Home Cerpen Cinta Bayangan Semalam
Bayangan Semalam
Wan Noorhidayat Wan Noorhidayat
18/10/2016 15:32:30
2,395
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta


Tenang sungguh cuaca pagi ini. Langit kelihatan biru melatari ruang, mendamaikan perasaan setiap mata yang memandang. Aku merenung dari kejauhan, memerhatikan gelagat mesra pasangan kekasih di situ. Mereka asyik berpimpin tangan tanpa mempedulikan keadaan di sekeliling.

Begitulah ragam insan yang sedang hanyut dilamun cinta. Terlalu leka dengan permainan dunia sehingga sanggup mengenepikan hal agama demi kekasih hati. Aku hanya mengeluh kecil memandang hari-hari depan. Terasa berliku lorong di hadapan, sempit serta menyesakkan dada.

Entah kenapa aku boleh jadi begini rupa. Hidup aku tidak lagi ceria seperti dahulu. Sejak akhir-akhir ini, aku sering bermuram durja seolah-olah hidup aku tidak bermakna lagi di atas muka bumi ini. Kenangan lalu tiba-tiba menerjah ruang minda.

“Maafkan Fiq, Effa. Fiq terpaksa buat keputusan mendadak macam ni demi kebaikan kita bersama. Fiq harap Effa mengerti maksud Fiq.”

Pertama kali saat Taufiq melafazkan kata perpisahan, aku seakan tidak percaya. Dunia ini terasa kosong dalam sekelip mata. Mengapa dia sanggup mempermainkan perasaan aku tatkala hati ini benar-benar sayang padanya. Aku tidak dapat menerima kenyataan yang amat memedihkan ini. Apa salah aku sampai dia tega berbuat begitu?

“Tapi kenapa Fiq buat ini semua? Apa salah Effa sampai Fiq tergamak hancurkan hati Effa. Tak lama lagi kan kita nak bertunang,” ucapku sedih, menahan air jernih yang mulai bertakung di tubir mata.Teringat pula pada pertunangan kami yang bakal berlangsung kira-kira sebulan sahaja lagi.

“Effa tak akan faham masalah Fiq. Sampai bila-bila pun Effa tak akan faham. Fiq harap, Effa boleh terima hakikat ini. Fiq betul-betul tak ada niat nak hancurkan hati Effa, jauh sekali untuk mempersendakan hubungan kita. Sampai suatu masa nanti, Effa akan mengerti maksud Fiq.”

Tanpa rasa bersalah, Taufiq tekad membuat keputusan. Dia benar-benar ingin menokhtahkan perhubungan kami berdua yang sudah terjalin hampir lima tahun ini. Aku tidak tahu untuk berbuat apa, sedangkan hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Aku seperti mati akal. Terasa kelu lidah ini berbicara walau sepatah ayat.

Selepas kejadian itu, aku jarang bertemu dengan Taufiq. Alasan yang sering diberikan, dia terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tiada masa memikirkan dunia luar. Aku terpaksa tabahkan hati menerima hakikat ini. Sikap Taufiq benar-benar berubah sama sekali. 

Tiada lagi Taufiq yang dulu. Aku benar-benar merindui sikapnya yang romantis, bertimbang rasa serta penyayang. Entah kenapa, perangainya boleh berubah mendadak seperti itu. Umpama gelora di lautan, badainya sering memukul pantai.

**********

Tiga bulan yang lalu...

Aku leka membelek wajah di cermin. Mataku tidak lepas memandang jarum jam yang ligat berputar, menghampiri jam 10 pagi. Aku perlu cepat bersiap kerana takut Taufiq menunggu terlalu lama.

Selepas bersiap ala kadar, aku terus keluar dari rumah. Sebaik tiba di muka pintu, aku lihat Taufiq sudah tercegat berdiri di sebelah keretanya sambil mengukirkan senyuman apabila menyedari kehadiranku.

“Maaflah, Fiq sebab menunggu terlalu lama. Effa betul-betul tak sedar tadi. Terlajak tidur sampai pukul 9.” Aku meminta maaf atas kesilapan aku yang tidak disengajakan itu.

“Ala, Fiq tak kisah pun. Kalau bab menunggu buah hati kesayangan ni, sampai esok pun tak apa,” usik Taufiq, cuba menyedapkan hati aku.

Biasanya, begitulah sikap Taufiq yang aku senangi setiap kali bertemu dengannya. Tidak pernah dia merungut, jauh sekali berkecil hati atas apa yang aku lalukan padanya.

“Kita nak pergi ke mana pagi ni? Effa tak ada perancangan lagilah. Fiq ada plan ke?”soalku ketika kereta yang dipandu oleh Taufiq bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah.

“Erm...apa kata kalau kita pergi ke Tanjung Balau? Lama juga kita tak ke sana kan, sayang.”

Taufiq memberikan cadangan spontan. Matanya tetap fokus di hadapan.

“Elok juga tu. Bolehlah Effa tenangkan sikit fikiran ni dari bebaban kerja. Selalunya, asyik kerja memanjang sampai tak ada masa nak berehat.”

“Baguslah kalau Effa suka. Senang sikit hati Fiq mendengarnya. Kalau Effa keberatan, Fiq boleh bawa kat tempat lain. Effa cakap saja ke mana Effa nak pergi, Fiq boleh bawa.”

“Betul ni?” tanyaku lagi ingin mengusiknya.

“Betul, sayang,” jawabnya lembut.

“Kalau Effa nak Fiq bawa Effa ke bulan dan bintang, Fiq sanggup ke?” Pertanyaan aku itu nampaknya mengundang tawa Taufiq. Dia ketawa kecil mendengar kata-kataku. Entah perkara apa yang lucu sangat sampai dia ketawa begitu.

“Ish...Effa, Effa. Boleh sampai ke situ pula dia. Kalau ke bulan dan bintang tu, nak kena tunggu Fiq jadi angkasawan dululah baru boleh pergi. Itu pun kalau Effa sanggup tunggu...” Taufiq menggantungkan kata pada ayat terakhirnya. Entah serius ucapannya itu entah tidak, aku tidak dapat mengagaknya.

