Home Cerpen Cinta MASIH ADA CINTA
MASIH ADA CINTA
SHALIHA BT NASARUDDIN SHALIHA BT NASARUDDIN
29/7/2015 22:50:59
2,091
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Suatu waktu dahulu, Asri adalah seorang kanak-kanak sama seperti mereka yang sedang bermain di padang bola itu. Asri di masa kecil seringkali bermain di situ. Bermain saban petang tanpa menghiraukan cuaca samada panas atau hujan. Kelaziman sebagai seorang kanak-kanak lelaki yang lasak dan inginkan hiburan tetap dilaksanakan walaupun puas ibu melarang. Tidak diendahkan larangan ibu yang bimbang akan keselamatan dan kesihatan dirinya. Bermain dengan leka hingga terlupa akan kehadiran wajah senja yang menandakan sang siang mahu menutup tirai hari. Sang senja yang hadir tanda menjemput Asri yang asyik bermain untuk pulang kerumah. Asri masih leka beradu tenaga dengan rakan-rakan merebutkan sebiji bola sepak. Bola nan sebiji itu dikejar dan dikelek beramai-ramai sekeliling padang. Tidak lansung terasa letih walaupun peluh menitis membasahi baju sukan lusuh yang dipakai. Lupa untuk pulang ke rumah kerana terlalu asyik bermain dan hanya tersedar bila suara si ibu lantang melaung sambil menggengam erat rotan di tangan. Namun, itu semua adalah kenangan silam bagi Asri. Kenangan yang paling manis dan tak mungkin akan dilupakan. Kenangan itu menjelma dalam diri setiap kali padang bola itu dihampiri dan dijengah. Kenangan itu akan datang ke dalam minda tanpa di pinta dan sejenak dengan itu Asri akan tersenyum. Kini Asri tidak lagi menghabiskan masa bermain kerana kini dia telah pun menjadi seorang guru yang bertugas di sekolah di mana dia belajar dahulu.

Petang itu sedang asyik Asri melihat budak-budak bermain dan bergembira di padang itu, Asri ternampak seorang budak lelaki yang terasing dari kumpulan budak lelaki yang ramai itu. Asri tidak menghiraukan budak lelaki itu. Tetapi lama-kelamaan saban petang padang itu dijengah, masih juga dia melihat budak lelaki itu bermain sendirian di suatu sudut yang paling terpencil di padang itu. Tetap sendiri dan terasing. Asri tertarik pada budak lelaki itu. Berhari-hari Asri memerhatikan budak itu namun dia masih terus bermain sendirian di sudut dan posisi yang sama di padang ini. Setiap petang berada di posisi yang sama dan mungkin dia lebih senang bermain di hujung padang itu sendirian tanpa di ganggu oleh sesiapa. Asri kehairanan dan terbit pertanyaan dalam hati kecilnya mengenai budak itu yang seringkali bermain sendirian. Mengapa bermain sendirian tanpa ada sesiapa pun yang menemani dan bersamanya?. Mengapa tiada siapa pun di antara ramai budak lelaki di padang ini yang mahu berkawan dengannya?. Usahkan berkawan dengannya menegur budak itu pun tidak pernah mereka mahu. Asri tertanya-tanya dan persoalan-persoalan ini berlegar-legar di benak fikiran Asri. Persoalan-persoalan itu terbiar tanpa jawapan pasti. Misteri budak itu terus menghantui fikiran. Hati kecil Asri melonjak-lonjak ingin tahu. Asri bertekad untuk menghampiri budak itu apabila dia berkesempatan berbuat demikian.

