JAM
baru menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku masih sibuk melayan kerenah pelanggan
yang datang tanpa henti sejak tadi. Tidak cukup tangan aku dibuatnya.
Macam-macam perangai ada. Mujurlah aku ini jenis orang yang cekap buat kerja
walaupun badan aku gemuk. Aku tidak menafikan itu semua. Malah, kadang-kadang
ada pelanggan yang menafikan kecekapan aku semasa bekerja.
Mereka
sering menganggap aku ini lambat melaksanakan tugas yang diberikan. Namun, setelah
melihat sendiri kepantasan aku ketika bekerja, baru mereka senyap tanpa berani
mengulas apa-apa. Ha, baru tahu siapa diri Yasmin sebenarnya. Ini
Yasminlah...siapa yang tak kenal aku?
Beberapa minit kemudian, suasana
kembali sunyi seperti sediakala. Aku menarik nafas lega
sedikit. Dapatlah aku berehat sekejap untuk melepaskan lelah. Tidak aku
nafikan, tubuh aku agak letih sejak kebelakangan ini. Mungkin ini semua ada
kaitan dengan pertambahan berat badanku yang mendadak naik secara tiba-tiba. Biasalah
orang gemuk macam aku ini. Buat kerjanya sedikit, tapi penatnya mengalahkan
orang memikul kayu balak. Padahal, bukan teruk sangat pun kerja yang aku buat.
Sedang leka berkhayal seorang diri,
tiba-tiba aku dikejutkan dengan kehadiran dua pasangan kekasih yang asyik
berpimpin tangan sebelum duduk di sebuah meja berhampiran dengan tempat aku
berehat. Tingkah mereka yang kelihatan agak mesra itu amat menjijikkan aku.
Menyampah pula apabila menonton aksi kurang sopan si gadis yang tergedik-gedik
macam betina miang. Mahu tidak mahu, aku terpaksa melayan mereka berdua. Sudah
menjadi tugasku melayan setiap pelanggan yang berkunjung ke gerai ini.
“Maaf, saudara. Nak minum apa?”
soalku lembut.
Aku
memandang tepat wajah mereka berdua sambil memegang pen serta sehelai kertas
untuk mengambil pesanan. Mereka hanya berdiam diri tanpa bersuara. Sesekali,
gadis itu melihat tubuhku berulang-ulang kali dari atas sehingga ke bawah.
Tingkahnya seperti hairan sahaja melihat potongan tubuhku yang gemuk dan agak
hodoh pada pandangan matanya.
“Beri I nescafe ais satu,” pintanya
dengan suara manja seperti dibuat-buat. Menyampah betul aku mendengarnya.
Meluat. Kemudian dia memandang pula muka teman lelakinya. “You nak apa pulak,
B?”
“Emmm...I nak milo panas. Kalau
boleh, buat tu biar sedap sikit, ya. I takut nanti, tak ada
selera pulak I nak minum.”
Berlagak
betul mamat poyo itu ketika membuat pesanan. Wajahnya kelihatan serius sahaja
memandangku. Macamlah hensem sangat. Eleh... bukannya susah sangat pun buat
milo panas itu. Kacang saja bagi aku. Dah nama pun minuman kegemaran aku,
mestilah aku pandai membuatnya.
“Okey...itu saja ke? Makan tak nak?”
Aku bertanya lagi.
Aku lihat mereka berdua sedang
berbisik-bisik antara satu sama lain. Entah apa yang dibualkan agaknya. Macam
penting sahaja aku tengok. Biarlah mereka nak buat apa pun. Bukan ada kena
mengena dengan aku. Mungkin mereka sedang berbincang nak makan apa. Aku mula
membuat andaian sendiri.
“I
dengar kat sini, nasi lemaknya sedap. Teringin juga I nak try.”
“Memang
betul, cik. Kalau awak nak cuba, pergilah ambil sendiri. Biasanya orang yang
datang sarapan kat sini, mereka akan ambil dulu sebelum duduk. Dah nama pun buffet,” ucapku perlahan.
Aku
sengaja berbuat begitu untuk melihat sejauh mana reaksi mereka berdua. Apa yang
aku katakan itu sememangnya betul. Konsep gerai ini adalah buffet. Jadi, mahu tidak mahu, mereka perlu meringankan kaki untuk
mengambil sendiri sarapan pagi yang mereka mahu.
“Hai,
macam tu sekali ke you layan customer?
Tak boleh ke kalau you yang ambilkan untuk kami berdua.”
Kali
ini suara lelaki yang berada di hadapanku itu sudah berubah nada. Barangkali
dia rasa tercabar apabila aku menyindirnya.
Alah,
bukannya susah sangat nak ambil sarapan. Dekat saja dengan meja yang mereka
sedang duduk sekarang. Cuma beberapa langkah, sudah sampai ke ruang hadapan
yang menempatkan juadah sarapan pagi.
“Boleh
juga. Nanti dulu, ya. Excuse me...”
Akhirnya
aku berlalu dari situ sebelum menuju ke ruang dapur. Malas nak bertegang urat
pagi-pagi macam ini. Tak pasal-pasal nanti, jadi benda lain pulak. Sebelum
keadaan menjadi lebih parah, baik aku buat kerja dahulu. Sudah menjadi
kebiasaan, aku akan membuat minuman secepat yang boleh. Takut juga sekiranya
mereka merungut kerana terpaksa menunggu agak lama.
Selepas
siap membuat minuman, aku mengambil dulang kecil yang berada di situ lalu
menuju ke ruang hadapan. Aku tak lupa juga mengambil dua pinggan nasi lemak
seperti yang dipesan oleh pasangan kekasih itu tadi. Apabila tiba di meja
mereka, aku pantas meletakkan pesanan itu dengan hati-hati.
Entah
di mana silapnya, tidak semena-mena kakiku tersadung bucu meja sehingga aku hilang
kawalan. Akhirnya, cawan yang berisi milo panas itu tertumpah pada baju si
jejaka. Apa lagi, mengamuk sakanlah singa jantan itu apabila bajunya basah
lencun akibat kecuaian aku yang tidak disengajakan itu. Aku kalut sebentar
melihat insiden tersebut tanpa boleh berbuat apa-apa. Kejadian itu berlaku
terlalu pantas.
“Opss..sori, sori. Saya tak sengaja
tadi,” ucapku jujur.
Moga-moga,
lelaki kacak itu sudi memaafkan kesalahan aku. Sememangnya aku tidak berniat
untuk mengotorkan bajunya. Sudahlah baju yang dia pakai berwarna putih. Aku
tengok, baju dia pun dah berubah menjadi warna milo.
Alamak,
mampus aku kali ini. Tak pasal-pasal, aku kena sembur dengan dia selepas ini.
Dadaku mulai berdebar tidak keruan memikirkan kemungkinan yang akan berlaku
padaku sebentar lagi.
“Hei, kau ni dah buta ke? Mata kau
letak kat mana, hah? Habis baju aku basah tau. Kau ni tahu buat kerja ke tak,”
marahnya lagi.
Aku
terpaksa memekakkan telinga menahan kemarahannya yang masih belum reda itu.
Dalam situasi tegang begini, aku perlu banyak bersabar kerana semua ini berlaku
atas kecuaian aku sendiri. Aku lihat, girlfriend
dia pun berang apabila menyedari baju kekasihnya basah akibat kesilapan aku.
“Sudahlah, B. Baik kita balik aje. I
tak ada mood nak makan kat tempat low class macam ni. Lebih-lebih lagi
apabila tengok muka budak perempuan gemuk tu. Rasa macam nak pijak aje kepala
dia,” ujar gadis itu selamba tanpa mempedulikan perasaan aku ketika ini.
“Mana boleh macam ni. Senang-senang
aje I nak maafkan kesalahan budak gemuk tu. Sekurang-kurangnya, I nak balas
dendam kat dia. Biar dia tahu diri sikit.”
Marah
benar lelaki itu pada diriku. Walaupun sudah berkali-kali aku meminta maaf,
namun tidak sedikit pun melenturkan hatinya yang keras bagai batu konkrit itu.
Entah apa rencana jahat yang ingin dia buat pada aku. Aku masih tercegat
berdiri memandang wajahnya tanpa berkelip. Aku benar-benar menyesal atas kelalaianku
tadi.
“You nak buat apa, B?” soal gadis
itu lagi, agak pelik melihat tingkah kekasihnya itu.
“You tengok ajelah nanti,” ucapnya
kuat sebelum bangkit dari tempat duduknya. Kemudian, dia mengambil cawan yang
berisi nescafe ais lalu menyimbahkan ke tubuhku tanpa sempat aku mengelak.
Akibatnya, habis baju aku basah. Aku lihat, dia sudah ketawa berdekah-dekah
seperti baru meraikan satu kemenangan yang besar. Dia ingat, aku ini badut ke
sampai tergelak-gelak macam orang gila.
Selepas berpuas hati mengenakan aku,
mereka berdua segera berlalu pergi tanpa membuang banyak masa. Aku pula masih
terkebil-kebil melihat pemergian mereka dengan perasaan berbuku di dada.
__________________
PROSES
pendaftaran pada pagi itu berjalan lancar seperti biasa. Walaupun terpaksa
beratur panjang semasa masuk ke dalam Dewan Pelajar, aku dan Fuad tidak pernah
mengeluh. Semua perkara itu sudah biasa bagi aku. Ketika kami berdua asyik
berbual, tiba-tiba terdengar suara halus berbisik di belakangku.
Suara
itu seperti aku pernah dengar sahaja. Aku cuba memasang telinga, mencuri dengar
setiap perbualan mereka berdua.
