Home Novel Cinta Cinta Tak Terduga
Cinta Tak Terduga
Wan Noorhidayat Wan Noorhidayat
26/8/2016 11:00:50
3,507
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

PANAHAN mentari pagi sudah bertebaran ke serata permukaan bumi. Sinarnya tidaklah seterik mana memandangkan saat itu baru sahaja menginjak ke angka 7.30 pagi. Awal pagi lagi, Ayuni Firsya sudah bangun. Selepas usai menunaikan solat subuh, dia bingkas ke dapur untuk membantu ibunya menyediakan sarapan pagi. Seperti biasa, begitulah rutin hariannya. Kalau semasa menuntut di sekolah menengah dulu, dialah insan yang rajin menolong Mak Siah di dapur. Kasihan pula melihat ibunya sendirian membuat kerja.

Selepas ini, tugas itu tidak mungkin dapat dilakukan kerana dia akan berangkat ke Kuala Lumpur pagi ini. Terasa seperti bermimpi pula untuk tinggal di bandar besar itu. Bukannya dia tidak pernah menjejakkan kaki ke situ, tetapi itu pun kerana mengikuti rombongan belajar semasa di sekolah dulu. Sememangnya, kenangan di sekolah tidak dapat dilupakan dari ingatan. Apatah lagi saat itu hatinya mulai dicuri oleh seorang jejaka yang selalu menjadi rebutan ramai gadis.

Qabil! Tiba-tiba nama itu terpacul dari bibir manisnya. Mengingati sebaris nama itu membuatkan Ayuni Firsya diamuk rindu. Apatah lagi apabila mengenangkan mereka akan berjauhan selepas ini. Ayuni Firsya buntu sekarang. Dia sedang berada dalam dilema yang berpanjangan. Dia pantas menuju ke laci almari sebelum mengeluarkan sekeping gambar. Wajah Qabil ditatap lama lalu diusapnya perlahan.

“Maafkan Sya, sayang. Sya terpaksa pergi ke Kuala Lumpur pagi ini juga. Doakan keselamatan Sya di sana, ya. Sya tak sampai hati nak bagitahu berita ni kat Qabil sebab tak nak Qabil risau. Andai ada jodoh antara kita nanti, InsyaAllah kita pasti akan bertemu.”

Air mata Ayuni Firsya akhirnya luruh ke bumi. Hiba benar hatinya saat itu. Dia seakan pasrah dengan nasib dirinya. Kehendak keluarga harus diutamakan. Kalau tidak mengenangkan Pak Badar dan Mak Siah, sudah pasti dia akan menolak hasrat mereka. Dia berhak untuk membuat keputusan. Namun, apalah dayanya. Sebagai seorang anak, dia wajib mendahului orang tua berbanding orang lain. Apatah lagi, dia dan Qabil masih belum punya apa-apa ikatan. Lelaki itu tidak berhak untuk diutamakan.

Biarlah Qabil ingin menyalahkan dia kerana bertindak tanpa meminta izin. Dia reda seandainya Qabil ingin membencinya. Walaupun cintanya pada lelaki itu setinggi Everest, namun tidak sehebat kasihnya pada keluarga yang tiada bertepi. Dia meletakkan harapan pada Yang Maha Esa. Andai ada jodoh di antara mereka berdua, sudah pasti akan bersua kembali. Ayuni Firsya meniupkan semangat baru dalam diri. Baginya, perkara paling penting dalam hidupnya adalah untuk berjaya sehingga ke menara gading. Itulah matlamat hidupnya sejak dulu lagi iaitu menggembirakan hati kedua-dua orang tuanya.

Soal teman lelaki diserahkan sahaja pada takdir. Niatnya untuk membantu keluarga harus menjadi keutamaan. ‘Aku perlu kuat,’ bisiknya di dalam hati.

“Assalamualaikum…”

Tiba-tiba terdengar satu suara garau memberi salam dari luar rumah membuatkan Ayuni Firsya terus tersedar dari lamunan panjang. Segera dia keluar dari bilik sebelum menuju ke ruang tamu. Dari jauh dia dapat melihat Pak Badar sedang bersalaman dengan seorang lelaki muda dan orang tua sebaya ayahnya. Barangkali, itulah Pak Hussin, congaknya sendiri. Dia sendiri sudah lupa bagaimana rupa Pak Hussin kerana waktu itu dia masih kecil.

Pak Badar menjemput mereka berdua masuk ke dalam sambil ditemani Mak Siah di sisi. Lama juga mereka berbual sebelum Mak Siah memanggil Ayuni Firsya yang masih tercegat berdiri di sebalik pintu bilik.

“Sya, pergi bersiap-siap dulu! Kejap lagi Pak Hussin dan Khuzer dah nak berangkat pergi ni,” jelas Mak Siah nyaring. Ayuni Firsya hanya mengangguk tanda mengerti.

Saat itu, anak mata Khuzer tertumpu pada seraut wajah Ayuni Firsya. Dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah gadis itu kerana dilindungi oleh kain langsir. Manis juga orangnya, bisik Khuzer tanpa sedar. ‘Ah, merepeklah aku ni. Aku nak cari pengasuh, bukannya isteri.’ Akalnya cuba menyangkal pandangan mata hati.

