Home Novel Cinta MISI CURI HATI
MISI CURI HATI
Azleya Shadzalin
31/8/2019 10:35:48
56,722
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

AKU picit pelipis sambil menyandar di bangku batu. Mata aku pejamkan sambil mencari selesa. Tengah hari itu kawasan kolej agak lengang. Malas agaknya mahu menempuh cuaca panas yang melampau. Lebih baik mereka melepak di perpustakaan atau bilik-bilik belajar yang berhawa dingin. Aku ni jugalah kena keluar walau panas atau hujan ribut sekali pun. Ada tugasan yang menanti. Silap aku juga. Payung punyalah banyak di dalam kereta. Satu pun tidak aku bawa bersama.

Aku buka mata perlahan-lahan apabila ada sesuatu jatuh di atas pahaku. Aku cari objek itu sebelum mata menghala ke arah lelaki-lelaki paling popular di kolej ini. Plastik biskut chipsmore mini yang dibaling kepadaku tadi aku ambil. Aku renyuk-renyuk dan dengan mimik muka geram, aku baling semula kepada Shark. Tepat mengenai wajahnya dan dia berpaling ke kiri seketika. Sudah kena muka baru hendak elak,buat apa? Apalah dia ni.

“Balas balik.” Dia tersengih-sengih memandangku. Aku tayang wajah serius selain tidak  mahu bereaksi lebih terhadapnya. Malas mahu melayan.Aku sandarkan badan semula ke bangku batu. Mencari selesa sambil melepas lelah.Panas gila kot! Rasa air dalam badan aku sudah terhidrat semuanya. Hendak melangkah pun rasa tidak mampu saat itu. Rasa lemah. Sebab itu aku malas mahubertekak dengan Shark.

“Kau kenapa ni?” soal Shark pula apabila dia lihat aku sudah bersandar selesa. “Wei! Kalau nak tidur pun agak-agaklah. Tempat awam ni. Karang kena ‘keroyok’ kat sini, baru padan muka,” bebelnya lagi. Aku buka mata sedikit. Terlihat batu kecil serpihan bangku batu yang aku duduki itu, aku capai pantas dan aku balingkan ke arah Shark. Dia sempat mengelak sambil pandang aku tidak puas hati.

“Apa hal kau ni, Xandra? Macam patah tulang aje gayanya.” Kali ini aku dapat rasakan ada sedikit rasa ambil beratnya. Shark sudah menghampiri aku lebih dekat. Tangannya yang mahu menjamah dahiku pantas aku tepis.

“Apa kau ni? Aku okeylah,”bohongku sambil membetulkan duduk. “Kris mana?” soalku pula bila lelaki itu tidak kelihatan dari tadi.

“Dia ada hal dengan lecturer. Kejap lagi sampailah sini tu.Kau betul okey ke ni?” Shark masih tidak berpuas hati dengan jawapanku tadi. Memang aku dapat lihat riak wajahnya yang mula serius. Tidak tersengih-sengih seperti awal tadi. Ash dan Eyan hanya diam tetapi mata mereka juga tidak lepas dari memerhati diriku.

“Hmm... Kau nak apa cari aku ni?” Seperti biasa aku sudah dapat agak maksud kedatangannya mengganggu ketenanganku. Memang tidak boleh tengok aku senanglah.

“Aku nak mintak tolong sikit, boleh?”

“Mintak tolong apa?”

“Kereta aku tu buat hal.Tak nak hidup...”

“Nak suruh kereta tu hidup, bagilah nyawa,” potongku sambil ketawa kecil. Shark sudah pandang aku lain ‘pesen’. Dia ingat aku takut? Makin gelak adalah.

“Ek eleh! Kerek pulak kau ni ya?”

“Bukan kerek. Kata nak suruh hidup... So, bagilah nyawa. Tak betul ke apa yang aku cakap ni?”

“Yalah! Bak mari nyawa kau tu letak kat kereta aku.” Shark geram dengan aku nampak gayanya. Besar matanya memandang aku.

“Eh! Kereta kau, nyawa kaulah patut dilayangkan. Apa hal nyawa aku pulak?”

“Kau ni banyak bunyi pulak, kan? Kau boleh tengokkan ke tak?”

Aku gelak lagi. Sentap doh! Apa punya lelakilah. Baru cakap macam itu sudah angin.

“Hmm... Bagi aku masa sikit. Kejap lagi aku tengokkan.”

“Aku nak cepat ni, Xandra.Sekarang tak boleh, ke?”