Hari masih sama seperti hari-hari sebelumnya. Langit cerah dan suasana petang nyaman sekali. Asri melangkahkan kaki menuju padang bola itu dengan satu tekad dan semangat yang berkobar-kobar. Asri bertekad untuk menhampiri budak itu. Asri terus melangkahkan kaki menghala ke arah tempat budak itu bermain. Belum sempat untuk Asri menghampiri apatah lagi untuk bertanya, budak itu terus melarikan dirinya sepantas kilat dan menghilang dari pandangan mata Asri. Asri terpinga Asri tidak berputus asa dan selepas dari hari itu, Asri berusaha untuk menghampiri budak lelaki misteri itu. Semakin hari keinginan hati Asri semakin membuak-buak. Namun keletah dan tingkah laku budak lelaki itu tetap sama, melarikan diri setiap kali Asri cuba datang menghampiri. Asri bertambah hairan dan timbul perasaan geram di hati. Asri bertekad untuk tidak gagal lagi. Asri akan tetap menghampiri budak lelaki itu. Petang itu Asri pergi ke padang itu dengan perasaan yang marah dan bercampur geram. Asri bertekad akan menangkap budak itu. Hanya dengan cara itu sahaja segala rahsia yang tersimpan dalam diri budak lelaki itu akan terbongkar.

Asri datang lagi ke padang bola itu hari ini. Hari yang kelima dalam usaha untuk menjejaki budak lelaki itu. Agak malang bagi Asri kerana budak itu tidak lagi bermain di situ. Sedikit kekecewaan hadir dalam diri Asri. Asri tidak putus asa. Saban petang padang bola itu dijengah namun hasilnya tetap sama, budak itu tidak bermain di padang itu. Asri masih lagi tekun dan tidak berputus asa. Agak bernasib baik pada petang itu kerana setelah hampir seminggu dia cuba menjejaki budak lelaki itu, usahanya berhasil. Budak itu telah kembali bermain di tempat biasa dia selalu bermain. Asri tersenyum lebar. Dengan pantas menuju kearah budak lelaki yang sedang asyik bermain itu. Budak itu tidak sedar akan kehadiran Asri. Mungkin budak itu menyangka Asri tidak lagi menunggunya kerana hampir seminggu dia menghilangkan diri. Asri menuju ke arah budak lelaki itu dan budak itu cuba melarikan diri, namun Asri lebih cekap kerana sempat menangkap pergelangan tangan budak kecil itu. Budak itu meronta-ronta. Budak itu mengaduh kesakitan. Asri tersedar yang dia telah menyakitkan budak itu. Asri melonggarkan cengkaman, namun untuk melepaskan budak itu tidak sama sekali. Budak itu pun tidak lagi meronta untuk melepaskan diri sebaliknya budak itu hanya berdiri terpacak dan memandang tepat ke wajah Asri. Bulat biji mata budak itu memandang wajah Asri. Mata Asri pula legat meneroka segenap ceruk wajah budak lelaki misteri itu. Merasakan Asri memerhati akan dia, budak lelaki itu menundukkan muka. Mungkin berasa malu akan kekurangan diri. Perasaan bercampur baur dalam jiwa budak lelaki itu dan tanpa disedari air mata mengalir dari kedua belah mata kuyu budak lelaki itu. Terdengar esakan halus tanda tangisan baru bermula dari diri budak itu. Asri terkejut dan kaget seketika namun dia pandai mengawal keadaan. Asri memujuk budak lelaki itu dan akhirnya tangisan budak lelaki itu pun reda. Asri mengeluh kelegaan. Budak itu sudah berhenti menangis dan memandang wajah Asri dengan kerutan seribu persoalan yang berlegar di jiwa. Kerutan kehairanan memikirkan tingkah laku Asri yang pelik dan ganjil darpadai orang lain yang berada di padang ini. Kerutan kehairanan kerana selama ini tiada siapa yang endah dan peduli dengan kehadiran diri yang hina walaupun dia merupakan pengunjung tetap padang itu.