Untuk beberapa ketika, tiada kata yang terluah antara kami berdua. Aku asyik melayan perasaan sendiri memikirkan arah perhubungan kami berdua di masa hadapan. Moga-moga, ada satu ikatan suci yang terjalin di kemudian hari. Satu ikatan yang mendekatkan lagi cinta kami berdua sebagai petanda awal sebelum berlayar ke alam perkahwinan.

“Effa, Fiq nak tanya sikit boleh?” Tiba-tiba Taufiq bertanya, memecah keheningan antara kami berdua.

“Nak tanya apa, Fiq? Effa sudi mendengarnya,” jawabku ikhlas. Aku menanti dengan sabar pertanyaan dari mulut Taufiq.

“Effa sayangkan, Fiq?” soalnya sedikit serius. Riak wajahnya saat itu agak berlainan.

“Kenapa Fiq tanya soalan macam tu kat Effa. Sudah tentulah Effa sayangkan Fiq.”

Aku tidak dapat menduga reaksi Taufiq saat mendengar jawapan ikhlas dari mulutku. Adakah dia meragui kesetiaan cintaku pada dirinya?

“Kalau benar Effa sayangkan Fiq, apa kata kita bertunang. Fiq tak nak sia-siakan masa yang berlalu selama ini. Kita perlu ada ikatan pertunangan. Fiq takut sangat Effa disambar orang nanti. Fiq harap-harap sangat Effa setuju dengan cadangan Fiq.”

Aku terdiam sejenak mendengar cadangan Taufiq. Sememangnya perkhabaran seperti itulah yang aku tunggu-tunggu sejak sekian lama.

Aku dapat merasakan Taufiq jujur dalam ucapannya sebentar tadi. Dari raut wajahnya itu, aku tahu dia mengharapkan yang terbaik dalam perhubungan kami. Barangkali, tali pertunangan yang akan terpateri nanti akan mengukuhkan lagi rasa sayang antara kami berdua.

“Effa ikut saja kemahuan Fiq. Lagi cepat, lagi bagus.” Entah kenapa, aku boleh terlepas kata. Malu juga jadinya kalau Taufiq menganggap diri ini tidak sabar-sabar mengikat tali pertunangan dengannya.

“Amboi-amboi. Macam tak sabar aje nak bertunang dengan Fiq. Kalau macam tu, esok sajalah kita bertunang. Cepat sikit kita kahwin. Fiq pun dah tak sabar ni nak duduk serumah dengan Effa. Mesti seronokkan tengok muka Effa tiap-tiap hari. Tak jemu mata Fiq memandang.”

Aku tertawa kecil mendengar saranannya itu. Wajahku sudah merona merah. Alangkah bahagianya hidup aku saat ini. Terlalu indah untuk dikenang sampai bila-bila.

Pengakuan ikhlas dari bibir Taufiq sudah cukup bagiku sebagai bukti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pada diri ini. Menurut Taufiq, dia akan menghantar rombongan meminang pada awal bulan hadapan. Aku berdebar-debar menantikan saat itu. Moga-moga, pertunangan kami berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Janganlah ada aral melintang di kemudian hari.

Dalam debar hatiku, aku tidak sedar kami berdua sudah tiba di Tanjung Balau tepat jam sebelas pagi. Aku dan Taufiq segera melangkah keluar dari perut kereta sebelum menuju ke tempat menjual makanan.

************

Ramai juga orang yang bertandang ke Tanjung Balau pagi ini. Lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu seperti ini. Kebanyakkannya datang bersama keluarga tersayang. Ada juga yang datang berdua sahaja dengan pasangan masing-masing.

Permai sungguh suasana di sini. Tenang sahaja udaranya. Aku tekun melihat panorama indah disekeliling sehingga tidak sedar kehadiran Taufiq di sisi.

“Ish, orang kat sebelah kita ni asyik mengelamun saja sejak tadi. Siapalah agaknya yang dia ingat sampai tak sedar Fiq sampai ni,” perli Taufiq sambil tersengih-sengih. Dia mengambil tempat di sebelahku.

“Eleh, siapa lagi yang Effa nak ingat kalau bukan Fiq, cik abang tersayang Effa ni. Dah tahu pun saja-saja nak tanya.” Aku mencebikkan bibir, cuba menyakatnya. Hidung Taufiq kembang kuncup apabila dipuji begitu. Memang sah dia ini makan dengan pujian orang.

“Erm, yelah tu. Fiq ingat, Effa dah tak sayangkan Fiq. Hehee...”

“Kalau tak sayang, tak ada maknanya Effa nak keluar dengan Fiq tau. Lebih baik Effa jalan dengan orang lain. Buang masa saja keluar dengan orang perasan hensem ni.”

Aku malas melayan kerenah Taufiq. Dia memang begitu. Semakin dilayan semakin jadi rentaknya. 

Apabila duduk berdua-duan begitu, kadang kala mengundang rasa kurang enak dalam diri. Naluri aku sebagai seorang wanita cepat sahaja terusik. Apatah lagi tika aroma minyak wangi yang dipakai oleh Taufiq membangkit rasa. Aku menjarakkan sedikit tubuh dari Taufiq untuk menolak jauh perasaan ini.

Sememangnya aku bertuah kerana memiliki cinta Taufiq. Dialah satu-satunya lelaki yang berjaya mengetuk pintu hati aku untuk bercinta. Selama ini aku takut bermain dengan api cinta. Namun sejak kehadirannya dalam hidup aku, aku dapat merasakan dirinya benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Kasih sayangnya tiada dua. Kesetiaan yang dipamerkan, menjadi kayu pengukur sifatnya yang sebenar. Aku tidak ragu lagi akan cintanya.

Beberapa minit berbual, Taufiq akhirnya bangkit dari tempat duduk sebelum tercegat berdiri memandangku. Dia meminta izin untuk pergi ke tandas terlebih dahulu kerana perutnya tiba-tiba sahaja meragam. Aku geli hati melihat tingkahnya yang tidak sabar mencari tandas sambil memegang perut. Kelakar betul perangainya. Macam budak kecil.

Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba bahuku dicuit oleh seseorang. Aku pantas menoleh ke belakang. Cuba mencari gerangan orang yang mencuitku sebentar tadi. Kelihatan, seorang gadis cantik sedang berdiri di hadapan dengan wajah masam mencuka.

‘Siapa pula perempuan ni? Tiba-tiba sahaja muncul di hadapan aku.' Hati kecilku berkata-kata.

