Helmi dan Musri semakin
gelisah. Sudah hampir dua jam mereka mencari jalan keluar namun masih belum
menemui sebarang petunjuk. Tempat yang mereka sedang jejak saat ini bukanlah
jalan menghala ke jeti tetapi jalan masuk ke sebuah kampung yang belum pernah mereka
lihat.
"Wei, ada
kampunglah kat sini!" Musri bersuara.
"Alhamdulillah!"
ucap Helmi melafazkan syukur. Sekurang-kurangnya mereka tidak tersesat.
Tidak jauh dari tempat
mereka berdiri, kelihatan beberapa deretan rumah kampung bercorak tradisional
seperti rumah yang pernah mereka lihat dalam cerita-cerita hitam putih di
televisyen. Nampak unik bentuk rumahnya. Bumbungnya hanya diperbuat daripada
atap rumbia manakala binaan asas dindingnya boleh dikatakan semuanya
menggunakan papan - tidak seperti rumah sekarang; batu bata.
Mata Helmi meliar ke
semua arah. Dia melihat ada sebuah surau kecil berdekatan dengan rumah kampung
tersebut. Ketika itu hanya ada beberapa orang saja yang baru masuk ke dalam
surau itu untuk menunaikan solat subuh.
"Nak masuk
ke?" soalnya kepada Musri.
Musri mengaru-garu
kepala. Selama dia hidup atas muka bumi ini, berapa kali sangat dia sembahyang.
Boleh dibilang dengan jari. Kalau dia masuk ke dalam surau itu, maknanya dia
kena solat jugaklah macam mereka yang lain.
"Aku tunggu kat
luar ajelah Mi. Kau masuk sorang aje."
"Lah, kenapa
pulak?" Helmi buat-buat tidak faham.
"Aku bukannya reti
sangat nak sembahyang. Bukan kau tak tahu aku ni macam mana. Buat-buat tanya
pulak."
"Masuk ajelah. Aku
pun bukan tahu sangat. Buat aje macam kita pandai. Bukannya dia orang tahu.
Jomlah! Banyak songehlah kau ni." Helmi menarik tangan Musri ke dalam
surau. Musri sudah menarik muka masam.
Selepas mereka selesai
mengambil wuduk, mereka terus menuju ke ruang dalam. Orang-orang yang berada di
situ hanya tersenyum manis sebelum bersalaman dengan mereka. Suasana ketika itu
terasa tenang. Hanya terdengar alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan Zikrullah.
Beberapa minit
kemudian, azan subuh berkumandang di segenap arah. Terasa kudus mendengar
laungan azan di waktu pagi begitu. Sungguh tenang. Meresap jauh ke dalam hati.
Buat pertama kali, Musri dan Helmi solat berjemaah setelah agak lama tidak
mengerjakan suruhan Allah itu. Mereka memang sudah lama tidak sembahyang.
Selepas habis solat,
mereka berzikir memuji kebesaran Allah. Helmi dan Musri hanya mengikut. Hanya
mulut saja yang bergerak. Entah betul ke tidak, mereka pun tak pasti.
"Maaf, nak. Kalau
pak cik boleh tanya, anak ni dari mana sebenarnya? Rasanya, tak pernah nampak
kat kampung ni?" Tiba-tiba salah seorang penduduk kampung di situ bertanya
ketika jemaah-jemaah lain mulai beransur-ansur keluar.
"Kami memang bukan
asal orang sini, pak cik. Kami sebenarnya dah tersesat jalan," jelas
Helmi. Musri di sebelahnya turut mengangguk.
"Oh, sesat jalan.
Tak apa, buat sementara waktu ni kamu berdua boleh duduk dulu kat rumah pakcik.
Nanti dah siang sikit baru balik."
"Eh, tak apalah
pak cik. Kami kena balik sekarang ni jugak sebab kami tengah kerja. Kalau
lambat balik, marah pulak bos kami." Helmi menolak baik hasrat pakcik yang
hanya mahu dikenali dengan nama Pak Yahya itu,
"Betul tu. Kami
pun tak tahu macam mana nak cari jalan balik ke jeti tempat kami kerja tu.
Jalan kat sini berbelit-belit macam ular. Naik pening kami dibuatnya. Sebab tu
kami datang ke sini nak minta pertolongan," terang Musri pula.
Orang tua yang berada
di hadapannya itu direnung beberapa kali. Mukanya nampak muda walaupun sudah
berusia. Rasa tenang apabila melihat wajahnya. Pakaiannya pula serba putih -
dari atas kepala sampai ke hujung kaki, semua satu warna. Di tangannya pula ada
tasbih. Sambil memandang wajah Helmi dan Musri, sesekali mulutnya
terkumat-kamit berzikir.