“Saya nak ucapkan terima kasih tak terhingga kat pakcik dan makcik sebab izinkan Firsya jadi pengasuh anak saya. Rasa macam bermimpi pula. Saya memang tak ada ikhtiar lain nak buat selain dengan cara ni. Bukan senang nak cari pengasuh dalam masa terdekat. Calon memang banyak tapi saya langsung tak berminat. Entah kenapalah apabila Pak Hussin usulkan cadangan untuk pilih anak pakcik saya terus aje setuju. Padahal saya sendiri pun belum tengok orangnya macam mana.”

Khuzer seakan pelik dengan dirinya. Seperti yang dikatakan tadi, dia memang hairan dengan kejadian ini. Hatinya terasa lembut sahaja untuk memilih anak gadis Pak Badar untuk dijadikan pengasuh anaknya. Bukannya tidak ada calon lain selain Ayuni Firsya, tetapi hatinya kuat membantah. Seperti tidak rela membiarkan orang yang tidak tentu hala menjaga permata hatinya. Pak Hussin juga pada mulanya tidak percaya dengan keputusan yang dibuat. Orang tua itu hanya memberi cadangan. Tidak sangka pula diambil serius.

“Pakcik hanya nak bantu kau aje, Zer. Kasihan pula apabila pakcik dengar masalah kau. Pakcik tak sampai hati pula. Mujurlah Firsya setuju nak bantu. Kalau dia tak setuju, pakcik pun tak boleh kata apa,” ucap Pak Badar menjelaskan hal sebenar kepada Khuzer.

Khuzer terdiam sejenak. Firsya! ‘Sedap nama tu, secantik orangnya. Eh, kenapa pulak dengan aku ni. Macam orang angau aje.’ Khuzer tidak puas-puas mengutuk dirinya kerana jadi tidak menentu sejak bersua muka dengan Ayuni Firsya. Dia cuba menenangkan hati dan beranggapan itu semua hanyalah mainan perasaannya sahaja.

“Khuzer, kenapa kamu diam pulak ni?” sapa Pak Hussin dalam usaha menyedarkan anak majikannya itu yang nampak macam orang angau bercinta.

Khuzer terpana seketika apabila disergah begitu. Pandangannya terus dialihkan ke wajah tua Pak Hussin.

“Maafkan saya pakcik. Tak sedar pula bila masa saya boleh berkhayal sejauh ni.” Wajahnya tersipu-sipu malu mengenangkan perbuatannya tadi.

“Teringatkan siapalah agaknya kamu ni, Zer. Nak kata ada bini, dah lama jadi duda. Khuzer, Khuzer!” Pak Hussin hanya menggeleng melihat sikap Khuzer. Entah siapalah yang dingatkannya sekarang.

Khuzer tersenyum, menampakkan barisan giginya yang memutih. Kemudian dia mengeluarkan sebuah sampul surat berisi duit sebagai sumbangan ikhlas kerana membantu.

“Pakcik, ini sumbangan saya buat pakcik sekeluarga kerana sudi membantu. Terimalah pemberian saya ini dengan rela hati. Duit ni saya beri ikhlas. Tak ada tersimpan apa-apa maksud pun. Apa yang mampu saya ucapkan hanyalah ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas jasa baik pakcik sekeluarga. Terimalah sumbangan saya ni!” Khuzer pantas menyerahkan sampul surat berisi wang itu kepada Pak Badar.

“Eh, apa ni, Zer. Pakcik tak minta pun semua ni. Apa yang pakcik buat ikhlas kerana Allah Taala. Tak pernah nak harapkan apa-apa balasan dari kamu.”

Pak Badar menolak keras pemberian Khuzer. Dia berat hati untuk menerima sumbangan itu kerana bimbang dikatakan mengharap balasan orang. Mak Siah juga kelihatan serba salah apabila mendengar ucapan anak muda itu.

“Pakcik jangan salah anggap. Saya memang ikhlas nak beri duit ni kat pakcik. Niat saya betul-betul jujur nak tolong ringankan beban pakcik sekeluarga. Anggaplah ini sebagai rezeki dari saya. Saya harap pakcik dapat terima dengan hati yang terbuka.”

Bersungguh-sungguh Khuzer meyakinkan Pak Badar dan Mak Siah.

“Betul cakap Khuzer tu, Dar. Kau terima ajelah pemberian dia. Apa yang dia cakap tadi tu memang ikhlas dari hati. Tak perlulah kau nak rasa serba salah pulak,” tambah Pak Hussin, menyokong tindakan murni Khuzer. Dia memang cukup kenal dengan keluhuran hati anak muda itu. Walaupun dilimpahi dengan kemewahan harta benda, namun Khuzer tidak pernah sekali pun meninggi diri. Sikap pemurahnya itu saling tidak tumpah macam ayahnya, Datuk Mansur.

“Terima kasih banyak, Zer,” ucap mereka suami isteri tanpa banyak bicara.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wan Noorhidayat Wan Noorhidayat