Home Novel Cinta Janji Alia
Janji Alia
SHALIHA BT NASARUDDIN SHALIHA BT NASARUDDIN
25/9/2015 21:52:36
1,873
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Resah. Sepi dan sunyi melanda jiwa. Serba salah. Apa mesti aku lakukan?. Si empunya badan bermonolog dengan hatinya. Otaknya ligat mencari jawapan. Tidak ketemu. Perlahan-lahan Alia bangun dari katil dan menuju ke jendela. Jendela dikuak sedikit. Terlihat akan kepekatan malam. Indah. Tidak puas menatap keindahan itu. Jendela dikuak lagi. Luas. Selebar-lebarnya. Angin malam menerpa masuk. Dingin. Dingin hingga terasa ke tulang hitam. Sejuk, tapi menyegarkan. Menyegarkan jiwanya yang sedang dalam kecelaruan.

Alia memandang jauh ke langit. Memandang bintang yang bertaburan. Cuba membilang bintang yang sedang bersinar. Tidak terdaya kerana bintang yang bertaburan itu memenuhi langit. Bebola matanya beralih memandang purnama yang tidak pernah lokek menerangi malam yang suram. Indah dan mendamaikan. Hati yang sedari tadi resah kini terasa tenang sedikit.

“Mulai hari ni ayah tak mahu Lia berkawan dengan budak tu lagi, faham!!!”. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Alia kata-kata ayahnya petang tadi.

“Hmmmmm.........”. Resah hati Alia memikirkan kata-kata ayahnya. Sama sekali dia tidak menyangka yang ayahnya akan menyinga kepadanya petang itu. Sama sekali dia tidak menyangka yang perbuatannya itu akan menimbulkan keberangan ayahnya dan kelihatan seolah-olah kemarahan ayahnya telah mencapai tahap yang maksimum sehinggakan kesalahan yang dirasakannya tersangat kecil itu sepertinya sudah tidak boleh diampunkan lagi.

“Tapi ayah mereka kawan Lia”. Alia cuba mempertahankan sahabat baiknya Mona dan Dira. Mukanya ditundukkan dan matanya tertancap pada hamparan permaidani di hujung kakinya. Hujung kakinya menguis-nguis bulu-bulu tebal lembut hamparan permaidani di ruang tamu rumahnya dan dalam kepayahan cuba ditahan air matanya yang sedang bergenang di tubir mata dari jatuh menitis ke pipi. Hatinya ketika itu benar-benar terluka dan sebak. Rasa ingin benar Alia memprotes tindakan ayahnya yang sangat kejam pada fikirannya itu, namun ditahannya sahaja rasa protes itu kerana bimbang ayahnya akan tambah menyinga pula. Perasaannya benar-benar kecewa apabila ayahnya seolah-olah tidak mengerti isi hatinya.

“Kawan konon!!!. Kawan apa macam tu?. Sekolah lagi dah pandai nak melepak. Pandai nak berjantan. Pandai ke karaoke. Entah tak besok, lusa diangkutnya kau ke disko”. Ayah masih lagi berang. Perasaan tersangat marah kelihatan diriak wajahnya. Sesekali ayah berang memang sukar nak ditenangkan. Kerana itulah Alia hanya mampu menadah telinga menahan kesakitan hati apabila dimarahi ayahnya.

“Ayah, Lia tahu Lia salah. Tapi Lia janji takkan buat macam tu lagi”. Alia memancing ayahnya dengan pujuk rayu. Berharap agar cair baran si ayah bila mendengar kata-kata yang diujarkan. Sangkaan ternyata meleset sama sekali. Sekali lagi Alia diundang rasa kecewa.

“Ayah tak percaya Lia. Dah banyak kali Lia janji macam tu. Tapi balik-balik Lia buat juga. Kali ni ayah nak tegas. Jangan kawan dengan mereka lagi. Faham!!!”. Muktamad. Sudah tiada peluang lagi untuknya merayu.

“Ayah......”.

Alia tidak mampu mengeluarkan kata-kata lagi. segala yang ingin diluahkannnya tersekat di kerongkong. Alia sudah tidak mampu lagi menahan air matanya. Setitis demi setitis air matanya gugur jua. Air matanya lebat menuruni kedua belah pipinya bagaikan hujan yang turun diwaktu petang. Alia mengesat air matanya yang mencurah itu dengan telapak tangannya. Hatinya benar-benar pilu kini. Dia tidak mengerti dengan permainan hidupnya yang seringkali diketemukan dengan manusia-manusia yang berada disekelilingnya yang tidak pernah cuba untuk memahaminya. Ayahnya juga begitu. Sengaja tidak mengerti atau pura-pura tidak mengerti.