“I rasa, pompuan gemuk nilah yang
kita jumpa masa makan kat gerai makan kelmarin. You dah lupa ke B?” soal gadis
itu perlahan, namun cukup jelas di telingaku.
“Yang mana satu budaknya. I tak
berapa ingatlah. Lagipun, buat apa I nak ingat badak air macam dia tu. Buat
sakit hati aje,” ucap lelaki itu pula. Terasa berbahang api kemarahan aku saat
itu. Tidak menyangka, sampai ke hari ini dia masih mengingati kejadian yang
tidak disengajakan itu walaupun sudah tiga hari berlalu.
“Kalau betul dia budak perempuan
gemuk tu, nampaknya senanglah kita kerjakan dia cukup-cukup nanti. You kan dah
cakap kat I, you nak balas dendam kat dia. Sekurang-kurangnya, dendam you akan terbalas
juga nanti. Tak sangkakan, dia pun belajar kat sini.”
“Betul juga cakap you, honey.You tak payah risau.Pasal tu, biar I yang uruskan sendiri.
You cuma tengok dan lihat sahaja. Orang macam dia tu, ada duit ke nak bayar
yuran pendaftaran. Setakat kerja kat gerai makan, manalah cukup nak tampung kos
pengajian kat sini. Esok-esok, tak sampai sebulan belajar dah berhenti.”
Sindiran tajam dari lelaki itu kali ini benar-benar menggores perasaan aku.
Terasa kerdil diri ini apabila dikatakan begitu.
Seolah-olah aku tidak layak belajar
di kolej masakan ini. Mentang-mentang mereka anak orang kaya, suka hati sahaja
nak mengutuk orang miskin macam aku. Ah, pedulilah dengan semua itu. Biarlah
apa pun yang mereka nak kata. Selagi aku boleh bersabar, aku akan bersabar.
Mungkin apa yang berlaku hari ini merupakan ujian pertama aku di sini. Aku
harus cekalkan semangat dan tidak boleh menyerah kalah sebelum waktunya.
Apa yang merungsingkan fikiran aku
saat ini, apabila mengingati semula kata-kata gadis itu sebentar tadi.
Ucapannya seperti mengandungi maksud tidak baik kepada aku. Dia ada mengatakan
perihal dendam yang tidak aku ketahui hujung pangkalnya. Dendam apa lagi yang
belum terungkai sejak insiden tempoh hari? Adakah mereka berdua telah membuat
satu rancangan tidak baik kepadaku?
Nampaknya, perjalanan aku di kolej
masakan ini sudah pasti ada rintangan yang bakal mendatang di kemudian hari.
Sungguh aku tidak menyangka, dia turut belajar di kolej ini. Bagaimanalah dia
boleh mengambil jurusan yang sama denganku. Tambah parah, apabila dia memilih
kolej ini sebagai tempat untuk belajar. Apa lagi yang boleh aku lakukan. Ini
semua ketentuan dari-Nya.
Beberapa minit kemudian, Fuad yang
berada di hadapanku sudah menuju ke kaunter pendaftaran sambil membawa beberapa
helai dokumen yang diperlukan. Tidak sedar begitu cepat masa berlalu. Aku
lihat, ada empat buah meja diletakkan di situ. Semua meja itu dipisahkan antara
satu dengan yang lain. Aku difahamkan, pelajar-pelajar perlu melalui empat
kaunter terlebih dahulu sebelum berada di meja terakhir untuk membuat
pembayaran.
Saat ini, aku baru berada di meja
yang pertama. Ada kira-kira tiga kaunter lagi perlu aku lalui. Menunggu
satu-satu kaunter bagaikan bertahun lamanya. Ini berlaku kerana, jumlah pelajar
yang hadir mendaftar pada pagi ini agak ramai sehingga sesak jadinya. Aku tidak
sabar untuk melalui semua ini.
Biasanya,
bagi seorang pelajar akan mengambil masa sekurang-kurangnya sepuluh minit bagi
setiap kaunter yang dilalui. Bayangkan kalau ada 80 orang pelajar yang datang
mendaftar. Aku rasa, sampai tengah hari baru selesai. Mujurlah aku dan Fuad
datang awal pagi tadi. Kalau tidak, terpaksa menunggu berjam-jam lamanya.
Aku membelek-belek setiap dokumen
yang berada di tangan. Dokumen-dokumen itu aku susun satu per satu supaya mudah
ketika melalui setiap kaunter pendaftaran. Tidak perlu nak tergopoh-gopoh
apabila diminta nanti. Duit yuran sebanyak Rm 650 juga sudah aku masukkan ke dalam
sebuah sampul surat di bahagian atas. Inilah duit hasil titik peluhku sendiri
selama ini. Moga-moga, pendaftaran pagi ini akan membawaku jauh merentasi
sempadan ilmu yang tak terjangkau dek fikiran.
Aku sematkan dalam hati ini untuk
belajar bersungguh-sungguh sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi bertuah ini.
Begitulah impian murni aku sejak dulu lagi. Aku malas mengusutkan fikiran
dengan benda-benda remeh yang akan menganggu perjalanan aku di sini. Terutama
sekali, lelaki sombong yang turut belajar sama tempat denganku itu. Biarlah dia
dan kekasih hatinya itu bersuka ria menghabiskan hari-hari indah mereka di
tempat ini.
Apa jua yang bakal dilakukan kepada
aku nanti, tidak aku hiraukan. Buatlah apa sahaja yang mereka suka selagi
terdaya. Aku tetap aku. Tidak akan ada sesiapa yang boleh mengubah nasibku,
melainkan aku sendiri. Prinsip itu sentiasa aku bawa walau ke mana sahaja aku
pergi. Kalau mereka ada rancangan untuk mengenakan aku, aku pun boleh buat
lebih dahsyat dari itu. Aku akan pastikan lelaki itu jadi milikku satu masa
nanti. Biar dia melutut di hadapan aku. Aku tak peduli walau dengan apa cara
sekali pun.
_____________________
PADA
keesokan hari, aku bangun awal seperti biasa. Rasa tidak sabar pula untuk
menghadiri Program Minggu Wawasan Siswa yang akan diadakan pada pagi ini.
Banyak perkara yang menanti aku di sana. Terutama sekali apabila mengingati
janji Syima semalam. Entah apa rancangan mengejut yang akan dibuat oleh gadis
itu. Sudah puas aku memikirkannya sejak malam tadi. Namun, usaha aku itu hanya
sia-sia. Aku masih tidak dapat menemui jawapannya sehingga ke saat ini.
Selepas pulang petang semalam, aku
sempat bertukar-tukar nombor telefon dengan Syima. Bagi aku, mudahlah untuk aku
menghubunginya nanti jika ada sebarang masalah di kemudian hari. Aku sudah
menganggap Syima seperti kawan baik aku sendiri selain Fuad. Hanya mereka
berdua sahaja yang sudi menjadi kawan aku. Penerimaan mereka itu, sedikit
sebanyak telah menaikkan semangat aku untuk belajar bersungguh-sungguh di kolej
masakan ini. Biar apa juga rintangan yang bakal mendatang, aku tidak akan
menyerah kalah.
Mengikut janji Syima semalam, kami
berdua perlu sampai awal sebelum Program Minggu Wawasan Siswa itu bermula.
Menurutnya, ruang masa yang ada itu boleh juga digunakan sebagai waktu untuk
menjelaskan rancangan bernasnya kepada aku. Nampak gayanya, aku terpaksa
bertolak awal ke situ supaya tidak buru-buru waktu. Awal-awal lagi, aku sudah
maklumkan hal ini kepada Fuad.
Bukan niat untuk menyingkirkan
dirinya dari hidup aku, namun aku ada alasan sendiri yang tidak boleh aku
kongsikan dengannya. Aku harap, Fuad mengerti masalah aku sekarang. Apabila
keadaan sudah kembali stabil, kami berdua akan pergi kuliah sama-sama seperti
biasa.
Hanya
untuk hari ini sahaja, aku terpaksa berangkat sendirian tanpanya di sisi.
Mujurlah Fuad memahami keadaan aku ketika ini. Aku tahu, Fuad merupakan kawan
paling baik yang pernah aku kenali. Tidak ada sesiapa pun di dunia ini boleh
menggantikan tempatnya. Sampai bila-bila, namanya akan terus terpahat di hati
ini.
_________________
SEBAIK
tiba di kolej masakan itu, aku pantas mendapatkan Syima yang sedang tercegat
berdiri menanti kedatanganku. Tidak ramai pelajar yang ada ketika itu. Hanya
beberapa orang sahaja. “Dah lama ke kau sampai, Syima?” soalku spontan apabila
tiba di hadapannya. “Maaflah, aku terlewat sikit.”
“Taklah. Aku pun baru sampai ni.
Sebab tu aku suruh kau datang awal. Time-time
macam ni, tak ada orang sangat. Senanglah aku nak bagitahu tentang rancangan
bernas aku tu. Jom kita duduk kat bawah pokok tu dulu. Selesa sikit nak
berbual.”
Syima
segera menarik tanganku lalu menuju ke tempat yang dimaksudkannya. Aku hanya
mengikut langkahnya tanpa membantah.
“Syarat apa yang kau nak bagitahu
aku semalam? Penting sangat ke?” Aku pantas bertanya kerana tidak sabar
mendengar ucapannya itu. Berdebar juga untuk mengetahui rancangan gila Syima.
“Macam ni, Min. Aku ada cadangan
baik untuk kau. Ini semua tentang Syed Aidil. Kau boleh berkawan rapat dengan
dia, tapi ada satu syarat...” Syima mematikan ayatnya di situ. Dia memang
sengaja membuatkan aku tertanya-tanya macam orang gila.
“Apa dia syaratnya?” ajuku seperti
biasa. Dia ini dari semalam lagi, asyik cakap pasal syarat saja. Suka sangat
membuatkan aku cemas tidak menentu. Kalau nak cakap, tak payahlah sekat-sekat.
Buat sakit hati aku saja.
“Kau kena menyamar,” balasnya
pendek.
“Menyamar? Nak menyamar jadi siapa
pula?” Aku mula mengaru-garu kepala tanda pelik mendengar cadangannya itu.
Syima...Syima. Ada-ada saja kau ni, kan.
“Kau dengar dulu rancangan aku ni.
Aku dah fikirkan semua hal ni sejak malam tadi lagi. Sepatutnya kau berterima
kasih kat aku tau. Susah payah aku berusaha untuk kau. Langsung kau tak hargai
pengorbanan aku.” Suara Syima kedengaran sayu di pendengaranku. Dia terasa hati
apabila melihat aku tidak serius menerima cadangannya.
“Sorilah, Syima. Aku setuju dengan
cadangan kau tu. Cuma, pasal nak menyamar ni, aku kurang setujulah. Kenapa pula
aku kena menyamar? Tak boleh ke kalau aku jadi diri aku sendiri. Tak bestlah menyamar jadi orang lain.”
“Ini untuk kebaikan kau juga.
Peluang keemasan ni datang sekali saja tau. Bukan senang nak kenal dengan dia.
Kalau kau tak menyamar, mesti Syed Aidil tak ingin berkenalan dengan kau. Dia
tu lelaki cerewet. Mana dia suka nak habiskan masa berkawan dengan orang macam
kita. Aku buat macam ni, sebab nak bagi dia sedar diri sikit. Baru dia tahu,
langit tu tinggi ataupun rendah. Aku yakin, kau boleh sedarkan dia nanti.”
Cadangan Syima itu aku halusi sebaik
mungkin. Kata-katanya berupa nasihat yang aku anggap ada kebaikannya sendiri.
Betul juga kata Syima. Perangai Syed Aidil yang sombong itu boleh diubah kalau
kena dengan caranya. Namun, aku khuatir kalau rahsia ini pecah di kemudian
hari. Mesti dia akan menyalahkan aku kerana tidak berterus-terang dari awal.
Aku tidak dapat menjangkakan, bagaimana perasaan Syed Aidil setelah mengetahui
siapa diri aku yang sebenarnya nanti.
“Tapi, bagaimana caranya untuk aku
kenal dengan dia. Kau nak aku jumpa dia face
to face
ke? Kalau macam tu, aku tak mahulah.”
Aku
menolak mentah-mentah jika Syima menyuruhku berjumpa dengan Syed Aidil secara
terang-terangan begitu. Di mana aku nak letak muka ini kalau dia menolak pelawaan
aku untuk berkawan dengannya? Mesti dia akan anggap aku perempuan tak tahu
malu. Ish, tak naklah aku.
“Bukan macam tu. Itu dah kerja gila
namanya. Kita kena buat secara perlahan-lahan. Ibarat menarik rambut dalam
tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Kau fahamkan maksud
aku?” soal Syima sambil memandang tepat mataku. Aku cuba mentafsir segala
maksudnya itu. Dalam benar mesej yang ingin dia sampaikan kepada aku.
“Maksud kau?” Aku bertanya lagi
macam orang bodoh.
“Alah, kau ni lembablah. Susah
sangat ke nak faham maksud aku. Maksud aku, kau kena menyamar jadi orang lain.
Aku ada nombor telefon dia. Pandai-pandailah kau ayat dia. Yang penting, jangan
sampai terkantoi. Sampai masanya nanti, baru kau bagitahu siapa diri kau yang
sebenar.”
Aku berfikir dulu sebelum memberikan
sebarang kata putus. Akhirnya aku bersetuju dengan cadangan Syima itu. Aku pun
pernah berjanji kelmarin untuk mengenakan Syed Aidil. Kali ini, impian aku akan
berhasil atas bantuan Syima. Aku perlu bertindak cepat sebelum mereka berdua
berbuat sesuatu kepada aku. Kata-kata gadis gedik yang menjadi kekasih Syed Aidil
semalam seakan bergema-gema di cuping telinga aku. Aku bertekad untuk
mengenakan mereka berdua supaya wujud salah faham dalam perhubungan mereka
nanti.
“Emm..boleh juga tu. Berapa nombor
dia?”
“Kejap.”
Syima
pantas menyeluk poket seluar sebelum mengeluarkan telefon bimbitnya. Kemudian,
dia mencari nombor telefon Syed Aidil dengan teliti. Tidak berapa lama selepas
itu, dia kembali bersuara. “Kau ambil nombor dia ni. 017-7485668.”
Aku segera menyalin nombor itu ke
dalam telefonku. Setelah meletakkan namanya di situ, aku memandang semula wajah
Syima dengan perasaan girang yang tidak terucap di bibir. Aku sungguh gembira
kerana berpeluang mengenali jejaka pujaan aku itu. Walaupun terpaksa menyamar
sebagai orang lain, aku tidak ambil peduli. Apa yang penting, aku dapat mendengar
suaranya jika aku menghubunginya nanti. Mesti macho sahaja suaranya ketika
memulakan bicara.
“Aku nak menyamar sebagai siapa ni?”
soalku kepada Syima.
“Pandai-pandailah kau. Tapi, jangan
sampai pecah rahsia. Maklumat peribadi kau pun jangan bagitahu dia. Sebenarnya,
aku ada agenda masa panjang untuk kau. Buat masa ni, biar kau kenal dia dulu.
Tentang agenda masa panjang tu, aku akan bagitahu apabila kau dah berjaya rebut
hati dia. Aku tak boleh ceritakan sekarang. Nanti tak surprise pula.”
Penjelasan
Syima itu membuatkan aku berfikir sepuluh kali. Banyak betul rancangan dia
untuk aku. Entah apa agenda masa panjang itu, ya? Tak sabar pula menanti saat-saat
indah itu.
“Aku rasa, nak menyamar sebagai
Mawar Putih. Okey tak nama tu? Baru nampak macam perempuan melayu terakhir.
Hehee..” Aku tergelak-gelak apabila mendengar cadangan nama yang hadir secara
tiba-tiba itu.
“Sedap juga nama tu. Mesti Syed
Aidil akan bayangkan kau seorang gadis yang cantik dan
jelita. Kau kena buat dia jatuh hati dengan kau. Jangan putus asa untuk mencuba.”
Syima
turut bersetuju dengan pendapat aku. Kami berdua asyik berbual sehingga tidak
sedar jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku lihat, sudah ramai pelajar
tiba untuk mengikuti Program Minggu Wawasan Siswa.
“Jom,
Min! Abang Fasilitator tu dah suruh kita masuk. Kalau lambat nanti, tak dapat
duduk pula. Cepatlah!” ajak Syima tidak sabar. Akhirnya, aku masuk ke dalam
Dewan Pelajar apabila Fasilitator yang bertugas mengarahkan kami semua
berkumpul di dalam dewan.
________________
PROGRAM
Minggu Wawasan Siswa pada pagi itu berjalan lancar seperti yang dirancangkan.
Terdapat lebih kurang 85 orang pelajar hadir mengikuti program ini.
Kebanyakkannya pelajar perempuan yang memonopoli jumlah itu. Manakala bagi
pelajar lelaki pula hanya ada 30 peratus sahaja. Dari jauh, aku nampak Fuad
sudah duduk bersama pelajar-pelajar lelaki yang lain. Kasihan pula aku tengok
dia. Nasib baik dia agak peramah orangnya. Mudahlah bagi dia mencari kawan baru
di kolej masakan ini.
Di sebalik keriuhan pelajar yang
asyik berbual sesama sendiri, aku sibuk mencari kelibat Syed Aidil di situ. Aku
yakin, dia sudah tiba bersama pelajar-pelajar yang lain. Kat mana pula dia
duduk ni? Takkanlah tak sampai lagi. Ah, biarlah dia. Mesti dia ada di situ,
cuma aku saja yang tidak perasan kehadirannya.
Aku
dan Syima sempat juga berkenal-kenalan dengan kawan perempuan di sini. Ada juga
di antara mereka ramah-ramah belaka. Hanya ada segelintir sahaja pelajar yang
kelihatan sombong terutama gadis gedik, kekasih Syed Aidil itu.
Aku menyampah melihat tingkahnya
yang perasan cantik itu. Mentang-mentanglah muka macam model, tak payahlah nak
tunjuk lagak. Meluat benar aku dengan sikapnya. Walaupun dia bertudung, namun
aku dapat cam lagi wajahnya. Kalau dulu, aku tengok dia tidak bertudung semasa
datang ke tempat aku bekerja tempoh hari. Mungkin kerana kolej ini mewajibkan
pelajar perempuan memakai tudung, sebab itu dia terpaksa memakai tudung. Kalau
tidak, aku yakin dia sendiri pun tak mahu.
“Perhatian
semua!” Lamunanku terhenti seketika apabila terdengar suara Fasilitator sedang
berucap di hadapan. Aku memberikan perhatian penuh kepada ucapannya itu supaya
tidak salah menerima arahan selanjutnya.
“Sebentar sahaja lagi akan diadakan
program suaikenal di antara kamu semua. Program ini bertujuan untuk mengeratkan
hubungan silaturrahim sesama pelajar tidak kira sama ada lelaki mahupun
perempuan. Cuma ada batas-batas yang perlu dijaga antara kalian semua. Sebagai
permulaan, saya selaku ketua Fasilitator di sini akan memperkenalkan diri saya
terlebih dahulu. Nama saya ialah Mohd Khuzaini. Kamu semua boleh panggil saya
Abang Long. Sekiranya ada sebarang masalah ketika berada di kolej ini, kamu
boleh berurusan terus dengan saya. Ada apa-apa soalan?” soal Abang Long
memulakan bicara.
Semua pelajar hanya membisu tanpa bersuara. Masing-masing
menggeleng sebagai tanda tidak mempunyai sebarang soalan untuk diajukan.
Setelah itu, beberapa orang Fasilitator lagi memperkenalkan diri kepada semua
pelajar. Ada lebih kurang sepuluh orang Fasilitator yang ditugaskan untuk memimpin
pelajar-pelajar baru pada pagi itu. Aku agak tekun mendengar penerangan mereka
satu per satu.
Fasilitator yang bertugas itu
kebanyakkannya merupakan pelajar semester lima. Semuanya sudah mempunyai
pengalaman yang cukup besar dalam bidang masakan ini. Mereka ada asas kukuh
untuk membimbing semua pelajar.
Aku
menganggap Fasilitator-Fasilitator itu sebagai senior kami kerana mereka sudah
merasai pahit manisnya menempuh dugaan sepanjang bergelar pelajar hampir 3
tahun di sini. Aku juga berjanji pada diri aku untuk mengikut jejak langkah
mereka. Walau apa jua cabaran yang mendatang, aku akan cekalkan hati. Aku masih
fokus mendengar arahan selanjutnya dari Abang Long.
“Selepas ini, kami akan agihkan
beberapa helai kertas yang ada tertulis nombor pada setiap kertas.
Nombor-nombor itu akan menentukan kumpulan manakah kamu berada. Setiap kumpulan
sekurang-kurangnya mempunyai sepuluh orang ahli. Manakala baki selebihnya itu
akan ditentukan kemudiannya.” Begitu arahan penuh yang disampaikan oleh Abang
Long.
Fasilitator-Fasilitator itu segera
mengedarkan kertas kepada para pelajar. Masing-masing dapat satu helai kertas
yang mencatatkan nombor kumpulan. Sebaik menerima kertas itu, aku pantas
melihat nombor yang tertera di situ. Emm..aku dapat nombor lima. Syima pula
dapat nombor tiga. Agak-agak, Fuad dapat nombor berapa, ya? Minta-mintalah,
Fuad dapat nombor yang sama seperti aku. Dapat juga aku kawan nanti.
Entah
siapalah yang akan menjadi kumpulan aku. Kami diminta saling bekerjasama semasa
berada di dalam satu kumpulan. Setiap kumpulan akan diterajui oleh seorang
ketua sebagai pemimpin. Beberapa minit kemudian, kami diarahkan untuk berpecah
sambil mencari kumpulan masing-masing. Aku terpaksa berpisah dengan Syima buat
sementara waktu. Aku segera mencari pelajar yang memiliki nombor lima. Dalam
beberapa langkah aku berjalan, tiba-tiba aku terserempak dengan Fuad. Aku
lihat, Fuad sedang sibuk mencari kumpulannya.
“Kau
dapat nombor berapa, Fuad?” soalku sebaik sahaja bersua muka dengannya.
“Aku
dapat nombor tiga,” jawab Fuad.
“Kau?”
“Nombor
lima.”
Aku ingat, Fuad dapat nombor lima tetapi
nombor tiga. Nampaknya, tak dapatlah aku satu kumpulan dengan dia. Dalam hati,
aku agak berdebar-debar memikirkan semua kemungkinan yang bakal terjawab
sekejap lagi.
Untuk
memudahkan kerja aku, aku pantas mengangkat kertas tinggi-tinggi supaya senang
mencari pelajar yang sama kumpulan denganku. Reaksi aku sebentar tadi agak
berkesan kerana mereka dapat mengecam nombor yang tertera di atas kertasku.
Kami
berkumpul apabila sudah dapat mencari ahli kumpulan masing-masing. Terdapat
lapan orang yang akan menjadi kumpulan aku. Rata-rata, pelajar perempuan
seramai enam orang termasuk aku. Pelajar lelaki pula ada dua orang sahaja. Aku
rasa macam ada yang tidak cukup lagi. Sepatutnya, ada sepuluh orang ahli
seperti yang dikatakan oleh Abang Long tadi. Mana pula perginya pelajar yang
seorang lagi?
“Siapa
lagi sorang ni? Abang Long cakap, ada sepuluh orang ahli dalam setiap
kumpulan.” Aku pantas bertanya kepada rakan-rakanku. Mereka hanya menggeleng apabila
aku mengajukan pertanyaan itu.
“Tak
pastilah,” ucap salah seorang dari mereka.
Aku
memandang keadaan sekeliling, cuba mencari makhluk yang dimaksudkan itu.
Tiba-tiba, mata aku tertancap pada susuk tubuh seseorang yang amat aku kenali.
Aku pasti dialah orangnya. Siapa lagi, kalau bukan Syed Aidil. Kertas yang
masih berada dalam genggamannya aku lihat sepintas lalu. Seakan tidak percaya
dengan nombor yang tertera di situ. Aku cuba memastikan apa yang aku lihat
sebentar tadi bukanlah igauan semata. Takut juga kalau tersilap pandang.
Alamak! Dia dapat nombor lima jugalah.
Macam
mana ini? Aku tak ingin dia satu kumpulan dengan aku. Tak selesa pula apabila
kami berdua berada dalam satu kumpulan yang sama. Keresahan aku itu tergambar
jelas di wajahku saat ini. Ingin sahaja aku menukar kertas aku ini kepada Fuad
supaya aku berada dalam kumpulan yang lain daripada dia.
Namun,
aku tak boleh berbuat begitu kerana Fuad dan kumpulannya sudah sibuk berbincang
sesama sendiri. Mungkin, mereka sedang mencari ketua kumpulan yang layak untuk memimpin
mereka.
Mahu
tidak mahu, aku terpaksa akur dengan ketentuan ini. Kenapalah dia juga yang
jadi ahli kumpulan aku. Kenapa tidak orang lain? Ish, tak faham betul aku.
Sepatutnya aku gembira sebab dia satu kumpulan dengan aku. Ini tidak, asyik nak
salahkan diri sendiri sahaja. Aku tengok Syed Aidil masih sibuk ke hulu ke
hilir mencari ahli kumpulannya. Kasihan pula melihat keadaannya itu.
Bukankah
aku sudah berjanji dengan Syima untuk berkenal-kenalan dengan dia. Walaupun
untuk hari ini sahaja, namun aku perlu mencuba. Manalah tahu, hatinya lembut
tatkala memandang wajah ini. Aku cuba memberanikan diri menegurnya. Aku tidak
boleh tersasul menyebut namanya agar dia tidak menaruh syak pada aku nanti.
_____________
“MAAF,
saudara,” ucapku perlahan sambil meneguk air liur. Perasaan aku ketika ini
sungguh berdebar-debar. Dia masih membelakangi aku.
“Nombor
saudara ni lima ke?” soalku lagi. Apabila terdengar ada orang menegurnya, Syed
Aidil pantas berpaling memandangku.
“Ya,
benar,” balasnya lembut. Sebaik sahaja dia memandang wajahku, tiba-tiba dia
terbatuk-batuk kecil lalu membesarkan
matanya.
“Eh...badak
air. Apa yang kau buat kat sini, hah?” soalnya sedikit keras. Walaupun nada
suaranya tidak berapa kuat, namun masih dapat didengari oleh pelajar-pelajar
yang lain.
Aku
tidak mempedulikan pandangan orang lain ketika itu. Apa yang lebih penting, aku
perlu berhadapan dengan bapa naga yang perasan hensem ini terlebih dahulu. Rasa
geram kerana dia masih memanggilku dengan nama badak air, membuatkan aku
bertambah sakit hati. Dia ini memang lelaki sombong yang sukar sangat nak
maafkan kesalahan orang lain. Apa lagi yang tak beres sebenarnya? Hati kecilku
bertanya-tanya.
“Tak
payah nak ambil tahulah kenapa aku kat sini. Mulut kau tu jaga-jaga sikit, ya.
Jangan suka hati saja nak panggil aku badak air. Apa lagi yang kau tak puas
hati kat aku, hah?” herdik aku pula.
Aku
cuba mengawal nada suara agar tidak terdengar oleh pelajar lain. Jarak aku
dengannya hanya beberapa meter sahaja. Mujur, suaraku agak perlahan untuk
menutup rahsia antara
kami berdua. Memang dasar bapa naga betul mamat ini tau, kutukku dalam hati.
“Ish, memang badan kau macam badak
air. Dahlah muka macam badut tak siap, ada hati nak tegur aku pula. Pergi mampuslah.”
Amboi,
sedapnya dia mengutuk aku. Ish, geramnya aku. Ada orang yang nak makan sup
terompah ni kejap lagi. Panas betul hati ini apabila Syed Aidil menyamakan aku
dengan badak air. Lagi-lagi, perkara itu juga yang dia nak sebutkan. Yang
paling aku geram, dia sanggup kata muka aku macam badut tak siap. Kau ingat,
muka aku ni tak laku sangat ke, hah?
“Eleh, muka kau tu lagi teruk macam
bapa naga tau tak. Perasan hensem,” sindirku lagi tepat ke mukanya.
