Home Novel Seram/Misteri Susuk Emas
Susuk Emas
Wan Noorhidayat Wan Noorhidayat
5/9/2016 09:21:39
7,055
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 4
Hari ini Faridah bekerja seperti biasa. Selepas dua hari kejadian yang menakutkan itu, semangatnya pulih kembali. Dia cukup yakin, itu semua hanyalah gangguan untuk menakut-nakutkannya. Dia tidak perlu cepat mengalah. 

Apabila dia dan Hartinah tersedar, perempuan itu sudah ghaib dari pandangan mata. Tertanya-tanya juga dia, siapakah sebenarnya perempuan itu? Kenapakah mereka berdua diganggu? 

Faridah tiba ke resortnya lebih kurang pukul 8.15 pagi. Ketika itu dua orang pekerjanya sedang sibuk mengemop lantai dan menyediakan bahan-bahan untuk memasak.

“Selamat pagi, puan!” sapa mereka tanda hormat. 

 “Pagi!” Dia tersenyum manis. Mukanya berseri-seri. 

 “Eh, kau perasan tak muka bos tu! Nampak lainlah muka dia aku tengok. Cantik sangat,” bisik Hamdan perlahan-lahan setelah Faridah keluar dari situ. 

Juhani yang sedang memotong sayur segera menoleh. 

“Yelah. Aku pun perasan jugak. Sejak dua hari ni muka bos nampak berseri-seri aje. Kalau tak, macam muka nenek-nenek.” 

 Sempat lagi Juhani mengutuk majikannya. Siapa yang tak kenal Juhani, mulut paling laser di Kampung Sungai Kapal. Pantang ada cerita-cerita buruk pasal orang kampungnya, cepat sahaja dia mencanang kisah itu ke merata-rata tempat.

“Ish kau ni, mulut lancang betul. Dibuatnya dia dengar kau cakap macam tu, memang kena sembelihlah jawabnya,” kata Hamdan lagi. 

“Betul kan aku cakap. Kau pun bukan tak tahu. Patutlah, laki dia kahwin dengan Marini. Memang sesuailah, kan. Opss...” 

Juhani menutup mulutnya. ‘Alamak, terlaser pulak mulut aku ni.’ 

 “Dahlah wei, buat kerja tu. Kang bos nampak kita tak buat kerja, mengamuk pulak dia. Masa tu baru kau tahu langit tu biru ke hijau.” 

Hamdan dan Juhani kembali semula membuat kerja masing-masing. 

Sementara itu, di ruang belakang Fatimah sedang tekun dengan tugasnya membersihkan stor untuk menyimpan barang. Dia menyapu lantai dan membuangnya ke dalam tong sampah. Ketika itulah dia melihat Faridah menuju ke tandas. Seperti biasa, dia akan menyapa majikannya itu. 

“Pagi, puan!” ucapnya penuh sopan-santun. 

Namun, Faridah tidak menoleh ke arahnya. Dia mempercepat langkah ke arah tandas. Laju sahaja dia berjalan. 

“Aik, kenapa bos senyap aje ni? Tak dengar ke aku cakap?’ Fatimah menggaru-garu kepalanya. 

Apabila dia menoleh semula ke situ, kelibat Faridah sudah tidak kelihatan. Pelik juga dia. Barangkali majikannya itu sudah masuk ke dalam tandas. Begitu congaknya dalam hati. 

Selepas selesai tugasnya, dia menuju ke dapur. Dia melihat Juhani sedang ralit memotong sayur dan bawang. 

“Awal pulak hari ni bos masuk kerja,” katanya. 

“Biasalah tu. Dah nama pun bos. Kerja kau dah siap belum kat belakang tu?” Juhani bertanya. 

“Dah siap pun. Aku ni kan pekerja contoh. Mestilah siap cepat. Tak macam kau. Terhegeh-hegeh buat kerja. Lembab.” 

“Sori sikit. Berangan lebih.” 

 Fatimah ketawa. Memang dia suka menyakat Juhani. 

“Eh, bos buat apa lama-lama kat dalam tandas tu. Dah masuk lima belas minit ni tak keluar-keluar lagi,” ucap Fatimah hairan. 

“Mana bos?” 

“Aku nampak dia masuk tandas tadi. Buang air kot.” 

“Kau ni merepek betullah. Bos kan ada kat sana tu! Dah buta ke apa?” Jari telunjuk Juhani lurus ke arah luar di mana Faridah sedang bercakap dengan Pak Atan di hujung blok hadapan. 

 Fatimah menelan liur. Seolah-olah tidak percaya. ‘

'Habis tu, siapa yang masuk tandas tadi? Rasanya memang dia. Takkan aku dah rabun kot.’ 

“Kenapa kau ni macam nampak polong aje muka tu? Bila masa kau nampak bos pergi tandas?” 

“Kejap tadi. Betul...aku tak tipu.” 

“Ni mesti sebab kau selalu tengok cerita hantu kat youtube, kan. Sebab tu terbawa-bawa sampai ke tempat kerja. Melalut tak tentu pasal.” 

Juhani malas melayan Fatimah. Kerjanya masih banyak lagi yang belum beres. Lebih baik dia buat kerja sebelum majikannya bising. 

 ***** 

Faridah sedang meneliti sesuatu di komputer ribanya. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada satu mesej masuk. Dia mencapai telefonnya. Segera dia melihat di skrin. Mesej dari Hartinah. Dia terus membaca pesanan itu. 

Malam ni jumpa kat tempat biasa. Pukul 8 malam. 

Okey!

 Pendek sahaja dia membalas. Selepas peristiwa itu, dia tidak bertemu lagi dengan Hartinah. Dia agak sibuk menguruskan resort. Sudah tentu ada banyak perkara yang ingin dibualkan nanti. 

 Faridah memandang jarum jam yang tergantung pada dinding bilik ofisnya. Sudah menghampiri ke pukul dua petang. Hari ini ramai juga pelanggan yang datang ke resortnya. Biarpun tidaklah sebesar resort-resort lain yang ada di Malaysia, namun dia bersyukur kerana mampu meneruskan perniagaan keluarga selepas ayahnya meninggal dunia kira-kira lapan tahun yang lalu. 

“Faridah...Faridah!” 

Faridah tersentak apabila ada suara seseorang sedang memanggil namanya. Mungkin perasaannya sahaja. Dia cuba menyedapkan hati. 

Tidak beberapa lama selepas itu, suara itu muncul lagi. Kali ini lebih kuat berbanding tadi. 

“Mari sini Faridah! Tengok aku!” 

Faridah bingkas bangun. Matanya liar memandang ke arah sekelilingnya. Suara aneh itu benar-benar menakutkannya. Tiba-tiba, ada satu gegaran kuat yang datang dari dalam kabinet fail. Semakin lama, semakin kuat bunyi itu. 

Faridah cepat-cepat menutup telinga. Dia tidak mahu mendengar suara-suara ganjil itu. Akhirnya, bunyi itu berhenti. Dia menarik nafas lega. Belum sempat dia nak duduk semula, bunyi itu kedengaran lagi. 

Seperti ada sesuatu objek yang bergegar kuat di dalam kabinet fail itu. Faridah cuba memberanikan diri. 

Dia menghampiri kabinet fail itu sebelum dibukanya perlahan-lahan. Sebaik saja laci itu terbuka, alangkah terkejutnya dia apabila melihat ada satu kepala manusia yang kelihatan bergerak-gerak. Seakan-akan bernyawa. Setelah diperhatikan betul-betul, ternyata, kepala seorang wanita. Menggeletar tangannya. 

“Keluarkan aku dari sini, Faridah! Kesiankanlah aku. Tolong aku, Faridah!” 

Suara perempuan itu merayu-rayu meminta tolong. Bola matanya yang hampir hilang separuh itu tersembul keluar. Nanah-nanah kotor dan busuk meleleh jatuh membasahi seluruh wajahnya. Baunya cukup memualkan tekak. Hamis dan hanyir. 

Tidak semena-mena, darah merah memancut-mancut keluar dari leher perempuan itu sehingga terpercik ke mukanya. Habis satu mukanya terkena darah. Dia memegang kedua-dua pipinya. 

Pantas dia menutup semula kabinet fail itu. Dia mencapai sapu tangan dan mengelap seluruh mukanya. Tanpa membuang masa, dia cepat-cepat melangkah ke pintu. Dia ingin memulas tombol pintu itu, namun tidak boleh dibuka. Seperti sudah terkunci dari luar. Faridah tergamam. 

Suara perempuan itu terus-terusan memanggil namanya. 

“Jangan lari Faridah! Keluarkan aku dari sini!”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Wan Noorhidayat Wan Noorhidayat