Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan
Peduli Insan
nzamwhid
14/10/2018 20:35:59
2,489
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Adam dan Fiona 

 

Malam itu seperti malam-malam Sabtu yang lepas, aku paksa diri untuk hadir ke aktiviti amal anjuran NGO bertempat di Kuala Lumpur (KL). Aku sendiri tidak ingat, entah sudah berapa kali melibatkan diri dalam aktiviti feed the homeless(FTH) ini. Kini aku telah menjadi volunteertetap sebuah NGO tempatan, Kindness Malaysia. Namun malam itu sama sekali aku tidak menyangka akan melalui satu peristiwa yang mana menguatkan lagi hajat untuk menubuhkan teamsendiri. Penglibatan bersama KindnessMalaysialebih kepada untuk aku mahirkan diri dengan selok-belok dunia sukarelawan, khususnya kehidupan gelandangan.

 

Jam menunjukkan hampir 12.30 malam. Aktiviti bersama KindnessMalaysiamemang sering bermula lewat. Biasanya kami berkumpul seawal jam 12 malam dan berakhir jam 1 atau 2 pagi. Aku berjalan sambil cuba untuk seimbangkan berat beg IKEA yang tergalas di bahu kiri. Kebetulan malam ini agak banyak makanan yang akan diagihkan hasil tajaan pelajar Universiti tempatan. Sering kali mereka meminta bantuan kami untuk melihat kehidupan jalanan ini demi tuntutan kreditbagi subjek yang ditawarkan dalam pengajian mereka.

 

Ketika melintasi kawasan parkir kereta berhampiran bangunan Suria, aku terpandang sebuah motor Yamaha RXZ yang diletakkan di situ. Motor yang menggamit banyak kenangan silam di zaman remaja suatu masa dulu, memang kuat tarikannya bagi mereka yang seusia denganku. 

 

Apa yang mendorong aku mara menghampiri motor itu ialah seorang anak kecil yang sedang lena di atasnya. Dia hanya berseluar pendek dan bersarung jaket. Badannya direbahkan di atas tangki motor manakala tangannya bersilang menjadi bantal. Melihat fizikal anak itu, aku jangkakan usianya sebaya atau muda setahun dua dari anakku, Adam. Sesekali terdengar rengekan daripada si kecil, mungkin mengigau atau pun menahan sejuk di malam hari.

 

“Anak siapa tu bang?” Aku memandang Man, penjaga parkir kawasan situ. Hubungan aku dengan dia agak baik kerana sering memberi makanan yang lebih kepadanya. Jika orang lain aku beri satu, Man akan dapat dua. Sebagai balasan dia beri aku parkir percuma, mudah untuk lakukan kerja-kerja agihan makanan nanti. “Tu hah mak dia,” Man menuding jari ke arah seorang wanita yang sedang duduk di tangga pintu masuk bangunan Suria.

 

Aku melangkah laju. Sesekali terasa denyut pada bahu menahan berat beg IKEA yang dibawa. Aku perlu awal habiskan agihan makanan, bimbang jika si ibu dan anak tadi sudah tiada. Naluri ingin tahu membuak-buak dalam diri. Langkahku atur berhati-hati. Walaupun laluan aku berhampiran bangunan Suria, namun kawasan sekitar penuh dengan lubang. Permukaan tar langsung tidak dijaga oleh pihak berkuasa tempatan. Sesekali bau busuk dari rumah sampah berhampiran menusuk hidung. Aku berhenti lalu menoleh ke arah motor tadi. Masih nyenyak si kecil, sepertinya bau yang aku hidu itu tidak beri sebarang kesan kepadanya.

 

“Mengapa si ibu membiarkan saja anak kecilnya tidur di atas motor pada malam hari. Di manakah ayah anak malang itu, di manakah tempat tinggal mereka?” Seribu pertanyaan mengasak minda.

 

“Assalamualaikum kak...” Sapaku lembut. Selesai mengagihkan makanan aku tidak berkumpul bersama sukarelawan lain. Sebaliknya aku terus menuju ke arah wanita tadi. Syukur dia masih ada. Kebiasaannya Kindness Malaysiaakan buat sesi perkongsian selepas selesai aktiviti mengagihkan makanan. Para pelajar yang terlibat diminta berkongsi apa yang mereka rasa setelah melihat kehidupan jalanan atau gelandangan di ibu kota ini.

 

“Waalaikumussalam. Dah habis ke bagi makan?” Senyum dia membalas sapaanku.

“Dah. Malas nak kumpul di sana. Biarlah kawan lain yang buat...” 

“Kak, tu anak akak ke? Dah tertidur dia,” aku cuba beramah mesra, mencari idea untuk mulakan perbualan.

 

“Ooh Adam tu. Dia demam. Tadi dengan ayah dia. Ni ayah dia ada kat kedai atas tu dengan Fiona, adik si Adam,” jawabnya sambil beresot ke sebelah kiri, memberi ruang untuk aku duduk di anak tangga itu.

 

Aku tersenyum mendengar jawapan daripada wanita itu. Nama anaknya sama dengan anakku, bagaimanapun perkataan demam, membuatkan senyum bertukar kelat, perasan geram berbaur marah mula membara di hati. Apa agaknya dalam fikiran mereka ini yang sanggup membiarkan anak sedang demam tidur kesejukan di malam hari.

 

“Dik, akak ni orang susah. Datang sini pasal nak ambil nasi. Terima kasihlah tadi kawan adik dah bagi akak nasi,” tanpa ditanya dia terus bercerita. 


“Minggu lepas ada satu NGO janji nak beri pampers untuk anak akak. Dari tadi akak tunggu dia tak sampai-sampai,” tambahnya lagi, “akak duduk di Kajang. Di sana tak ada orang nak agih nasi macam kat KL ni.” Seperti pula dia tahu apa yang bermain di fikiranku ketika itu. Aku hanya diam, menyesali perbuatan yang bersangka buruk terhadapnya sebentar tadi.

 

“Malam esok akak datang lagi tak? Kalau datang saya bawakan pampers dan susu untuk anak akak,” aku cuba menebus kesilapan. Harapnya dia sudi menerima tawaran aku.

 

“Insya Allah. Nanti akak beritahu abang...” 

 

Sebelum mereka bergerak pulang, sempat aku belikan sundae dan kentang goreng McD untuk Adam dan adiknya Fiona. Simpati melihat mereka empat beranak menunggang motor membelah sejuk malam demi sesuap nasi. Insya Allah, malam esok aku akan usahakan barangan keperluan mereka.

 

Sepanjang perjalanan pulang aku terfikir, pada tahun 2015 yang kononnya sarat dengan agenda kemodenan, mengapa masih ada lagi golongan seperti mereka? Selama ini aku hanya membaca, menonton drama, namun kali ini aku berhadapan sendiri dengan realiti. Walaupun sedikit teruja untuk membantu, namun di hati masih berasa sayu. Wajah Adam dan Fiona terbayang-bayang dalam fikiran sepanjang perjalanan pulang.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.