Langit makin
gelap. Awan hitam sudah berkumpul. Sesekali, angin petang bertiup kencang.
Sebentar lagi pasti hujan akan turun membasahi bumi. Ghani mempercepatkan
langkah menuju ke arah kubur Pak Daud. Di tangannya ada sebuah cangkul. Dia
tidak mahu melengah-lengahkan masa.
Baru dua hari
Pak Daud dikebumikan. Pak Daud merupakan seorang dukun yang terkenal di Kampung
Teluk Empang. Dia mati akibat sakit tua. Menurut cerita orang-orang lama, Pak
Daud ada membela hantu raya. Entah benar entah tidak, Ghani tidak pasti. Apa
yang dia tahu, Pak Daud ada memiliki kuasa kebal. Dan menurut cerita
orang-orang kampung, semasa Pak Daud meninggal dunia, cincin pusaka yang
dipakai di jari manisnya tidak boleh ditanggalkan.
Sudah banyak
kali mereka mencuba, tetapi tetap tidak berjaya. Kerana cincin pusaka itulah Ghani
berada di tanah perkuburan itu. Dia menginginkan cincin itu supaya badannya
menjadi kebal dan kuat.
Ghani mendongak
ke atas langit. Langit semakin hitam pekat. Ghani tidak mengendahkan semua itu.
Dia pantas mencapai cangkul lalu menggali kubur Pak Daud dengan laju. Sesekali,
matanya melingas ke kiri dan ke kanan. Bimbang juga andai ada orang yang datang
ke situ.
Tanah perkuburan
itu terletak agak jauh di hujung kampung. Jadi, tidak mungkin ada yang berani
datang jika tidak ada urusan melibatkan kematian.
Setelah hampir
sepertiga tanah digali, tiba-tiba dia terdengar suara seseorang. Cepat-cepat
dia menoleh ke belakang. Namun tiada sesiapa di situ.
"Ghani...tolong
aku Ghani! Lepaskan aku Ghani!" Suara itu berbisik halus di telinganya.
Tiba-tiba bulu romanya meremang. Seram sejuk tubuhnya saat itu.
Ghani meneruskan
kerjanya. Apabila cangkulnya sudah mengenai papan keranda, dia berhenti
sekejap. Hampir separuh mati dia menggali kubur yang sedalam tujuh kaki itu
seorang diri. Gara-gara cincin pusaka Pak Daud, dia rela melakukan kerja gila
itu.
Tanpa rasa
takut, Ghani membuka papan keranda itu perlahan-lahan. Kelihatan mayat Pak Daud
masih elok lagi biar pun sudah bercampur dengan warna tanah.
Dia memberanikan
diri membuka kain kafan itu. Jantungnya berdegup laju. Wajah Pak Daud amat
mengerikan. Matanya terjojol keluar manakala serpihan kulit mukanya tertanggal
dari daging. Bau hamis dan busuk menusuk ke rongga hidungnya.
"Ghani...lepaskan
aku cepat! Aku nak bebas, Ghani. Cepat Ghani...cepat!" Suara itu semakin
kuat berbisik di cuping telinganya. Sesekali, Ghani menyedari ada kelibat
lembaga hitam sedang berterbangan di atas udara.
Dia tidak
memandang lembaga hitam itu. Pandanganya hanya tertumpu ke bawah. Dia terus
membuka kain kafan Pak Daud. Dengan terketar-ketar, dia memegang pergelangan
tangan Pak Daud lalu menanggalkan cincin pusaka itu.
"Aduh,
susah pulak nak tanggal!" Ghani mengeluh kecil. Dahinya sudah
berpeluh-peluh. Hujan semakin lebat turun. Sudah basah kuyup seluruh tubuhnya.
Serentak dengan
itu, tiba-tiba terdengar suara perempuan menggilai. Kecut perut Ghani jadinya.
"Jangan
takut! Tanggalkan cepat cincin tu, Ghani! Bebaskan aku dari perangkap ni!"
Suara makhluk ghaib itu berbisik lagi untuk kali ketiga.