Dalam jiwa Asri lain pula yang dirasakannya. Asri begitu asyik menatap dan meneroka wajah asing itu. Mata yang jernih berkaca dan melalui mata itu dapat dirasakan penderitaan yang sedang ditanggung. Rambut yang kusut masai seolah-olah tidak pernah disisir rapi. Hidung yang mancung dan pipi yang gebu, tapi mempunyai wajah yang amat comot sekali. Mata Asri beralih ke bahagian tubuh yang lain pula. Meneliti satu persatu diri budak itu. Pakaian yang amat kotor dan berbau hapak menunjukkan budak itu seperti tidak pernah mandi atau tidak pernah bertukar pakaian dan mungkin juga dia tidak mendapat belaian kasih sayang dari keluarga. Keadaan pakaian yang begitu kotor menunjukkan budak itu benar-benar daif. Pakaian yang koyak rabak itu membuatkan Asri mengerti bahawa budak itu memang benar-benar susah. Mata Asri beralih pula kepada kedua belah tangan budak itu. Terdapat bekas pukulan dan rotan di tangan budak itu, kesan rotan itu bukan sahaja ada di tangan malah di betis juga terdapat kesan itu. Mungkin kesan itu banyak di seluruh tubuh budak itu. Kesan rotanan itu masih ada yang baru. Kesan itu membengkak dan ada diantara kesan itu sudah bernanah. Kesan-kesan rotanan itu kelihatan tidak padan untuk ditampung oleh tubuh kecil budak lelaki itu. Timbul rasa simpati dalam hati Asri.

“Nama adik ini siapa?”. Tanya Asri sebagai pembuka bicara.

“Hakim”. Jawab budak lelaki itu pendek.

“Hakim, tinggal di mana?”. Tanya Asri lagi setelah di dapatinya Hakim menjawab soalannya sebentar tadi.

“Sana tu”. Tunjuknya pada Asri.

Tidak pula Asri nampak walau sebuah rumah pun di kawasan yang ditunjuk oleh Hakim tadi. Yang ada hanyalah sebuah belukar kecil. Di tengah-tengahnya terdapat sebuah lorong denai. Lorong denai itu seakan-akan menuju ke suatu tempat.

“Hakim, tinggal dengan siapa?”. Tanya Asri lagi.

“Mak”. Jawabnya.

“Mengapa Hakim lari bila nampak pakcik dulu?”. Asri mahukan kepastian atas keganjilan sikap Hakim sewaktu Asri ingin menghampirinya dulu.

“Entah…..mak cakap jangan dekat dengan orang, sebab orang tu semuanya jahat”. Asri terkejut mendegar jawapannya itu. Perasaan ingin tahu mengenai budak yang bernama Hakim ini semakin membuak-buak.

“Tapi pakcik tak jahat. Hakim rasa pakcik ni jahat ke?”. Tanya Asri pada budak itu lagi.

“Tak tahu, tapi mak kata semua orang jahat”. Jawabnya perlahan.

Terdapat rasa serba salah di wajahnya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Asri.

“Macammana kalau pakcik jadi kawan Hakim, Hakim nak tak?”. Asri cuba memancing perhatian Hakim.

“Tak nak……tak nak”. Selepas itu Hakim terus berlari meninggalkan Asri yang kebingungan dengan sikapnya sebentar tadi. Laju langkah kakinya menuju ke denai kecil yang dikatakan jalan untuk dia pulang kerumah.

Asri pelik memikirkan sikap budak lelaki itu. Asri mahu tahu lebih lanjut lagi mengenai budak yang bernama Hakim itu. Hakim kanak-kanak kecil yang berumur dalam lingkungan tujuh tahun. Mungkin hidupnya derita kerana selalu di dera oleh ibu yang tidak memahami diri dan perasaan hati kecilnya itu, memandangkan begitu banyak kesan rotan di tubuh yang malang itu. Asri mengambil keputusan untuk kerumah Hakim pada esok hari memandangkan hari sudah menginjak senja.

