Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
519
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14

SO, macam mana? Teruk tak luka-luka kat muka dan lengan Xandra ni?”

“Sir tak payah risau sangatlah. Tak teruk mana pun luka kat muka ni. Tak dalam pun. Calar-calar sikit aje. Yang kat lengan ni, insya-ALLAH elok dua tiga minggu lagi. Saya rajinlah sapu ubat nanti. Biar tak nampak sangat parutnya.”

“Ya! ALLAH... Sampai berparut?”

Kan? Aku pun terkejut tadi masa doktor terangkan. Jika setakat satu atau dua tempat yang berparut tidak mengapa. Ini, boleh dikatakan agak banyak juga. Bayangkanlah you all jadikan kedua lengan you all sebagai perisai. Kaca pula menjadi objek yang cuba dihalang. Pedih jangan cakaplah ketika lukaku dicuci tadi. Jika tidak ingat yang Kris ada bersama, mahu aku jerit sekuat hati. Sakit wo!

“Luka kat lengan tu agak dalam, sir. Tertikam serpihan kaca. Lukanya boleh sembuh cepat. Cuma, parut mungkin agak lambat nak hilang. Tapi, doktor ada berikan beberapa nama jenis ubat yang boleh percepatkan proses hilangkan parut tu nanti. Saya dah take note. Nanti saya belikan untuk Xandra,” terang Kris panjang lebar. Bagus dia ni. Boleh jadi PA juga andai perlu.

“Okey... Awak buat apa yang patut. Cari ubat yang terbaik. Yang penting parut-parut tu nanti boleh hilang. Kesian Xandra nanti kalau berparut.”

“Tak apa, sir. Bukan kat muka pun. Setakat parut kat lengan, saya boleh tutup dengan pakai long sleeve. Tak jadi masalah,” balasku dalam senyum. Nasib baik bukan parut kat hati. Kalau parut kat hati memang tidak mungkin dapat disembuhkan. Tetap bertanda sampai bila-bila, sambungkud alam hati. Wei! Apa yang jiwang karat sangat ni?

“Ni nak balik terus atau macam mana?”

“Balik terus, sir.” Pantas aku menjawab.

“Eh! Kita nak buat laporan polis dulu, kan? Tadi you dah janji.” Kris mengingatkan. Aku sudah mula resah.Jika boleh aku tidak mahu libatkan pihak polis.

“Jadi, belum buat laporan polislah ni?” Sir ingin kepastian.

Kami geleng kepala cuma.

“Kenapa tak buat?”

“Bukan tak, sir. Belum...”sanggah Kris lembut.

“Saya rasa tak perlulah buat laporan polis, sir. Saya okey.”

“Xandra! Okey apanya ni? Tak tengok luka-luka yang awak dapat tu? Mungkin kali ni awak bernasib baik. Lain kali? Kita tak mampu jangka apa yang akan jadi. Ada eloknya kita berjaga-jaga.”

“Saya tak nak burukkan keadaan.”

Aku lihat kedua mereka mengerutkan kening. Pasti tidak dapat menangkap maksud sebenarku. Aku tidak salahkan mereka. Bukan mudah mahu memahami kehidupan seorang Xandra. Penuh liku. Banyak cabaran dan pastinya tidak mudah.

“Maksud awak?”

“Saya tahu siapa mereka.”

Sekali lagi kening sir bertaut. Cuma Kris yang sedikit tenang kerana tadi aku sudah terangkan serba sedikit mengenai itu. Walaupun dia menentang keputusanku, dia masih enggan mengalah dan cuba pujuk aku untuk buat laporan polis juga.

“Siapa?”

“Mereka memang sentiasa cuba jejaki saya, sir. Jadi tidak pelik kalau semua ni terjadi. Saya dah biasa.”

Sir mengangguk faham.Kelihatan dia sedang berfikir.

“Betul, kamu dah biasa.Tapi, jika ada peluang kenapa kita tak kekang? Perkara yang boleh kita selesaikan, kita selesaikan. Jangan biarkan ia berlarutan, Xandra. Sampai bila awak nak bertahan macam ni? Menyakitkan diri awak sendiri aje, kan?”