“Kau ni, Effa ke?” soal gadis itu sombong. Wajahnya kelat seperti peria.

“Ya, betul. Saya, Effa. Saudari ni, siapa?” 

Aku menghulurkan tangan sebagai salam perkenalan. Namun, gadis di hadapanku ini tidak menyambut huluran salamku sebaliknya menolak tubuh kecilku sehingga terdorong ke belakang. Aku jadi malu saat itu apabila banyak mata yang memandang ke arah kami berdua.

“Aku Mira, kekasih Taufiq. Untuk pengetahuan kau, kami berdua akan bertunang tidak lama lagi. Aku nak kau tinggalkan dia. Malulah sikit muka tu. Tunang orang pun kau ada hati nak rampas.”

Berdesing telingaku sebaik mendengar berita buruk itu. Benarkah apa yang dikatakan oleh gadis itu? Tidak mungkin dia berbohong. Kenapa Taufiq tidak pernah menceritakan perkara ini kepadaku? Kenapa?

“Saya betul-betul tak tahu, Cik Mira. Saya dah lama kenal dengan Taufiq. Kami dah berjanji nak bertunang pada bulan depan. Saya rasa awak dah tersilap orang ni.” Aku cuba menafikan kata-kata gadis itu. Tidak mungkin Taufiq tega mempermainkan perasaan aku. Aku amat percaya akan kejujurannya selama ini.

“Kau ni memang tak reti bahasa ke atau sengaja buat-buat tak faham. Baiklah!Aku boleh tunjukkan bukti. Kau tunggu kejap.” 

Mira berjeda seketika sambil membuka tas tangan miliknya. Dia segera mengeluarkan beberapa keping gambar sebelum menyerahkan kepadaku. “Nah, ambil gambar ni. Simpan baik-baik. Kau tengoklah puas-puas gambar kekasih hati kau tu. Kalau tak jelas lagi, tak tahulah aku.”

Aku termakan juga dengan hasutan Mira. Gambar yang masih berada dalam genggaman tangan aku perhatikan baik-baik. Kelihatan, Mira sedang berpelukan mesra dengan seorang lelaki. Minda ini mula berfikir yang bukan-bukan. Aku tidak sanggup melihat rupa lelaki itu. Moga-moga, itu pelanduk dua serupa. Barangkali, wajah lelaki itu mirip dengan Taufiq. Tidak mungkin dia.

Dari gerak geri pemuda itu, aku tahu memang itu gambar Taufiq. Aku cukup kenal wajahnya. Mesra sungguh mereka berdua bergambar di tepi pantai sambil memadu asmara.

‘Oh, tidak!’ Aku menjerit dalam hati. Hatiku tersayat-sayat dengan perbuatannya. ‘Kenapa Fiq sanggup buat Effa macam ni. Effa betul-betul sayangkan Fiq.’

Aku tidak dapat menahan tangis. Kesedihan itu terlalu pedih aku rasakan. Mira terus berlalu pergi meninggalkan aku di situ. Aku cuba mengawal emosi sebaik mungkin. Aku tidak mahu Taufiq tahu aku sedang bersedih saat ini. Biarlah derita ini aku seorang sahaja yang tanggung. Kalau benar hatinya untuk orang lain, aku tidak boleh berkata apa-apa. Jika itu kemahuannya, aku terpaksa relakan walaupun pedih untuk diterima.

***********

Selepas waktu Maghrib, kami berdua berangkat pulang ke rumah. Hatiku tidak seriang tadi. Jiwaku memberontak. Taufiq pula asyik tersenyum memandang wajahku. Riaknya agak tenang, seperti tidak ada apa yang berlaku. Hakikatnya, aku benci melihat wajahnya.

Kejujurannya selama ini ternyata palsu dan dusta. Terasa kerdil diri ini apabila insan yang aku sayangi mempermainkan perasaaan aku dalam diam. Tega sungguh dia menghancurkan hati aku secara senyap tanpa rasa bersalah.

“Kenapa Effa muram saja ni. Tak suka ke keluar dengan Fiq?” ucapnya lembut sebaik kami berdua tiba di perkarangan rumah. Dia memandang lama wajahku. Aku rimas apabila ditenung begitu rupa.

Apalah ertinya di sebalik semua itu jika hatinya milik orang lain. Aku hanya dijadikan alat permainannya.

“Effa tak berapa sihatlah, Fiq. Maaflah!” 

Aku terpaksa berbohong kali ini untuk menutup keresahan yang mulai bertandang. Hati aku benar-benar tawar untuk berbual dengannya. Seleraku mati tiba-tiba.

“Kenapa tak cakap Effa tak sihat tadi. Kalau tak, boleh Fiq belikan panadol. Sakit lagi ke?” Prihatin sungguh dia jika mengetahui aku sakit. Sifatnya masih sama seperti dahulu.

Namun, kejujurannya itu kadang kala mempengaruhi aku juga tatkala hati ini mengingati pertemuan dengan Mira petang tadi. Aku cuba mencari kepalsuan di sebalik wajahnya, namun aku gagal menemui jawapan. Wajahnya terlalu tulus untuk berlaku curang di belakangku.

Benarkah dia curang padaku? Niat hatiku pada awalnya ingin bertanyakan perihal Mira. Aku mahu tahu sejauh mana perhubungan mereka berdua. Aku perlu mendengar pengakuan dari kedua-dua belah pihak. Manalah tahu jika Mira sengaja mereka-reka cerita untuk memutuskan perhubungan kami berdua. Hati orang bukan boleh dapat dijangka. Aku harus mengetahuinya sebelum terlambat.

“Fiq, kalau Effa tanya sikit Fiq jangan marah, ya,” ucapku perlahan. Aku menundukkan pandangan dari melihat wajahnya untuk mengusir keresahan di hati.

“Ada apa sebenarnya ni, Effa. Susah sangat nak bertanya ni kenapa. Macam ada emas pula dalam mulut tu. Nak tanya, tanya sajalah.” Taufiq memusatkan pandangan ke arahku. Tekun dia menanti pertanyaan aku.

Aku berperang dengan perasaan sendiri saat ini. Perlukah aku bertanyakan hal Mira kepadanya? Hasutan syaitan bergema lagi di telinga, seolah-olah menyokong tindakan aku.