Esoknya Asri meneruskan hasrat mencari arah letaknya rumah budak lelaki itu. Asri menyusuri lorong denai yang telah ditunjuki oleh budak lelaki itu. Perlahan-lahan dan penuh hati-hati Asri melangkah dan menyusuri lorong denai yang menghala ke rumah Hakim. Bimbang jika tiba-tiba muncul sang ular dari semak yang dilalui. Terasa kecut hati Asri bila mengingatkan hal-hal seperti itu. Asri terus melalui denai kecil itu dan akhirnya Asri ternampak sebuah pondok kecil yang amat usang. Tiada rumah lain di situ melainkan pondok kecil itu sahaja. Asri yakin itulah rumah Hakim. Bagi Asri itu bukannya rumah. Hanyalah sebuah pondok kecil yang menunggu masa rebah ke bumi. Asri menuju kearah pondok itu. Tiba-tiba telinga Asri menangkap suatu bunyi. Bunyi tangisan dan esakan dari seorang kanak-kanak. Tentu suara itu suara Hakim. Asri melihat Hakim duduk di tangga pondok sambil mengesat mata dan menahan sisa tangisan. Asri bertambah kasihan lalu Asri menghampiri kanak-kanak malang itu. Hakim lari masuk ke dalam pondok bila melihat Asri datang menghampiri. Tiba-tiba Asri terdengar suara seorang perempuan menjerit sambil memaki hamun Hakim dengan sumpah seranah. Hakim yang tadi lari masuk ke pondok, kini berlari semula keluar dan terus berlari ke arah Asri. Asri dipeluk tanda meminta simpati. Perempuan itu keluar membawa seberkas lidi di tangan. Lidi yang digunakan untuk memukul Hakim sebentar tadi. Perempuan itu terkejut. Sama sekali dia tidak menyangka akan kehadiran Asri. Asri dipandang dalam seribu pertanyaan.

“Hakim, naik !!!.” Arah perempuan itu.

Anak kecil itu kelihatan amat takut. Semakin erat Asri di peluk.

“Sabar saudari, tak baik marah-marah begini”. Asri cuba meredakan kemarahan perempuan itu. Sia-sia, kerana perempuan itu bertambah berang.

“Awak ni siapa nak masuk campur urusan saya?’. Tanya perempuan itu dengan suara yang lantang.

“Saya kawan Hakim”. Asri menjawab.

“Hakim takde kawan. Sudah awak pergi balik”. Arah perempuan itu pada Asri.

“Saudari, tak baik awak pukul anak awak begini. Dia masih kecil. Sepatutnya awak sayangkan dia. Ini tidak, awak dera dia. Awak tak kesiankah dengan dia?”. Tanya Asri pada perempuan itu.

“Kesian?”. Awak nak saya kesiankan dia?. Saya ni siapa yang nak kasihankan?. Sebab dialah saya jadi macam ni”. Kemarahan perempuan itu memuncak bila Asri menasihatinya.

“Saya tak faham. Mengapa pula saudari cakap begitu?”. Asri meminta kepastian dari perempuan itu.

“Awak betul-betul nak tahu ke?. Mengapa awak nak tahu sangat. Awak percaya ke apa yang saya cerita nanti?”. Perempuan itu seakan-akan menyindir Asri bila melihat Asri begitu bersungguh hendak tahu akan kisah yang sebenar.

“Saudari belum cerita lagi pada saya, jadi bagaimana saya nak tahu samada cerita saudari boleh dipercayai atau tidak”. Asri meyakinkan perempuan itu lalu Asri duduk di birai pintu pondok usang itu. Hakim di pangkunya.

Perempuan itu menangis secara tiba-tiba. Mengalir deras air mata dari ke dua-dua bebola mata bulatnya itu. Asri simpati dan dapat Asri rasa yang penderitaan perempuan itu amat berat. Ada sesuatu yang amat berat yang sedang dipikul oleh perempuan itu. Perempuan itu berwajah ayu, berkulit putih kuning dan dia boleh dikatogerikan sebagai seoarang wanita yang cantik. Asri rasa seperti kenal dengan perempuan itu. Wajahnya semirip dengan wajah Alisha wanita pujaannya sekaligus Alisha adalah kekasihnya sewaktu dia bersekolah menengah dulu. Tapi Alisha sudah lama menhilangkan diri tanpa ada sesiapa pun yang tahu kemana perginya. Sudah tujuh tahun Asri mencari Alisha. Adakah wanita dihadapannya itu Alisha. Asri menunggu dengan sabar dan setelah reda tangisannya, perempuan itu pun menceritakan kisah sedih yang menimpa diri.