“Saya ada sebab kenapa belum boleh buat laporan polis lagi, sir.”

“Sebab apa?”

“Sebab mereka saja yang boleh beri petunjuk dan bawa saya jumpa daddy semula.”

“Bukankah daddy awak dah tak ada?”

“Itu mommy yang cakap. Pada saya, selagi saya belum benar-benar pasti, saya tak akan terima kata-kata seperti itu. Saya yakin daddy masih hidup dan inilah satu-satunya cara saya dapat korek segala rahsia.”

“Mereka orang mommy awak?”

Aku menggeleng.

“Mereka diupah untuk mengekori saya. Tapi saya tak pasti siapa yang upah mereka. Saya rasa mommy pun tak tahu tentang perkara ni. Mungkin rakan kongsi mommy punya angkara.” Aku jongket bahu bila andaianku sendiri belum terbukti sahihnya. Cuma aku percaya bukan kerja mommy. Kalau pun mommy sanggup tengok aku mati, bukan begini caranya. Mungkin mati ditangannya sendiri. Itu boleh terjadi.

“Habis tu nak biarkan aje,ke? Keadaan ini sangat bahaya, Xandra.” Sir tidak habis-habis menyuarakan kerisauannya.

Kris sudah buat muka tegang. Aku tahu dia juga turut risau dengan keputusan dan tindakanku ini. Tapi aku tidak mahu berpaling lagi. Aku tetap mahu lakukan apa yang aku perlu lakukan walaupun risikonya amat tinggi. Kes daddy bukan kes biasa. Aku percaya tidak ramai yang mahu bantu jika perkara ini aku ketengahkan. Tidak kiralah pihak berwajib atau pihak yang mempunyai kedudukan tertinggi sekali pun. Mereka pasti banyak bersoal jawab dan akhirnya hanya membuang masa. Masa itu emas. Aku tidak mahu sia-siakan.

“Sir jangan risau. Saya percaya ALLAH sentiasa beri jalan kepada insan seperti kita. Sir doakan semuanya berjalan lancar.”

“Saya sentiasa doakan awak, Xandra. Tak kiralah apa yang bakal awak lakukan nanti. Doa saya tak pernah putus.”

Amboi! Cara sir bercakap macam aku mahu buat jenayah. Hui! Minta dijauhkan. Aku mahu menegakkan kebenaran. Itu saja. Selebihnya nanti pasti aku libatkan pihak berwajib juga.

“Untuk awak juga, Kris. Awak dah korbankan segalanya demi Xandra. Saya terhutang budi kat awak.” Sir menokok.

Kris hanya angguk. Jika dengan sir, dia lebih senang jadi pendengar. Kurang bercakap.

“Eh! Kan dia sendiri yang setuju, sir. Mana ada kes terhutang budi. Lainlah kalau kena paksa.” Mulut aku tetap gatal mahu menjawab sekaligus mencari pasal. Kris sudah jeling aku semacam. Aku cuma senyum senget.

“Xandra! Sakit-sakit pun masih nak kenakan orang.”

“Yang sakit tangan. Mulut tak sakit, sir. Auch!” Mengaduh aku bila Kris sudah ketil bahuku. Dia ini mengalahkan perempuan. Main ketil-ketil pula. Kalau aku nampak tadi memang aku tepis.

“Dah, jangan nak buat perangai depan orang ramai pulak. Kamu berdua ni tak ubah macam kucing dengan anjing. Pantang ada peluang, nak berbalah aje.”

Alah, sir... gaduh-gaduh manja, apa salahnya. Bukan selalu pun.”

“Kalau macam tu, dialah anjing. Saya tentu kucing. Kucing yang comel,” ujarku sambil lentokkan kepala ke kiri dan kanan. Kelopak mata pula kukerdipkan laju-laju. Meletus tawa Kris akhirnya. Aku buat lawak, ke?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin