Home Cerpen Cinta Benci tapi Suka, Lafazkan sebelum terlewat.
Benci tapi Suka, Lafazkan sebelum terlewat.
Norhashimah Awang
21/10/2013 14:37:33
7,084
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aku menyampah melihatnya. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Lebih-lebih lagi kalau menyendeng dekat perempuan. Tersengih-sengih, kemudian berbisik-bisik dan kedua-duanya ketawa dengan mendayu-dayu. Ketawa gatal. Nampak muka pun memang jantan gatal plus miang plus perasan hensem plus ulat beluncas plus mangkuk ayun. Kenapalah dia selalu menyemak di hadapanku. Kenapa tidak tempat lain. Meja yang berhadapan dengan meja aku juga yang menjadi portnya.


Aku cuba memberi tumpuan pada kerja yang sedang aku lakukan ketika ini. Ini lagi satu cashflow ni dari tadi lagi tak balance - balance. Telah lima kali aku semak tetapi tetap juga baki tunainya pada akhir tahun tak gak sama dengan balance sheet. Bukan banyak mana pun lima puluh ringgit je. Kat manalah yang shock nya. Ni yang leceh ni, kalau buat audit penyata kewangan, cashflowlah yang paling-paling lama mengambil masa. tak pernahnya sekali buat terus balance. Benci plus menyampah. Nombor-nombor pula seakan-akan menari-nari di atas kertas, mengejek sebab telah hampir 2 jam aku cuba menyelesaikan, namun tetap juga tak tally-tally.

Ok..stop...i need the fresh air. Baik aku pergi pantri buat air. pastu pergi ambil angin kat luar jam. Waktu petang-petang macam ni memang otak menjadi tepu. Kerja remeh pun menjadi kerja berat-seberatnya. Rasa macam pikul seguni kertas pula di atas bahu. tanpa mempedulikan sesiapa, aku terus keluar turun ke bawah. Bukannya dapat udara segar tetapi kebisingan, Biasalah apabila pejabat terletak di tingkat atas sebuah kompleks membeli belah yang terkenal di negeri pantai timur ni, Inilah jamuan mataku yang letih dengan angka-angka dan nombor-nombor ni. Sengaja aku memilih kata-kata yang berulang kali untuk menggambarkan sememang-memangnya aku telah letih dengan nombor-nombor ini plus letih melihat gelagat miangnya.

Lama mataku menjamu selera dengan pelbagai gelagat manusia di kompleks membeli belah ini. Hairan juga ya, di sini tidak pernah sunyi. Sentiasa ada pengunjung dan pembelinya. ternyata rakyat Malaysia ini kaya-kaya semuanya. Aku tersenyum sendirian, kalau akulah banyak window shopping dari shoppingnya. Itu pun membeli dalam bajet tertentu. Jika tiada bajet, tak adalah aku buang duit begitu je. Mata terus merayap ke segenap sudut yang boleh dijangkau sehinggalah aku terpandang dia yang sedang bersandar di sisi sambil memerhati tingkahku. Entah bila mamat miang ini berada di sini. Mata tu langsung tak control, aku cungkilkan baru tau...bebelku di dalam hati.

Dia tersenyum sinis. Sengaja mahu menyakiti hatiku. Aku menjeling tanpa ingin menegur seperti selalu, aku seolah-olah di dalam duniaku sendiri tanpa ada sesiapa.

“Dah puas jamu mata? Buat cashflowtak pernah nak tally... Aku mahu review filetu hari ini. Esok aku outstation. Buat cepat” Suaranya tegas dan terus berlalu melintasiku.

Aku mendengus, tidak suka dengan arahannya. Tidak suka mendengar suaranya. Dengan aku dia tidak pernah bercakap lemah lembut. Tidak pernah tidak terukir senyuman sinisnya. Kenapa dengan aku je? Kenapa dengan orang lain dia boleh bermesra-mesraan. Dengan aku senyumannya kaku, kata-katanya tegas, tiada ramah tamah lagi.


Ah biarkanlah. Bukan heran pun dengan tingkah laku playboynya. Lagi pun aku bukan tergolong dalam golongan orang yang cantik-cantik, open minded, open air macam tu. Aku ni gadis kelas kampung yang tak banyak cakap, cakap pun tentang hal-hal yang berkaitan kerja. Tumpuan aku hanya untuk kerja, maklumlah menjadi junior di sebuah firma perakaunan terkemuka di sini, amat mencabar. Melakukan kerja-kerja pengauditan ini hampir mengambil semua masaku. Masa untu menyiapkan kerja-kerja pengauditan dari awal hingga akhir biasanya diberi tempoh tiga minggu. Dua minggu kerja-kerja di lapangan atau di tempat client dan seminggu untuk membuat working paper. Ketika menyediakan working paper inilah banyak menuntut kesabaran sebab dilakukan di pejabat yang mana kadang kala maklumat yang diperolehi ketika membuat kerja-kerja di lapangan tidak cukup lengkap. Kenalah berurusan lagi dengan client yang kadang kala cerewet.

Dan tentunya yang paling cerewet dan kerenah yang amat menguji kesabaranku adalah kerenah dia apabila review failku, hasil kerjaku. Ada-ada je yang tak kena, ada-ada je dia nampak kesalahanku padahal itu cuma benda remeh temeh. Kemudian mulalah dia membebel tanpa henti. Tetapi dengan aku je, dengan junior yang lain lembut je cakapnya. Mungkinkah sebab dia boleh rasa aku membencinya? Ataupun mungkinkah dia juga seperti aku ada perasaan benci di dalam hatinya?

Aku kembali ke mejaku untuk menyudahkan kerja-kerja yang terbengkalai tadi. Namun sakit mata ini melihat drama di depan mata, si gadis yang bersuara mengada-ngada sama naik dengan senior yang sememangnya suka mengambil kesempatan. Entah apa yang mereka bincangkan, sekejap-sekejap ketawa-ketawa. Benci.. nak tumpukan perhatian pada cashflow yang tak balance ini pun tak boleh. Kacau betul. Lalu aku mengangkat segala peralatan kerjaku dan masuk ke dalam bilik meeting. Barulah boleh menumpukan sepenuh perhatian pada kerjaku yang terbengkalai. Aku sepenuh perhatian mengerahkan tenaga mindaku walaupun hati, fokusnya ke tempat lain.

................

“Betullah mereka bercinta” Kak Aina berbisik-bisik di dalam pantri. Aku turut sama memasang telinga.

“Siapa?” tanya Nida pula. Aku pula tetap memasang telinga.

“Siapa lagi, Azhar dengan Monalah. Semalam akak ambil angin kat TC dengan keluarga akak, tak sangka pula boleh terjumpa diorang berdating ni”

Aduh.. kata-kata itu bagaikan belati yang menikam hatiku jauh ke dasarnya. Pedih dan nyilu kurasakan. Tidak dapat kugambarkan perasaan itu. Kenapa harus ada rasa pedih ini sedangkan hatiku amat membenci dirinya. Lantak dialah nak bercintan-cintun dengan sesiapa pun. Lantak dialah nak berdating dengan sesiapa pun. Buat apa aku nak peduli. Bukankah dari dulu aku menyampah melihat wajahnya yang kerek dan perasan hensem itu. Bukankah sejak mula-mula aku menjejakkan kaki ke sini aku telah mula tidak senang dengan dirinya.

Tapi kenapa hati ini pilu. Kenapa hati ini terasa sedih?

“Mereka serius ke kak?” soal Nida lagi. aku terus memasang telinga.

“nampak gayanya macam seriuslah. Muka Mona tu asyik senyum je. Si Azhar tu biasalah.. murah senyuman. Mona paut tangan dia... lagilah tersengih lebar. Suka lah tu. Rasanya si Azhar pun suka dia juga”

“Ye ke kak? Tapi kan biasalah si Azhar ni mesra alam. Semua orang sukakan dia. Apatah lagi terperasan dia pun suka kat orang tu juga” kata Nida lagi.

“itu akak tahu.. tapi yang ini nampak macam serius je. Rasanya si Azhar pun terfeeling samalaa kot” balas Kak Aina pula.

Single sama single.. biarlah... untung kita juga. Manalah tahu tak lama lagi kita dapat merasa nasi minyak pula”

“a’aah betul tu.. dah lama dah tak makan nasi minyak ni” sambung Nida tersengih-sengih. Aku pun turut menayangkan sengihan plastikku.

Aku melakukan kerja seperti biasa. Dan layanannya tetap tidak berubah tetapi aku pula semakin dingin. Aku menyampah dan aku benci melihat kemesraan mereka berdua. Di pejabat mereka selalu membuat kerja bersama-sama, outstation bersama-sama. Padahal.. Mona telah boleh melakukan kerjanya sendirian tanpa dikawal selia oleh senior. Minah itu mengada-ngada pada fikiranku. Sengaja mengambil kesempatan di atas perhubungan istimewa mereka. Aku menyampah. Tidak sabar lagi untuk keluar dari sini.

Offer letter telah ku terima semalam. Hari ini aku telah menghantar surat perletakan jawatan. Walaupun bos ada memujukku untuk terus bekerja di sin dengan kenaikan gaji 10 peratus, aku tetap menolak. Buat apa kalau hati tidak senang, kerja yang susah akan jadi payah apabila aku tidak dapat memberikan 100 peratus komitmen. Jadi ada baiknya aku beralih angin ke tempat lain. Semoga di tempat baru, hati dan perasaanku akan tenteram. Akan aman sejahtera.

Aku baru menyedari dan memahami tentang hatiku sendiri. Benci bukan tak suka. Tapi Benci sebab dalam hati dah suka. Dan suka tak semestinya cinta tetapi mungkin kasih sahaja. Aku benci tapi aku suka dia. Sukaku bukan cinta tetapi sayang. Dan sayang bukan maksudnya akan jatuh cinta. Mungkin sayang sebab aku suka melihatnya, bauannya dan juga suka dengan keramahannya. Aku benci sebab dia menawan hati orang lain dan aku tidak suka dia mendapat perhatian orang lain. Aku mahu dia suka aku sahaja. Tetapi mana mungkinkan? Dia bukan sesiapa. Dia Cuma seniorku sahaja. Dia bukan suka aku pun. Dia hanyalah seseorang yang hadir dan akan pergi daripada hidupku. Dia merupakan teman yang kujumpa di sepanjang jalan menuju ke destinasiku. Teman yang membimbingku membina kerjayaku yang gemilang. Dia akan jauhku tinggalkan nanti. Dia yang sehari demi sehari akan lenyap dari ingatan ku. Dia bukanlah menjadi destinasi hidupku.

Tempoh sebulan terakhirku, aku harungi dengan tenang. Sesekali aku dapat menangkap pandangan tajamnya ke arahku. Tetapi aku sengaja buat-buat tidak peduli dan tidak tahu. Aku seolah-olah menganggap dia tidak wujud di sisiku. Aku tahu dia dan juga teman-teman lain mengetahui tentang perletakan jawatanku. Biarlah, lambat laun perkara ini akan diketahui juga.

Akhirnya hari terahirku telah berkunjung tiba. Tak sabar rasanya untuk memulakan kerja di tempat baru dan merasai suasana baru. Walaupun sedih untuk meninggalkan tempatku mengutip ilmu. Tempatku mula mengenal alam perkerjaan. Tempatku melatih kemahiranku agar aku mampu meneroka lebih jauh ke dalam dunia pekerjaan yang mencabar ini. Sebagai seorang yang menamatkan pengajian ijazah, peluang bekerja di firma perakaunan ini merupakan satu peluang yang baik untukku mengasah ilmu yang ku kutip selama empat tahun belajar di Universiti dulu. Setahun telah pun berlalu, walaupun banyak lagi ilmu yang perlu kukutip, namun cukuplah sampai hari ini aku di sini.

Aku lebih mementingkan hatiku saat ini. Aku tidak mahu kerana rasa yang tidak pernah ku undang ini bersarang di dalam hatiku, aku cuai dalam melaksanakan kerjaku. Melihat dia bahagia dengan pilihannya, takkanlah aku ingin berterusan derita. Buat apa? Hidup perlu diteruskan sebagai mana suka itu hadir dalam hatiku, ia juga perlu pergi sebagaimana ia hadir, tanpaku rasa dan tanpaku sedar ia telah pergi.

Hari terakhir, sebelum pulang aku bersalaman dan bermaafan dengan semua rakan kerjaku. Pintaku agar persahabatan yang terjalin setahun ini akan terus berpanjangan. Tetapi bukan dengannya. Aku tidak mahu ada apa-apa jalinan hubungan dengannya lagi. Bukan kerana membencinya. Mana boleh membenci orang yang mengajarku segala kemahiran yang ku dapat kini. Tetapi aku membenci hatiku sendiri. Hati yang tidak pernah ingin mendengar kata akalku. Hati yang suka mengikut kata hati sendiri tanpa memikirkan kesannya pada akal fikiranku. Kerana hati, akal fikiranku tidak dapat merasionalkan fikiran sendiri. Kerana hati, aku selalu hanyut dan hampir-hampir cuai dalam melaksanakan kerja-kerjaku.

Dia kulihat bersahaja dan seperti biasa, wajahnya tetap tanpa riak apabila bersamaku. Wajahnya sentiasa serius dan bercakap apa yang perlu sahaja.