"Baiklah. Pak cik
akan tunjukkan jalan keluar dari sini. Mari!" arahnya.
Helmi dan Musri segera
mengekori langkah Pak Yahya.
"Kat depan sana tu
ada satu jalan menghala ke arah selatan. Kamu berdua ikut saja arah tu.
InsyaAllah kamu akan jumpa jalan keluar."
Helmi dan Musri saling
berpandangan. Jalan yang dikatakan oleh Pak Yahya itu tidak dapat mereka
lihat.
"Kau ada nampak ke
jalan tu, Mi?" Musri berbisik halus di telinga Helmi.
"Tak nampak jalan
pun. Orang tua ni dah rabun kot," jawabnya sedikit pelik. Apa yang dia
dapat lihat di depan kawasan itu hanyalah semak-samun dan belukar. Macam mana
orang tua ni boleh cakap ada jalan? Pelik betul dia.
"Ada masalah ke?
Kenapa diam aje?" Pak Yahya datang menghampiri mereka.
"Kami berdua tak
nampak jalan pun kat depan sana tu, pak cik. Semak-samun aje yang kami
nampak." Musri memandang muka Pak Yahya.
Pak Yahya hanya diam.
Semakin pelik orang tua ni.
"Pak cik rasa
lebih baik kamu tinggal aje kat sini buat sementara waktu. Nak balik pun kamu
tak nampak jalan, macam mana nak balik," usul Pak Yahya lagi.
"Apa maksud pak cik
ni?" Helmi betul-betul tak faham. Musri juga begitu.
"Maksud pak cik,
hati kamu tu masih belum bersih lagi untuk lihat jalan tu. Sebab tu tak nampak.
Hanya orang yang ada jiwa bersih aje boleh lalu jalan tu," ucap Pak Yahya
lembut.
"Saya tak fahamlah
apa yang pak cik cakapkan ni. Kenapa pulak kena bersihkan hati? Pak cik ingat
kami ni jahat sangat ke hah?"
Musri mula meninggikan
suaranya. Bengang juga dia apabila orang tua itu bercakap perkara yang dia
sendiri tidak faham. ‘Dia ni siapa,
malaikat ke sampai boleh tengok benda ghaib?’
"Sabarlah Mus.
Bawa bertenang! Kau ni cepat sangat naik angin." Helmi memujuk Musri.
"Kau diamlah Mi.
Aku bukan tanya kau. Aku tanya orang tua ni." Suara Musri kian meninggi.
Wajah Pak Yahya direnung tajam.
"Kalau pak cik tak
boleh tunjukkan kami jalan, cakap ajelah. Kan senang. Tak payahlah nak cakap
yang bukan-bukan. Nampak aje baik, sembahyang tunggang terbalik, tapi penipu.
Jalan tak ada, dia kata ada. Merepek betul orang tua ni. Dahlah Mi. Jom kita
berambus dari tempat sial ni. Sakit mata aku tengok muka dia."
Musri memandang muka
Pak Yahya sekilas sebelum beredar dari situ bersama-sama Helmi. Pak Yahya hanya
tersenyum memandang mereka.
‘Kau
tak tahu lagi macam mana tempat ni budak-budak. Carilah sampai dapat jalan keluar
tu. Kat sini bukan tempat kau. Kita tengok ajelah nanti.’
Sementara itu, Helmi
dan Musri meneruskan langkah tanpa memandang sedikit pun ke belakang. Mereka
tak mahu lagi masuk ke kampung aneh itu. Biarlah mereka sesat sekali pun,
asalkan tidak menjejakkan kaki ke tempat tersebut.
"Kau ni celupar
sangatlah mulut. Kalau ya pun, cakaplah baik-baik dengan orang tua tu tadi. Ni
tak, main lepas aje cakap. Kesian aku tengok dia."
"Pergi mampuslah dengan
orang tua tu. Yang kau nak back up
sangat dia tu dah kenapa? Kalau kau kesian sangat kat dia, kau pergilah duduk
sana temankan dia." Musri naik angin mendengar kata-kata Helmi. Sudahlah
kepala dia pening nak cari jalan keluar, boleh pula Helmi menaikkan lagi amarahnya.
Memang nak kena smashlah jawabnya.
Helmi tahu Musri marah.
Dia akhirnya senyap tanpa suara. Dalam keadaan marah, memang begitu.
Kadang-kadang tanpa sedar kita boleh bertindak di luar kawalan.
Helmi termenung
sebentar. Dia sebenarnya pelik apabila memikirkan kata-kata Pak Yahya sebentar
tadi.