Kisah hidup yang tragik itu diceritakan satu persatu pada Asri. Asri mendengar dengan tekun dan penuh perhatian. Nama perempuan itu Alisha. Gembira benar hati Asri mendengarnya. Wanita yang di cari telah ditemui. Asri membiarkan Alisha bercerita kerana dia ingin tahu perkara yang sebenar. Misteri kehilangan Alisha secara tiba-tiba. Alisha terus asyik bercerita. Alisha telah kehilangan kedua ibu-bapa sewaktu berusia tujuh belas tahun kerana terlibat dalam nahas jalan raya. Setelah kematian insan tersayang, Alisha tinggal bersama-sama bapa saudara sebelah ayah yang bernama pakcik Harun kerana hanya itulah satu-satunya waris yang dia ada. Ibu Alisha anak tunggal. Ayah dan ibu tidak meninggalkan dia tanpa apa-apa. Segala harta menjadi milik mutlak Alisha. Tidak perlu dikongsi dengan sesiapa kerana dia adalah anak tunggal. Oleh kerana di waktu itu Alisha masih bersekolah, segala harta yang diwarisi di jaga oleh pakcik Harun. Alisha menumpang kasih pakcik Harun tanpa mengesyaki apa-apa. Alisha sangkakan pakcik Harun berhati mulia tapi sangkaan Alisha salah sama sekali. Semua harta peninggalan ibu bapanya dibolot oleh pakcik Harun. Alisha sedih, namun apalah daya ketika itu. Tiada apa pun yang boleh dilakukan kerana dia tidak berkemampuan berbuat demikian. Alisha geram dan berdendam dengan pakcik Harun. Dendam yang disimpan didalam hati bertambah kuat apabila peritiwa yang tidak disangkakan menimpa diri. Menjadi kebiasaan, setiap malam Alisha akan pergi mengaji Al-Quran di surau. Malam sial itu menjadi malam terakhir buat Alisha menikmati erti kebahagiaan dalam hidup. Selepas malam itu, hidupnya kelam dan lansung tidak bermakna. Malam itu setelah selesai mengaji Alisha pulang kerumah. Dia terus menuju kebilik kerana terlalu letih dan benar-benar mengantuk. Dari Mak Temah orang gaji pakcik Harun, Alisha tahu makcik Hasnah telah ke kampung seberang kerana menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya. Pakcik Harun tidak ikut sama malam itu, tetapi akan pergi pada keesokan hari. Alisha menghempaskan tubuh kecilnya itu ke katil dan terus tidur tanpa sedar yang dia telah terlupa mengunci pintu bilik. Atas kesempatan itulah pakcik Harun telah masuk ke bilik dan menodai Alisha tanpa ada belas kasihan. Selepas peristiwa itu pakcik Harun mengancam akan membunuh Alisha sekiranya Alisha membongkar rahsia dan kelakuan buruknya terhadap Alisha. Alisha takut dan hanya mampu menangis. Sejak dari malam itu dia semakin kerap di datangi oleh pakcik Harun bila saja ada kesempatan. Suatu hari Alisha demam dan makcik Hasnah telah membawanya ke klinik. Amat menyedihkan bila doktor yang merawatnya mengesahkan dia hamil. Makcik Hasnah tanpa usul periksa memarahi, memaki hamun, memukul dan menghalau Alisha sehelai sepinggang tanpa ada sedikit belas kasihan pun. Pakcik Harun berlagak dan berlakon seolah-olah tidak bersalah atas segala perbuatan yang dilakukan pada Alisha, turut sama mengusir Alisha. Alisha tidak dibenarkan tinggal di rumah peninggalan ibu bapanya kerana segala harta telah jadi milik pakcik Harun. Tidak tahu kemana hendak dituju. Alisha menangis sendirian tanpa ada sesiapa yang simpati. Alisha dihina dan diherdik oleh penduduk kampung. Alisha dijadikan contoh tauladan bagi anak-anak gadis kampung. Semua ibu bapa menasihati anak-anak gadis mereka supaya tidak mencontohi Alisha. Memandangkan semua penduduk kampung membecinya, Alisha hilang arah dan tidak tahu kemana hendak dituju. Mujur Mak Mah bekas orang gaji keluarganya dahulu datang membantu. Alisha dibawa pindah dan tinggal di pondok buruk yang didiaminya sekarang ini. Di situlah dia memulakan hidup baru. Menyara kehidupan dengan bekerja kilang. Setelah setahun berpindah dan selamat melahirkan Hakim benih pakcik Harun, Mak Mah meninggal dunia. Tinggallah dia berdua dengan Hakim dalam melalui liku-liku kehidupan. Alisha bukan tidak kasihan dengan Hakim, tapi setiap kali dia melihat wajah Hakim dia akan teringat pada pakcik Harun yang tidak berperikemanusiaan menodainya tanpa ada rasa belas kasihan sedikit pun. Memang binatang manusia yang bernama pakcik Harun itu sumpah Alisha. Itulah sebab mengapa benci benar dia melihat Hakim.

Asri menangis mendengar cerita perempuan itu. Anak kecil yang berada di pangkuannya di peluk erat. Rasa sayang pada budak yang bernama Hakim itu mendalam. Alisha juga menangis.

“Alisha, saya berjanji akan membawa Alisha keluar dari penderitaan ini. Saya akan membahagiakan Alisha. Percayalah’. Asri berjanji pada Alisha. Alisha memandang Asri dengan hairan. Tidak di fahami apa yang di maksudkan oleh Asri.

“Apa maksud awak?. Saya tak faham”. Alisha meminta kepastian atas apa yang di bicarakan oleh Asri.

“Alisha saya Asri. Awak tak kenal saya?. Dah lama saya cari awak”. Asri memperkenalkan diri.

“Asri…..” Alisha terkejut dan amat gembira.

“Sudahlah tu Isha. Lupakan kisah lama dan kita mulakan hidup yang baru. Buang yang keruh ambil yang jernih”. Asri semakin meyakinkan Alisha.

“Dengan keadaan diri saya yang begini?” Tanya Alisha pada Asri lagi.

“Walau apa pun keadaan awak, saya akan terima sebab itu semua bukannya salah awak. Saya mencari Isha dah lama dan alhamdulillah hari ini saya menemui Isha. Doa saya akhirnya di makbulkan”. Kata-kata akhir dari Asri tambah mengaharukan hati Alisha dan dalam tangisan dia bersyukur kerana insan semulia Asri masih lagi setia pada cinta yang dilafazkan tujuh tahun lalu. Sanggup menerima dirinya yang hina. Alisha bersyukur pada Ilahi kerana akhirnya penderitaan yang ditanggungnya selama ini hilang dari laman hidupnya.

“Mak….Hakim sayang mak” Lantas Hakim memeluk Alisha.

“Mak pun sayang Hakim” Alisha juga memeluk Hakim. Memeluk Hakim buat pertama kali dengan penuh kasih sayang. Asri yang menyaksikan kejadian itu tersenyum dan dia juga turut memeluk Isha dan Hakim dengan penuh kegembiraan. Misteri budak asing di padang selesai. Begitu juga dengan misinya mencari Alisha. Kekasih hatinya sekian lama. Senyuman terukir di tiga wajah itu. Asri, Alisha dan Hakim.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SHALIHA BT NASARUDDIN SHALIHA BT NASARUDDIN