“terima kasih atas segala tunjuk ajar. Terima kasih atas segalanya. Saya minta maaf andai ada sikap dan kelakuan yang membuatkan awak berkecil hati. Kalau ada umur panjang kita jumpa lagi” ujarku. Kemudian memandangnya seketika. Namun dia tetap tidak beriak. Jadinya aku pun berpaling dan mahu melangkah pergi.

“Bukan kata kalau ada jodoh kita jumpa lagi?” Soalnya

“Whatever” jawabku. Malas mahu berbalas kata. Dia dengan kata-katanya selalu membuatku suhu darahku meningkat naik, hampir-hampir mendidih.

Kemudian aku pun berlalu dari situ. Itulah kali terakhir aku bercakap dan berjumpa dengannya walaupun dengan teman-teman pejabat yang lain kami selalu hang out bersama. Tapi pelikkan? Kuantan ini tak besar manapun tetapi kenapa dengan dia aku tak pernah berjumpa dengannya.

Aku benci tetapi hatiku suka,

Aku benci dengan tingkah lakunya, tetapi aku suka dengan senyumannya,

Aku benci dengan sikap miangnya, tetapi aku suka dengan keramahannya,

Aku benci dengan wajah seriusnya tetapi aku suka melihat kerutan di dahinya,

Aku benci rasa apa yang ku rasa tetapi ia datang tanpaku pinta,

Jadi biarlah ku pergi daripada diriku merana.

Hati suka AJ

....................

Enam bulan berlalu.....

Aku yang pendiam tiada lagi. Aku telah berubah. Masa untuk berubah. Kini aku tampil dengan watak yang lebih ceria. Hidup perlu diteruskan. Dia harus dilupakan. Itu janji hatiku. Dia telah menjadi sejarah. Dia telah menjadi satu memori yang kucatatkan lewat perjalanan hidupku ini. Walaupun sesekali hatiku teringat, namun cepat-cepat akal akan mengawalnya. Dia harus dikenang sebagai seorang yang berjasa membimbingku, bukan sebagai seseorang yang hatiku suka tanpa kumenyedarinya.

Pagi ini aku masih lagi kurang sihat. Cuaca yang tidak menentu kebelakangan ini membuatkan diriku tidak mampu menampungnya. Virus selesema melular di dalam badanku, membuatku aku terpaksa mengambil cuti sakit selama dua hari. Hari ini walaupun hidung masih lagi berair, batuk masih lagi bersisa, aku tetap hadir ke pejabat. Banyak kerja menantiku untuk diselesaikan. Apatah lagi dengan perletakan jawatan bosku, banyak kerja yang aku terpaksa ambil alih.

“Hai... dah sihat?” Soal Mira, salah seorang rakan kerjaku.

Aku tersengih. “Sihat apa.. hidung tersumbat lagi. batuk tak habis-habis lagi nih” jawabku sambil meletakkan beg tangan di dalam laci.

Mira masih lagi tersengih-sengih. Aku mengangkat kening bertanya.

Dia datang dekat sambil dan berbisik di telingaku.

“Bos baru dah datang. Hensem tau... and available” bisiknya.

“Jadi apa kena mengenanya? Bos baru masuk. Baguslah. Tak adalah aku pikul beban kerja yang banyak lagi” jawabku berbisik juga.

“Bila dia masuk?” Soalku lagi.

“ Isnin hari tu.. rugilah kau tak masuk kerja. Tengah hari tu dia belanja makan. Baik.. murah dengan senyuman. Boleh cair dibuatnya”

Aku mencebik. Bukan boleh makan pun. Entah-entah suami orang.

Tidak sampai lima belas minit aku dipanggil masuk ke dalam bilik bos. Berdebar juga mahu mengadap bos baru. Pujian melangit daripada Mira tidak mampu membuatkan hatiku tenang. Kalau bukan seperti apa yang Mira gambarkan bagaimana? Dia bos aku, tentu dia garang juga dengan orang bawahannya. Dan Mira bukan orang bawahan dia.

Aku mengetuk pintu dan melangkah masuk apabila suara di dalam menyuruh aku masuk. Pintu dibuka dan aku terbau haruman maskulin yang terlalu familiar dengan deria bauku. Takkanlah dia? Selepas menutup pintu, aku berpaling dan menuju ke meja ketuaku.

Dia mengangkat muka dan tersenyum.

“duduklah” Aku masih lagi tergamam.

