Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan kisah 2
Peduli Insan kisah 2
nzamwhid
14/10/2018 22:31:17
1,644
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Adam dan Fiona II

 

Malam itu bonet kereta wira aku penuh dengan pelbagai kelengkapan untuk anak kecil dan sedikit barangan makanan kering. Tepat jam 10 malam aku dan beberapa rakan sudah berada di KL. Malam semalam aku telah berjanji pada mak Adam untuk bawa semua keperluan yang dia perlukan. 

 

Aktiviti kali ini tidak melibatkan NGO KindnessMalaysia kerana aku ingin menjadikan pengalaman malam ini sebagai pengalaman pertama aku dan rakan untuk menubuhkan HUMANITY. Nama HUMANITY ini pun idea dari rakan sewaktu kami berbincang menerusi whatssap group. Semuanya secara spontan dan pantas. 

 

Alhamdulillah! Sahabat aku dari alumni ASBKJ batch 91/93 banyak menyokong aktiviti HUMANITY. Mereka semua bersetuju untuk menyumbang duit bagi membeli segala kelengkapan dan barangan makanan kering. Gembiranya hati, malam itu aku telah berjaya mengagihkan semua bantuan kepada tiga keluarga jalanan. Aku begitu teruja dengan aktiviti yang pertama kali kami lakukan ini. Walaupun melibatkan hanya tiga buah keluarga, namun kepuasaan tidak tergambar setelah berjaya memudahkan urusan mereka yang memerlukan. 

 

Salah seorang penerima manfaat pada malam itu ialah wanita India. menurut info dari komuniti jalanan, bayi yang dikendong oleh wanita itu adalah anak hasil hubungan dia bersama lelaki Negro yang telah meninggalkannya. Bagi mengelak menjadi seperti Tuhan, aku tidak bertanya lebih lanjut perkara itu. Kehadiran kami hanya untuk membantu bukan menilai atau menghukum. Nasib kita tidak tahu bagaimana lagi.

 

Malam itu juga aku mengambil kesempatan untuk mengenali lebih lanjut dengan keluarga Adam. Pelbagai cerita telah mereka kongsikan. Rupa-rupanya mereka juga pernah tidur di kaki lima bersama dua orang anak seperti mana kehidupan gelandangan lain di bandaraya ini. Bagaimanapun dengan menggunakan sedikit wang simpanan yang ada, ayah Adam berjaya membeli sebuah motor lalu berpindah menetap di Kajang. Mati-mati aku fikirkan mereka menyewa rumah di mana-mana flat berhampiran. Namun setelah mendengar cerita daripada mereka, membuatkan diri ini langsung bungkam, kelu tak terkata. Allahu, kisahnya begitu meruntun jiwa. Kenapalah masih ada golongan susah seperti ini di negara kita? 

 

Rupa-rupanya mereka anak beranak duduk secara haram di rumah flat yang telah ditinggal kosong oleh owner. Mereka telah menceroboh masuk rumah tinggal itu kerana tidak mampu untuk membayar sewa. Ayah Adam mempunyai masalah kesihatan selepas kemalangan suatu masa dahulu. Tulang belakangnya bermasalah, menyebabkan dia tidak boleh melakukan kerja berat. Dengan tidak mempunyai bekalan api dan air, flat itulah syurga mereka untuk berlindung dari panas dan hujan. “Seribu kali lebih baik dari hidup bergelandangan di kaki lima.” Ujar ibu Adam. Untuk mandi pula, ayah Adam akan mencuri air dari tangki di atas flat itu. 

 

“Syukurlah ada juga tempat tidur. Cumanya jiran sekeliling mengata dan memandang serong. Kalau boleh akak nak cari rumah betul,” sebak dia meneruskan cerita kisah hidupnya pada malam itu.

“Akak nak minta bantuan Baitulmal tapi tertangguh lagi…” Sesekali dia membuka bag IKEA yang kami beri tadi. Penuh dengan segala kelengkapan, wajahnya ternampak ceria.

 

Pertama, jangan kau hairan bila dia cakap tertangguh. Mana-mana golongan seperti ini, memang itulah alasan yang biasa kita akan dengar. Benarnya tahap pendidikan dan sikap, itulah kunci penyelesaian. Kedua, mereka semua kurang pengetahuan dan pendidikan, maka banyak urusan perlu dibantu bagi memudahkan. Ada kalanya sikap mereka juga mainkan peranan, malahan kadang-kala menguji kesabaran kami, selaku sukarelawan. 

 

Namun perlu kita diingat, walaupun otak kita diciptakan Tuhan sama, tetapi keupayaan berfikir berbeza. Kerana itulah ada orang bekerja sebagai doktor, ada sebagai guru dan ada juga sebagai tukang sapu sampah. Begitu juga dengan komuniti jalanan ini, adakalanya alasan yang mereka berikan memang terlalu dangkal untuk diterima dek akal, namun itulah realiti dunia mereka, realiti cara fikir mereka. Persoalannya bukan bagaimana mahu mereka berfikir seperti kita. Tetapi bagaimana kita meletakkan diri kita agar faham dengan cara mereka. Selanjutnya barulah semua perancangan atau bantuan bagi mereka mudah disampaikan. Bantu, didik dan beri semampu yang mungkin. Itu sahaja yang perlu disematkan dalam diri, selainnya kepada Tuhan kita berserah.

 

Aku berbincang dengan sahabat HUMANITY yang lain. Aku bertegas akan bantu keluarga ini. Tambahan, Adam sendiri sudah menginjak ke usia lima tahun. Tahun depan dia layak untuk pra sekolah. Tetapi Adam ada isu besar, tidak mempunyai dokumen surat beranak. Apabila ditanya mengapa, panjang cerita daripada si ibu. Kesabaran aku sekali lagi teruji. Semuanya hanya drama semata. Aku tajam merenung wajahnya. Sesuatu perlu dilakukan untuk ubah nasib Adam. Sekarang bukan masa untuk menilai. Bukan masa menjadi Tuhan jatuhkan hukuman. Setiap orang ada kisah silam tersendiri. Sekarang adalah masa untuk mencari penyelesaian. Bertindak!

 

“Awak kumpulkan semua dokumen apa yang ada sebagai bukti Adam lahir di Malaysia,” kataku kepada si ibu Adam malam itu.

 

“Kami memang simpan semua. Buku pink pun masih ada,” jawab si ibu. Dia membuka beg yang dibawanya lalu mengeluarkan satu fail berwarna biru. Aku membelek isi fail itu. Sehelai demi sehelai dokumen dalam fail aku lihat. Jujurnya aku sendiri tidak tahu bagaimana untuk memulakan proses permohonan pendaftaran surat beranak bagi kes Adam ini. Aku sekadar berpura-pura seperti tahu untuk meraih kepercayaan mereka.

 

“Baiklah, saya cuba usahakan tolong awak,” ujarku sambil menutup fail. Wajah kedua ibu bapa Adam berseri, tersenyum lebar. 

 

“Boleh ke dik?” Tanya ibu Adam. Pantas aku jawab, “Insya Allah boleh.” 

 

Aku memberi harapan sedangkan hati mula resah. Bagaimana untuk lakukan urusan ini? Aku langsung tiada pengalaman! Namun bayangan Adam sedang tertidur di atas motosikal ayahnya membuatkan aku tekad untuk membantu. Adam dan Fiona tidak bersalah. Mereka tidak seharusnya dihukum dengan kehidupan yang zalim ini atas kealpaan orang lain.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.