‘Hati orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat. Kenapalah kau bodoh sangat, Effa. Kau sendiri dah nampak dengan jelas siapa Taufiq sebenarnya. Untuk apa dipertahankan cinta ini jika kau yang akan merana kemudian hari nanti.’ Bisikan itu tidak mampu aku buang. Ia tetap hadir mengocak ketenanganku.

Akhirnya aku kembali bersuara setelah yakin dengan kata hati.

“Siapa Mira dalam hidup Fiq?” lontarku tanpa getar.

“Mira? Apa Effa cakapkan ni. Fiq tak faham.” Taufiq menggeleng, seperti tidak mengerti apa yang aku cuba maksudkan.

“Mira tu kekasih hati Fiq, kan. Fiq ingat Effa tak tahu. Kenapa Fiq sanggup tipu Effa? Kenapa, Fiq?” nada suaraku sudah merintih pilu.

Sebak rasanya dada ini apabila berhadapan dengan perkara sensitif sebegini.

“Nanti dulu. Fiq rasa, Effa dah salah sangka ni. Memang Fiq akui, Mira tu kawan Fiq semasa menuntut di UTM dulu. Kami hanya berkawan sahaja. Tak lebih dari itu.” Taufiq beria-ia benar mempertahankan dirinya. Sudah jelas dia berlaku curang di belakang aku. Kenapa perlu berselindung lagi?

“Oh, kawan. Effa pelik sangat. Takkanlah berkawan boleh berpeluk-peluk macam pasangan kekasih. Macam tu pun Fiq kata berkawan, hah?” Nada suaraku kian meninggi. Aku betul-betul emosi dengan perangai Taufiq sekarang. Sudah jelas dan nyata dia curang sehingga sanggup menduakan cinta aku.

Aku terus keluar dari kereta tanpa banyak bicara lagi. Taufiq cuba memanggil aku berulang kali, namun tidak aku hiraukan. Apa sahaja alasan yang dia ingin katakan, aku sudah tidak percaya. Memang dasar buaya, lidah bercabang-cabang. Aku meluat tengok muka kau,Fiq. Berambus kau dari hidup aku.

*************

Lamunanku terhenti seketika apabila memandang kelibat seorang gadis bersama kekasihnya. Aku meliarkan pandangan ke arah mereka, seakan-akan mencari jawapan. Bukankah mereka yang aku nampak tadi. Aku baru perasan sekarang. Gadis itu seperti pernah aku nampak sebelum ini. Tetapi aku terlupa di mana aku bertemu dengannya. Tidak mungkin pelanduk dua serupa.

‘Mira!’ 

Tiba-tiba tanpa sedar, nama itu meniti di bibir aku. Patutlah macam pernah nampak saja. Rupa-rupanya dia. Siapa sebenarnya lelaki itu, ya? Kekasih dia ke? Aku mula membuat andaian sendiri. Barangkali kekasih Mira. Tapi, bukankah dia sudah bertunang dengan Taufiq. Aku garu kepala beberapa kali. Bingung aku jadinya. Apakah makna semua ini?

Hati aku berdebar kencang, seperti ada satu rahsia yang aku tidak ketahui tentang perhubungan mereka berdua. Aku masih ingat lagi kata-kata Taufiq ketika kami bertemu dua bulan yang lalu. Saat itu dia berkeras untuk memutuskan perhubungan kami berdua. Walau berkali aku merayu padanya, dia tetap dengan keputusan muktamadnya. Tiada siapa dapat membantah.

“Effa kena terima kenyataan. Fiq ditakdirkan bukan untuk Effa. Anggap saja Fiq tak pernah wujud dalam hidup Fiq.” Terasa luluh jantung aku sebaik mendengar kata dua dari mulut Taufiq sendiri. Seakan tidak percaya dengan keputusan Taufiq yang mendadak itu.

Taufiq terus berlalu meninggalkan aku terkapai-kapai seorang diri. Aku lemas akhirnya dalam lautan cinta kami yang tidak kesampaian. Sejak itu, aku mengandaikan perhubungan kami berdua retak gara-gara wujud orang ketiga. Orangnya tidak lain tidak bukan sudah pasti Mira. Gadis itulah yang telah meretakkan perhubungan aku dengan Taufiq. Kalau bukan kerana dia, sudah tentu sekarang ini aku bahagia di sisi Taufiq.

Aku harus mencari jawapan tentang permasalahan ini. Barangkali masih ada perkara yang sengaja dirahsiakan oleh Taufiq dari pengetahuanku. Aku perlu bertindak cepat sebelum terlambat.

*********

Aku mengekori kereta yang dinaiki oleh Mira dan kekasihnya dari belakang. Jarakku dengan kereta mereka agak jauh sedikit supaya tidak terlihat yang aku sedang mengekori mereka.

Aku ingin tahu sejauh mana perhubungan mereka berdua. Sebaik tiba di satu selekoh, kereta yang dinaiki oleh mereka tiba-tiba membelok ke sebelah kanan. Aku cepat-cepat mengikuti mereka kerana bimbang kehilangan jejak.

Mereka melalui sebuah taman perumahan sebelum berhenti di sebuah banglo mewah yang terletak berhampiran dengan kedai makan. Aku memerhatikan dari jauh gerak-geri mereka.

Mira turun dari kereta diikuti oleh pasangannya. Di luar rumah, kelihatan seorang perempuan separuh umur sedang berdiri menanti kehadiran mereka. Sebelum masuk, Mira menyalami tangan ibu tua itu terlebih dahulu sebagai tanda hormat.

Aku bersembunyi di sebalik tembok batu untuk mencuri dengar perbualan mereka. Janganlah mereka nampak kehadiran aku di sini.

“Lan minta maaf banyak-banyak kat mak. Lan yang salah. Kami belakangkan mak masa nak kahwin dulu sampai sanggup nikah kat sempadan Thailand. Ampunkan dosa Lan, mak!” ucap lelaki itu separuh merayu.

“Dahlah, mak dah lama maafkan Lan. Mak tak simpan dalam hati.”

“Terima kasih, mak!” Lelaki itu terus memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak. Mira di sebelahnya pula turut menangis. Entah apa yang dikesalkan agaknya.

