Home Cerpen Kisah Hidup Peduli Insan: Pisahkan Adam
Peduli Insan: Pisahkan Adam
nzamwhid
3/4/2019 20:55:55
2,034
Kategori: Cerpen
Genre: Kisah Hidup

PEDULI INSAN

Denyut nadi gelandangan: Pisahkan Adam III

 

 

“Eh kata nak kahwin? Tapi kenapa masih ada kat sini?” Suara aku agak tinggi. Aku tahu aku sudah ditipu oleh Ita dan pasangannya.

 

“Ada masalahlah bang. Abang kita masuk dalam, Dang Wangi tahan,” perlahan dia menjawab, cuba meraih simpati.

 

Sudah berbulan aku tidak berjumpa dengan Ita. Sejak dia berkeras dengan keputusannya untuk berkahwin, aku tidak lagi mencarinya. Sangkaku dia benar-benar menguruskan hal itu, walaupun jauh di sudut hati aku dapat rasa dia tidak bersungguh. Apa yang aku jangkakan kini terbukti benar. Sekarang pelbagai alasan pula diberi. Aku memandang Adam yang leka bermain dengan mainan di tangan. Sedih aku lihat anak malang itu. Masa depan dia tidak menentu kerana sikap si ibu yang tidak bertanggungjawab. Sesuatu perlu aku lakukan untuk selamatkan Adam dari berterusan dimanipulasi oleh si ibu untuk kepentingan diri. Aku menghulurkan bungkusan nasi kepada Ita. Dia menyambut laju dan lahap menghabiskannya. Adam masih leka dengan mainan dan roti krim roll di tangan. 

 

Berita yang aku terima dari komuniti jalanan agak membimbangkan. Ita sebenarnya terlibat dengan salah guna najis dadah. Dia langsung tidak terfikir tentang Adam yang masih menyusu badan. Sedih berbaur marah bila mengenang Adam diperlaku sebegini. Malam itu tidurku tidak lena teringatkan Adam. Otak ligat berfikir bagaimana cara untuk menyelamatkan anak kecil itu. Aku lihat Ita juga kerap bertukar pasangan semenjak teman lelakinya ditahan polis. Akhirnya setelah berbincang bersama sahabat HUMANITY, aku nekad membuat satu tindakan. Mungkin ramai dalam kalangan sukarelawan lain tidak bersetuju dengan pilihan aku ini, namun semua itu tidak aku peduli. Biarlah apa mereka ingin kata. Selagi aku yakin tindakan ini yang terbaik, maka aku akan teruskan.

 

Esok pagi aku berkunjung ke pejabat Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) KL di tingkat 9 bangunan Grand Season hotel. Sampai sahaja di sana, semua cerita aku kongsikan dengan pegawai yang bertugas. Mereka turut memberikan nombor telefon pegawai penguatkuasa yang bertugas minggu itu.


Aku masih ingat, malam itu seawal jam 9 malam aku sudah berada di kawasan sekitar Bangkok bank. Aku terus mendapatkan Ita. Di tangan aku penuh dengan roti dan makanan kering untuk Adam. Nasi pula aku tidak bawa untuk Ita. Sengaja aku berbuat demikian agar dia terus bersama aku, mengharap dibelanja makan dan minum.

 

Dalam lingkungan jam 11 malam, kelihatan beberapa van putih berhenti berhampiran kami. Ternampak logo Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di pintu van itu. Beberapa orang ustaz mula keluar dari van. Aku saling bersalaman dengan mereka dan berbual sebentar. Mereka agak terkejut apabila aku menceritakan pelan aku malam itu. Tambah terkejut lagi apabila mereka melihat aku sendirian baring bersama para gelandangan di kaki lima bagi meyakinkan Ita agar duduk bersama aku. Bimbang pula jika dia beralih ke tempat lain.

 

“Kau memang hati keringlah zam,” ujar ustaz Izham. “Hati-hati juga zam. Jaga keselamatan.” Tambahnya lagi menasihatiku. Aku cuma tersenyum. ‘Insya Allah tak ada apa-apa,’ bisik hatiku. Kita permudahkan urusan orang, Tuhan janji Tuhan akan mudahkan urusan kita. Van MAIWP berlalu meninggalkan aku. Ada banyak lagi tempat lain yang perlu mereka pergi untuk melihat denyut nadi gelandangan ini. Tinggallah aku dan beberapa orang gelandangan yang menunggu makanan dari mana-mana NGO sekiranya ada lagi agihan. Ita mula mengantuk. Dia bergerak menuju ke kaki lima Bangkok Bank. Di situlah tempat dia tidur bersama Adam. 

