Home Cerpen Cinta HAPUSLAH AIR MATAMU
HAPUSLAH AIR MATAMU
SHALIHA BT NASARUDDIN SHALIHA BT NASARUDDIN
15/5/2015 08:24:16
4,611
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

HAPUSLAH AIR MATAMU

Oleh : SHALIHA BT NASARUDDIN

Klinik Kesihatan Lenggong, itulah destinasi yang Zanariah ingin tujui. Hari ini dia mempunyai temujanji dengan doktor. Temujanji itu perlu dia hadiri memandangkan rutin itu perlu dia patuhi bagi memastikan segalanya lancar. Zanariah berlegar-legar di ruangan parkir kereta dan akhirnya dia memarkirkan keretanya berhampiran pondok pengawal. Zanariah membuka pintu kereta dan keluar dari kereta. Zanariah membuang pandang melihat persekitaran Klinik Kesihatan Lenggong yang makin kerap dia kunjungi akhir-akhir ini. Setibanya di ambang Klinik Kesihatan itu, Zanariah menuju ke kaunter pendaftaran. Zanariah melakukan rutin seperti biasa. Meletakkan buku temujanji di bahagian pendaftaran, mengambil nombor giliran dan menunggu sehingga namanya dipanggil.

“ Puan Zanariah” panggil jururawat bertugas yang berseragam putih dan berbadan gempal itu sambil memandang ke arahnya. Dengan penuh kepayahan Zanariah bangun lalu menuju ke arah jururawat bertugas itu. Tanpa banyak bicara jururawat itu mengiringi Zanariah menuju ke bilik doktor. Doktor Anidah merupakan doktor sakit puan yang selalu merawatnya setiap kali dia datang untuk melakukan pemeriksaan kehamilan. Zanariah terus melangkah dalam kepayahan kerana perutnya kini makin membesar. Zanariah tersenyum sebaik sahaja daun pintu bilik pemeriksaan itu dikuak. Di sebalik daun pintu yang dikuak itu, doktor muda itu memandangnya dengan wajah yang manis. Doktor ini sangat menyenangkan kerana sangat pandai mengambil hati para pesakitnya. Zanariah mara ke hadapan dan terus duduk di kerusi yang digunakan untuk pesakit yang akan menerima rawatan daripada Doktor Anidah. Setiap kali Zanariah ke sini, rutin pemeriksaan biasa perlu dilalui olehnya. Hasil pemeriksaan doktor pada hari itu, Zanariah tersenyum sehingga menampakkan barisan giginya yang putih. Senyuman melebar diwajahnya. Sungguh, demi Tuhan Zanariah sangat bahagia. Siapa yang tidak bahagia jika tidak lama lagi dia akan bergelar seorang ibu???. Namun, senyuman yang melebar di wajahnya tidak selari dengan kesakitan yang berlegar-legar di ruang hatinya.

Hatinya berasa sakit yang teramat. Zanariah hanya merancang, tapi Tuhan yang menentukan. Allah yang membuat ketetapan. Sebagai hamba ALLAH Zanariah hanya mampu menerima ketetapanNya. Tabahkanlah hati meniti hari. Jangan sekali-kali kecewa pada perancangan yang tidak dipinta. Pada perancangan yang membuahkansebuah kegagalan. Sebuah kekecewaan. Sebuahkehancuran. Dia tidak pernah meminta, apatah lagi berharap untuk menerima nasib sebegini. Adakah berdosa dirinya yang patuh pada kehendak mama dan papa? Berdosakah dirinya yang membawa diri pergi jauh daripada keluarga, terdampar di bumi Lenggong nan indah ini?Berdosakah dirinyamenyisihkan diri daripada semua ahli keluarganya? Untuk apa dia masih setia sekiranya dia tidak dihargai. Hati Zanariah bagai dihiris sembilu. Dicarik-carik duka.Tiada siapa yang peduli akan perasaannya. Tiada siapa yang sedar akan kewujudan dirinya.Benci !!!. Benci !!!. Benci !!!.Benci benar dia padadunia. Apa salahnya?. Hatinya bergoncang.Benci benar dia padadirinya yang lemah, yang mudah mengalah.Benci benar dia pada mama dan papa yang tidak ubahseperti enau dalam belukarmelepaskan pucuk masing-masing.