‘Maksud pakcik, hati kamu tu masih belum bersih lagi untuk lihat jalan
tu. Sebab tu tak nampak. Hanya orang yang ada jiwa bersih aje boleh lalu jalan
tu.’
Apa maksud dia?
Suara Pak Yahya
kedengaran lagi di telinganya. Dia cuba memahami setiap patah kata orang tua
itu. Dia tahu, cakap Pak Yahya bukanlah cakap-cakap kosong. Seperti ada satu
perkara penting yang dia ingin sampaikan kepada mereka berdua. Tetapi dia tidak
tahu apa maksud sebenar lelaki tua itu berkata begitu.
Hari sudah semakin cerah.
Helmi berharap apabila munculnya siang, mereka berdua akan dapat mencari jalan
keluar dari hutan tebal ini. Dia cukup yakin akan hal itu.
"Hari dah nak siang
ni. Senang sikit kita cari jalan keluar," kata Helmi sambil memandang ke
hadapan. Dari jauh dia dapat melihat ada sebatang anak sungai yang terletak
beberapa meter di hadapan.
"Kau tak lapar ke,
Mus? Perut aku dah berbunyi-bunyi ni dari tadi. Lapar betul." Helmi
memegang perutnya.
"Lapar jugak.
Habis tu nak makan apa kat tengah hutan ni?"
"Entahlah. Cari
ajelah apa-apa yang boleh kita makan. Tekak aku ni pun dah haus sangat. Jom
pergi kat sungai tu. Untung-untung ada ikan, boleh jugak buat lauk."
Helmi sudah berjalan ke
depan. Teruja sungguh dia melihat air sungai yang terbentang luas di hadapan mata. Sungguh
cantik pemandangan di situ. Airnya berwarna hijau dan jernih sehingga boleh
nampak ikan bermain-main di gigi air.
"Sejuk gila doh
air sungai ni. Sedap ni kalau dapat mandi," ucap Helmi gembira.
"Kau nak mandi kat
sini ke?" tanya Musri pelik.
"Mestilah nak
mandi. Kau ingat senang ke nak jumpa sungai cantik macam ni kat mana-mana.
Mesti seronok."
Helmi segera
menanggalkan bajunya. Kemudian, dia membuka tali pinggang. Seluar kerjanya itu dicampakkan di atas
rumput.
"Sedaplah mandi
kat sini. Kalau dekat dengan rumah, aku sanggup datang sini hari-hari,"
ujar Helmi lagi."
"Memang best pun. Air dia sejuk aje. Tak rugilah
kita mandi kat sini." Musri juga menyukai tempat itu. Lama juga mereka
mandi. Mujurlah air sungai itu tidak terlalu dalam. Hanya paras pinggang
mereka.
Selepas mandi, mereka
duduk berehat di sungai itu.
"Kau cakap tadi
nak tangkap ikan. Banyak tu ikan kat sini." Musri melihat ikan-ikan sedang
bermain di gigi air. Geram pula dia melihatnya.
"Nak tangkap guna
apa?" Helmi buat soalan bodoh.
"Guna mulut
aje," sindir Musri.
Bulat mata Helmi
memandang Musri.
"Buat loyar buruk
pulak dia ni. Ish!"
"Dah tau tak ada
pancing kat sini, lagi nak tanya. Pandai-pandailah nak hidup."
Musri pantas
mengeluarkan pisau lipat yang berada di dalam beg sandangnya. Mujurlah dia
membawa begnya itu semasa mencari Helmi semalam.
"Gila betullah kau
ni. Boleh pulak bawak pisau masa kerja. Nasib baik bos tak periksa."
Menggeleng Helmi melihat pisau lipat yang dipegang oleh Musri. Dahlah tajam,
kalau kena tikam memang terburai segala isi perut.
"Nak hidup Mi,
kenalah pandai. Kalau nak ikut sangat peraturan memang susah. Itu tak boleh,
ini tak boleh. Nasib baik aku bawa pisau ni. Ada jugak guna dia masa kecemasan
macam ni."
Musri sedang menghiris
sebatang kayu yang diambil dari pokok berdekatan. Kayu itu dihiris seperti mata
pensel agar menjadi tajam. Sesudah itu dia menuju ke arah sungai. Apabila
melihat ikan bermain-bermain di gigi air, dia terus memacakkan kayu itu ke
dasar sungai. Hampir tiga kali juga dia
berbuat begitu namun tidak berhasil.
"Aduh, susah pulak
nak tangkap ikan ni. Cepat sangat dia lari." Musri mengomel.
"Biar aku pulak cuba.
Sah-sah tangan kau ni tak bedung masa kecik. Tu yang tak dapat. Meh sini!"