 

Jika kau lihat bagaimana dia sediakan tempat tidur Adam, pasti akan terkejut. Seperti tidur di rumah layaknya. Lengkap dengan bantal, manakala kain dijadikan penghalang untuk memisahkan mereka anak beranak dari komuniti jalanan lain. Apabila melihat Ita memeluk erat Adam untuk ditidurkan, membuatkan hati ini sayu. Perasaan menjadi berbelah bagi. Adakah benar tindakan yang akan aku lakukan sebentar lagi?

 

Aku perlu lakukan dan perlu selamatkan Adam. Anak kecil itu tidak bersalah. Kasih sayang sahaja tidak cukup untuk membesarkan anak dengan sempurna. Adam perlukan pendidikan, kesihatan, tempat berlindung dan penjaga yang mampu melindungi dirinya selaku anak kecil. Berulang kali kata-kata ini aku bisikan dalam hati, azimat diri menghalalkan tindakan yang bakal dilakukan.

 

Hampir jam 1 pagi, terlihat beberapa lori dan van daripada JKM KL dan DBKL. Sebelum itu sebuah kereta peronda polis telah sampai dan parkir di tepi laluan Bangkok Bank. Aku seperti tidak percaya dengan apa yang aku lihat. Apabila kelibat kereta peronda itu berhenti berhampiran Bangkok bank, dalam sekelip mata, sekumpulan gelandangan yang sedang baring dan tidur terus bingkas, bangun melarikan diri. 

 

Kawasan itu menjadi sunyi. Yang tinggal hanyalah beberapa mat gian yang sedang lalok dan tidak mampu untuk mengangkat kaki. Ita yang berada berhampiran aku juga telah hilang dari pandangan. Begitu laju dia menolak strollersambil membawa Adam lari di celahan bangunan. Aku tidak sempat berbuat apa-apa. Dalam keadaan terpinga-terpinga cuba mengesan lorong manakah yang dilalu oleh Ita, aku bernasib baik ditegur oleh hamba Allah yang memberitahu bahawa dia ternampak seorang perempuan sedang berlari sambil menolak strollerdi lorong hadapan. Tanpa membuang masa aku berlari laju menyusuri lorong itu mencari Ita. 

 

Apa yang membuatkan aku berang, dua orang anggota polis yang keluar dari kereta peronda langsung tidak membantu untuk menahan atau mengejar mereka yang sedang melarikan diri. Sebaliknya mereka hanya berdiri berbual kosong berhampiran kereta. Sesekali terdengar tawa kecil daripada mereka.

 

“Wei kejar perempuan tu! Kejar cepat!” Spontan aku bertempik terhadap dua orang anggota polis tadi sambil berlari mengejar Ita.

 

Mereka terping-pinga apabila melihat aku berteriak kuat sebegitu. Kau tahu, malam itu aku memakai tshirt hitam sambil aku lawankan dengan jeans 501 yang koyak di peha dan lutut. Aku tidak pasti apa dalam fikiran anggota itu apabila melihat aku berteriak sambil berlari berhampiran mereka. Yang pasti salah seorang anggota itu turut berlari mengekori aku mengejar Ita. Akhirnya aku dapat memintas Ita di tengah jalan berhampiran Dataran Merdeka. Aku menahan strollerAdam dan cuba memujuknya agar jangan melarikan diri lagi.

 

“Abang menipu! Saya tak nak! Saya tak nak!” Teriak Ita sambil menangis. Beberapa kereta mula berhenti melihat drama antara aku dan dia. Anggota polis yang mengekori aku mengejar Ita masih jauh tertinggal di belakang. Aduh bang, kau kena banyak exerciselagi. Kau tu unit uniform, mana boleh begini. 

 

“Kau nak cara senang atau susah?!” Tempik anggota polis itu pada Ita. Nafasnya turun naik, tercungap-cungap. Ita duduk di atas jalan raya sambil erat memeluk Adam. Dia menjerit bagaikan histeria tidak mahu mengikuti kami. Bilangan kereta dan motor yang berhenti kian banyak. Drama antara kami menjadi tontonan percuma mereka di malam hari.