“Kenapa kau tak cuba guna jumper wire? Kan budak dua orang ni pun ada kereta. Cubalah guna cara tu.”

“Dah... Tapi tak menjadi jugak.”

“Kereta kau terus tak ada bunyi enjin ke macam mana?” Aku cuba cari solusi. Manalah tahu ada perkara yang boleh aku kongsi dengan mereka, kan? Jadi, di masa akan datang mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Enjin bunyi beberapa kali masa aku start tetapi macam tak ada gegaran.Kau faham kan maksud aku?”

Aku mengangguk. Biasalah tu. Ada masa kereta pun ‘sakit’. Perlu dirawat.

“Oh! Sistem kaburator atau fuel pump ada masalah kot. Tak pun, mungkin timing belt putus tu. Itulah, selalu sangat bawa drift. Lunyai kereta kautu.”

“Mulut kau ni! Mana ada aku selalu drift. Cepatlah tengokkan kereta aku tu. Aku ada hal ni.” Shark menggesa. Dia ini kalau mahu apa-apa tidak menyempat. Masa itu juga dia mahu. Masalah betul! Malas mahu terus bertekak, aku akur dengan kehendaknya. Setakat tengokkan, boleh saja.

Tetapi aku terduduk semula ketika cuba untuk berdiri tegak tadi. Pandangan aku jadi merah dan kemudian gelap.Aduh! Kenapa ni? Shark dan kawan-kawannya yang sudah mula melangkah, berpaling dan pantas berpatah balik ke arahku.

“Wei! Kau kenapa, Xandra?Aku tak buat apa-apa pun kat kau, kan? Kau pening kepala, mabuk-mabuk, ke? Kau mengandung,ke? Siapa buat kau jadi macam ni?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Shark.Gaya sedikit cuak. Dia sudah bertinggung di sebelahku. Melihat aku memicit pelipis, dia semakin galak mencari wajahku. Mahu lihat riak wajahku. Masa itu muka aku memang berkerut sejuta rasanya. Sakit kepala macam kena hempuk dengan bongkah batu.

“Kau tak sayang mulut ke apa? Kalau orang dengar nanti timbul cerita tak elok pulak. Kau jangan cari pasal.” Aku hempuk bahu dia dengan buku tebal yang kubawa. Mengaduh dia. Padan muka! Siapa suruh cakap yang bukan-bukan. Geram pula aku dibuatnya. Itu yang dalam sakit-sakit pun aku kuatkan tangan hempuk Shark. Mulut mengalahkan Pah Bedah. Aku sumbat mulut dia dengan batu nanti.

“Dah tu kenapa? Kau migrain?”

“Entahlah... Hari ni aku rasa macam nak pitam aje. Panas sangat kot! Tu yang nak pergi bengkel tergendala tadi dan aku duduk rehat kejap kat sini,” jelasku cuba buat macam biasa. Kalau boleh memang aku tidak mahu orang lain tengok aku dalam keadaan yang lemah. Tapi, kalau sudah mahu sakit, hendak buat macam mana, kan? Reda sajalah.

“Laa... Kenapa tak cakap awal-awal? Heh! Mana air aku tadi?” Shark sudah toleh ke arah Eyan. Serta-merta Eyan hulurkan botol air mineral yang sudah luak suku. Laju saja Shark sambut dan unjukkan kepada aku. Aku pandang dengan cuak.

“Apa?” soalku pula. Masih tidak menyambut botol air mineral yang dihulurkan kepadaku.

“Airlah! Nah! Minum. Kot boleh lega sikit. Kau ni kurang minum air agaknya. Tu sebab macam nak pitam.Dah tahu cuaca panas, lain kali bawa air mineral lebih.” Shark terus membebel. Rasa mahu sumbat lubang telinga pula.

“Eii! Bekas kau nak kasi aku minum?” Aku kurang selesa. Muka aku sudah berkerut. Geli-geleman!

“Wei! Bukan aku masukkan dalam mulut pun botol tu. Kau takut apa? Aku gosok gigilah. Dah, minum aje.Karang kalau pengsan, aku dengan kawan-kawan aku kendurikan kau, nak ke?” ugut Shark pula. Kurang asam betul! Aku tidak cakap pun dia tidak gosok gigi. Cuma aku geli. Faham tak?

