Kecewa itu perlu untuk mematangkan
diri dan mencekalkan hati menempuhi liku-liku hidup. Pernah dengar tak ungkapan
ini... "Sebelum kita jumpa Mr Right,
kita pasti berjumpa dengan orang yang salah dulu, bukan berkali malah
berkali-kali.. Percayalah kasih sayang Allah s.w.t itu terlalu banyak untuk
kita dan pastinya DIA mahukan yang terbaik untuk kita. Jangan putus asa dan
sentiasalah memuji dan mengingati-Nya.
"Kenapa menangis?" Satu
suara lembut menyapanya.
Pantas Aimi menoleh dan pantas juga
tangannya menyapu butiran air mata yang tidak berhenti mengalir sejak tadi.
Sejak lelaki itu memberikan kata putus, hubungan mereka ternoktah di sini. Lelaki
yang disandarkan harapan agar memberikannya perlindungan dan kebahagiaan di
masa depan. Namun tanpa sebarang riak dan alasan yang kukuh, dia memutuskan
perhubungan yang telah menjangkau lima tahun ini. Nyilunya terasa di hati,
hampir-hampir membuatnya hilang arah.
Aimi terdiam. Namun sesiapa pun
dapat mengesan bahunya masih lagi terhingguk-hingguk menahan tangis. Dia cuba
sedaya upaya menahan diri dari menangis lagi. Pertemuan itu tidak pernah diduga
akan berakhir dengan keperitan begini. Ia langsung tidak terjangkau dek
fikirannya. Sangkanya mereka bahagia. Sangkanya lagi percintaan mereka telah
ditakdirkan ternoktah di dalam ikatan perkahwinan bukannya berakhir dengan
perpisahan yang tragis ini.
Semalam, hatinya girang. Hampir dua
bulan tidak berjumpa kerana dek kesibukan dan jarak yang memisahkan, pertemuan
ini amat ditunggu-tunggu olehnya. Sudah dikarang banyak cerita di dalam hati
dan ingin diceritakan kepada kekasih hati, namun belum sempat dia berbicara dan
belum sempat dia membetulkan duduknya, kekasihnya melafazkan salam perpisahan.
"Selama ini saya cuba sedaya
upaya menyayangi awak tapi cinta itu langsung tidak sampai di hati. Selama ini
saya cuba meletakkan awak teratas di hati saya, namun tak pernah berjaya. Jadi,
saya rasa setakat ini saja perhubungan kita. Lagi lama kita bersama semakin
lama hati saya menderita. dan saya tak mahu awak juga menderita kerananya.
Aimi.. awak baik. Terlalu baik, tapi awak tak pernah berada di dalam hati saya."
Usai berkata, dia melangkah pergi
meninggalkan Aimi mencerna maksud di sebalik kata-katanya. Terasa masa bagai terhenti
berdetik, suara alam serta merta sunyi sepi. Aimi terduduk di situ. Tanpa sedar
air matanya menitis, esakan mula kedengaran memecah kesunyian taman yang damai
ini. Orang yang lalu lalang di hadapannya sesekali menoleh, namun tiada siapa
pun yang mahu menegurnya. Biarkan. Hatinya luka. Jiwanya merana.
*******
"Menangis tidak akan
menyelesaikan masalah dik. Tetapi menangis digalakkan untuk melepaskan perasaan
sedih dan hiba, namun jangan keterlaluan. Jangan menangis beriya-iya kerana
insan lain. Tetapi menangislah kerana takutkan Allah s.w.t. Menangislah kerana
menyesali dosa-dosa kita lakukan selama ini." Kata-kata nasihat itu
diluahkan oleh seorang wanita bersuara lembut yang menegurnya tadi. Dia telah
mengambil tempat di sisinya.
Aimi diam. Kekecewaan dan kesedihan
masih lagi bersesak di dalam hatinya. Membuatkan dia tidak mampu bersuara. Dia
takut, bukan suara yang keluar tetapi tangisan sayu.
"Manusia dengan kesedihan
tidak dapat dipisahkan. Sedih dan kecewa itu perlu untuk mematangkan diri,
membuatkan diri lebih cekal meniti kehidupan. Jangan terlalu bersedih dik. Tak
elok," nasihatnya.
"Hmmm... Sakit hati saya ni
kak. Saya langsung tak pernah terfikir selama ini dia hanya berpura-pura
cintakan saya sedangkan saya sangat-sangat sayangkan dia," dalam sendu
Aimi meluahkan rasanya.