Oleh
kerana tidak tahan mendengar sindiranku, akhirnya dia berlalu pergi ke arah
ahli kumpulan kami yang lain. Aku malas nak ambil pusing lagi. Kalau ikutkan
sangat rasa marah aku ini, tak pasal-pasal kecoh satu kolej ini nanti. Namun,
apabila teringatkan semula kata-kata ibu pagi tadi, hati aku kembali sejuk
seperti sediakala.
Tak ada gunanya aku melayan manusia
cetek akal macam Syed Aidil itu. Buang masa dan tenaga sahaja. Rancangan Syima
awal pagi tadi seolah-olah memaksa aku untuk cepat-cepat melaksanakan misi
jahat aku kepadanya. Buat apa aku nak berbaik-baik dengan dia. Aku perlu
berbuat sesuatu untuk memulihkan keadaan. Biar dia tahu diri nanti.
‘Tak
mengapa, Yasmin. Nombor lelaki sombong itu, kan sudah ada kat dalam simpanan
kau. Kalau boleh, malam ini kau terus jalankan misi rahsia kau tu. Jangan
lambat-lambat, nanti menyesal.’
Suara halus dari hati kecilku
bergema lagi di sanubari. Malam ini, aku akan memulakan misi aku itu. Semakin
lama aku berdiam diri, semakin mudah Syed Aidil nak pijak kepala aku. Sebelum
keadaan menjadi lebih parah, lebih baik aku bertindak cepat. Lelaki sombong itu
perlu diberi pengajaran supaya tidak merendah-rendahkan martabat orang lain
seperti aku. Kau tunggu sajalah, Syed Aidil. Aku akan hadir dalam hidup kau
tidak lama lagi.
_____________
MALAM
ini terasa damai, tidak seperti malam-malam yang lain. Bulan memancar terang di
dada langit bersama ribuan bintang-bintang. Aku leka memerhatikan suasana pada
malam itu. Selepas solat Fardu Isyak sebentar tadi, aku terus duduk di halaman
rumah sambil berkhayal seorang diri. Sengaja aku ke tempat itu, untuk
merehatkan minda dari sebarang masalah yang kian membelengguku sejak
akhir-akhir ini.
Apabila mengingati semula
pertemuanku dengan Syed Aidil siang tadi, perasaan aku tiba-tiba menjadi
gelisah tidak menentu. Tidak menyangka, lelaki itu tega menghina diri ini di
hadapan kawan-kawan yang lain. Mujurlah, suaranya tidak terlalu kuat. Aku agak
khuatir, sekiranya mereka mengesyaki apa-apa tentang kami berdua. Pada mulanya,
aku gembira kerana dipertemukan dalam satu kumpulan yang sama dengan Syed
Aidil.
Namun begitu, apabila melihat
penerimaan Syed Aidil agak hambar padaku, rasa bahagia itu terus bertukar
kepada benci. Aku memang panas hati dengan sikap sombongnya itu. Selama ini,
sudah puas aku bersabar malah sanggup memberikan ruang kemaafan kepada lelaki
itu, tetapi tidak sedikit pun dihargainya. Dia tetap menganggap aku sebagai
musuh ketatnya. Entah di mana agaknya salah aku, sehingga dia benar-benar benci
pada diri ini.
Mulai malam ini, aku harus memasang
tekad untuk mengenakan Syed Aidil. Aku tidak boleh menunggu terlalu lama untuk
bertindak. Benar juga kata Syima siang tadi. Lelaki sombong itu perlu diajar
cukup-cukup, biar dia tahu diri sedikit.
Telefon
bimbit yang masih berada dalam genggaman tangan, aku pandang sekali lagi.
Perlukah aku menghubungi Syed Aidil saat ini juga? Bagaimanakah penerimaannya
kepada aku nanti? Aku hendak menyamar sebagai siapa pula? Ah, serabut betul
fikiran aku sekarang.
Setelah berfikir agak lama, akhirnya
aku membuat keputusan untuk menghubungi lelaki sombong itu. Biar apa jua
cabaran yang mendatang selepas ini, aku tetap dengan keputusan aku. Lagipun,
bukannya dia kenal siapa aku.
Selagi
aku tak beritahu perkara yang sebenar, selagi itu dia tidak akan tahu. Niat aku
memang ikhlas untuk mengenalinya. Aku buat ini semua demi kebaikan dia juga.
Perangai manusia ini boleh berubah-ubah kalau kena dengan gayanya. Moga-moga,
Syed Aidil akan lembut hati apabila berkenalan dengan aku nanti. Biarlah rahsia
ini, hanya aku dan Syima sahaja yang tahu.
Tanpa
membuang banyak masa, aku pantas mencari nombor telefonnya. Punat panggilan aku
tekan perlahan-lahan dengan debaran kuat di dada. Aku masih sabar menanti
sehingga talian disambungkan. Beberapa saat kemudian, aku terdengar satu suara
garau yang menjawab panggilan itu. Dadaku semakin berdebar kencang.
“Hello, siapa ni?” soalnya sedikit
kasar.
Aku
mulai cemas apabila mendengar suara garaunya. Aku agak yakin, suara itu
kepunyaan Syed Aidil. Tidak mungkin aku tersilap dengar. Suara macho itu masih terakam kukuh di
ingatan sehingga ke saat ini. Ah, apa yang aku hendak cakap, ya? ‘Cuba bawa
bertenang, Yasmin. Jangan gelabah sangat.’ Hati kecilku berkata-kata, untuk
mengusir keresahan yang kian bertandang di fikiran.
“Err...boleh
saya bercakap dengan Razak,” ucapku dengan suara yang terketar-ketar. Aku cuba
berlakon sehabis baik untuk mengaburi pendengarannya. Hanya cara ini sahaja,
aku dapat
memancing minatnya. Manalah tahu, jerat aku mengena nanti.
“Eh,
you ni dah salah nomborlah. Ini bukan nombor Razak, tapi nombor I. You ni
siapa, ya?” ajunya lagi. Nada suaranya kedengaran lembut sedikit berbanding
tadi.
Nampak
gaya, rancangan aku malam ini akan berhasil seperti yang diimpikan. Aku
tersenyum sendiri apabila mendengar suara cemasnya. Barangkali, dia teruja
untuk mengetahui siapakah diri aku yang sebenarnya. Sabar ya, Syed Aidil. Aku
akan hadir dalam hidup kau sebentar sahaja lagi.
“Nama
I, Mawar Putih. Sebenarnya, I nak call Razak
tapi macam mana you pula yang angkat. I rasa, nombor yang dia berikan pada I dah
betul. I sendiri tidak pasti. Mungkin, I yang tersalah dail kot. Maaflah kerana
menganggu you. Bye!” Aku sengaja
berkata begitu untuk melihat sejauh mana reaksinya dengan kata-kataku.
Belum
sempat aku memutuskan talian, Syed Aidil sudah membuka mulut. “Mawar, nanti
dulu. I belum habis lagi cakap dengan you. You tinggal kat mana, ni?” ajunya
bersungguh-sungguh. Aku tertawa kecil di hujung talian kerana jerat aku baru
sahaja mengena. Yes! Aku dah menang.
“I
stay kat Johor Bahru. You?”
“Samalah.
I pun duduk kat JB. Bolehlah kita jumpa nanti. Teringin juga I mengenali you
dengan lebih dekat lagi. Mesti you ni, cantikkan orangnya,” pujinya lagi.
Emm...memang
dasar buaya tembaga betul mamat seorang ini. Sengajalah tu hendak ambil hati
aku. Dia ingat, aku boleh termakan pujuk rayu dia. Jangan haraplah Syed Aidil.
Kali ini, aku hendak ajar dia cukup-cukup. Biar dia tahu rasa. Aku akan buat
sampai dia gila bayang pada aku. Hahahaaa...Tanduk aku sudah mula naik di atas
kepala.
“I
pun teringin juga bertemu dengan you. Tapi, kita kan baru saja kenal. I takut,
ada orang marah kalau I kenal dengan you,” tambahku, cuba menarik minatnya
lagi.
“Siapa
pula yang nak marah? I masih solo tau, belum terfikir pun untuk bercinta dalam
usia yang masih muda macam ni. I lebih suka berkawan dulu. Tak sangka, kita
boleh kenal malam ini, ya. Kalau you tak tersalah dail nombor I tadi, mungkin
kita tak kenal, kan.”
Terasa
meluat pula telingaku mendengar pengakuan palsu Syed Aidil itu. Orang lelaki,
semuanya sama sahaja. Sudah ada kekasih hati, masih lagi hendak menipu.
Kononnya masih solo saat ini. Habis itu, perempuan gedik yang sering
menemaninya saban hari itu, siapa pula? Takkan sekadar kawan biasa aje. Tingkah
mereka berdua pun kelihatan mesra sahaja macam pasangan kekasih. Ini tidak boleh
jadi. Aku kena siasat sampai ke akar umbi.
“Baguslah kalau you masih single. I pun sama juga. I harap,
perkenalan kita ini akan berlanjutan sampai bila-bila. Esok pagi, you tak pergi
kolej ke? Hari esok kan dah mula sesi pembelajaran,” ucapku, tanpa berfikir dua
kali. Entah macam mana, aku boleh tersasul kerana terlampau
gembira dapat berkenalan dengan Syed Aidil.
“Kolej? Eh, macam mana you tahu I
belajar kat kolej ni? You pun study
kat kolej masakan juga ke?”
Alamak!
Aku dah tersalah cakap. Ish, kenapalah mulut aku ni boleh tersasul pula. Tentu
dia hairan apabila aku mengetahui dirinya belajar di kolej. Ya Allah, apa yang
aku sudah buat? Matilah aku kali ini.
“Opss...sori. I tersalah cakap tadi.
I agak-agak aje, manalah tahu kalau you belajar di kolej. I pun belajar kat
kolej. I ambil bidang perubatan. You?”