Kaki Zanariah terasa longlai. Terasa tubuhnya makin lemah. Dengan masih ada rasa sendu dihati Zanariah melangkah keluar dari pekarangan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak, Klinik Kesihatan Lenggong itu menuju ke kereta Myvinya yang diparkirkannya berhampiran pondok pengawal itu tadi.

Air matanya derasmengalir. Mengalirdari kolam matanya.Mengalir setiap kalimengenangkan nasib diri.Mengalir setiap kali sepi datang bertandang.

“Mengapa?”. Hatinya tidak putus-putus bertanya.

“Mengapa aku?”. Dia bertanya lagi. Namun pertanyaannya itu lenyap di telan dinding-dinding sepi.

“Mengapa aku jadi begini?”. Tiada siapa yang sudi memberikan jawapan pasti.

“Kecewa?. Sedih?. Hampa?”. Tanya naluri keperempuanannya itu.

“Ya!!!. Aku kecewa!. Aku sedih!. Aku hampa!”. Jerit suara hatinya. Air matanya mengalir lagi. Tanpa disedari dia menjerit sekuat hati hingga tidak kedengaran sesiapapun.

“Bersabarlah, ini dugaan Tuhan”. Nasihatnya pada diri.

“Ya, ini dugaan Tuhan. Aku akan bersabar. Hanya kalimat itulah yang membuatnya terus tabah menghadapi ranjau kehidupan yang mendatang.

Manusia memang mudah lupa. Lupa pada pengorbanan. Lupa pada kebaikan. Segalanya sia-sia. Perutnya yang makin membesar itu diusap lembut.

“Maafkan mama sayang. Maafkan mama kerana tidak mempertahankan hakmu. Tapi janganlah bimbang sayang, kerana mama akan tetap menyayangimu”. Bisiknya dengan lembut dan penuh kesayuan pada anak yang sedang dikandungnya itu.

Ingatannya kembali berputar pada peristiwa lapan bulan yang lalu. Peristiwa yang menyebabkan dia terlontar di dunia sepi ini. Peristiwa yang menyebabkan dia merana sebegini rupa. Tidak akan dimaafkan sama sekali insan-insan yang pernah memusnahkan kehidupannya. Mama, papa, Nora dan Farid. Selamanya dia tidak akan memaafkan kesilapan dan kesalahan yang sengaja dilakukan oleh mereka.

Tidak!. Tidak!. Tidak!. Sama sekali tidak. Air matanya mengalir lagi.

Zanariah anak sulung kepada Puan Mariam dan Encik Salehuddin. Zanariah lebih senang dipanggil Rhea dalam kalangan ahli keluarganya. Zanariah mempunyai seorang adik bernama Nora. Antara Rhea dan Nora memang banyak perbezaannya. Umpama langit dengan bumi. Zanariah seorang yang lemah lembut, pendiam dan lebih suka menyendiri. Manakala Nora pula seorang yang suka bersosial, pergi ke kelab hingga lewat malam kadang-kadang membawa ke dinihari dan amat lincah orangnya. Disebabkan perbezaan itulah menyebabkan Nora terlebih dahulu bertemu jodohnya. Dalam usia yang muda Nora berkahwin dengan Farid. Lelaki pilihannya. Bukan Rhea tidak terkilan dan sedih bila melihat Nora bersanding di pelamin. Bukan dia tidak sedih dengan hinaan dan sindiran yang dilemparkan. Bukan sengaja dia membiarkan diri dimamah usia. Tapi hatinya, cintanya hanya untuk Azlan. Azlan lelaki yang berjaya mencuri hatinya. Namun takdir tetap mengatasi segalanya. Tuhan lebih berkuasa. Azlan kembali kepangkuanNya. Kematian yang penuh tragis yang meragut seluruh nadi kehidupan Rhea. Azlan pergi meninggalkan dunia tanpa sebarang pesan. Meninggalkan Rhea begitu sahaja. Impian yang dibina lenyap dalam sekelip mata. Tinggallah Rhea meneruskan hidup sendirian. Hanya kenangan dan memori yang pernah dilalui bersama membuatnya terus hidup. Dalam diri ditanamkan azam. Selepas Azlan tiada lagi yang lain. Azam itu menyebankan Rhea sendirian. Mama dan papa mendesak. Memaksa. Malu mereka dengan Rhea. Jiran-jiran memandang serong. Rhea digelar ‘anak dara tua’. Tapi Rhea tetap tabah.Tidak peduli dengan kata orang.