Kemudian dia serius. Auranya terasa seperti dia. Tetapi ada sedikit perbezaan walaupun harumannya sama. Ya senyuman itu. Tentang senyuman. Bukan seperti senyuman dia. Dia yang kuajar hatiku melupakannya. Takkanlah enam bulan berlalu telah membuatkan senyumannya berubah. Auranya walaupun dingin, tetapi menghangatkan hatiku. Sama tapi tak serupa. Wajah yang sama tetapi lain senyumannya.

“Apa khabar? dah sihat dah?” Soalnya prihatin.

“Demam dah baik Cuma selesema je. Ada apa encik panggil saya?” Soalku terus kepada soal kerja.

“Awak semak balik management akaun ni? Tak tally. Tengok betul-betul sen kat belakang tu. Dalam audit, perbezaan sen tidak material tetapi dalam akaun satu sen pun dikira material. Semak balik dan pas kat saya sebelum lunch hour” arahnya serius.

“baik bos.” Jawabku. Dan tanpa menunggu lama aku meminta diri.

“Nanti dulu. Saya ada sesuatu untuk awak dari seseorang” katanya.

Lalu dia mengambil sesuatu di dalam poket seluarnya. Dikeluarkan sepucuk surat dan diserahkan padaku.

“Dia telah pergi tiga bulan lalu kerana kemalangan. Dia sempat berpesan agar saya serahkan surat ni kepada awak.”

Aku masih lagi tidak mengerti. Siapa dia?

“Awak akan faham apabila awak baca surat ini.” Katanya sebelum tunduk meneruskan kerja-kerjanya.

Au kembali ke tempatku dengan menggenggam surat tersebut. Dia.. takkanlah dia yang hatiku suka itu.

Perlahan aku membuka surat tersebut. Ini adalah coretan terakhirku dulu.

Aku benci tetapi hatiku suka,

Aku benci dengan tingkah lakunya, tetapi aku suka dengan senyumannya,

Aku benci dengan sikap miangnya, tetapi aku suka dengan keramahannya,

Aku benci dengan wajah seriusnya tetapi aku suka melihat kerutan di dahinya,

Aku benci rasa apa yang ku rasa tetapi ia datang tanpaku pinta,

Jadi biarlah ku pergi daripada diriku merana.

Hati suka AJ

p/s: Aku pula suka melihat wajah masammu.

Aku suka melihat cebikanmu yang menyampah melihatku.

Aku suka dengan ketekunan mu dan aku suka mencari pasal denganmu.

Dengan itu aku dapat melihat comelnya wajahmu..

Mahalnya wajah ingin menangismu.

Sayang...sebelum sempat ku meluahkan kau pergi..

Tapi biarlah....

Suatu hari hatiku yang kau curi tanpa sedar akan datang padaku kembali..

Dengan hatiku..

Akan ku tunggu.. akan ku kejari saat itu.

Kau takkan dapat jauh dari ku.

Walau jauh kau pergi, hatiku tetap dekat padamu.

Walaupun ku tahu kau akan cuba melupakanku..

Namun percayalah hatimu takkan sesekali melupakanku.

Hati AJ pun suka Hati AN

Selesai membaca, hatiku suka tak terkata tetapi, apa.. apa maksud bos tadi. Aku ingin bertanya lagi...

Pintu terbuka.. dia tersenyum dalam terpaksa. Ada kesedihan terlukis di wajahnya.

“Dah baca.. sebenarnya Azhar adalah adik kembar saya.. dia memang jenis mesra dan disukai ramai. Tetapi... Allah lebih menyayanginya... bla.. bla...”

Kata-katanya selepas itu tidak ku dengari lagi. Kenapa bila ku mengetahuinya, semuanya telah terlambat. Kenapa ku diduga begini?....

..................

Lima tahun berlalu...

Senyuman itu sepertinya. Kemesraannya sama seperti dia..

“Umi... umi....”

“tengok Azhar dapat ikan besar.... hahahaa” dia ketawa girang sambil berlari laju ke arahku.

Suamiku tersenyum sambil mengikuti langkah pantas anak lelaki kami ke arahku...

Dulu.. hatiku ralat kerana tidak berterus terang dan pergi begitu sahaja. Namun aku tetap juga bersama sebahagian dari dirinya. Allah maha pengasih. Dia diambil dan digantikan dengan suamiku , abang kembar dia. Kini aku takkan sesekali menyimpan rahsia hati lagi. Suka perlu diucap. Sayang perlu dibuktikan. Cinta perlu disatukan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.