Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 2)
Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 2)
nzamwhid
15/10/2018 12:44:56
2,469
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULIINSAN

Denyut nadi gelandangan: Kisah percintaan jalanan III

 

 

"Memang kalau ikut saya, saya nak je halau dia dari bilik saya..."

"Pernah juga saya terfikir nak tolak dia biar jatuh dari tingkat 3 bilik saya tu, biar mati!!"  



 

Buat pengetahuan kau semua,anak dalam kandungan remaja perempuan itu, sebenarnya bukan anak Jo. Tetapianak orang lain! Kerana itulah Jo selalu tegaskan, dia tidak bersalah. Apa yang membuatkan semua perkara terbongkar, bila usia kandungan pasangan Jo melebihi dari tarikh sewaktu mereka mula bersama. Setelah melakukan pemeriksaan doktor, rahsia yang disembunyikan tidak dapat disorok lagi.

 

"Kawan-kawan di tempat kerja cakap saya bodoh jadi pak sanggup ..."

"Saya mulanya tahan je bang, lama-lama mana tahan! Tu yang saya bertumbuk sampai kena buang tu. Memang kalau ikut saya, saya nak je halau dia dari bilik saya ..."

"Pernah juga saya terfikir nak tolak dia biar jatuh dari tingkat 3 bilik saya tu,"

"Biar mati!!" Matanya bersinar kemarahan.

 

"Tapi bang hati dah sayang," dia terdiam sejenak. Mungkin menahan sebak di hati. Tidak sangka, di sebalik syak wasangka buruk aku terhadap kau Jo, rupanya hati kau seribu kali lebih baik daripada aku dan mana-mana lelaki lain di KL ni. Oh Tuhan, syukur aku ditemukan dengan pengalaman sebegini. Syukur!

 

Cuba kau beritahu, siapa saja lelaki yang sanggup menerima perempuan seperti pasangan Jo ini? Sanggup melupa dan memaafkan dosa silam pasangan mereka. Walhal perkenalan Jo dan remaja perempuan itu hanya baru beberapa bulan. Aduhai Jo, kau memang satu dalam seribu. Harapnya betullah janji kau tidak mahu menyentuh dadah lagi.

 

Malam itu aku bertanya dari hati ke hati dengan pasangan Jo. Dia menceritakan segala-galanya kepada kami. Ketika bekerja di sebuah daerah di negeri pantai timur, remaja itu mempunyai seorang teman lelaki. Mereka memang kerap mengadakan hubungan seks bersama apabila ada peluang.

 

"Mak dan ayah tak kisah saya keluar malam bang..."

"Mak pun kenal teman lelaki saya. Sama tempat kerja. Tapi sekarang dia dah berhenti kerja..."

"Kali terakhir saya bersama dia sebelum saya pergi KL..."

"Saya fikir saya dengan Jo hanya skandal saja. Tak sangka saya pregnant anak teman lelaki lama saya ..." Sesekali dia mengusap perutnya. Matanya redup merenung kami, penuh penyesalan.

 

Bayangkan gadis seawal usia 19 tahun diberikan kebebasan seperti wanita dewasa untuk keluar malam sesuka hati dengan pasangan berlainan jantina. Siapa yang harus disalahkan sekiranya berlaku kes sebegini? Perlu ke kita didedahkan dengan isu pembuangan bayi lagi? Ah kau fikirlah sendiri.

 

"Mak awak dah tau belum cerita awak? Betul ke awak nak kahwin dengan Jo?"

"Jo tu terlibat dengan dadah tau. Saya bimbang nasib awak kemudian hari ..." Perlahan aku menerangkan kepada dia mengapa aku begitu mengambil berat kes mereka berdua.

 

Pengalaman aku, apabila berjalan malam, sering terlihat pasangan suami isteri bergelandangan kerana berpunca dari najis dadah. Tak dinafikan segelintir berpunca kesusahan dalam kehidupan, namun majoriti kerana sikap dan najis dadah. Aku masih ingat apabila seorang gelandangan yang dipanggil dengan gelaran 'ibu' oleh gelandangan muda lain menasihati aku tentang pasangan ini. Ibu juga adalah 'jiran' tidur kepadamereka berdua. Ibu di sebelah kanan, manakala uncle Adam di sebelah kiri.

 

Di balik tiang warna unggu itulah ibu tidur atau duduk bersandar sementara menunggu mata mengantuk. Dia sering bermain dengan anak kucing peliharaan nya. Ibu berketurunan India Muslim.

 

"Nizam, awak pujuklah budak perempuan tu balik kampung,"

"Kesian dia. Jo tu main ubat. Sekarang memang dia dah stop, tapi bimbang dia main semula."Ujar ibu.

Katanya lagi, "Kesian ibu tengok budak tu ..." Aku diam mendengar pesanan ibu. Ibu sebenarnya kurang sihat. Dia ada penyakit jantung.Sesekali dia akan ke HKL untuk temu janji doktor di sana.