Nora dan Farid amat bahagia. Perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata. Rina dan Alif. Diawal perkahwinan Nora sama seperti wanita-wanita lain yang yang bergelar isteri. Menjalankan kewajipan. Menunaikan tanggungjawab. Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu benar-benar bahagia. Seolah-olah ketika itu merekalah yang paling bahagia. Tapi selepas melahirkan anak kedua mereka Alif, Nora mula berubah. Badai kencang melanda rumahtangga mereka. Nora berubah laku menjadi seorang wanita yang liar. Lupa tanggungjawab. Lupa kewajipan sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Siang bersama Osman. Malam bersama Osman. Setiap hari hidup Nora hanya untuk Osman. Osman ialah CEO tempat Nora bekerja. CEO Menara Sufiah Holding. Osman lebih kaya dan lebih berharta daripada Farid. Segala kehendak Nora dipenuhi. Apa-apa jua yang dipinta diperoleh sekelip mata. Nora jadi lupa diri. Lupa pada dunia nyata. Baginya Osman adalah segala-galanya. Saban malam masa dihabiskan bersama Osman di kelab malam. Setiap malam pulang dalam keadaan mabuk. Farid bingung memikirkan perubahan Nora yang mendadak. Sebagai suami Farid cuba menasihati Nora. Tapi nasihat Farid tidak bermakna buat Nora. Nasihat Farid tidak di endahkan. Ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Semua usaha dan ikhtiar Farid untuk menyedarkan Nora sia-sia. Acapkali mereka bertengkar dan akhirnya rumahtangga yang dibina berkecai. Nora diceraikan.

“Nora yang minta begitu mama. Tak mampu saya nak nasihatkan dia lagi”. Masih terngiang-ngiang di telinga Rhea kalimat itu diucapkan Farid dihadapan mama dan papa. Mama menerima kata-kata itu dengan air mata. Papa hanya mampu mengeluh. Sayu mata mereka memandang Farid.

Setelah mendapat apa yang diinginkan, Nora meninggalkan kami. Kepuasan terbayang di wajahnya. Selepas itu tiada siapa tahu kemana perginya dia. Peristiwa itu benar-benar membuat Farid tertekan. Hari-hari termenung. Tidak bermaya. Mama dan papa berasa kasihan. Kasihankan Farid yang kehilangan kasih sayang isteri. Kasihan pada Rina dan Alif yang masih kecil. Yang dahagakan kasih sayang seorang ibu.

Kegusaran dan kebimbangan tergambar di wajah mama dan papa. Mama dan papa bimbang jika Farid berkahwin lagi. Berkahwin dengan orang asing. Hilanglah hak mereka sebagai datuk dan nenek keatas Rina dan Alif. Tidak sanggup mereka membayangkan untuk kehilangan cucu kesayangan. Farid menantu. Jika Farid membuat keputusan untuk keluar dari rumah, pasti Rina dan Alif dibawa bersama. Untuk menghalang, mereka tiada hak. Ligat otak mereka berputar dan akhirnya kata sepakat dicapai. Rhea dijadikan sasaran. Farid bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh mama dan papa.

“Rhea terimalah cadangan mama tu”. Papa mendesak Rhea malam itu.

“Tak boleh papa. Rhea tak sanggup”. Tak sanggup Rhea hendak mengahwini adik iparnya Farid, walaupun Farid sebaya dengannya. Farid telah dianggap seperti adik sendiri. Lagipun Farid bekas suami Nora adiknya. Terasa seolah-olah dia mengkhianati adiknya itu. Jika Rhea bersetuju, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Kusut fikirannya memikirkan kehendak mama dan papa.

“Sanggup kau tolak cadangan mama”. Suara mama lirih. Seperti merajuk sahaja kedengarannya.

