Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 4)
Peduli Insan: Percintaan Jalanan (Kisah 4)
nzamwhid
31/10/2018 19:29:47
1,848
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Kisah percintaan jalanan V (Ibu)

 

 

Entah apalah malang nasib aku malam itu. Boleh pula aku terjumpa semula dengan Ita dan pasangannya setelah sekian lama tidak berhubung.

 

"Saya dengar abang ambik Adam? Abang rampas Adam?" Bulat matanya memandang aku. 

 

"Eh bukan saya ambik Adam. JKM yang ambik. Bukan saya. Saya nak ambik buat apa," aku cuba berlagak tenang. Dalam hati Tuhan saja yang tahu. 

 

Kau tahu, apabila berurusan dengan komuniti jalanan, janganlah kau mengharap sesuatu yang 
indah-indah saja. Kau perlu memikirkan pelbagai risiko dari setiap sudut. Mereka ini berjuang dengan kudrat dan peluh untuk kelangsungan hidup. Malahan ada antara mereka yang langsung tidak peduli dengan hukum hakam dan segala undang-undang bagai. Jadinya apa yang kau perlu ada adalah pengetahuan, kesabaran dan sedikit keberanian.

 

"Ita main ubat, sebab itu JKM ambik Adam…" Aku cuba mencipta alasan. Umpan aku beri.

 

"Aaaa? Ubat?" Dia sedikit terkejut. "Wei kau cakap dengan aku kau dah tak main?!" Langsung saja dia bertempik memandang Ita. "Kau cakap kau dah tak main? Kenapa ambik lagi?!" Kali ini suaranya bertambah keras.

 

Aku mula tersenyum dalam hati. Umpan mengena. Sedikit demi sedikit aku mengundur menjauhkan diri daripada mereka. Sementara pasangan itu sedang leka bergaduh aku perlu mengambil kesempatan untuk menghilangkan diri. Ini saja peluang yang ada.

 

"Sudahlah apa nak gaduh, kan ibu baru pergi," perlahan Ita membalas diselangi sendu. Dia sedih mengenangkan ibu. "Ibu baru meninggal, tak kan nak gaduh. Ni tak nampak ni dalam perut. Sudahlah tak nak gaduh," tambahnya lagi. 


Aku tahu Ita sekadar mencipta helah untuk melepaskan diri dari terus dimarahi teman lelakinya. Lelaki itu mula membalas, lalu mereka bertikam mulut. Apa yang mereka gaduhkan aku tidak peduli. Aku sendiri tidak berapa jelas tutur bicara kasar daripada mereka berdua. Dalam kepala aku terpahat dua perkara saja. Pertama pastikan keselamatan Aisyah dan temannya. Mereka masih pelajar, mentah. Kedua aku perlu beredar secepat mungkin dari situ. 

 

Aku terus mencuit tangan sahabat HUMANITY, beri isyarat kepada teman Aisyah agar terus berjalan menuju ke parkir kereta. Aisyah dan teman telah selamat menaiki kereta. Bro aku pula selamat menunggang motor pulang ke Kajang dan aku masih sedang berjalan laju menuju ke kereta. 

 

Aku sedar ada seorang gelandangan muda mengikuti aku dari belakang. Perasaanku mula cuak dan jantung berdegup laju. Sekarang ini tinggal aku sendirian. Sekiranya terjadi perkara yang tidak diingini, tiada sesiapa untuk aku minta pertolongan. Sampai di kereta, pantas aku buka pintu dan masuk ke dalam. Punat kunci pintu ditekan, barulah selamat aku rasa.

 

Kunci kereta aku pulas. Kaki mula menekan clutchsambil menolak tombol gear. Kereta mula bergerak meninggalkan kawasan parkir. Gelandangan muda yang mengekori aku kelihatan 
berpura-pura melihat ke sana sini seperti menunggu seseorang. Apabila aku lihat cermin pandang belakang, dia sibuk memerhatikan no plat kereta aku sambil menaip sesuatu di handphonenya. Aku terus menekan pedal minyak dan berlalu pergi. 


Degup jantung yang tadi laju kini mula perlahan. Aku cuba mengawal pernafasan agar kekal tenang. Aku sedang memandu, bimbang kecelakaan jalan raya pula menimpa apabila memandu dalam keadaan kelam kabut. Sepanjang perjalanan aku asyik teringat Ibu. Ya Tuhan, sedihnya ku rasa. Tak sangka air yang aku beri itu merupakan minuman terakhir untuk arwah sebelum pergi menghadap Ilahi. 