"Sabar dik. Itu tandanya Allah
s.w.t sayangkan adik. Dia menguji adik dalam bentuk putus cinta ini supaya adik
jangan terlalu menyayangi seseorang melebihi sayangnya adik pada-NYA.
Sebenarnya ujian ini, adik mampu menghadapinya sebab DIA takkan pilih adik
dengan ujian sebegini jika adik tak mampu mengatasinya," nasihat wanita
itu lagi.
"Tapi kak, saya rasa sakit
sangat. macam nak mati." Aimi teresak-esak.
"Astaqfirullahal Azim...
Mengucap dik. Ingat pada Allah. Ingat DIA yang Maha Menyayangi. Kasih sayang
sesama makhluk ini hanya secebis kasih sayang yang diberikan. Padahal kasih
sayang-NYA tak terjangkau dek fikiran kita. Jangan diikutkan hati sangat."
Air mata masih lagi laju membasahi
pipi Aimi, walaupun dia cuba bertahan dan menahan tangisan itu.
"Sudahlah dik. Jom ikut akak balik,
tak elok duduk di sini lama-lama," ajak wanita itu sambil mendorong Aim
bangun mengikutinya.
“Nah minum.. biar tenang sikit hati
tu.”
Aimi mengangguk perlahan.
Tangisannya telah reda. Walaupun begitu luka di hati pasti mengambil masa yang
lama untuk sembuh. Diperhatikan keadaan di dalam rumah kak Khadijah. Wanita
baik hati yang menegurnya di taman tadi. Rupa-rupanya mereka jiran satu taman,
hanya dipisahkan oleh dua lorong sahaja.
“Minum Aimi. Jika sudah sejuk, tak
berapa sedap pula teh tu,” pelawanya lagi. Lalu Aimi menarik cawan berisi teh
itu dekat padanya. Disentuh cawan itu seketika untuk merasa suhu. Kemudian
barulah diangkat perlahan cawan tersebut ke mulut. Dihirup teh hijau itu
perlahan-lahan. Kak Khadijah turut sama menghirup teh hijau tersebut.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumussalam..”
“Awal akak balik berjogging?” Soal
seorang pemuda di dalam lingkuan akhir 20an yang semakin mendekati mereka.
“Dua round je petang ni. Dan kau tu awal balik hari ni? Biasanya
berdating tak ingat masa?”
“Dating apanya kak. Dah break. Sorang pergi, sepuluh datang. Tak
heran pun kak,” balasnya selamba.
Kak Khadijah menggelengkan
kepalanya.
“Siapa ni kak?” Soal pemuda itu
apabila memandang Aimi di sisi kakaknya.
“Kawan akak. Aimi kenalkan, ni adik
Kak Jah. Nasrul.”
Senyuman nipis diberikan sebelum
Aimi tunduk memandang cawannya.
Tanpa disedari Kak Khadijah dan
adiknya bersoal jawab melalui mata. Aimi tiada mood hendak beramah mesra.
“Kak.. saya balik dululah”
“Hmmm.. baiklah. Jaga diri
elok-elok. Jangan dok layan sangat perasaan tu” Nasihat Kak Khadijah sambil
mengiringi Aimi ke pintu.
Kenapa dengan budak tu kak?” Soal
Nasrul apabila kalibat Aimi hilang dari pandangan mereka.
“Macam kau lah baru putus cinta.
Frust.”
“Hmmm patutlah monyok. Ada jugak
lelaki yang bodoh tinggalkan dia ya. Dahlah cantik, pakaian pun sopan. Entah
apa yang dicarinya,” rungut Nasrul.
Kak Khadijah menjeling.
“Apa yang dicari? Haa.. Kau apa
plak yang kau cari? Bercinta dua tiga bulan putus. Lepas tu couple pulak dengan orang lain. berapa
lama kau nak bercinta dan putus cinta ni? Pening akak,” leter Kak Khadijah.
Nasrul tersengih-sengih. Dia tidak
punya jawapan untuk soalan-soalan tersebut kerana dia sendiri tidak tahu apa
yang dicarinya. Hatinya mudah terpikat pada yang cantik dan seksi. Apabila bersama
barulah dia tahu kecantikan dan keseksian itu adalah keindahan luaran
semata-mata. Banyak perkara yang kureng
enak di pandangan matanya terserlah, menyebabkan dia tawar hati. Suka yang
berputik di hati mulai sirna dan tanpa menunggu lama baik diucapkan selamat
jalan, babai.
“Kalau aku dapat macam Aimi tu kak,
confirm kau akan dapat adik ipar,” ucap
Nasrul tanpa berfikir panjang.