Perbualan ringkas itu sedikit sebanyak sudah mengubah persepsi aku kepada Taufiq. Jika benarlah Mira dan lelaki itu sudah berkahwin, bagaimanakah pula dengan pertunangan mereka dulu? Apakah Mira sudah mereka-reka cerita? Tapi, untuk apa semua itu?

Dalam minda aku sekarang, sudah wujud berbagai-bagai pertanyaan, sekaligus meletakkan mereka berdua dalam satu posisi. Kemesraan yang dipamerkan oleh mereka seperti pasangan suami isteri sahaja. Andaian aku itu benar-benar menganggu hati ini. Ingatan aku segera melayang teringatkan Taufiq.

Di manakah dia berada sekarang? Aku amat rindu menatap wajahnya. Sudah lama aku tidak bertemu dengannya. Hampir dua bulan kami tidak bertemu selepas insiden itu. Secara jujur, cinta aku padanya masih utuh bertakhta di hati biar beribu halangan yang datang. Cinta aku tetap mekar untuknya sampai bila-bila.

Aku meneruskan perjalanan selepas mengetahui cerita yang sebenarnya. Ternyata aku cepat benar menuduh tanpa sebarang usul periksa.

“Maafkan aku, Fiq. Kejujuran kau pada aku tidak berubah walaupun sedikit. Tetapi, kenapa kau sanggup putuskan perhubungan kita? Siapa yang merampas cinta kau dari aku?”

Aku segera mendail nombor telefon Taufiq untuk bertanya khabar. Sihatkah dia? Aku benar-benar rindu untuk bertemu dengannya. Biarlah apa sahaja yang Taufiq mahu cakap selepas ini. Aku tidak peduli semua itu. Aku perlu meminta maaf darinya.

Hampir tiga kali aku menghubunginya namun tidak berjawab. Mana pula dia pergi ni? Sibuk sangat ke? Aku tidak sabar-sabar mendengar suaranya. Suara itulah yang aku tunggu sejak dua bulan kebelakangan ini.

Beberapa kali mencuba, akhirnya aku menyerah. Ternyata, Taufiq tidak mahu bercakap denganku lagi. Mungkin dia benci melihat wajahku. Kalau dulu, aku dapat menerimanya gara-gara wujud orang ketiga. Tetapi kali ini buat pertama kalinya aku tidak dapat menerima kenyataan andai Taufiq tega membuang diri ini dari hidupnya. Aku perlukan sebuah jawapan yang relevan atas tindakannya itu.

Fikiran aku sungguh buntu saat ini. Bagaimanakah caranya untuk aku menghubungi Taufiq? Ingin saja aku pergi ke rumahnya saat ini, namun hati ini cepat-cepat menghalang. Sebenarnya aku segan bertandang ke rumahnya kerana Johan ada bersama. 

Terasa canggung pula berhadapan dengan sahabat baik Taufiq itu. Aku berfikir dua tiga kali sebelum mengambil keputusan untuk mencari Taufiq di rumahnya sendiri. Apa sahaja yang bakal berlaku, aku sanggup menghadapinya.

**********

Suasana di sekeliling rumah Taufiq agak sunyi ketika aku tiba di hadapan pintu pagar rumahnya. Aku tersenyum sebentar apabila melihat keretanya terparkir di situ. Dalam hati, aku bersyukur kerana Taufiq ada di rumah. Aku keluar dari perut kereta lalu menekan loceng beberapa kali. Setelah agak lama menanti, tiba-tiba pintu pagar terbuka. Tidak berapa lama selepas itu, Johan keluar sebelum menghampiri aku.

“Kenapa Effa datang ni? Cari Fiq ke?” soalnya ramah.

Aku hanya mengangguk sambil tersenyum tawar.

“Fiq ada kat rumah tak? Effa nak jumpa dia ni. Rindu sangat nak tengok muka dia. Boleh Effa masuk?” Tanpa rasa malu, aku bertanya. Aku betul-betul rindukan dia. Air muka Johan tiba-tiba berubah apabila aku berkata begitu.

“Kenapa ni, Johan. Ada apa-apa masalah ke?” Hati aku tiba-tiba menjadi tidak sedap saat ini.

“Sebenarnya...”

“Apa yang dah berlaku ni, Johan. Awak kena beritahu saya.” Belum sempat Johan berkata, aku sudah memotong bicaranya.

“Awak kena banyakkan bersabar, Effa. Sebenarnya Fiq berada di hospital sekarang. Dia terlantar sakit sejak sebulan yang lalu akibat menghidap barah otak.”

Seakan menggeletar seluruh tubuhku sebaik Johan selesai berbicara. Dunia ini aku rasakan seakan sempit dan sesak. Aku tidak dapat menerima berita buruk itu dalam masa terdekat ini. Belum sempat aku bertemu Taufiq, aku sudah dikejutkan dengan berita malang ini.

‘Ya Allah, Kau selamatkanlah nyawa Fiq. Aku amat menyayanginya seperti nyawaku sendiri. Kau perkenankanlah doaku ni, Ya Allah!’ Aku berdoa dalam hati. Tiada kata lagi yang mampu aku luahkan selain memohon doa dari-Nya.

*********

Kami tiba di hospital kira-kira jam sebelas pagi. Aku bergegas masuk ke dalam setelah mengetahui di mana Taufiq ditempatkan. Aku difahamkan oleh jururawat yang bertugas bahawa Taufiq sudah dua minggu koma. Sepanjang tempoh itu dia bergelut dengan penyakit yang ditanggungnya.

Aku segera menghampiri katilnya dengan perasaan sedih. Terasa lemah seluruh tubuhku apabila melihat keadaan Taufiq sekarang. Wajahnya kelihatan cengkung. Tubuhnya juga nampak susut, tidak seperti biasa.

Aku pegang erat jemarinya. Terasa sejuk tangannya. Air mataku tiba-tiba mengalir deras membasahi pipi. Selama ini, tidak pernah dia berahsia denganku. Rupa-rupanya, inilah rahsia besar yang disimpan kukuh dari pengetahuan aku. Alasan kerja serta tindakannya memutuskan perhubungan kami berdua ternyata ada sebab yang aku sendiri tidak jangka. Saat dia menanggung kesakitan, aku tidak berada di sisi untuk memberikan kata-kata semangat.

