HAMPIR
tiga kali dia membuat panggilan namun isterinya itu tetap gagal dihubungi.
Hanya kedengaran voice mail menandakan
telefon bimbit Ayuni Zaara ditutup. Hatinya menjadi tidak sedap. Pantas dia
menghubungi Mak Esah di rumah.
“Ayu
dah balik rumah ke belum, Mak Esah?” soalnya sebaik sahaja Mak Esah menjawab
panggilannya.
“Belum
lagi, Kher. Mak Esah pun tunggu jugak Ayu balik tapi sampai sekarang belum
sampai-sampai lagi. Mungkin kejap lagi sampailah tu,” kata Mak Esah lembut.
“Ayu
mana pernah balik lewat macam ni Mak Esah. Kalau ada apa-apa, mesti dia telefon
saya. Ni tak, dah pukul sebelas lebih pun belum balik lagi. Risau pulak hati
saya ni. Mana pula dia pergi malam-malam macam ni?”
Khirul
Zaman sudah tidak senang duduk. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk.
Perasaannya sungguh risau mengenangkan isteri kesayangannya yang masih belum
pulang pada waktu begini.
Tidak pernah pula Ayuni Zaara pulang lewat seperti
itu. Ini mesti ada apa-apa yang berlaku. Khirul Zaman terus melangkah ke ruang
dalam sebelum menuju ke wad mamanya.
“Maafkan
Kher, mama! Kher terpaksa pergi dulu cari Ayu. Selagi Kher tak dapat cari Ayu,
selagi itulah Kher tak akan balik. Dah banyak kali Kher call Ayu tapi voice
mail. Janganlah ada apa-apa perkara buruk berlaku dekat isteri Kher. Risau
sangat hati ni. Mana pulak dia pergi agaknya malam-malam macam ni.”
Datuk
Hanafi melihat wajah Khirul Zaman murung.
“Kher
janganlah fikir yang bukan-bukan! Papa yakin Ayu tak ada apa-apa. Lebih baik Kher
cari Ayu sekarang! Hari pun dah jauh malam ni. Biar papa aje yang jaga mama,” kata
Datuk Hanafi.
“Terima
kasih, pa! Kher pergi dulu!” Sebelum melangkah keluar, Khirul Zaman sempat
menyalami tangan papa dan mamanya.
“Bawa
kereta tu hati-hati! Apa-apa hal call Akak nanti!” pesan Marini pula.
“Baik,
kak!”
Khirul
Zaman bergegas keluar dari hospital lalu menghampiri kereta Lexus miliknya.
Setelah menghidupkan enjin, dia meneruskan perjalanan ke tempat kerja
isterinya. Barangkali Aishah tahu di mana Ayuni Firsha berada.
*********
“KAK
Ayu memang dah balik pukul 9 tadi, Abang Kher. Lepas Sya datang dia terus balik,”
jelas Aishah semasa Khirul Zaman datang ke tempat kerjanya.
Ketika itu jam
sudah menghampiri ke angka 12.45 minit pagi. Tugasnya sebagai seorang receptionist disebuah hotel terkemuka di Kuala
Lumpur memaksa dia bekerja sehingga lewat pagi.
“Abang
Kher tak sedap hatilah, Sya. Kak Ayu tak sampai-sampai rumah lagi. Mana pulak
dia pergi agaknya? Dia ada cakap apa-apa kat Sya tak masa nak balik tadi?"
“Tak
ada pulak. Abang cubalah call dia.”
“Dah
tiga kali abang call Kak Ayu tapi tak dapat. Semuanya masuk dalam peti
simpanan suara. Kat mana lagi abang nak cari dia? Pening kepala abang fikir.”
Bertambah serabut fikiran Khirul Zaman jadinya. Dia kehilangan idea untuk
mencari isterinya.
Aisyah
kasihan pula melihat Khirul Zaman. Dia turut bersimpati dengan nasib yang
menimpa Ayuni Zaara. Sedih juga hatinya mendengar berita kehilangan gadis itu.
Moga-moga Ayuni Zaara berada dalam keadaan selamat ketika ini. Begitu doanya
dalam hati.
“Abang
buatlah laporan polis! Mesti pihak polis dapat bantu cari Kak Ayu,” cadang
Aishah kemudiannya.
“Kalau
ikutkan tadi memang abang nak buar report polis tapi biasanya kes orang
hilang ni boleh buat selepas orang tu tak ditemui dalam jangka masa 24 jam.
Abang dah buntu nak buat apa sekarang ni?”
Khirul
Zaman duduk berehat sebentar di kerusi yang terletak di ruang lobi hotel.
Nampak kusut wajahnya. Selepas satu peristiwa, dia kini diuji lagi dengan peristiwa
lain yang lebih mencabar keimanannya.
Seandainya berlaku apa-apa pada
isterinya, dialah orang yang paling bersalah dalam soal itu. Bermacam-macam
andaian buruk sedang bermain di mindanya kini.
“Mana
Ayu pergi, sayang? Abang tak tahu kat mana lagi nak cari Ayu. Baliklah sayang!
Abang tunggu, Ayu!” rayunya dalam hati.
Khirul
Zaman cuba kuatkan semangat. Dia tidak boleh jadi selemah itu. Dia perlu
mencari Ayuni Zaara sekarang ini juga. Pasti isterinya itu berada tidak jauh
dari sini. Selepas mengucapkan terima kasih kepada Aishah, dia meneruskan
pemanduan ke sekitar ibu kota. Mencari kalau-kalau terjumpa isterinya di
mana-mana.