En. Shamsuddin yang tadinya garang kelihatan agak kaget bila anak sulungnya itu menangis teresak-esak dihadapannya. Seketika dia berasa menyesal kerana begitu tegas terhadap anaknya itu hinggakan hati anaknya itu terluka. Bukan niat dihatinya hendak mengongkong kehidupan anaknya itu. Sebagai seorang lelaki yang bergelar ayah sudah tentulah dia mahu melihat anaknya berjaya dan bahagia dalam kehidupan di hari depannya. Sebagai seorang ayah dia tidak mahu anaknya kecewa dan dia tidak mahu anaknya itu mengikut jalan yang salah, jalan yang tiada hala tuju. Tapi, bagaimana dia mahu membuatkan anaknya itu faham akan isi hatinya. Sebagai ayah dia sedar anaknya itu sudah meningkat remaja dan sewaktu remaja inilah pelbagai dugaan akan melanda diri anaknya itu. Di sewaktu remaja inilah anaknya itu akan menghadapi konflik dan krisis identiti. Dia tidak mahu anaknya itu hanyut dan lalai dalam arus yang tiada penghujungnya. Arus yang hanya melemaskan dan memusnahkan masa depannya yang masih panjang. Apa yang harus dilakukannya supaya anaknya itu tahu akan ketulusan isi hatinya sebagai seorang ayah. En. Shamsudin menarik nafas panjang, dalam sedalam-dalamnya. Melangkah perlahan menghampiri Alia yang masih lagi teresak-esak. Berkira-kira sambil mencari kata-kata yang sesuai agar anaknya itu mengerti. Menghampiri anaknya dan bahu anaknya dipeluk mesra. Dielus lembut rambut anaknya bagaikan seorang anak kecil.

“Maafkan ayah Lia. Ayah tak bermaksud nak sakitkan hati Lia atau nak kongkong hidup Lia. Ayah sayangkan Lia. Jangan hancurkan masa depan dengan buat kerja yang tak berfaedah tu. Apa yang ayah buat ni untuk kebaikan Lia. Sekarang ni Lia tak faham. Tapi bila Lia dah dewasa dan hadapi situasi yang ayah alami ini, baru Lia tahu dan sedar apa yang ayah cakap ini betul. Jadi sebelum ada yang buruk terjadi baik Lia dengar cakap ayah”. Lembut, selembut bayu petang nasihat ayahnya. Alia serba salah. Terasa kesal dihatinya membuatkan ayahnya yang baik hati itu marah.

“Maafkan Lia ayah. Lia tau Lia bersalah. Lia akan cuba untuk jadi budak yang baik selepas ni. Insyaallah Lia akan cuba ayah”. Akhirnya Alia mengalah dan tunduk akur atas nasihat ayahnya.

“Ah....ada betulnya apa yang ayah katakan petang tadi”. Alia terus bermonolog pada dirinya sendiri.

Alia masih tega mengadap langit yang masih terbentang. Angin menerpa masuk tanpa jemu. Tubuhnya yang hanya dibaluti baju tidur nipis terasa menggigil. Alia memeluk tubuh, cuba menahan kedinginan malam yang teramat sangat. Sejuk benar cuaca malam ini. Tidak tertahan lagi dirinya menahan kesejukan yang menggila itu. Alia akhirnya mengalah dan menutup jendela. Kaki dihayun menuju ke katil. Perlahan-lahan membaringkan tubuhnya yang sudah tidak bermaya lagi. Cuba melelapkan mata, tapi tidak terasa mengantuk. Hanya matanya yang terkebil-kebil memandang syiling biliknya yang putih sambil matanya tertancap pada kipas angin yang terus-terusan berpusing. Seketika, di layar matanya terbayang wajah dua sahabat karibnya Mona dan Dira.