Ghani tidak
berputus asa. Cincin pusaka itu ditarik sekuat hati. Dia tidak peduli apa pun
yang akan berlaku. Setelah berhempas pulas, akhirnya dia berjaya menanggalkan
cincin pusaka itu.
"Dapat
jugak akhirnya. Sekarang ni, kau jadi milik aku." Ghani tersenyum riang.
Suara makhluk
ghaib yang berbisik tadi terus hilang begitu sahaja.
Cincin pusaka
itu segera dipakainya.
******
Malam itu, Ghani
tidak dapat tidur dengan nyenyak. Dia seperti gelisah tidak menentu. Akhirnya
dia bangun. Sebaik sahaja dia membuka mata, alangkah terkejutnya dia apabila melihat
ada sekujur tubuh seorang perempuan tua sedang duduk bersimpuh di hujung katilnya.
Wajah perempuan itu terlalu hodoh dan menakutkan. Nanah dan ulat berjejeran
jatuh dari wajahnya. Baunya sungguh memualkan tekak.
Ghani meraup
muka beberapa kali. Entah mengapa, lembaga itu boleh mengikutnya sehingga ke
rumah. Mungkinkah makhluk itu mengikutnya dari kubur Pak Daud? Ghani mulai
tidak sedap hati. Janganlah ada perkara buruk yang akan menimpa dirinya. Dia
sungguh khuatir dengan keselamatan emaknya. Emaknya itu tidak berapa sihat
sangat sejak akhir-akhir ini.
"Ghani...!"
Tiba-tiba namanya dipanggil.
Ghani menoleh ke
arah suara itu.
"Sekarang
ni, aku dah jadi hamba kau. Kau adalah tuan aku," ucap suara aneh itu.
"Siapa
kau?"
"Aku
penjaga kau!"
"Kau
siapa?" Ghani bertanya lagi. Matanya meliar ke sana sini. Dia cuba mencari
keberadaan makhluk tidak berwujud itu.
"Bukankah
kau nak sangat jadi kebal dan kuat? Sudah lupakah engkau, wahai Ghani!"
"Ya, memang
aku nak jadi kuat dan kebal. Kau boleh tunaikan permintaan aku ke?"
"Boleh.
Tapi dengan satu syarat."
"Apa
syaratnya?"
"Kau kena
bagi aku makan darah satu kali dalam seminggu. Aku nak darah manusia."
Bergema suara makhluk ghaib itu.
"Darah?"
Ghani menjadi takut. Tubuhnya menggigil dan menggeletar.
Akhirnya makhluk
itu menjelmakan diri di hadapan Ghani. Tubuhnya sungguh besar dan berbulu
hitam. Matanya merah menyala. Manakala wajahnya pula amat mengerikan.
"Akulah
penjaga kau. Aku berasal dari cincin pusaka tu." Ia tunduk hormat ke arah
Ghani.
Ghani menjadi
bangga. Tidak menyangka dia ada penjaga.
"Macam mana
aku nak percaya cakap kau? Aku nakkan bukti."
"Baiklah,
aku akan tunjukkan buktinya."
Makhluk ghaib
itu menjelmakan sebuah pisau lalu menikam ke perut Ghani. Pisau itu tidak lut
apabila menembusi badannya.
Makin kuat Ghani
ketawa. Semua hajatnya telah termakbul.
"Sekarang,
aku dah jadi kebal dan kuat. Haha!"
*****
"Kalau kau
berani, tikamlah aku! Aku tak takut," ucap Ghani berlagak. Dia mencabar
Malek, seteru utamanya. Kerana lelaki itulah isterinya meninggal dunia. Dan
sampai ke saat ini, dia masih menyimpan dendam kepada lelaki itu.
"Jangan
berlagak, setan. Kau pun aku akan bunuh macam bini kau yang tak guna tu. Puii!"
Malek meludah ke tanah. Dia menghunuskan kerisnya ke perut Ghani, namun tidak
lut. Tubuh Ghani begitu kebal.
"Haha!"
Ghani semakin bangga dan bongkak.
Kali ini Malek
sudah dibantu oleh Darus dan beberapa orang lagi rakannya. Mereka berlima
mengepung Ghani dari semua arah.