Aku
memberikan alasan paling logik kepada Syed Aidil. Akalku cepat sahaja mencari
helah supaya kesilapan aku sebentar tadi tidak disalahertikan.
“Oh, I ingat, you pun belajar satu
kolej dengan I. I ambil bidang masakan. Baru sahaja mendaftar kira-kira
seminggu yang lepas. Seronok juga dapat belajar kat situ. Ramai kawan I jumpa.
Cuma, yang tak best tu, I jumpa musuh
ketat I. Tak sangka pula, badak air macam dia tu belajar satu kolej dengan I.”
Penjelasan Syed Aidil itu membuatkan
aku tertanya-tanya sendiri Aku cuba memahami ucapannya sebentar tadi. Siapakah
gerangan badak air yang dia ingin maksudkan? Sudah tentulah badak air yang dia
maksudkan itu adalah aku. Siapa lagi yang memiliki gelaran sebegitu kalau bukan
aku. Darahku terasa mendidih saat ini. Aku baru sahaja hendak menenangkan hati.
Boleh pula dia menambahkan beban di fikiran yang sudah berserabut sejak semalam
lagi.
“Siapa badak air yang you maksudkan
tu?” tanyaku cuba mengorek rahsia. Padahal, aku sudah mengetahui jawapannya
itu.
“Entahlah. I sendiri pun tak tahu
namanya. Kalau boleh, I tak ingin tahu nama dia. Tengok muka dia pun dah rasa
meluat sangat. I gelilah nak dekat dengan dia. You tahu tak, dia tu suka sangat
perasan bagus. Kalau cantik tu, tak apalah. Nak juga I berkenalan dengan dia.
Ini tak, badan dahlah besar macam tong deram, pastu muka banyak jerawat. Loya
tekak I ni apabila teringatkan dia. Nasib baik you ada. Tenang sikit hati ini.”
Terasa berbahang dunia ini aku rasakan.
Geram betul dengan sikap sombongnya kepada aku. Kalaulah dia tahu aku ni gadis
yang dia benci, mesti dia akan jauhkan diri. Paling tidak pun, dia pasti akan
mengutuk aku habis-habisan. Aku hanya mendengar sahaja ucapannya itu tanpa
mengulas apa-apa. Mood aku tiba-tiba
sahaja mati dalam sekelip mata.
“You tak payah pening kepala
fikirkan dia. Kalau you sendiri tak suka, buat apa nak susahkan diri you. I kan
ada kat sini. You tak perlu risau okey.”
Aku cuba menenangkan Syed Aidil.
Biarlah lelaki sombong itu melupakan dulu perihal gadis bernama Yasmin.
Sekarang ini, tugas aku adalah untuk memancing minatnya supaya jatuh hati
kepada Mawar.
“Betul juga kata you. I tak akan
ingat lagi pasal budak gemuk tu. Biarlah dia dengan kehidupan dia sendiri. I malas
nak masuk campur. Buat masa sekarang, I nak fokuskan pada perhubungan kita
dulu. I suka berkawan dengan you walaupun ini kali pertama kita berkenalan. I
harap, perhubungan kita ini akan berkekalan sampai bila-bila.”
“I harap pun begitu juga. Ada masa nanti,
I callyou lagi okey. Hari pun dah
lewat malam ni. Esok pagi, I nak pergi kuliah. Good night. Bye!”
“Okey. Thanks sebab call I. Take
care, sayang. Bye!” ucap Syed
Aidil sebelum mematikan talian.
Lontaran
suaranya yang lembut itu membuatkan aku terpana seketika. Alangkah indahnya
dunia ini apabila Syed Aidil memanggil diri aku sayang. Terlupa sebentar rasa
marah aku kepada dirinya. Tetapi, benarkah dia ikhlas berkawan dengan aku? Ah,
apa yang aku merepek ni. Aku tidak boleh tewas dengan permainan cintanya.
Tujuan sebenar aku mengenalinya adalah untuk mengenakan dirinya cukup-cukup.
____________
Setahun
kemudian...
CEPAT
benar masa berlalu. Sedar tidak sedar, sudah hampir setahun aku belajar di YPJ.
Tahun ini aku berada di semester ketiga. Banyak juga kenangan manis sepanjang
menuntut di kolej masakan ini. Pada semester yang lepas, aku terpaksa menjalani
praktikal di sebuah hotel di Seremban. Hampir enam bulan aku berada di sana.
Kini, aku kembali semula ke Johor Bahru untuk meneruskan pengajian di semester
yang baru.
Tidak sabar rasanya untuk bertemu
Syima. Entah bagaimanalah rupa dia sekarang. Tentu makin cantik. Syima
menjalani praktikal di Pulang Pinang bersama Fuad. Alangkah beruntungnya
merpati dua sejoli itu. Dalam diam-diam, mereka menjalinkan hubungan cinta
sepanjang berada di sana. Berita itu dikhabarkan oleh Syima kira-kira dua bulan
yang lalu. Aku hanya menumpang gembira atas perhubungan mereka berdua.
Moga-moga, berkekalan sampai ke jinjang pelamin.
Aku saja yang masih solo macam dulu.
Siapalah yang sudi berkongsi kasih dengan gadis gemuk macam aku ini. Dahlah
muka banyak jerawat. Lepas tu badan macam tong air. Tetapi, itu semua kisah
dulu. Jangan nak disamakan dengan sekarang.
Saat
ini segalanya sudah berubah. Aku sendiri seakan tidak percaya melihat bentuk
tubuhku sejak menjejakkan kaki di tempat orang ini. Mungkin kerana terpaksa
mengikat perut saban hari, membuatkan tubuh aku menjadi langsing seperti
sekarang.
“Biar betul ni, aku tak salah orang
ke?” Syima seakan tidak percaya apabila melihat keadaan fizikal aku ketika kami
bertemu kira-kira seminggu yang lalu.
Aku hanya tersenyum memandangnya.
Wajarlah Syima tidak kenal aku sebab berat badan aku sekarang sudah 50
kilogram. Terlalu berbeza jika nak dibandingkan dengan tubuh aku yang dulu.
Kalau dulu, aku terlalu gemuk sehingga mencecah 90 kilogram.
“Ish kau ni. Sampai aku pun kau dah
tak kenal. Ini akulah, Yasmin.” Syima seakan terpaku melihat tubuh aku. Lama
dia begitu sehinggalah dia kembali ke alam realiti.
“Wah, Min! Langsingnya badan kau.
Aku ingat model mana tadi. Cantik sangat.” Tidak puas-puas Syima memuji aku.
Dia terkebil-kebil memandang wajah aku seakan tidak percaya. Banyak perkara
yang kami bualkan, meleret-leret sampai ke hal peribadi masing-masing.
“Alah, Syima. Apa yang kau nak
hairankan. Aku jadi macam ni pun sebab seseorang. Lagipun, kat sana aku banyak
ikat perut. Kau tahu ajelah macam mana kehidupan di sana. Kalau tak pandai
jimat-cermat, alamatnya matilah aku.”
Memang
benar, duit adalah segala-galanya ketika berada di Seremban dulu. Setiap sen
yang aku belanjakan, aku hitung sebaik-baiknya. Biarpun terpaksa ikat perut,
aku sanggup.
“Aku tabik springlah tengok kau
macam ni. Tak sangka sangat. Tentu ‘dia’ gembira, kan. Makan hatilah dia tengok
kau nanti.” Aku faham maksud Syima itu. Sudah pasti ‘dia’ yang dimaksudkannya
tadi merujuk kepada Syed Aidil.
“Sudahlah, Syima. Aku malas nak
ingat pasal dia lagi. Bagi aku, Syed Aidil tak pernah wujud dalam hidup aku.
Buang masa saja aku layan mamat berlagak hensem tu.”
“Eh, kenapa dengan kau ni. Tiba-tiba
aje nak emosional. Bukannya Syed Aidil ke lelaki yang kau puja-puja dulu.
Sekarang ni dah berubah hati ke?” Syima masih lagi tidak faham-faham. Sengaja
dia ingin menekan aku dalam rahsia perhubungan kami berdua.
“Entahlah, Syima. Hati aku ni dah
lama mati sejak dia berani hina aku depan kawan-kawan kita dulu. Aku ni macam
tak ada maruah dia buat. Aku tak akan maafkan dia, Syima. Kalau dia berlutut
kat depan kaki aku sekalipun, jangan harap aku nak terima cinta dia.”
Aku sudah bertekad. Walau apa jua
yang berlaku selepas ini, aku tak akan tunduk kepada Syed Aidil. Sesungguhnya
cinta pertama aku hanya untuk sekali sahaja. Kalau orang yang aku cintai
sanggup merendahkan maruah diri aku, biarlah aku buang cinta itu jauh-jauh dari
hidup aku. Apalah gunanya mencintai, jika kita saja yang beria-ia. Sedangkan
dia, sebelah mata pun tak nak pandang. Mentang-mentanglah aku ini gemuk macam
badak air.
____________
ESOK
pagi aku bersiap-siap untuk menghadiri kuliah bagi semester ketiga. Berdebar
juga rasa hati menjejakkan kaki ke bumi bertuah itu sekali lagi. Hampir enam
bulan aku meninggalkan ruang ilmu itu. Kali ini, aku kembali dengan imej baru.
Aku pasti, mereka tidak akan mengenali wajah aku sekarang. Terlalu berbeza dan
ketara jika hendak dibandingkan dengan Yasmin yang dulu. Seawal jam lapan pagi,
aku sudah terpacak rapi di kolej masakan itu. Mujurlah Syima sudah datang. Aku
segera menghampirinya.