 

Malam itu aku lihat ibu hanya duduk diam sambil memicit kepala. "Makcik kenapa? kurang sihat ke?" Aku berdiri di depannya sambil memegang sebotolair mineral yang baru dibeli dari McDonald's.

 

"Tu air kosong ke?" Ibu bertanya sambil menghulur tangan. Dia meminta air di tanganku. Kebetulan air itu belum diminum lagi, baru dibuka penutupnya, laluku beri saja kepada ibu.

 

"Saya nak makan ubat. Sakit kepala," ibu menjelaskan mengapadia perlukan air itu.

"Makcik minumlah. Saya ada lain." Jawabku sambil melemparkan senyuman.

 

Dia turut tersenyum sambil mengucapkan terima kasih. Aku sekadar mengangguk lalu berjalan menuju ke atas untuk bersama mendengar cerita daripada Jo. Sahabat HUMANITY dan dua orang pelajar lelaki dari UKM telah aku arahkan untuk mencungkil sebanyak mungkin latar belakang Jo.

 

Setelah mendengar perbualan antara mereka, aku mengundur diri menuju ke McDonald's. Aku ingin melihat perkembangan Aisyah bersama pasangan Jo pula. Apabila aku melintasi ibu, dia masih duduk memegang kepala. Air mineral yang aku beri diletakkan berdekatan tiang tempat dia selalu bersandar.  Aku hanya berlalu langsung tidak menegur kerana tidak mahu menganggunya.

 

Tiba di McDonald's;

"Saya memang nak balik bang. Saya dah bercakap dengan mak," remaja itu meluahkan apa yang dirasa. “Saya pun tak sanggup tidur di kaki lima begini …” Tambahnya lagi.

"Jo pun sanggup berhadapan dengan mak dan ayah saya. Dia nak mengaku dia ayah pada kandungan ni," perlahan suaranya menyambung cerita. Kadang-kala dia berhenti seketika, hilangkan sebak di dada.

 

 

Malam itu juga aku terus menghubungi ibunya. Di awal perbualan, aku telah ditengking, dia beranggapan aku adalah Jo! Selepas aku menerangkan panjang lebar duduk perkara sebenar, barulah si ibu mampu bertenang. Aku terpaksa menceritakan semuanya, perihal tentang kandungan anaknya dan siapa ayah kepada bayi itu. Aku bimbang Jo akan dipukul bila pulang ke kampung halaman remaja itu. Jo sendiri pernah menyatakan perasaan bimbang, risau dipukul oleh waris teman wanitanya akibat salah faham.Aku berjanji akan cuba membantu sehabis mampu.

 

Setelah jelas cerita sebenar, ibu kepada remaja tersebut memohon agar pasangan berdua itu pulang ke kampung untuk berbincang. Waris remaja perempuanitu juga ada yang bekerja di Kuala Lumpur. Nombor untuk menghubungi waris merekaitu telah aku catatkan. Telefon aku letak. Nombor yang baru tadi aku ambil aku dial, menunggu respon dari pihak sana.

 

Alhamdulilah, setelah berbual ringkas dengan waris remaja itu, dia bersetuju untuk mengambil Jo dan pasangannya pulang ke kampung esok pagi. Awal lagi aku dah terangkan panjang lebar status kandungan remaja itu dan apa hubungannya dengan Jo. Bimbang jika Jo masih dikasari kerana salah faham. Status Jo yang terlibat dengan najis dadah juga aku kongsikan. Aku tidak mahu kerana ingin menyelamatkan maruah, remaja itu dikahwinkan dengan lelaki walaupun seorang penagih.

 

Tiba-tiba masuk teman si Aisyah. Dalam keadaan termengah-mengah dia meminta aku turun segera.

"Bang cepat bang! Cepat!"

 

"Kenapa? Ada gaduh ke kat bawah?" Jawabku kehairanan melihat gayanya yang begitu cemas.

 

"Abang turun je! Ada gelandangan dengan abang parking tu suruh saya panggil abang!" Balasnya sambil mengawal nafas.

 

‘Sah kes gaduh ni …’ Bisikku dalam hati.  Jika benar mereka bergaduh sesama sendiri,memang aku tidak akan masuk campur. Paling-paling aku akan hubungi polis terus.Biar pihak berkuasa jalankan tanggung jawab. Walau apa pun alasan kita dalam menyantuni golongan ini, keselamatan tetap menjadi keutamaan.

 

Aku berjalan laju keluar dari McDonald's. Dari kejauhan aku lihat ramai orang telah berkerumun di kaki lima restoran mamak, tempat di mana Jo tidur.Sahabat HUMANITY dan pelajar UKM yang lain turut sama berdiri berhampiran tempat kejadian. Jo juga turut ada bersama mereka. Entah apa yang mereka kerumunkan, aku masih tidak pasti. Langkah kaki ku hayun makin pantas menuju ke sana.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.