Memang silap Alia petang ini, mengikut Mona dan Dira ke pusat karaoke. Tapi Alia rasakan dia tidak melakukan apa-apa yang salah. Hanya untuk menghibur hati yang luka. Alia sedar yang dirinya bukan budak nakal. Alia cuma mencari jalan untuk meghibur diri. Baginya perbuatannya petang itu tidak ada salahnya. Hanya ayah yang tidak mencuba untuk mengerti dan memahami. Ayah tak faham dengan diriku. Ayah hanya tahu marah dan menuding jari atas kesilapanku. Aku akui itu memang silapku. Aku jadi begitu ada penyebabnya. Kalau aku khabarkan pada ayah mengenainya pasti ayah akan menempelakku kerana penyebab itu adalah sesuatu yang tidak konkrit. Tidak masuk akal langsung. Tapi itulah hakikatnya. Terus-terusan Alia bermonolog dengan dirinya sendiri.

Tetapi setiap butiran yang meletus dari bibir ayah itu ada betulnya. Jiwa Alia bergelora bagaikan amukan ombak menghempas pantai. Antara sahabat dan ayah yang teramat menyayanginya, siapa yang lebih penting?. Tentulah ayah. Ayah banyak berkorban untuknya. Ayah orang tua. Sudah hidup lama. Banyak pengalaman. Tentu ayah lebih tahu asam garam dunia, tahu tipu helah dunia. Ah....aku perlu tegas. Perlu buat sesuatu untuk hidupku. Untuk masa depanku. Alia bangun. Bangun menuju ke meja tulis. Duduk termenung di situ sebentar. Tangannya mencapai pen dan diari kesayangannya. Ada sesuatu yang ingin Alia coretkan. Tentang hati. Tentang perasaan. Tentang cita-cita, impian dan harapan.

25 Jun 2014 (Ahad)

Hello kawan!!!. Apa khabar kau hari ni ?. Masih sudi lagi ke nak dengar cerita kelakar tentang aku?. Suka ke tak suka kau kena dengar jugak. Aku tak kira. Kau mesti dengar jugak. Aku takde member lain lagi dah aku nak cerita dan curahkan perasaan aku yang aku sendiri sukar nak tafsirkan. Hanya kau ajelah yang faham dengan diri aku ni sebab segala rahsia aku hanya pada kau ajelah yang aku ceritakan. Nak cerite ape ye dengan kau??. Nanti jap aku fikir!!!. Hmm……..dah ada idea. Ko dengarlah yek.

Macamni….Hari ini aku rasa amat sedih sekali. Rasa menyesal pun ada jugak. Hari ni aku rasa macam nak mati aje. Apa tak nya sekarang ni ayah tak bagi dah aku geng ngan Mona dan Dira. Tapi aku tahu yang ayah buat tu untuk kebaikan aku. Yelah, salah aku jugak tipu ayah. Aku cakap aku pergi tution class tapi sebenarnya aku merayap ke Billion kat Sitiawan. Lepas tu siap menjejakkan kaki ke pusat karaoke kat situ. Habis duit belanja yang mak bagi kat aku pagi tadi aku belanjakan. Yang seronoknya hari ni aku dah dapat satu pengalaman baru yang orang lain tak dapat. Maksud aku kalau budak baik-baik mesti tak merasa pengalaman macam yang aku rasa ni. Masuk ke sebuah pusat hiburan. Pusat karaoke.

Bila masuk pusat karaoke tu bukan main bestnya aku rasa sampai langsung tak sedar yang aku dah terlewat. Bila terlewat keluar dari situ dah tentulah aku terlewat pulang kerumah. Tapi best jugak pergi karaoke ni sebab aku rasa aku ni macam artis popular. Aku nyanyi ala-ala Mariah Carey lagi. Mintak lagu lepas tu nyanyi puas-puas. Nyanyi kuat-kuat pun takpe, takde orang yang marah. Tempat itu memang bagus untuk release tension. Tapi taubat aku tak akan pergi lagi kesana sebab aku tengok semua orang yang masuk ke sana dari jenis yang teruk dan tak senonoh perangainya. Macam yang ayah kata, tempat tu memang tempat maut. Ye, whatever pun memang betul!!.

Macam ni ceritanya, kat karaoke tu kalau yang datang tu budak-budak muda dan remaja macam aku ni kira normallah. Ini tidak. Ada yang dah tua dan dah botak kepalanya, kira sebaya dengan datuk aku jer, yang sikit hari lagi nak mati pun ada kat situ. Kalau setakat datang nak nyanyi takpe, ini tidak. Siap berkepit dengan perempuan-perempuan muda yang kerja kat situ. Lepas tu melalak-lalak menyanyi. Kalau suara best takpe. Ini suara, bunyi macam katak panggil hujan. Hee...tak senonohnya perangai. Kalau generasi tua dah tunjukkan contoh yang tak elok, generasi muda macam aku ni apatah lagilah sebab contoh dah ada depan mata. Lagi satu yang aku hairannya, macam mana lah perempuan-perempuan yang kerja kat situ sanggup layan orang tua tu semua. Yang aku kira semuanya hampir sebaya dengan datuk diorang je. Tapi aku rasa maybe orang-orang tua tu banyak duit atau mungkin kesempitan hidup memaksa mereka melupakan itu semua. Kalau tak mesti diorang tak sanggup nak kerja kat situ.