“Bukan macam tu mama, Rhea................”. Belum sempat dia meluahkan apa yang dirasanya, papa telah memintas percakapannya.

“Rhea kau anak kami. Apa yang kami suruh kau buat, kau mesti buat. Kalau kau membantah kau bukan anak kami lagi”. Tegas sekali suara papa. Tidak lagi memberi ruang pada Rhea untuk membuat penjelasan. Antara kehendak diri dan kemahuan orang tua, Rhea buntu membuat keputusan. Rhea di persimpangan. Diluah mati emak. Jika di telan mati bapa. Mahu atau tidak Rhea mesti akur. Dengan hati yang berat Rhea menerima kehadiran Farid dalam hidupnya. Rhea dinikahkan dengan Farid dalam majlis yang sederhana. Di majlis pernikahannya Rhea menangis. Jemputan yang hadir mungkin menyangka air mata itu air mata gembira. Hakikatnya hanya Tuhan yang tahu. Dia hanya berpura-pura gembira. Tersenyum. Senyum dalam tangisan. Senyum untuk tidak menghampakan mama dan papa.

Rhea cuba menerima Farid. Pada Tuhan dia berdoa agar hatinya terbuka untuk mencintai Farid. Dia memulakan satu lembaran baru dalam hidupnya. Hidup sebagai isteri Farid. Kerjayanya sebagai seorang pendidik dilupakan dengan berat hati. Hanya kerana Farid mahukan dia menjadi suri sepenuh masa. Farid tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia berkorban lagi. Dia menjadi ibu kepada Rina dan Alif. Bahagia dirinya bila Rina dan Alif memanggilnya ‘mama’. Memang dia layak dipanggil begitu. Saban malam dialah yang mendodoikan mereka, menemani mereka, dan bercerita sebelum anak-anak kecil itu melelapkan mata. Hatinya mekar bak kuntuman mawar di dalam jambangan. Farid juga seorang suami yang baik. Melayani Rhea dengan penuh kasih sayang. Rhea benar-benar di puncak bahagia. Apatah lagi bila mengetahui dirinya berbadan dua. Berita gembira itu ingin segera dikhabarkan kepada suami tercinta tapi segalanya musnah. Kepulangan Nora amat dikesali. Sesungguhnya dialah manusia yang menjadi pemusnah saudara sendiri.

Petang itu setelah hampir setahun Rhea menjadi isteri Farid, Nora kembali. Nora kembali dengan air mata. Penuh penyesalan. Melutut di kaki mama dan papa. Melutut di kaki Farid. Memohon seribu keampunan. Benar-benar menyesal. Hati dan naluri papa dan mama tersentuh. Mengalir air mata mereka gembira kerana anak yang dirindui telah kembali semula. Dengan mudah, tanpa banyak bicara menerima Nora kembali. Nora kembali menjadi sebahagian dari keluarga kami.

“Mengapa Rina dan Alif panggil Kak Long ‘mama’ papa?. Terpacul soalan itu dari mulut Nora ketika kami semua sedang menghadap hidangan tengahari.

“Sejak kau tinggalkan mereka dulu, Kak Long kaulah yang jaga Rina dan Alif. Oleh sebab dah terlalu mesra mereka panggillah Kak Long kau ‘mama’ ”. Lancar sahaja mama menerangkan pada Nora akan hal itu. Penjelasan palsu.

Nora terdiam seribu bahasa mendengar penjelasan dari mama. Legat biji matanya memandang Rhea. Penuh tanda tanya. Rhea hanya mampu menundukkan mukanya. Seleranya mati. Nasi yang ditelan terasa seakan terlekat di kerongkong. Terasa pahitseperti hempedu. Mama langsung tidak menerangkan pada Nora tentang kedudukan Rhea di rumah itu. Siapa Rhea di sisi Farid. Sampai hati mama.

“Rhea jangan bagitau Nora. Nanti kecewa dia”. Mama menegah Rhea dari menceritakan hal sebenar pada Nora bila Rhea ajukan soal itu.

“Tapi mama, Rhea kan isteri Farid?”. Rhea cuba membantah.

