percaya kamu semua pasti terkejut dan tak habis bergosip nanti." Shiela menyindir mereka.

 

Hieeee!

 

Berhenti Shiela! Jangan tambah minyak kedalam api yang sedang menyala.

 

"Baiklah. Kami semua akan tunggu sehingga hari pelancaran. Jika tiada kejutan seperti awak cakapkan ni, maknanya kamu bertiga cumalah kaki penipu!"

 

Sekumpulan wanita tadi beredar. Sekurang-kurangnya mereka tidak bergaduh dan bercakaran. Keesokannya, tersebar cerita adanya kejutan besar menunggu semua pekerja LinkComm dua minggu berikutnya.

 

Pastinya ini kerja empat orang wanita itu.

 

 

 

 

 

Acara yang mampu membuatkan Amir rasa terkejut dan wakil dari syarikat lain terhibur.Ditambah lagi kejutan besar yang lebih hangat dari gosip terbaru untuk sekumpulan wanita yang suka bergosip.

 

Farrah baru sahaja menempah maut sendiri.

 

Bolehkan Farrah ambil cuti sakit sehingga hari pelancaran nanti?

 

Previous: 08
Next: 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.