 

Terima kasih Tuhan atas peluang yang telah Kau beri kepada aku. Dari tadi menahan sedih, dalam kereta aku lepaskan semua. Entahlah aku sendiri tidak tahu apa yang aku rasa ketika itu. Sedih? menyesal? Entah apa lagi, semuanya bercampur baur membuatkan tembok yang menahan air mata runtuh. Masih jelas terbayang keadaan arwah ketika terbaring di kaki lima tadi. 

 

Aku rasa kita semua zalim kerana membenarkan kejadian seperti itu terjadi.  Zalim kerana membiarkan warga emas seperti dia terpaksa menghembuskan nafas terakhir tanpa sesiapa di sisi. Zalim kerana membiarkan dia menghembuskan nafas terakhir di kaki lima bersebelahan longkang besar, ditemani sisa makanan serta sampah sarap. Mungkin hanya tikus longkang dan lipas menjadi saksi saat rohnya melayang meninggalkan jasad. Entahlah aku pun tidak tahu, keliru dan sayu. Tuhan saja tempat mengadu. 

 

Sampai di rumah aku terus melangkah ke tandas mengambil air sembahyang. Solat sunat dua rakaat aku kerjakan. Ya Tuhan tak sedar air mataku berlinang lagi mengenangkan Ibu. Aku cuba mengawal esak sendu bimbang terdengar oleh isteri. Aku tak mahu dia melihat aku menangis lewat tengah malam tatkala jam hampir menunjukkan 2 pagi. Aku lelaki, ketua keluarga. Sifatku yang kasar juga menyebabkan aku terlalu ego untuk menunjukkan emosi sedih pada semua orang.

 

“Oh Tuhan kau ampunkanlah dosa arwah. Tempatkanlah dia dalam kalangan orang-orang beriman. Permudahkanlah segala-galanya untuk dia, amin!” Penutup doaku.

 

Pergilah kau Ibu@makcik,

Tinggalkan segala penat lelah dan jerih payah mu di sini,

Lupakanlah segala hingar bingar kota yang zalim ini.

Rehatlah kau di sana ibu@makcik, tenanglah. 

Biarkan saja kami meneruskan keperitan hidup ini,

 Dengan kudrat dan peluh, dengan emosi dan air mata.

Kami juga akan menyusul di sana nanti,

Sekadar waktu belum muncul lagi...

 

Keesokan hari aku mendapat panggilan daripada waris pasangan Jo. Dia mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang telah HUMANITY berikan. Mereka telah sampai di kampung halaman. Perjalanan dari KL hanya memakan masa 3-4 jam saja.

 

Selepas peristiwa yang berlaku malam itu, aku dinasihati oleh teman agar menghentikan seketika aktiviti berjalan malam. Walau apa pun alasan dan niat untuk membantu, keselamatan diri tetap menjadi keutamaan. Aku akur. Aku masih ada keluarga yang perlu dijaga. Anak-anak masih perlukan aku sebagai seorang ayah di sisi mereka.

 

Hampir lima bulan aku menghentikan berjalan malam. Aku bermula semula dengan mengikuti team Kindness Malaysia. Aku membuat panggilan kepada seorang gelandangan yang pernah HUMANITY bantu dahulu, ayah Adam. Dari hidup bergelandangan hingga mendapat tempat tinggal yang sempurna, aku masih berhubung dengan dia. Aku menceritakan apa yang terjadi. Apabila mendengar cerita yang dirisik daripada dia, perasaanku mula yakin sedikit.  Insya Allah semuanya selamat.

 

Kini fokus aku kepada kes uncleAdam sahaja. Kes Ita dan kes Jo aku anggap telah selesai. Kes ibu muda bersama bayi juga telah selesai. Bayi dia selamat bersama JKM, manakala dia sendiri sudah berhubung dengan Baitulmal untuk menguruskan bantuan.

 

Sama ada Jo dapat bernikah atau tidak dengan pasangannya, bukan itu keutamaan aku. Yang penting bagi aku adalah remaja perempuan itu perlu pulang semula ke pangkuan keluarga untuk mendapatkan perlindungan semasa dia sedang sarat mengandung.

 

Jo? Ah lelaki mana pernah frustlebih dari sebulan dua. Keadaan akan kembali seperti biasa. Lelaki kan tetap lelaki. 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.