“Mulut kau ni memang nak kena cili, kan? Suka cakap perkara yang bukan-bukan. Sebelum korang kendurikan aku, bodyguard aku akan kendurikan korang semua dulu. Korang jangan main-main dengan aku. Korang ingat perempuan macam aku ni tak ada maruah dan harga diri ke? Hah? Suka hati korang aje nak buat apa. Ke korang ni memang jenis perosak? Semua benda termasuk manusia pun korang nak rosakkan? Ya, memang aku nampak slow motion aje. Tapi, kalau aku dah marah, teruk korang nanti.” Aku pula ugut mereka. Sakit hati bila perkara-perkara yang tidak sepatutnya mereka cakapkan. Tambahan lagi apa yang dicakapkan itu bukan perkara yang elok. Mungkin mereka hanya mahu main-main. Bergurau. Tapi, perkara macam itu, bukan elok dibuat gurau.

“Hei! Xandra... Janganlah serius sangat. Aku bukan serius pun cakap benda tu tadi. Apa kena kau sensitif sangat ni.”

Aku picit lagi pelipis.Lebih kuat. Makin sakit kepala aku.

“Taklah! Ada perkara kauboleh buat gurau. Cakap tu umpama doa jugak, Shark. Kalau dah selalu kau dengan kawan-kawan kau cakap benda macam tu, tak mustahil jadi. Cakaplah perkara yang elok-elok. Kan bagus. Cuba kau bayangkan kalau yang kena tu adik atau kakak korang. Apa korang rasa?” Aku seperti mendapat aura menjadi seorang ustazah.Mood hendak beri ceramah sudah mari.

Sorry! Sorry! Aku dengan kawan-kawan aku tak ada niat macam tu sebenarnya. Kau jangan salah faham. Jahat-jahat kita orang ni, masih bertamadun lagi. Nama nak malukan keluarga, belum terlintas dan minta-minta tidak akan sampai ke situlah. Nah! Minum dulu. Karang kau pengsan, susah pulak,” kata Shark sambil unjukkan lagi botol air mineral miliknya. Aku pandang dia agak lama. Kemudian aku sambut botol air mineral tadi. Aku pandang seketika botol tersebut. Pelik! Shark terima saja kata-kataku. Hebat juga bila sesekali aku tarbiahkan dia, kan? Selalu tu kalau tak sampai urat kat leher tegang, tidak ada maknanya dia mahu mengalah. Memang tidak pernah mahu kalahlah senang kata. Asyik mahu buli aku saja. Akhirnya aku togok juga seteguk, dua. Buat hilang dahaga. Memang lega bila tekak dibasahi air.

“Nah. Thanks!” Aku unjukkan botol air mineral kepadanya semula. Shark tunjukkan telapak tangan kepadaku sambil geleng.

“Kau ambillah. Aku dah minum tadi. Lagipun aku belum nak pengsan.”

Amboi! Dalam baik tetap mahu kenakan aku juga. Memang buli dan Shark tidak boleh dipisahkan. Kalau dipisahkan mahu gila mamat ni. Hisy!

Aku mengangguk juga. “Thanks once again,” ujarku. Orang berbudi kita berbahasa.  Tapi, kenapa sakit kepala aku ni makin menjadi-jadi? Aduh! Hendak panggung kepala pun terasa payah. Berat.

 

“Hei korang!” sapa Kris yang tiba-tiba muncul. Kami semua pandang dia tanpa sepatah kata. Apa kena mamat seorang ni ceria lain macam pula? Wajahnya redup tidak tegang macam selalu. Jarang sangat aku dapat lihat dia begitu. Ada senyum yang terukir walaupun hanya sekerat. Eh! Aku pun bukan selalu sangat ada dengan dia, kan? Ke kepala aku ni sudah tidak betul sebab sakit sangat sampai tengok dia pun macam tidak betul juga. Yang tidak betul aku, bukan dia ya.

“Kenapa ni?” Kris pelik bila masing-masing hanya senyap memerhatikan dia. Bila semua mata tertumpu kepadanya, Kris juga akhirnya lihat diri sendiri.

“Kau tengok apa?” tanya Shark pula.

“Korang pulak tengok apa?”Kris soal balik.

“Tengok kaulah!”

“Tengok aku? Wei! Cuak juga ni. Manalah tahu aku pakai baju terbalik atau terlupa tarik zip seluar ke,kan?”

Cheh! Hawau punya kenyataan. Nasib baik mata aku tidak menghala ke ‘situ’. Yalah mana tahu dia betul tidak tarik zip seluar, rezeki namanya tu kalau ‘tertengok’.

“Ke situ pulak kau ni! Hisy! Dahlah lambat lepas tu boleh buat muka tak bersalah pulak. Berlendir tunggu kau kat sini wei!”

Apa hal mereka berdua ni?Bercakap benda yang kurang sopan pula. Tadi Kris cakap pasal lupa tarik zip.Ini, Shark pula cakap pasal berlendir. Apa yang berlendir? Aku sembunyi senyum. Siapa yang kurang sopan sebenarnya. Otak aku ni pun dah mula ‘kuning’. Padahal Shark tadi maksudkan dah berpeluh kot. Aku geleng kepala pula.

Sorry! Panjang lebar pulak perbincangan aku tadi. Tak sengaja okey.”

“Tu, Xandra tu dah nak pengsan tu.” Ash buka cerita. Siap muncungnya menghala ke arahku. Aku ikat juga nanti biar jadi panjang macam muncung Donlad Duck.

“Hah! You demam ke, Xandra?” Perhatian Kris sudah sepenuhnya tumpah kepadaku. Tapi aku tidak ada hati mahu menjawab. Kepala semakin berdenyut. Sudahnya aku pandang saja wajah dia dengan wajah yang sedikit sengsara menahan sakit.

“Dia nak pitam tadi. Tu yang kitorang berkumpul kat sini. Takut dia tiba-tiba jatuh pengsan,” tokok Ash pula.

Mendengar itu, Kris terus tolak Shark. Kemudian dia ambil alih duduk di sebelah aku. Hisy! Nampak kekok keadaan itu dan pastinya Kris langsung tidak perasan. Sehingga mataku mengecil memandangnya, barulah dia berlagak tenang sedikit. Tapi, kawan seorang yang sudah terduduk di bawah dek kerana tolakannya itu, apa cerita? Shark siap pandang dia tidak lepas.

“You okey tak ni?” Dia mula menyoal aku. Suaranya dikawal agar kerisauannya tidak jelas terpamer.Tapi, kalau sudah tindakannya tadi melebihi segalanya, siapa yang tidak akan syak, ya tidak?

“Hmm... Okey sikitlah.Nasib baik Shark dengan yang lain ada tadi.” Aku juga cuba cover line.

“Aku peliklah korang berdua ni. Kadang-kadang muka ketat bila jumpa. Tapi, kadang-kadang macam terlebih mesra.” Eyan sudah mula buka sesi edisi siasat.

“Pelik apanya? Kan aku bodyguard dia. Biasalah tu. Dengan dia ni tak boleh selalu tayang senyum. Lutut dia boleh naik atas kepala aku. Lawan tokey nanti.” Sedap saja Kris kutuk aku. Cis! Ini sudah melampau. Tapi aku memang malas mahu berlawan cakap hari ini. Jadi, aku cuma senyum saja.

“Tulah... Aku pun muskyil jugak ni. Tak pernah-pernah Kris tolak aku sampai jatuh terduduk macam tadi,kan? Hari ini dalam sejarah dia buat macam tu. Sebab siapa? Sebab inilah, budak kecik ni.” Shark sudah tunding jari ke arahku. Tapi wajahnya tidak serius.Jadi, aku terus tayang senyum.

Sorry wei! Aku tak sengaja. Terkejut kau cakap dia nak pengsan.Kalau jadi apa-apa kat dia, apa aku nak jawab dengan family dia? Kau kena faham. Aku kerja. Lepas tu masa kejadian aku tak ada dengan dia. Masak aku kena jawab nanti. Korang macam mana boleh ada dengan dia ni?” Panjang lebar Kris menerangkan sebelum disusuli dengan soalan. Sesekali dia pandang aku apabila tangan aku naik ke pelipis. Risaulah tu!

“Aku memang cari dia tadi,”kata Shark sambil mencangkung di sebelah Kris. Kris pandang muka dia.

“Cari dia kenapa?” Sudah ada nada curiga.

“Kau ni! Tanya macam aku tak boleh nak jumpa Xandra pulak. Tahulah kau cemburu kalau kita orang dekat dengan dia.” Shark mengusik tanpa tapis. Mulut dia ni kan memang hendak kena cili. Wajah Kris sudah berubah rona. Kris toleh aku sekilas sebelum pandangannya dialih untuk menentang pandangan rakan-rakannya.

“Cemburu apa pulak ni?Korang ni pandai aje buat cerita. Kesian Xandra malu korang cakap macam tu.”Bukan main membela lagi dia ini kan? Dia ingat buat macam tu boleh cover line?

Eh! Apa hal aku pulak yang malu? Aku tidak rasa apa pun. Dia yang macam udang kena panggang adalah. Aku cool saja.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Azleya Shadzalin