‘Oh, kejamnya aku, Fiq! Cinta suci kau telah aku salahertikan. Aku minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki seandainya aku melukakan hatimu. Aku bersalah, sayang.’

“Kenapa awak tak bagitahu saya, Johan. Awak kejam!” Aku menangis semahunya, melepaskan rasa sedih yang kutanggung saat ini.

Johan hanya membisu sebelum bersuara. “Maafkan saya, Effa. Pada awalnya memang saya nak bagitahu awak, tapi Fiq tak bagi. Dia tak nak awak tahu pasal penyakitnya. Kalau boleh, sampai dia mati pun dia tak nak awak tahu. Dia betul-betul sayangkan awak. Dia tak mahu awak bersedih memikirkan dirinya. Kalau awak tak datang hari ni, mungkin awak akan menyesal, Effa.”

“Menyesal? Maksud awak?...” Kata-kataku mati begitu sahaja apabila melihat tangan Taufiq bergerak-gerak. Aku meraih tangannya, seolah-olah memberikan semangat untuknya bangkit dari penyakitnya.

“Fiq, bangunlah! Effa ada kat sini, sayang. Effa akan temankan Fiq tiap-tiap hari. Effa rindu sangat nak berbual dengan Fiq. Please, Fiq! Wake up!”

Aku meletakkan harapan setinggi gunung agar Taufiq sedar dari koma. Sudah hampir dua minggu dia koma tidak sedarkan diri. Akhirnya dengan kuasa Allah, tiba-tiba kelopak mata Taufiq terbuka perlahan-lahan. Aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memperkenankan doaku.

“Fiq dah sedar,” ucapku gembira sambil menatap suci wajahnya.

Taufiq belum sedar sepenuhnya. Dia seperti meracau-racau menyebut nama seseorang.

“Effa...Effa di mana, sayang? Fiq rindukan Effa.” Taufiq menyebut namaku berulang-ulang kali. Aku terharu mendengarnya. Sampai saat ini pun, dia masih ingatkan aku.

“Effa ada di sini, sayang. Fiq kena banyakkan rehat, ya.” Saat itu Taufiq baru sedar sepenuhnya. Dia seakan-akan tidak percaya apabila melihat aku ada di sisinya. Dia cuba bangkit, namun kudratnya tidak memaksa dia berbuat begitu.

“Effa...macam mana sayang...” kata-katanya tergantung di situ sahaja. Dia tidak dapat meneruskan kata dan hanya membiarkan pertanyaan itu ditafsir sendiri olehku.

“Fiq tak boleh banyak bergerak. Doktor pesan suruh rehat banyak-banyak. Kalau nak sembuh cepat, kena ikut cakap Effa, ya.” Aku memujuk Taufik perlahan-lahan. Mungkin dia terperanjat kerana aku mengetahui penyakitnya. Riak wajahnya mempamerkan rasa kurang senang, seperti tidak menyenangi kehadiranku di situ.

“Johan...” Tiba-tiba Taufiq memanggil Johan.

Aku beralih sedikit ke belakang untuk memberikan ruang kepada Johan berbual dengan Taufiq. Aku berundur seketika agar mereka selesa berbual.

Seperti ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Taufiq kepada Johan. Aku tidak dapat menangkap butir bicara mereka kerana suara Taufiq terlalu perlahan sehingga memaksa Johan mendekatkan telinga ke mulut Taufiq.

Tidak berapa lama selepas itu, Johan menghampiri aku sebelum mengajak aku keluar dari situ. Tanpa banyak soal, aku terpaksa menuruti arahan Johan dan meninggalkan Taufiq seorang diri di situ. Aku cuba melemparkan senyuman kepadanya, namun tidak berbalas.

Ruang hati Taufiq seakan kosong untuk menerima kembali cintaku. Tiada lagi tawa riang yang menghiasi bibirnya seperi selalu.

Aku benar-benar rindukan Taufiq yang dulu. Aku tidak salahkan Taufiq dalam hal ini. Mungkin dia memerlukan masa untuk menerima aku semula dalam hidupnya. Tambahan pula dia baru sedar dari koma. Aku tidak mahu mengusutkan fikirannya dengan masalah remeh begini. Biarlah dia berehat sepuas-puasnya. Aku percaya, lambat laun hati Taufiq akan lembut jua tidak lama lagi.

************

Keesokan pagi selepas selesai waktu kerja, aku singgah sebentar ke hospital untuk melawat Taufiq. Kali ini aku datang sendiri tanpa ditemani oleh Johan. Sebolehnya aku mahu bertemu dua mata sahaja dengan Taufiq tanpa ada sebarang gangguan.

Jika boleh, aku ingin menemani dia saban hari di sini. Aku mahu penyakitnya cepat sembuh di samping mengembalikan semangatnya yang telah hilang.

Suasana ketika itu agak tenang ketika aku melangkahkan kaki ke ruang dalam. Aku menapak perlahan-lahan sebelum menuju ke tempat Taufiq. Tidak sabar rasanya berbual dengannya. Semalam, perbualanku tersekat gara-gara Taufiq berubah sikap. Aku harap, sikapnya hari ini tidaklah seteruk semalam. Moga-moga, dia dapat menerima kehadiran aku dalam hidupnya semula.

Sewaktu melintasi bilik kecemasan, tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara bising dari jururawat bertugas yang kelihatan terburu-buru membawa pesakit. Aku berundur ke belakang untuk memberi laluan kepada pesakit itu. Hati aku saat itu tiba-tiba sahaja menjadi tidak sedap. Aku pantas mempercepat langkah menuju ke wad Taufiq. Aku mencari kelibatnya di situ, namun aku tidak menemuinya di tempat biasa dia berada.

“Cik, boleh saya tumpang tanya? Ke mana pesakit ini pergi? Semalam saya datang lawat dia, tempatnya di sini,” soalku merujuk kepada katil yang menjadi tempat Taufiq berada semalam.

“Oh, pesakit tu sudah ditukarkan ke wad kecemasan. Keadaannya agak kritikal pagi tadi. Sekarang ni, dia berada di dalam bilik kecemasan. Kalau cik nak lawat dia, kena tunggu dulu di luar,” terang jururawat itu lembut.

“Saya nak jumpa dia sekarang juga, nurse. Tolonglah saya. Saya merayu.”