“Awal kau sampai pagi ni? ” soal
Syima sebaik melihat kehadiran aku di sisinya.
“Eh, mestilah awal. Pagi ni kan hari
pertama di semester baru. Lagipun aku dah tak sabar nak study macam dulu. Mesti seronok, kan.”
“Hai, lain macam saja bunyi.
Entah-entah, teruja nak tengok buah hati tak?” Syima tersengih-sengih memandang
wajahku.
“Buah hati siapa? Kau ni kalau
bercakap biarlah berlapik sikit. Nanti ada orang dengar masaklah aku jawabnya.
Oh ya, aku hampir terlupa tadi. Sepatutnya kita berdua tak boleh rapat
macam ni. Tak pasal-pasal nanti rahsia aku pecah.”
Aku menepuk dahi beberapa kali. Baru
aku teringat tujuan sebenar aku pagi ini. Aku mempunyai rancangan tersendiri
untuk mengaburi mata rakan-rakan sekuliah. Aku tidak mahu mereka tahu siapa aku
sebenarnya. Hanya Syima seorang sahaja yang mengetahui identiti diri aku. Fuad
pun tidak tahu akan hal ini. Rahsia ini aku harus simpan baik-baik. Sampai
masanya nanti, mereka akan tahu juga siapa aku.
“Okeylah, Min. Nasib baik kau
ingatkan aku. Kalau tak, penat-penat aje usaha kau selama ini, kan. Lebih baik
kita berpecah sekarang. Nanti dah ramai orang susah pula. Aku pergi dulu tau.”
Syima
meminta izin sebelum pergi meninggalkanku. Aku tersenyum melihat gaya dia
berjalan. Kelakar sangat. Mujurlah Syima sudi bekerjasama dengan aku. Hanya dia
sahabat yang memahami perasaan aku selama ini. Terima kasih Syima.
______________
AKU
sedang tekun mendengar kuliah dari Encik Khairuddin. Walau ada banyak mata yang
memandang, aku buat-buat tidak tahu sahaja. Kenapalah mereka asyik perhatikan
wajah ini. Kalau dulu, tidak ada siapa pun yang sudi pandang.
Mentang-mentanglah badan aku dah ramping macam model. Berlainan
benar penerimaan mereka terhadap aku kali ini. Hampir seminggu memulakan
semester baru di sini, ramai juga yang ingin berkenalan dan bertukar-tukar
nombor telefon.
“Saya tak pernah nampak pun awak kat
kolej ni. Dulu, kelas yang mana satu?” tanya Iqbal, pelajar lelaki yang selalu
menjadi rebutan gadis di kolej ini. Aku malas melayan kerenahnya itu. Masakan
dia lupa pada Yasmin, budak gemuk yang sering diejeknya dulu.
“Entahlah, saudara. Saya pun dah
lupa kelas saya yang mana satu. Yang saya tahu, kehadiran saya di kolej ini
dulu tak ada siapa pun sudi pandang. Pelikkan sikap manusia ni. Cepat sangat
boleh berubah,” sindirku tepat ke mukanya.
Iqbal seakan pelik mendengar
sindiranku itu. Dia terus berlalu pergi apabila melihat penerimaan aku agak
hambar padanya. Sesuai sangat dengan muka kau, Iqbal. Dasar mata keranjang.
Pantang nampak perempuan dahi licin sikit, cepat saja nak masuk jarum.
Aku
memang sengaja jual mahal. Kalau boleh, biar mereka makan hati berulam jantung
nanti. Bukan niat aku untuk membalas dendam atas perbuatan mereka dulu, tetapi
aku ingin mereka sedar bahawa jangan sesekali memandang rendah dengan orang gemuk
macam aku ni.
Itulah lumrah manusia zaman sekarang.
Apabila sudah cantik di mata, baru terhegeh-hegeh nak dekat. Aku cepat sedar
diri. Walaupun aku sudah kurus dan cantik, aku tidak pernah lupa asal usulku pada
suatu waktu dahulu. Di mana aku berpijak, di situlah langit dijunjung.
_________________
KULIAH
pagi itu berakhir pada jam 11 pagi. Mujurlah petang ini tidak ada kuliah. Dapat juga
aku shoppingsekejap di Kipmart. Ada
barang yang aku nak beli. Aku buru-buru ke perhentian bas kerana takut terlewat
nanti. Biasalah waktu-waktu begini, ramai sangat orang di situ. Sedang leka
menunggu bas, tiba-tiba sebuah kereta Honda Jazz berhenti di hadapan aku. Aku
kaget seketika apabila mendapati kereta mewah itu milik Syed Aidil, musuh
ketatku. Kelihatan dia sedang tersenyum ke arahku.
“Nak balik ke, saudari? Boleh saya
tumpangkan.” Sopan sahaja tutur kata Syed Aidil kepadaku. Biasanya, jangan
harap dia nak berlembut begitu.
Aku hanya mengangguk. Tiba-tiba
sahaja lidah aku menjadi kelu. Ish, kenapa dengan aku ini. Nampak sahaja muka
Syed Aidil, aku menjadi tidak keruan seperti ini. Aku memarahi diri aku kerana
tewas dengan godaannya. Apa yang aku nak cakap ni?
“Eh, tak apalah, saudara. Saya ada
hal sikit kejap lagi. Nak pergi Kipmart beli barang. Terima kasih sahaja.”
Akhirnya aku dapat juga menyatakan alasan paling bernas kepadanya. Moga-moga
dia segera berlalu dari sini.
“Em, baguslah kalau macam tu. Saya
pun memang nak pergi Kipmart ni. Saya nak belikan mama saya baju sempena hari
lahir dia pada hujung minggu ni. Boleh juga awak tolong saya pilihkan baju yang
sesuai untuk dia.” Penjelasan Syed Aidil itu agak mengejutkanku. Mati akal aku untuk
menolak hasratnya.
Macam-macam sahaja alasannya untuk
keluar dengan aku. Bukan aku tak tahu taktik buaya darat dia tu. Pandai benar
nak pikat hati perempuan. Aku ingatkan perangai dia dah berubah. Rupa-rupanya
bertambah gatal.
Aku cuba mencari dalih supaya dia
cepat berlalu dari situ. Lelaki miang macam Syed Aidil ini perlu diajar
cukup-cukup. Aku bertekad untuk mengenakannya hari ini. Biar dia serik dan malu
sendiri.
“Boleh juga. Tapi, saya belum makan
lagi ni. Lapar sangat. Awak boleh belanja saya tak?” soalku manja sebelum
menghampiri keretanya.
“Mestilah
boleh, sayang. Awak cakap saja nak beli apa. Saya pasti akan tunaikan
permintaan awak. Cepatlah masuk!”
Syed
Aidil begitu teruja kerana aku sudi menerima pelawaannya. Dia cepat-cepat keluar
dari kereta lalu membukakan pintu untuk aku. Pandai sungguh dia mengambil hati
aku, ya. Sikit lagi kau tengoklah macam mana aku buat dekat kau. Tunggu, Syed
Aidil.
________________
“NAMA awak siapa, ya? Dah lama sebenarnya saya
nak tahu. Mujurlah kita jumpa hari ini.” Syed Aidil pantas bertanya sejurus
kami tiba di Kipmart.
“Nama saya, Mawar,” jawabku
perlahan, antara dengar dengan tidak.
“Oh, Mawar. Sedap nama awak. Macam
nama kawan sayalah.” Syed Aidil seperti mengingati sesuatu. Barangkali sebelum
ini dia pernah mengenali seseorang yang mempunyai nama serupa seperti itu.
“Mawar Putih ke?” Aku bertanya lagi.
Sengaja ingin menduga ingatannya. Sudah pasti dia ingat nama samaran aku itu.
“Eh, betullah. Macam mana awak boleh
tahu? Saya pernah berkawan dengan Mawar dulu. Tapi sayang sangat sebab...”
“Sebab dia tak cantik ke?” Aku
segera memotong bicara Syed Aidil. Riak wajahnya berubah secara tiba-tiba.
Syed
Aidil hanya mengangguk. “Orangnya tak secantik namanya. Kalau orangnya macam
awak ni, tentu dah lama saya tackle.”
Em, dah mulalah miang dia tu datang.
Nak berkawan dengan orang cantik sahaja. Yang hodoh, gemuk, muka banyak jerawat
macam aku waktu dulu...tak nak pula. Untuk pengetahuan kau, Syed Aidil,
perempuan yang kau kutuk tu sebenarnya aku tahu tak. Ish, geram betul dengan
mamat sewel ni.
“Dahlah cepat. Saya nak beli barang
ni. Tak boleh lama-lama sangat. Nanti risau pula boyfriend saya.” Aku terus berlalu pergi meninggalkan Syed Aidil seorang
diri di situ. Dia pantas mengekori aku dari belakang.
“Awak, tunggulah saya dulu!”
Teriaknya dari belakang.
Aku cepat-cepat melangkah masuk ke
ruang dalam tanpa mengendahkan panggilannya. Sengaja aku biarkan dia mentafsir
sendiri maksud aku sebentar tadi. Memang aku belum berpunya saat ini, tapi itu
bukan bermakna ada ruang untuknya mencurah kasih. Cinta aku padanya sudah lama
padam saat dia menghamburkan kata-kata kesat pada diri ini. Maruah diri aku
seperti diinjak-injak sesuka hati. Tanpa rasa bersalah, dia sanggup merendahkan
maruah diri aku di hadapan kawan-kawan sekuliah.