Lagi satu yang aku hairannya macam mana lah Mona dan Dira boleh biasa dengan keadaan kat situ. Diorang tu nampak macam familiar je kat situ. Ramai pulak orang kat situ yang diorang kenal. Aku yang baru nak joint ni dapatlah jugak kenal dua tiga orang balak baru. Ada yang nama Eddy. Ada John. Tapi yang paling handsome sekali Khalid. Macam orang putihlah dia. Tapi memang orang putih pun!!. Anak kacukanlah katakan. Mak dia orang putih dan ayah dia pulak orang melayu. Patutlah hensem giler. Ishhh....angau lak aku ni bila ingat kat dia. Whatever pun memang dia balak paling hensem yang aku pernah jumpa setakat ni.

Sehensem-hensem dia tu, aku rasa hensem lagi Norman. Norman....lelaki yang pernah hadir dalam hidupku namun akhirnya pergi begitu sahaja tanpa sebarang pesan. Ah.....pergilah kau jauh dari ingatan dan janganlah menghantui kehidupanku ini lagi. Ah... sedihlah pulak. Tak payah nak sedih-sedihlah. Cerita lama tu. Lupakan. Ok!! habis dah cerita pasal aku kat sana sekarang ni nak cerita pasal kat rumah pulak.

Bila sampai rumah ayah tanya aku, aku pergi mana. Aku pun malas nak bohong ayah, aku bagitaulah aku pergi Sitiawan dan pergi masuk pusat karaoke kat situ. Kalau aku tipu lama-lama nanti ayah akan tahu jugak. Jadi lebih baik aku berterus terang. Ayah bila dapat tahu, apa lagi terus dia marah kat aku dan dah tak benarkan aku berkawan dengan Mona dan Dira. Aku tahu apa yang ayah lakukan pada aku hari ni untuk kebaikan diriku juga. Entahlah apa nak jadi dengan aku ni. Mungkin apa yang ayah cakap tu betul.

Lagipun sejak aku kenal dengan budak dua orang tu perangai aku ni makin teruk. Dalam kalangan diorang aku ni kira budak yang agak pandailah jugaklah sebab masa exam mid semester haritu result exam diorang abis semuanya failed. Lagi satu diorang ni gemar buat benda-benda pelik. Contohnya hari ni bawak aku masuk pusat karaoke. Mungkin itulah faktor yang menyebabkan ayah tak suka aku berkawan dengan mereka. Aku dengan diorang tu bukannya sekelas. Diorang kelas 5A2. Aku kelas 5A1. Entah macam mana lah aku boleh rapat dengan diorang tu. Ada sejarahnya. Tapi aku malas nak cerita sekarang. Lain kali aku cerita. Hari ni aku nak cerita pasal lain. Kau dengarlah apa yang aku nak cerita ni yek…… Aku sebenarnya nak cerita pasal azam baru aku. Jangan bagitau sesiapa tau. He….He….He….

Boring…Boring…Boring!!!. Hari-hari macam nilah kehidupan yang terpaksa aku lalui. Pagi pergi sekolah. Petang pergi kelas tambahan. Malam buat homework yang melambak lepas tu tidur. Sejak aku naik form 5 dan sejak result exam mid semester aku ni keluar ayah dah tak bagi aku lepak-lepak lagi dah. Hari-hari bising mulutnya berleter suruh aku study. Takut aku failed exam SPM tahun ni.

Aku bukannya malas nak belajar tapi entahlah mungkin kerana aku ni mudah terpengaruh dengan kawan-kawan aku yang malas belajar dan lebih suka buang masa tu. Tapi kalau difikirkan kembali yang ayah nak marah sangat kalau aku tak study tu kenape? Exam SPM lambat lagi. Apa yang nak dirisaukan sangat. Lagipun aku tahulah apa yang nak dibuat. Dah dekat nak exam besok aku belajarlah rajin-rajin. Lagipun aku ni bukannya bodoh sangat. Tak study rajin-rajin pun aku dapat jugak result A untuk Bahasa Melayu aku dan yang lain-lain lagi tu aku dapat gred campur-campur. Ada B+, ada c dan seperti biasa matematik moden aku memang gagal masa exam pertengahan semester yang lalu. Kira okeylah tu untuk manusia yang pemalas macam aku ni.