Seketika dia terkenangkan Aimi.
Comel dan manis. Tetapi wajahnya muram tak berseri. Kasihan. Siapalah lelaki
yang tak tahu menilai kaca dan permata ini? Aku pasti suatu hari nanti dia akan
menyesal mengecewakan Aimi.
“Kak Jah pun berkenan dengan si
Aimi tu. Tapi kalau kau nak kat dia lepas tu tinggalkan dia, baik tak payah,” sindir
kak Khatijah.
Nasrul tersengih-sengih. Amboi Kak
Jah ni, garangnya, terlebih ambil berat pula dekat Aimi tu, padahal aku ni
adiknya, bukan budak tu, rungut hatinya.
“Aku kata kalaulah. Tapi jika
betul, apa salahnya. Aku bukan nak mainkan dia. Aku nak pinang dia terus.”
Nasrul berkata dengan yakin.
Kak Khadijah menjeling. Malas mahu
melayan kerana dia tahu sangat perangai adiknya yang cepat jatuh cinta dan
cepat pula lafazkan talak cinta.
“Sudah-sudahlah Rul. Kau tu
bukannya budak-budak lagi nak bercinta cintun ni. Baik cari gadis yang
elok-elok buat isteri. Hidup pun terurus, fikiran pun tenang. Bukan macam
sekarang ni, banyak main-main,” Nasihat Kak Khatijah lagi.
“Kau ni kak, selalu fikir yang
bukan-bukan. Aku serius bukan main-main!”
*****
“Hai… assalamualaikum.. Aimi kan?”
Berkerut dahi Aimi apabila ditegur
oleh seorang jejaka di saat dia menolak troli penuh dengan barang-barang dapur.
Tak kenal pun? Baik buat tak tahu
je. Orang sekarang ni bukan boleh dilayan sangat, tak pasal-pasal kena pukau.
Teringat pesan abah, jika ada orang tegur ketika tengah jalan dan orang tu tak
kenal, jangan tunjuk baik nak jawab teguran tu. Jangan layan dan jangan
sesekali pandang matanya. Tak selamat sebab sekarang ni berleluasa penggunaan
pukau untuk menipu dan menyamun orang. Jadi lebih baik tak layan.
“Amboi sombongnya dia? Betullahkan
awak Aimi, kawan dengan Kak Jah saya.”
Okeh.. Okeh yang ni pasti orang
yang memang kenal dia. Lalu Aimi berpaling mahu melihat lebih teliti siapa dia
ni? Yelah, dia bukannya jenis mudah ingat jika jumpa sekali, memang langsung
tak kenal.
“Awak ni siapa?” Soal Aimi, matanya
pula melilau mencari mama.
Mana pula mama ni pergi? Tinggal
dia sorang-sorang kat sini.
“Laa minggu lepaskan kita jumpa.
Takkan dah tak ingat.”
Aimi garu kepala yang berlapik
tudung. Minggu lepas memang lah dia ada jumpa seorang kakak yang baik hati ni. Kak
Jah namanya. Dan lelaki ni pula siapa? Seriusly
dia tak ingat langsung.
“Aimi kan? Panjang jodoh kita,
jumpa lagi kat sini. Hari tu Kak Jah lupa nak minta nombor telefon.”
Aimi tersenyum-senyum apabila
melihat Kak Jah sampai di sisinya. Jejaka itu pula masih lagi terpacak di
hadapannya.
“Siapa ni Kak Jah” Soal Aimi tanpa
tangguh.
“Laaa tak cam ke? Kan minggu lepas
ada jumpa semasa kat rumah Kak Jah. Adik Kak Jah ni, namanya Nasrul.” Kak Jah
memperkenalkan mereka sekali lagi.
Demi Allah, dia memang tak ingat
langsung. Memorinya hanya terjangkau setakat perkenalan mereka sahaja. Watak
sampingan sebagai adik Kak Jah tidak diingatinya. Merah wajah Aimi. Termalu.
Kadang kala memorinya selalu gagal menyimpan kenangan. Lebih-lebih lagi hari di
mana dia ditinggalkan oleh kekasih. Harap-harap dia fahamlah. Tapi tak faham
pun, tak apa, aku bukannya kisah sangat. Sudah terang lagi bersuluh, adik
Kak Jah ni bukan watak penting di dalam hidup aku ni.
“Ooo minta maaflah. Aimi tak ingat Kak
Jah.”
“Tak pe, tak pe. Kak Jah faham.
Banyak beli barang ni. Nak kenduri ke?” Soal Kak Jah ramah. Si adiknya pula tiba-tiba
menjadi bisu dan pemerhati yang berjaya kerana mampu membuatkan dirinya resah.
“Taklah. Mama memang selalu macam
ni, beli stok untuk sebulan terus. Senang katanya, setiap minggu beli barang
basah je kat pasar minggu. Tak perlu berulang alik datang Giant ni.”
“Oooh begitu rupanya. Mama mana?”
“Entahlah. Aimi pun sedang dok
cari-carilah ni.”
“Aimi”
“Puas mama cari. Kat sini rupanya.
Kan tadi mama pesan tunggu kat kaunter nombor lima”
“Bila pulak? Aimi tak dengar pun,”
balas Aimi mempertahankan diri.
“Bagaimana nak dengar, kalau asyik
melamun je, menonong tolak troli tu. Nasib baik tak terlanggar orang je,” bebel
Mama.
“Kak Ani kan?” Tegur Kak Jah.
“Laa Tijah ke? Maaf akak tak
perasan tadi,” balas mama dengan nada gembira.
“Aimi ni anak kak Ani ke?”
“A’aah anak sulung akak.”
Dalam diam-diam Nasrul menyimpan senyum.
Dia pasti pencariannya bakal berakhir apabila melihat kemesraan tiga orang
wanita di hadapannya.
******
“Aku harap apa yang aku nak cakap
ni, kau jangan salah faham pulak. Kata aku jeles dan dengkikan kau ya. Aku tak
boleh dah nak simpan rahsia ni lama-lama. Takut meletup kat dalam hati aku ni,”
dalam senafas Fatma berkata-kata.
Dia sudah tidak boleh mengepung
perasaan geram dan sakit hati apabila melihat kecurangan kekasih Aimi. Biar
kena maki dengan Aimi pun dia sanggup. Tetapi untuk melihat BFFnya ditipu
hidup-hidup, dia tidak sanggup. Biarlah, asalkan tanggungjawabnya sebagai
seorang sahabat yang ingin melihat kebahagiaan sahabatnya tertunai. Bukannya
mendiamkan diri dan melihat sahaja kecurangan dan penipuan yang dilakukan di
hadapan matanya.
Tidak. Dia bukan seorang yang
pentingkan diri ataupun pemusnah kebahagiaan orang lain. Sebaliknya dia bahagia
apabila sahabatnya bahagia.
“Apa dia? Berangan pulak minah ni,”
bebel Aimi. Tadi bukan main beriya-iya mahu bercerita, tiba-tiba senyap.
“Janji kau tak marah dan tuduh aku
yang bukan-bukan tau,”desak Fatma lagi.
“Iya, takkan aku nak marah sahabat
dunia akhirat aku ni. Yang sama-sama nangis bila susah, gembira bila senang.
Apa dia cakaplah,” desak Aimi pula.
Terhegeh-hegeh pulak minah ni,
ngomel Aimi di dalam hati. Manakala Fatma gelisah. Nak cakap salah, tak nak
cakap pun salah. Tapi sampai bila dia mahu melihat Aimi ditipu hidup-hidup.
“Semalam aku nampak Zaki.” Fatma
terhenti seketika mengambil nafas sambil memerhati tingkah laku Aimi yang
biasa-biasa. Pelik. Biasanya jika sebut je nama Zaki, wajah Aimi bertukar rona
merah berseri-seri, tetapi kenapa hari ini lain macam. Tiada lagi wajah teruja
ingin mengetahui kisah pak wenya.
“So?” Soal Aimi perlahan. Ditahan dengup jantungnya sendiri agar
jangan keterlaluan. Fatma tidak tahu lagi kisah sebenar. Sebulan dia mengelak
dari melepak bersama-sama dengan Fatma agar dia boleh mengubat laranya sendiri.
Sedaya upaya dia berusaha mengubat hati yang terluka. Dia malu dengan Fatma
kerana terlalu memperhambakan diri sendiri ketika berkasih dengan Zaki.
Berkali-kali kawan baiknya itu menasihati agar jangan sesekali menunjukkan
sayang dan cinta itu seratus peratus ketika bercinta. Jangan biarkan kekasih
hati mengambil kesempatan di atas nama cinta. Tetapi dia buat tuli dan yakin,
cinta mereka akan bersatu di dalam ikatan pernikahan. Keyakinan yang sia-sia
yang hampir meragut separuh keyakinan dirinya. Dia terlalu malu mengenangkan
kebodohan diri. Juga malu pada seorang sahabat yang sentiasa menjadi penasihat
dan pendengar kisahnya.