Aku hilang akal setelah mendapat tahu keadaan Taufiq. Dalam minda aku sekarang, berbagai-bagai andaian buruk menerjah ruang fikiran.

“Maafkan saya, cik! Saya tak boleh benarkan cik masuk tanpa izin doktor yang merawatnya. Apa pun, cik kena bersabar. Sebarang maklumat terbaru berkaitan pesakit, pihak kami akan beritahu cik.”

“Terima kasih nurse,” ucapku sebagai tanda berterima kasih atas kerjasama yang dihulurkan. Aku terus berlalu menuju ke tempat yang dimaksudkan. Langkah kaki aku terasa lemah serta tidak bermaya. Namun aku cuba kuatkan semangat. Demi cinta kita, aku sanggup menunggumu, Fiq. Cepatlah sembuh. Effa tunggu Fiq di sini.

*************

Suara tangisan yang mendayu-dayu berhampiran bilik kecemasan mengejutkan aku dari lamunan yang panjang. Aku segera bangkit menghampiri ke arah datangnya suara itu. Dari jauh, aku melihat Fatin bersama ibunya, Puan Mahani sedang teresak-esak menangis.

Terdapat beberapa orang lain lagi di situ. Barangkali kaum kerabatnya.

“Fatin, kenapa menangis ni?” Aku menghampiri ke arah Fatin sebelum gadis itu memeluk erat tubuh aku. Aku agak terkejut dengan tindakannya itu. Mulut Fatin seperti ingin mengatakan sesuatu tetapi aku tidak dapat menangkap butir bicaranya.

“Abang, kak. Abang...,”ucapnya tersedu-sedu. Puan Mahani pula sudah menepuk-nepuk bahuku sebaik sahaja aku mengetahui berita pemergian Taufiq dari mulut Fatin.

Pandangan aku seakan kabur saat ini. Aku berpaut lemah pada Puan Mahani dan Fatin. Tidak kuat rasanya untuk aku berdiri teguh apabila menerima berita duka ini. Seakan tidak menyangka, Taufiq akan pergi secepat ini. Terlalu awal rasanya dia meninggalkan aku sendirian tanpa sempat aku meraih cintanya buat kali kedua.

‘Ya Allah, aku tidak kuat menghadapi dugaan-Mu ini. Kau tabahkanlah hati aku untuk menerima ini semua.‟

Puan Mahani dan Fatin cuba menenangkanku. “Sabar, Effa. Bawa beristighfar banyak-banyak. Allah lebih sayangkan dia. Biarkan dia pergi ya, nak.” 

Terasa luluh hatiku mendengar nasihat Puan Mahani yang sudah aku anggap seperti ibu kandungku sendiri. Dari raut wajahnya, aku tahu dia sedang berduka sekarang. Ibu mana yang tidak sayangkan anak. Namun, dia tetap tenang memujuk hatiku.

“Akak, sebelum abang pergi, abang ada tulis sepucuk surat untuk akak. Dia cakap, kalau dia dah tak ada dalam dunia ni, dia amanahkan Fatin untuk beri surat ni kat akak. Fatin rasa akak perlu terima surat ni. Ini suratnya!”

Fatin pantas menyerahkan sepucuk surat berwarna ungu kepadaku. Dengan berat hati,aku mengambil surat itu. Terasa menggeletar tangan aku semasa membaca isikandungan yang tertera dalam surat tersebut. Bait-baitnya sungguh menyentuh hati nuraniku. Manik-manik jernih semakin deras mengalir di pipiku.

Buat Effa yang Fiq rindui dan cintai dengan sepenuh hati. Fiq doakan Effa berada dalam keadaan sihat sekarang. Ketika Effa membaca lembaran surat ini, barangkali Fiq sudah tiada lagi dalam dunia ini. Janganlah Effa bersedih atas pemergian Fiq. Anggaplah Fiq sebagai kenangan masa lalu Effa sahaja. Maafkan Fiq kerana tidak mengkhabarkan penyakit Fiq kepada Effa. Fiq tidak mahu Effa bersusah hati memikirkan keadaan Fiq.

Sebenarnya, Fiq sengaja memutuskan perhubungan kita berdua. Tiada niat di hati untuk menghancurkan hati Effa namun Fiq terpaksa berbuat begitu untuk kebaikan Effa juga. Bukankah Fiq sudah ingatkan Effa, suatu masa nanti Effa akan tahu sendiri mengapa Fiq mengambil keputusan untuk berpisah dengan Effa. Segala-galanya telah terjawab sekarang.

Fiq harap Effa tabah menerima ketentuan ini. Fiq tidak salahkan Effa sekiranya Effa menaruh syak pada Mira dahulu. Memang benar kata Effa. Mira adalah kekasih Fiq, tetapi itu kisah di zaman universiti. Mira adalah masa lalu Fiq. Hubungan kami memang rapat sehinggalah kami berpisah selepas Fiq tamat pengajian di Universiti. Mira membawa haluan sendiri dan Fiq membawa hati yang lara sebelum bertemu dengan Effa. Ketika itu, hati Fiq benar-benar kosong tanpa teman di sisi. Fiq terhutang budi pada Effa kerana Effa hadir saat yang tepat, ketika Fiq benar-benar memerlukan insan istimewa untuk berada di samping Fiq.

Moga-moga dengan penjelasan ini, Effa menemui sebuah jawapan yang terselindung selama ini. Maafkan dosa Fiq, halalkan makan minum Fiq sepanjang kita berkenalan. Fiq mahu Effa tahu, dalam hati ini hanya ada Effa seorang. Tiada wanita lain selain Effa. I Love you, sayang. Simpan surat ini baik-baik sebagai kenangan terindah kita berdua.

Salam sayang,

Taufiq.

***********

Setahun kemudian...

Aku mengesat air mata yang masih berbaki di pipi. Lembaran surat yang masih berada dalam simpanan aku letak di atas meja. Sudah hampir setahun arwah Taufiq pergi menghadap Ilahi.

Cepat benar masa berlalu meninggalkan kenangan aku bersamanya. Walaupun dia sudah tiada, namun aku tetap menyayanginya sampai ke saat ini. Cintanya terus mekar di hati ini sampai bila-bila.

“Sayang, abang dah balik ni!” Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara garau sesorang.