Helmi pantas merentap kayu itu.
"Lain kali tengok
cara orang pandai tangkap ikan. Bukan susah sangat pun. Kau tengok ni!"
Musri mencebikkan
bibir. ‘Berlagak.’
Tidak sampai dua minit,
Helmi berjaya menangkap ikan menggunakan kayu yang dijadikan seperti tombak.
Kembang kempis hidungnya melihat ketangkasannya itu.
"Tengok tu, sampai
dua ekor ikan aku dapat," ucapnya bangga.
"Yelah Mi. Kau
memang hebat bab-bab menangkap ikan ni. Tahniah!" Musri buat lawak basi.
Sekadar menyedapkan hati kawan baiknya itu.
"Terima kasih!"
Helmi tersengih-sengih.
Beberapa minit
kemudian, mereka duduk semula di tempat tadi. Ikan-ikan yang mereka tangkap itu
diletakkan di atas rumput. Helmi dan Musri mencari ranting-ranting kayu dan
daun kering pula untuk dijadikan bahan bakar. Dua batang kayu itu kemudiannya dipacakkan
di atas tanah. Helmi mencapai ikan-ikan itu lalu dimasukkan ke dalam kayu
runcing yang telah dihiris tajam.
"Ambilkan aku lighter tu Mus!" arah Helmi.
Musri menghulurkan pemetik
api miliknya yang berada di sebelah beg sandang.
"Nah!"
Helmi menghidupkan api
dengan begitu berhati-hati. Dia tak mahu ada angin yang menganggu. Pengalaman
sebagai ahli pengakap ketika berkhemah di dalam hutan semasa di sekolah
menengah dulu cuba dipraktikkan. Dia memang cukup mahir bab begitu.
"Menyala
pun." Akhirnya dia berjaya menghidupkan api.
"Dah lama betul
tak makan ikan segar macam ni. Kalau
dulu, selalu aje kita makan. Kau ingat lagi tak, dulu masa kecik kita suka
sangat sauk ikan kat parit belakang rumah Wak Lem?" soal Musri,
mengingatkan Helmi akan kisah semasa mereka kecil dahulu.
"Mana boleh tak
ingat. Sampai sekarang pun aku tetap ingat kenangan tu. Seronok betulkan. Masa
tu kita bertiga dengan Hamdan. Balik sekolah rendah aje terus main parit.
Sampai berkubang baju macam lembu main lumpur. Kelakar!"
Helmi tersenyum
sendiri. Kenangan masa kecil dulu memang seronok. Teringat pula dia pada Hamdan, rakan baik mereka
yang sudah sepuluh tahun meninggal dunia. Hamdan terlibat dalam satu kemalangan
jalan raya semasa balik dari sekolah. Dia masih ingat peristiwa sedih itu.
"Biasalah Mi.
Zaman kanak-kanak memang nakal sikit. Sekarang ni aje dah baik sikit."
Musri membalik-balikkan
ikan yang sudah separuh masak itu. Terliur juga dia melihat ikan segar seperti
itu.
"Dah masak ke
belum ikan tu?" Helmi bertanya.
"Nak dekat masak
jugak ni. Lagi sikit."
Isi ikan itu dicubitnya
sedikit sebelum ditiup beberapa kali.
"Sedaplah isi ikan
ni. Lemak berkrim," kata Musri riang sambil menjilat jari tangannya.
"Cuba kau
rasa."
Helmi teruja juga
melihat isi ikan itu yang nampak lazat. Pantas dia mengalihkan ikan-ikan itu
dari nyalaan api. Selepas beberapa minit, barulah mereka menikmati hidangan
ringkas itu. Berselera sungguh mereka makan. Saat itu cuaca agak redup. Angin
bertiup lembut.
Mereka terlalu asyik
menikmati pemandangan indah di sekitar sungai itu sampaikan tidak sedar hari
semakin siang. Mereka juga seakan-akan terlupa pasal tugas mereka di jeti.
Setelah kekenyangan, mereka akhirnya tertidur sampai ke petang.
********
"Bang,
bangun-bangun!"
Tiba-tiba ada satu
suara sedang mengejutkan mereka dari tidur. Helmi dan Musri terjaga. Mata
digosok beberapa kali. Kelihatan, ada seorang lelaki muda sedang berdiri di
hadapan mereka sambil tersenyum.
Musri terpana seketika.
Wajah lelaki itu seperti pernah dia lihat sebelum ini. Siapa ya? Dia mula
mengaru-garu kepala.
'Eh, ni bukan budak
yang aku jumpa malam semalam ke? Apa dia
buat kat tengah-tengah hutan ni?'
Bersambung...