“Kau patut bersyukur adik kau dah balik. Dah sedar akan kesilapannya. Kau nak dia keluar semula dari rumah ini ke?”. Mama mula berang. Memang begitu sifat mama jika ditegur tentang sikap Nora. Cepat benar dia melenting.

Rhea tidak tahu apa lagi yang hendak dikata. Rhea mengalah. Tidak mahu menimbulkan persengketaan dengan mama. Rhea berlalu menuju ke bilik. Mencari Farid. Tapi Farid tiada di situ seperti biasa. Rhea tercari-cari. Penyelesaian perlu di lakukan segera. Dia tidak sanggup lagi berkeadaan begitu. Tapi alangkah hancur hatinya bila melihat si suami bermesra dengan adiknya sendiri. Mesra sama seperti ketika mereka baru berkahwin dahulu. Air mata Rhea gugur lagi. Dia tidak sanggup lagi menyaksikan adegan itu. Rhea berlalu dan menuju ke bilik tidur. Merebahkan tubuhnya yang lesu ke katil. Farid tidak lagi bersamanya. Semenjak kepulangan Nora, Farid mengasingkan tempat tidur mereka. Rhea tidur bersama Rina dan Alif. Manakala Farid sendiri lebih senang tidur di bilik tamu. Bersandiwara di hadapan Nora, seolah-olah tiada apa-apa ikatan diantara mereka. Hati Rhea remuk redam. Seksanya batin menanggung derita tidak dapat dibayangkan. Tiada kata yang dapat digambarkan untuk menjelaskan betapa kecewanya dia. Hampir seminggu tidurnya ditemani air mata.

“Mari makan dengan mama sayang”. Nora memanggil anak sulungnya Rina yang berusia empat tahun untuk bersarapan dengannya.

Tiada reaksi dari Rina. Nora bagaikan orang asing bagi Rina. Bagi Rina, Rhealah mamanya. Rina menarik tangan Rhea menuju ke dapur. Rhea gembira kerana anak itu masih menyedari kehadirannya. Masih mengingatinya. Terasa kemenangan berada di pihaknya. Rhea memimpin Rina ke dapur dan menyuapkan Rina nasi goreng, sarapan pagi mereka pagi itu.

“Mama, mengapa papa tak tidur dengan kita?. Tak main dengan kita?. Dulu papa selalu sama-sama kita. Papa selalu cium pipi Ina, pipi adik sebelum tidur. Papa pun suka usik mama. Bila papa usik, mama marah. Lepas tu mama kejar papa. Papa pulak mesti ketawa, kan mama?”. Laju sahaja mulut anak itu berceloteh sambil mengunyah nasi goreng yang masih penuh di dalam mulut. Rhea tahu, bukan dia seorang sahaja yang terasa akan perubahan sikap Farid. Rina juga terasa akan perubahan sikap papanya. Rhea tersenyum mendengar celoteh Rina. Itu semua kisah dulu. Kisah yang terjadi ketika Nora belum muncul. Kini semuanya sudah berubah. Nora telah kembali. Rhea cuba untuk memahamkan anak kecil itu. Tapi lidahnya kelu untuk berkata-kata. Apatah lagi bila melihat Nora terpacak di hadapannya sambil bercekak pinggang. Bulat matanya memandang Rhea. Menggigil tubuhnya menahan kemarahan.

“Apa semua ni Kak Long?”. Jerit Nora bila mendengar cerita Rina. Rhea terdiam. Kelu lidahnya untuk berkata-kata. Tidak tahu apa yang hendak dikata bagi menjelaskan duduk perkara yang sebenar.

“Cakaplah Kak Long. Mengapa diam?”. Nora menengking Rhea. Langsung tidak memberi peluang pada Rhea untuk memberi penjelasan.

“Apa semua ni?. Apa yang bising-bising ni?”. Mama datang dan mula memainkan peranan. Peranan sebagai pemusnah sebenarnya.

“Kak Long kahwin dengan abang Farid ke mama?”. Nora menangis lantas memeluk mama.

“Itu dulu, tapi lepas Nora balik Farid dah ceraikan Rhea”. Tergamam Rhea seketika. Pedih ulu hatinya. Mama memang terlalu kejam. Dulu memaksanya berkorban dengan meminta dia mengahwini Farid atas alasan kasihankan Rina dan Alif. Kini meminta dia berkorban sekali lagi atas alasan Nora sudah kembali. Bila Nora telah kembali, dirinya ini sudah tidak bernilai lagi. Sanggup mama menafikan haknya di sisi Farid. Lebih mementingkan perasaan Nora dari perasaannya. Mama tidak pernah kesal atau marah dengan sikap dan perbuatan yang telah dilakukan Nora. Nora diterima dengan hati terbuka, dengan penuh rela. Penuh kemaafan. Tapi nasib dirinya memang malang. Semenjak kecil hinggalah dewasa dia tidak pernah merasa kasih sayang yang ikhlas dari mama dan papa. Mujurlah nenek sanggup mencurahkan kasih sayang buatnya. Tapi kini nenek sudah tiada. Dia sudah hilang tempat mengadu dan bermanja. Mengapa mama dan papa bersikap begitu. Dia tidak tahu. Kehadirannya di dunia ini umpama tiada erti buat mama dan papanya.

“Betulkah bang ?”. Nora memeluk Farid manja. Dek kerana cinta Farid terhadap Nora terlalu mendalam, Farid membalas pelukan Nora. Farid menganggukan kepalanya. Nora tersenyum lebar. Hati Rhea pedih. Terus sahaja dia berlalu dari situ dan menuju ke bilik. Di bilik itulah, di hadapan mama dan papa Farid menceraikan dia dengan talak satu. Rhea berkorban lagi. Demi mama dan papa. Demi adiknya Nora. Malam besoknya pula Farid dinikahkan semula dengan Nora. Nora amat gembira. Bergembira di atas kegagalan dan air mata Rhea. Rhea diceraikan atas alasan Rina dan Alif adalah anak Nora. Jadi biarlah Nora yang menjadi mama mereka. Lagipun Nora telah menyesali perbuatannya. Hati Rhea berkecai. Perasaan ingin memberontak juga ada.

“Aku juga mengandungkan anaknya. Mengapa aku tidak diberi peluang untuk hidup dengannya?”. Suara hatinya berlegar-legar di ruang minda.

Rhea mengumpul kekuatan untuk memberitahu Farid. Namun hasratnya terpaksa di pendamkan setelah melihat kebahagiaan dan kemesraan yang dikecapi oleh mereka berdua. Apalah guna dia mengeruhkan keadaan. Apalah gunanya dia menjadi batu penghalang. Farid tidak menyintainya lagi. Jika tidak tentu Farid tidak membuang dia dari halaman hidupnya. Apa guna bersuara. Lagipun dia telah di ceraikan.

Rhea pasrah pada takdir. Di malam bahagia Nora dan Farid, Rhea meninggalkan rumah tanpa pengetahuan sesiapa. Tanpa surat. Tanpa pesan. Rhea meninggalkan rumah yang telah menghancurkan hidupnya. Kini Rhea bahagia dengan dunia barunya itu. Hanya ada dia dan bayi yang dikandungnya itu. Dia sendirian membawa nasib diri. Sendirian mengharungi onak duri dan badai hidup. Sendirian memikirkan nasib anaknya yang bakal lahir tidak lama lagi. Hanya ada ibu tempat bergantung. Rhea pasrah. Rhea reda menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada Allah s.w.t. Allah yang lebih tahu segalanya. Air mata terus mengalir dan mengalir lagi menjadi teman setia menemani setiap kali duka datang bertandang. Rhea tidak mahu berpaling lagi. Kehidupan perlu diteruskan. Dengan berbekalkan sisa-sisa harapan, Rhea memandu kereta Myvinya menuju ke rumah peninggalan arwah neneknya yang kini menjadi kediamannya tanpa ada lagi rasa sangsi akan masa hadapannya. Allah ada. Biarlah takdir dan masa menentukan segalanya. Sudahlah, pergilah derita. Pergi jauh-jauh. Jangan lagi kau bertandang lagi. Duhai air mata, sudahla. Jangan mengalir lagi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SHALIHA BT NASARUDDIN SHALIHA BT NASARUDDIN