Pantas aku menoleh ke arah suara itu. Senyumanku melebar takala memandang wajahnya.

“Bila abang balik?

Terperanjat Effa tahu tak.” Aku bangkit menuju ke arahnya lalu mencium tangannya. Kemudian, dia mencium dahiku. Setiap hari, begitulah aktiviti wajibyang aku lakukan semenjak Johan sah menjadi suamiku.

“Abang dah lama balik. Effa tu aje yang tak perasan. Asyik berangan saja kerja dia. Ingatkan siapalah agaknya.” Johan melabuhkan punggung di sisiku lalu mencuit nakal hidungku. Aku cuba mengelak tetapi dia semakin galak mengusikku.

“Abang, janganlah ganas sangat. Effa kan tengah mengandung ni. Nanti merajuk baby dalam perut ni baru tahu.” Aku memegang lembut perutku yang sudah sarat sembilan bulan.

Hanya menunggu masa sahaja untuk melahirkan. Mengikut tarikh yang diberikan oleh doktor, tinggal seminggu saja lagi.

Johan hanya tersenyum mendengar ucapanku. Kemudian dia merapatkan telinganya ke perutku sambil berkata. “Bila anak papa nak keluar ni. Papa dah tak sabar timang dia. Cepatlah keluar, ya!”

“Abang ni macam-macamlah. Sabarlah sikit. Lagi seminggu aje, kan. Buatnya dia keluar sekarang, apa abang nak buat?” Aku cuba menakutkan Johan dengan memberi andaian yang bukan-bukan.

“Alah, apa yang nak disusahkan. Kalau baby keluar, abang sambutlah sendiri. Tak pasal-pasal dapat title bidan terjun. Hehee...” Johan tergelak-gelak menahan tawa.

“Abang ni suka buat main-main perkara serius macam ni. Cubalah serius sikit. Ini tak,asyik nak gelakkan orang saja.” Aku memuncungkan bibir, tanda protes dengan sikapnya.

“Janganlah marah, sayang. Abang gurau aje tadi. Bukan betul pun.”

Aku tidak mengendahkan kata-kata suamiku itu. Dia memang pandai bergurau. Suka sangat mengusik aku. Sifatnya itu saling tak tumpah macam arwah Taufiq. Perangai mereka hampir sama cuma arwah Taufiq lebih kacak sedikit berbanding Johan. Tidak menyangka, kami berdua akan mendirikan rumahtangga selepas tiga bulan Taufiq pergi. Pada mulanya aku keberatan untuk memenuhi permintaan Johan.

Namun aku terpaksa berbuat begitu kerana menurut Johan itu adalah amanah terakhir dari arwah untuk menyatukan kami berdua sehingga ke jinjang pelamin. Dia berpesan kepada Johan supaya menjaga aku baik-baik selepas dia menghembuskan nafas terakhir.

Amanah itu terpaksa aku penuhi demi cintaku kepadanya. Aku bahagia sekarang di sisi Johan. Walaupun hati ini masih sayang pada ‘dia’, namun lama kelamaan aku dapat membiasakan diri.

Cinta aku pada Johan kian berputik setelah melihat sendiri kejujuran yang dipamerkan olehnya. Dia benar-benar ikhlas ingin menyuntingku sebagai suri hidupnya. Aku merelakan hati ini untuk dicintai. Dia berhak mencintai aku kerana dia adalah suamiku. Aku bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang insan yang memiliki hati luhur seperti Johan.

************

“Abang...abang! Perut Effa sakit sangat ni. Abang!” Aku menjerit memanggil Johan apabila perutku tiba-tiba sahaja sakit. Aku cuba menghitung waktu. Kalau tidak salah, rasanya tinggal dua hari lagi aku bersalin. Takkan cepat sangat.

Johan bergegas masuk ke dalam bilik sebaik mendengar jeritanku. Bimbang benar mukanya saat itu. “Kenapa ni, sayang? Nak bersalin ke?” soalnya lagi. Aku tidak mampu berkata apa-apa kerana perutku terlalu sakit seperti mahu bersalin. Aku hanya memegang perut sebagai isyarat ringkas untuk menjelaskan keadaan aku sekarang.

Johan kelihatan panik melihat aku. Tidak senang duduk dibuatnya. Dia pantas menghubungi ambulans kerana keadaan aku bertambah sarat saat ini. Dalam tempoh beberapa minit kemudian, ambulans sampai sebelum membawa aku ke hospital.

**********

“Alhamdulillah, sayang. Sayang dah selamat sekarang. Kita dapat anak lelaki.”

Suara Johan menampan telingaku, berbisik halus di pendengaran. Aku terjaga saat nama aku dipanggil.

Aku membuka mata perlahan-lahan. Wajah Johan mengaburi mataku. Ketika itu, Johan sedang leka menatap bayi comel yang ditempatkan di sebuah tempat khas di sebelah aku. Aku menangis kegembiraan melihat permata hatiku itu. Terasa hilang jerih perih ketika melahirkannya sebaik menatap bayiku.

“Anak, mama,” ucapku gembira. Aku memandang Johan sambil tersenyum. Johan lantas mencium kedua-dua pipiku.

“Terima kasih sayang kerana melahirkan zuriat abang. Abang sayang Effa.” Aku menangis semahunya kerana terlalu gembira. Bahagia sungguh hidup aku selepas mendapat cahaya mata. Johan amat berterima kasih kepadaku kerana inilah bukti kasih sayang kami berdua. Kasih kami terus erat dengan kelahiran si comel.

Aku terdiam sejenak, memuji kebesaran yang Maha Esa. Moga-moga kebahagiaan kami akan berkekalan sampai ke akhir hayat. Dalam keriangan ini, aku tidak lupa pada si dia. Aku sedekahkan Al-Fatihah buatnya di sana.

‘Dia’ adalah masa laluku. Aku harus melupakan dia perlahan-lahan kerana aku tidak mahu berkongsi cinta dengan Johan, suamiku.

Sesungguhnya, kenangan bersama-sama arwah Taufiq merupakan detik-detik terindah bagiku. Biarlah ‘dia’ tenang di sana kerana aku tahu bayangan semalam akan terus mekar di hati ini sampai bila-bila.

Selamat tinggal, Taufiq!

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wan Noorhidayat Wan Noorhidayat