Aku mengaku aku ni memang tak rajin namun aku masih ada jugak pertimbangan bila sesekali tu mood aku rajin, aku akan belajar sungguh-sungguh. Cuma bila aku malas tu memanglah, kalau homework banyak bertimbun pun aku buat tak tahu aje. Sejak aku kena marah dengan ayah sebab result exam mid semester aku teruk, aku rasa dah cukup serik nak buat perangai lagi. Tapi bagi aku result yang campur-campur tu dah kira okeylah. Siti Nurhaliza artis idola aku tu tak payah pakai result SPM dia. Tapi boleh gak dia glamour. Boleh buat harta lagi, tak payah pakai result exam pun. Sampai dapat gelaran Diva. Jadi jutawan muda pulak tu. Aku ni baru je periksa mid semester ayah dah marah sangat. Bila aku cakap macam tu ayah lagi marah dan mengamuk sakan nampaknya dia.

He…He…He… aku pun satu bolehlah pulak nak bergurau time ayah tengah menyinga. Sorrylah ayah….. Aku rasa tak nak buat lagi dah macam tu. Amacam kau rasa ok tak azam aku tu Kawan?. Ah kira oklah tu. Buat masa ni aku ingat nak jauhkan diri aku dari member aku yang tak bermanfaat kat sekolah tu. Apa yang ayah cakap kat aku petang tadi tu memang betul. Masa depan tu yang penting. Kawan boleh bertukar ganti. Kalau masa susah jarang boleh didapati kawan yang sanggup bersama-sama kita. Masa senang ramai kawan rapat dengan kita. Ilmu kalau tak ditimba secukupnya dari sekarang aku akan rugi dikemudian hari.

Insyaallah ayah Lia takkan buat macam tu lagi. Mulai hari ni Lia akan jadi seorang anak yang baik dan mendengar kata. Jadi seorang kakak yang boleh dicontohi oleh 3 orang adik-adikku. Jadi seorang pelajar yang cemerlang. Tengoklah nanti satu dunia akan terkejut dan kagum dengan aku. Insyallah aku akan cuba sedaya upaya untuk mengotakan apa yang aku azamkan ini. Oklah kawan aku dah mengantuk ni. Nak tidur.

Esok hari Isnin aku kena bangun awal. Kena pergi sekolah. Esok aku akan jadi Aliah yang baru. Aliah Yasmin Sofia bt Shamsuddin yang sebenarnya… Mulai esok akan aku ubah diriku ini dan takkan kubiarkan mereka yang tak berguna tu hancurkan hidupku lagi.

Selamat tinggal Dira dan Mona. Aku takkan ikut kau orang lagi. Aku akan ubah sikapku ini. Selamat tinggal Aliah….. Moga ada sinar baru dalam hidupku ini di masa depanku. Ya Allah berkatilah aku dan seluruh keluargaku. Ampunkan aku kerana lama sudah aku tidak mengingatiMu. Moga ada lagi keampunan dan kasih sayangMu buat diriku yang hina ini. Assalammualaikum. Selamat malam Kawanku and have a nice dream!!! Bye……

CORETAN HATI SEORANG INSAN SEPI

(Aliah Yasmin Sofia Bt. Shamsuddin)

11.45 Malam.

Habis sahaja Alia melakarkan kisah hidupnya dalam diari kesayangannya malam itu, terus sahaja Alia masuk tidur. Lagipun hari sudah lewat malam. Kalau Alia tidur lewat nanti marah pula emaknya. Lagipun tidur lewat tidak baik untuk kesihatan.Tapi yang sebenarnya Alia memang tidak tahan untuk berjaga malam. Jadi bila emak menyuruhnya tidur awal, Alia merasakan satu rahmat buatnya. Malam itu Alih dapat tidur dengan tenang. Tenang, setenang air di kali. Semangatnya terasa berkobar-kobar untuk memulakan hari baru. Moga masih ada sinar harapan untuk dirinya selepas apa yang telah dia lakukan selama ini.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SHALIHA BT NASARUDDIN SHALIHA BT NASARUDDIN