"Kau tak
boleh lari lagi. Matilah kau jahanam!" Darus menumbuk muka Ghani, namun
Ghani pantas mengelak. Tubuh Darus ditolaknya ke tanah. Secepat kilat, dia
menikam perut Darus tanpa sempat lelaki itu berbuat apa-apa. Akhirnya, Darus
mati di tangan Ghani.
Mereka berempat
sudah kecut perut. Menggeletar tangan Malek. Tidak menyangka, Ghani sekebal
itu. Entah ilmu apa yang diamalkan olehnya sehingga menjadi kebal begitu.
Ghani menendang
muka Malek sekuat hati. Dengan tenaga luar biasa yang dimiliki, dia berjaya
membunuh Malek dengan mudah.
Semakin galak
dia ketawa bagaikan orang gila. Dia dapat membunuh kesemua penjahat itu. Belum
sampai seminggu, sudah lima nyawa yang menjadi korban.
******
Kita tangkap aje
pembunuh tu, Tok!" kata Jijan, salah seorang penduduk Kampung Teluk
Empang. Saat itu mereka sedang berkumpul di rumah ketua kampung.
Sejak dua minggu
kebelakangan ini, sudah ramai orang yang dibunuh oleh Ghani. Mereka semuanya
tidak bersalah. Lelaki itu memang sudah keterlaluan. Perbuatannya tidak boleh
dimaafkan.
"Saya
sokong, Tok! Sebelum ramai lagi orang yang menjadi mangsa, lebih baik kita
tangkap dia hidup-hidup." Herwan menyokong kata-kata Jijan. Yang lain
turut bersetuju.
"Baiklah.
Kalau semua dah setuju, kita pergi ke rumah dia sekarang!"
*****
"Dia dah
tak ada, Tok. Cuma mak dia aje yang ada kat sini. Kurang ajar betul!"
Jijan sudah menyingga.
"Kita cari
dia sampai dapat. Tok yakin dia masih ada kat kampung ni," arah Tok Siak.
Mereka berpecah
kepada beberapa kumpulan. Selagi mereka tidak menemui Ghani, selagi itu mereka
tidak akan balik.
*****
Ghani sudah jauh
meninggalkan kampung itu. Dia menuju ke kampung sebelah. Manalah tahu nasibnya
baik di situ. Kerana ingin mengotakan janji-janjinya kepada makhluk ghaib itu,
dia terpaksa membunuh lebih banyak nyawa lagi supaya menjadi lebih kebal dan
kuat.
"Paling
kurang, kau kena bunuh 100 orang manusia. Masa tu, tubuh kau akan jadi lebih
kuat dan kebal. Tak akan ada manusia di dunia ini mampu mengalahkan kau,"
ucap makhluk ghaib itu seraya ketawa.
Ghani semakin
gelap mata dengan kekebalannya. Dia menuruti segala perintah makhluk itu tanpa
menyedari dirinya telah diperdayakan. Janji-janji jin dan syaitan itu
sememangnya palsu belaka.
Apabila dia
sudah membunuh 100 orang manusia, jin itu masih tidak berpuas hati. Ia masih
mahukan darah. Ghani dah tak berdaya lagi untuk membunuh. Tenaganya semakin
lemah dan akhirnya dia mati dimakan oleh jin jahat itu.
******
“Eh, cincin apa
ni? Cantik betul!” ucap Rahman ketika dia berjalan menyusuri lorong menghala ke
rumahnya. Cincin itu kelihatan unik dan seakan-akan hidup. Warnanya merah.
Rahman pantas
mencapai cincin itu dan membawanya balik ke rumah. Dia memang seorang penggemar
barang-barang lama. Sudah banyak koleksi barang-barang antik yang dikumpul.
Sewaktu dia
sampai ke biliknya, dia terus memakai cincin itu. Tidak semena-mena, tiba-tiba
keluar satu kepulan asap tebal dari cincin itu. Kemudian, muncul sesusuk tubuh
lembaga hitam yang menyeringai memandang ke arahnya.
“Akulah penjaga
kau mulai saat ini!”
Muka Rahman
menjadi pucat lesi. Akhirnya dia jatuh pengsan kerana terlalu takut melihat
wajah lembaga hitam itu.
**TAMAT**