 

“Ita ikut je abang. Abang ada kawan kat Bukit Aman. Nanti abang selesaikan,” aku cuba memujuk Ita. Dia masih menangis sambil memeluk Adam yang turut sama menangis. Mungkin anak kecil itu terkejut dan bingung tentang apa yang berlaku. Aku cuba menarik tangan Ita untuk bangun namun dia menepis enggan mengikuti kami.

 

“Ini lastaku cakap! Kau nak cara senang atau susah?!” Jerit anggota Polis itu lagi.

“Ikut kami atau kau akan ditangkap!” Sekali lagi anggota Polis itu meninggikan suara. Dia mula bosan dengan drama Ita. Mungkin terkesan dengan amaran yang diberikan, akhirnya Ita bangun. Dalam esak yang penuh sedu sedan itu, dia mohon supaya jangan dirampas Adam daripadanya. Aku berjanji semua itu tidak akan berlaku. 

 

Tiba di kaki lima Bangkok Bank, pegawai JKM telah ramai menunggu. Apabila melihat saja kelibat mereka, Ita terus menangis sambil menjerit lagi. Tangannya makin erat memeluk Adam lantas berlari ke arah tempat tidur mereka. Adam dipeluk kuat di bawah badannya. Sumpah sampai sekarang aku masih tidak boleh lupa reaksi muka Adam yang menjerit ketakutan. Matanya terbeliak besar menangis kuat. Mukanya pucat sambil tangan erat memeluk ibu seperti tidak mahu dilepaskan. Malam itu aku melihat sendiri bagaimana adegan drama yang selama ini jadi tontonan di televisyen. 

 

Sewaktu aku di sisi Ita, cuba menenangkan dirinya, aku ditegur oleh seorang pegawai wanita JKM. Riak muka pegawai itu seperti sinis apabila mendengar Ita memanggil aku abang dan aku pula rapat di sisi Ita, sentiasa memujuk. 

 

 

“Awak siapa?” Tanya pegawai itu penuh sinis. Aku tidak pasti mengapa perlu dia bertanya dengan riak muka itu. Tidak bolehkah kalau dia sekadar bertanya saja. Jikalau aku ini mempunyai hubungan dengan Ita sekalipun, aku masih memberi kerjasama. Aku turut sama memujuk Ita agar akur arahan JKM.

 

“Saya penolong pengarah, Kementerian Pendidikan. Sayalah yang callJKM berkenaan budak kecil ini.” Jawabku perlahan tetapi tegas. “Saya terlibat dengan aktiviti sukarelawan.” Tambahku lagi. Sekilas aku pandang mukanya yang mula berubah. 

 

“Ooh inilah yang puan Khantes cakap tadi,” nada dia bertukar lembut, gayanya tersipu. Aku sekadar senyum tawar lalu memalingkan muka. Rasanya tidak berminat untuk meneruskan perbualan dengan wanita itu. 

 

Ita tiada pilihan. Malam itu dia terpaksa akur arahan JKM untuk dibawa ke balai polis bagi melakukan pemeriksaan air kencing. Aku sempat berbual sebentar dengan puan Khantes selaku penguatkuasa JKM yang bertugas. Dia mempelawa aku untuk turut serta dengan mereka bagi melakukan operasi lain di sekitar KL ini, bagaimanapun dengan sopan aku menolak. Aku mohon maaf tidak dapat untuk turut serta. Aku terlalu letih. Dari jam 9 malam, aku duduk di sana menunggu mereka tiba, hinggalah sekarang jam 1 pagi.

 

Apabila selesai semua, kami mula mengosongkan kawasan itu. Aku terus memandu pulang manakala Ita dan Adam dibawa pergi oleh JKM. Lega hati apabila melihat mereka selamat dalam van JKM. Sepanjang perjalanan pulang aku berfikir sendirian. Adakah betul tindakan aku memisahkan anak dan ibu? ‘Ah inilah yang terbaik untuk Adam,’ getusku menyedapkan hati. Aku yakin inilah yang sebaik-baiknya untuk anak malang itu. Usah peduli apa orang lain kata. Aku ada Tuhan, Dia maha mengetahui.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.