Peristiwa silam itu kembali terlayar
di fikiran. Aku masih ingat lagi bagaimana marahnya dia waktu itu apabila
mengetahui aku yang selama ini menyamar sebagai Mawar. Kalau tidak kerana
kecuaian aku, sudah pasti sampai sekarang dia tidak tahu siapa aku. Pada hari
itu, entah bagaimana aku boleh terlupa untuk silenttelefon bimbitku. Sebelum kuliah bermula, tiba-tiba handphoneku berbunyi. Aku pantas menjawab
tanpa melihat nombor yang tertera di atas skrin.
“Assalammualaikum, siapa ni?” soalku
perlahan.
“Waalaikummussalam. Ini sayalah,
Syed Aidil. Awak kat kolej ke sekarang?” Seakan gugur jantungku sebaik
mendengar suara Syed Aidil yang menjawab salamku.
“Ada apa awak callsaya pagi-pagi macam ni. Saya ada kuliah ni kejap lagi. Lain
kalilah awak call. Maaf
sangat-sangat.”
Aku terus memutuskan talian kerana
bimbang Syed Aidil mengesyaki rahsia aku. Buatnya dia sampai sekarang ini,
mampus aku. Tak pasal-pasal, rahsia aku pecah. Mana aku nak letak muka ini.
Tidak berapa lama selepas itu, tiba
aku terdengar ada satu tepukan kuat dari belakang. Aku pantas menoleh ke arah
datangnya suara itu. Ya Allah, Syed Aidil.
“Bagus, Yasmin. Pandai ya kau
menyamar sekarang. Kau ingat aku tak tahu siapa Mawar tu. Rupa-rupanya, kau”
“Kenapa ni, Aidil? Siapa yang
menyamar?” Aku berpura-pura tidak tahu. Adakah dia sudah tahu penyamaran aku
selama ini? Tidak mungkin dia tahu siapa Mawar.
“Oh, sudah gaharu cendana pula. Dah
tahu, pandai pula kau nak tanya, ya,” tempik Syed Aidil kuat. Aku tersentak
mendengar suaranya. Rakan-rakan yang lain turut terperanjat. Masing-masing
sibuk memasang telinga.
“Aku nak ingatkan kau sikit, Min!
Kau jangan mimpilah nak rebut cinta aku. Kau ingat aku boleh tergoda ke dengan
perempuan gemuk macam kau ni, hah. Cubalah kau tengok cermin baik-baik, antara
kau dengan aku bagai langit dengan bumi. Jauh sangat berbeza tahu, tak. Aku tak
sangkakan, kau sanggup menyamar sebagai orang lain semata-mata nak berkenalan
dengan aku. Dasar perempuan tak ada maruah diri. Kalau aku tak call kau tadi, agaknya sampai mati pun
aku kena tipu dengan perempuan bangsat macam kau.”
Marah benar Syed Aidil kepadaku saat
itu. Dia seperti orang hilang akal sebaik mengetahui cerita sebenar tentang rahsia
ini. Kesabarannya benar-benar teruji. Aku hanya menadah telinga mendengar
caciannya.
Akhirnya,
aku pulang ke rumah kerana tidak sanggup berhadapan dengan rakan-rakan
sekuliah. Aku malu. Maruah aku diinjak-injak oleh lelaki yang aku sayangi.
Sejak peristiwa itu,
aku terus membuang Syed Aidil dari hidup aku.
_____________
“SIAPA boyfriend,
awak tu? Cakaplah dengan saya. Mesti budak kolej kita juga, kan.”
Suara
Syed Aidil mengusir jauh khayalanku. Aku terleka sebentar apabila mengingati
memori silam yang masih berbekas di hati. Walaupun lukanya sudah lama sembuh,
namun parutnya tetap kelihatan hingga kini.
“Itu hal peribadi saya, Aidil. Saya
rasa, awak tak perlu tahu. Saya harap awak hormati pendirian saya. Antara kita
bagai langit dengan bumi. Awak enggang, sedangkan saya pipit. Mana boleh
terbang sama-sama.”
“Apa maksud awak ni? Saya tak
faham.” Syed Aidil mengerutkan kening tanda tidak mengerti maksud ucapanku
tadi.
“Saya rasa, awak dah tahu pasal
saya. Tapi, awak buat-buat tak tahu. Mustahil awak tak kenal siapa diri saya.
Biarpun sudah hampir setahun peristiwa tu berlalu, saya tak akan pernah lupa,
Aidil. Fizikal saya saja yang berubah, tetapi hati ini masih sama macam dulu.”
Aku meluahkan apa yang terbuku di
kalbu selama ini. Syed Aidil wajar tahu cerita yang sebenar. Aku tidak kuat
untuk menanggungnya seorang diri.
“Awak kena beritahu saya. Awak ni
siapa sebenarnya?” Syed Aidil mendesakku. Mindanya seakan buntu membaca apa
yang tersirat di hatiku. Dia benar-benar dicengkam rasa bersalah.
“Awak masih ingat Yasmin?”
Pertanyaan aku itu nampaknya mengundang rasa hairan padanya. Dia mengangguk
tanda mengenali insan yang aku sebutkan itu.
“Siapa dia? Kawan awak ke?”
Syed
Aidil telah menyimpulkan hubungan aku dan Yasmin sebagai kawan baik. Susah
benar dia mengecam wajah yang berada di hadapannya sekarang. Wajah inilah yang
sentiasa hadir dalam hidup kau suatu masa dahulu. Sudah lupakah kau?
“Untuk pengetahuan awak, Yasmin dan
saya adalah orang yang sama.”
Secara
sedar aku melafazkan perkataan keramat itu dengan debaran yang tidak
berpenghujung. Aku ingin dia tahu, akulah Yasmin. Perempuan yang selalu dihina
dan dikutuk kerana berpenampilan buruk. Aku mahu dia buka mata luas-luas saat
ini. Akulah gadis itu.
“Apa?” Terlopong mulut Syed Aidil
seketika. Dia meraup muka beberapa kali, seolah-olah tidak percaya.
“Terpulanglah, Aidil. Saya dah
beritahu perkara sebenar. Saya memang Yasmin, gadis yang awak sering hina suatu
waktu dahulu. Saya nak awak tahu, cinta saya pada awak dulu benar-benar jujur.
Saya menyayangi awak kerana cinta, bukan kemewahan harta benda. Tetapi saya tak
sangka, awak sanggup mencemarkan cinta suci saya hanya kerana saya gemuk dan
banyak jerawat. Sekarang ni, saya bukan lagi Yasmin yang dulu. Dan awak, bukan
lagi insan yang bertakhta di hati ini. Selamat tinggal!”
Aku meninggalkan Syed Aidil
terpinga-pinga sendiri. Dia masih dibelenggu dengan rasa terkejut atas apa yang
aku luahkan itu. Biarlah dia mentafsir sendiri bagaimana kuatnya cinta aku
padanya suatu ketika dahulu. Aku benar-benar lega kerana dapat menyindirnya
secara halus. Walaupun hati ini bengkak dengan perangainya dulu, tetapi aku
tidak sampai hati untuk menghukumnya secara kejam. Sebagai seorang lelaki, aku
rasa dia faham perasaan aku.
________________
“MIN,
maafkan saya atas perbuatan saya kat awak dulu. Saya benar-benar menyesal. Please forgive me, sayang. Saya janji
saya tak akan buat lagi selepas ini. Saya merayu sangat kat awak.”
Bersungguh-sungguh Syed Aidil memohon kemaafan kepadaku beberapa hari selepas
kejadian di Kipmart itu.
“Tak perlulah awak nak merayu-rayu
macam ni, Aidil. Semuanya dah terlambat. Kalau dulu awak sedar silap awak,
tentu saya boleh pertimbangkan lagi. Saya dah beri banyak ruang untuk awak
sedar atas apa yang awak dah buat kat saya. Awak ingat saya boleh lupakan
perkara dulu macam itu saja. Awak silap, Aidil.”
“Saya janji, sayang. Saya akan tebus
kesilapan masa lalu saya. Selagi saya tak dapat kemaafan dari awak, selagi itu
hati saya tak tenang. Jangan buat saya tertekan macam ni.”
Biar beribu alasan yang kau beri,
aku tak akan kalah kali ini. Anggap saja kita tak pernah kenal sebelum ini. Aku
sudah tekad dengan keputusanku. Bagaimana sakitnya hati aku saat kau hina aku dulu,
macam itu juga aku hendak Syed Aidil rasa sekarang.
“Itu masalah awak, Aidil. Tak ada
kena mengena pun dengan saya. Saya harap lepas ni awak tak ganggu saya lagi.
Niat saya ke sini bukan untuk bercinta dan bersuka-suka. Saya ada matlamat
hidup saya sendiri untuk masa hadapan. Awak layanlah kekasih awak tu puas-puas.
Jangan ingat saya tak tahu siapa Sharifah Hanim di mata awak. Biarpun kita
terpisah jauh selama enam bulan di tempat orang, saya tetap ambil tahu
perkembangan awak sampai ke saat ini.”
Penjelasan aku itu nampaknya
berbekas juga di hati Syed Aidil. Dia seakan malu dengan dirinya sendiri. Aku
terus meninggalkannya tanpa banyak bicara. Apabila keadaan sudah menjerut diri,
barulah dia sedar akan kesilapan masa lalu.
Aku
tidak pernah menyesal dengan keputusan ini. Hati aku sudah tawar untuk menerima
cintanya. Sayang, cintanya hadir saat aku terluka. Dan luka itu masih berdarah
sampai sekarang. Aku masih lagi menanti cinta dari insan yang benar-benar
ikhlas menyayangi diri ini. Aku yakin, masanya akan tiba juga nanti.