Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan: Pisahkan Adam (Kisah 1)
Peduli Insan: Pisahkan Adam (Kisah 1)
nzamwhid
16/10/2018 22:05:01
2,216
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Pisahkan Adam (Kisah 1)  

 

 

“Ayah dia dulu masuk dalam bang. Sekarang ada orang cakap kat Langkawi. Saya pun tak tahu kat mana,” tenang dia menjawab soalanku. Cerita pun bermula. “Ala dia bukan peduli pun kat kami. Biar jelah.” Ujarnya lagi. 

 

Sesekali dia menyikat rambut menggunakan jari. Panjang rambutnya mengurai sehingga ke paras pinggang. Ditambah dengan suara serak-serak basah, bertubuh ramping dan sederhana tinggi, dia umpama bunga dalam kalangan komuniti gelandangan sekitar kawasan ini. Kulitnya juga tidak terlalu putih atau gelap, tetapi hitam manis.

 

Ita (bukan nama sebenar) telah lama hidup bergelandangan. Setiap malam kelibat dia akan terlihat sekitar Bangkok Bank, Jalan Silang dan SEGI kolej. Dia akan berjalan sambil menolak stroller, manakala mulutnya ramah menegur semua orang komuniti jalanan yang dia kenal. Apa yang membuat aku tertarik untuk mendekati gadis ini adalah kerana dia bersama anak kecil. Nama anak malang itu Adam. Kebetulan sama nama dengan anak aku, dan sama nama dengan Adam yang pernah aku bantu dahulu. Usia Adam mungkin dalam lingkungan 1-2 tahun. Entahlah aku sendiri pun sudah tidak berapa ingat usia sebenar Adam. Hampir 3 tahun lamanya aku telah tinggalkan mereka.

 

“Awak dah dapat belum bantuan bulanan daripada Baitulmal?” Aku cuba mengumpul maklumat tentang gadis ini. “Pernah mohon bantuan? Awak ada anak kecik, sepatutnya layak untuk dipertimbangkan bantuan sara hidup,” jelasku lagi.

 

 “Tak ada pun dapat bantuan bang. Baitulmal tak ada bagi …”

 

Aku sedikit terkejut. ‘Melampau Baitulmal ni…’ Gumamku sendirian. “Tak apa esok malam awak datang sini lagi. Saya akan bawak ustaz Baitulmal datang jumpa awak….”

 

“Bang kalau saya ajak kawan saya sorang lagi tu boleh?” Dia bertanya.

“Dia pun ada anak sorang kecik. Selalu terputus makanan,” tambahnya lagi. Ita banyak menceritakan kisah hidupnya. Aku hanya mendengar. Tak pasti kesahihan cerita daripada dia. Setelah banyak kali berhadapan dengan komuniti jalanan ini, aku semakin bijak menilai kesahihan cerita. Lagi pun aku sudah cukup masak dengan kisah menagih simpati daripada mereka.

 

Malam esok aku berjanji akan datang semula. Esok pagi semua info akan disampaikan kepada Baitulmal. Harapnya mereka akan turun padang untuk berjumpa Ita dan kawannya yang bergelandangan bersama anak kecil. Aku pun nak dengar dari mulut wakil Baitulmal sendiri, mengapa dia tidak layak menerima bantuan bulanan sara hidup. 

 

“Borang yang saya beri tempohari mana? Kenapa tak hantar?” Lembut suara ustaz Baitulmal bertanya kepada Ita dan temannya. Mereka berdua hanya tersengih sambil memandang aku. Aku pula menelan ludah menahan geram. Dah kau yang tak hantar borang permohonan, memanglah tak dapat bantuan! Semua nak bersuap! Malu aku pada wakil Baitulmal. Nampak gaya aku kena belajar lagi bagaimana cara yang betul untuk menyemak status golongan seperti mereka ini. Amarah dalam diri aku pendam.

 

Sebenarnya siang tadi aku menghubungi ustaz dari Baitulmal. Habis aku marah ustaz kerana membiarkan ibu tunggal bersama anak kecil tidak terbela bergelandangan di tengah kotaraya. Sekali bila tahu cerita sebenar, setepek aku rasa kena di muka. Aku terlalu gopoh untuk menjadi hero, akibatnya malu sendiri. Malam itu aku pulang awal. Setelah dinasihat oleh ustaz, Ita dan temannya beransur melangkah menuju ke Bangkok bank. Di sanalah tempat tidur mereka. Aku hanya memandang Adam dalam stroller. Dia  pun sudah tertidur. Jam hampir pukul 12.30 malam. Aku sendiri sudah beberapa kali menguap. Memandangkan esok hari kerja, aku turut sama beransur meninggalkan SEGI kolej. Sepanjang perjalanan aku asyik terfikir tentang Adam. Simpati aku pada nasib dia. Kenapalah kau dapat mak sebegitu Adam. Sesuatu perlu aku lakukan untuk selamatkan kau.  

 

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.