“Aku nampak dia dengan perempuan
lain dan aku yakin perempuan itu bukan adik ataupun kakaknya sebab aku kenal
adik beradiknya,” Dengan senafas Fatma berterus terang.
“Mungkin itu kekasih barunya,” perlahan
Aimi bersuara.
“Kau tahu?” Fatma terkejut bukan
dibuat-buat. Dikerdipkan matanya berkali-kali apabila melihat ketenangan Aimi
di hadapannya.
“Jadi kau dengan dia?”
“Dah putus.”
“Bila? Aku tak tahu pun,” soal
Fatma kurang sabar.
“Sebulan lepas. Kami berjumpa di
taman tasik. Semudah ABC dia cakap, dah puas dia paksa diri cintakan aku. Tapi
tak jugak cinta dan setakat ni je kisah kita,” makin perlahan suara Aimi.
Dan dia memang tidak mampu lagi
mengenangkan kisah itu tanpa air matanya menitik. Sakit di dalam hati terasa
berdenyut-denyut. Dia tak kuat. Dia bukan seperti Fatma yang senang bercinta
dan senang putus tanpa memberi impak yang besar di dalam hatinya. Aimi
menggigit bibir menahan rasa yang mencengkam hatinya.
Fatma terdiam. Hilang kata-kata.
Ingat tadi mendapat semburan naga kerana membawa cerita buruk, rupa-rupa
sebaliknya. dia terus merapatkan badannya dengan Aimi, dipeluk bahu sahabatnya.
“Sabarlah. Anggap ini sebagai ujian
dari Dia. Aku yakin DIA telah tetapkan jodoh dengan lelaki yang lebih baik dari
Zaki takkenangbudi tu. Aku yakin akan muncul seorang lelaki yang tahu
menghargai kau,” pujuk Fatma lagi. Sebak terasa di dalam dadanya. Sedih Aimi,
sedihlah dirinya, gembira Aimi, gembiralah dirinya.
Tanpa mereka sedari seseorang yang
dari tadi lagi leka memasang telinga menghampiri mereka. Lalu tangannya
menghulurkan sehelai sapu tangan berwarna biru.
“Tak guna menangis beriya-iya untuk
seseorang yang bukannya menjadi milik kita. Simpanlah air mata itu kerana ada
seseorang yang lebih berhak untuk ditangisi,” perlahan dia membisikkan
kata-kata.
“Belajarlah mencintai diri sendiri
dulu sebelum mencintai orang lain,” usai berkata-kata, lelaki itu pun berlalu.
Aimi langsung tidak mengangkat wajahnya, manakala Fatma terpegun seketika.
Kacaknya!
*****
“Termenung lagi. Apa pula masalah
kali ni nya?” Soal Kak Jah sambil melabuhkan punggung di sofa sebelah.
Nasrul mengerling kakaknya yang
tenang di sebelah. Dia kagum dengan ketabahan Kak Jah mengharungi kehidupannya.
Tidak pernah kedengaran keluhan di atas ketidakadilan yang ditanggungnya.
Airmata kakaknya hanya sekali dilihatnya. Itupun ketika dia diceraikan tanpa
alasan kukuh, sehelai sepinggang bersama dua orang anak yang masih kecil.
Sekali itu saja dilihat airmata Kak Jah mengalir. Selepas itu di bibirnya
sentiasa berukir senyuman walaupun dia tahu senyuman itu adalah senyuman luka.
“Kak, kau tak teringin nak kahwin
lagi ke?” Soal cepumas tiba-tiba keluar dari bibir Nasrul. Tersedar dia
terlajak kata, membuatkan dirinya terasa bersalah.
“Jika ada jodoh yang datang Kak Jah
takkan menolak,” Selamba jawapannya denga nada suara biasa-biasa. Langsung
tidak tergambar keperitan yang pernah diharunginya.
“Kau tak serik ke kak?” Soal Nasrul
ingin tahu. Rahsia hati Kak Jah tersimpan ketat di dalam hatinya. Kak Jah tidak
pernah mengeluh atau mengadu. Dia bangkit bertatih selangkah demi selangkah
sehinggalah dia berada dalam kehidupan selesa seperti sekarang.
Kak Jah geleng kepalanya.
“Tak. Jika Kak Jah serik ertinya Kak
Jah mempertikaikan takdir yang telah tertulis di dalam hidup Kak Jah. Itu
adalah ujian dari Allah s.w.t. Ada juga Kak Jah rasa perit dan rasa dah tak boleh meneruskan kehidupan ini, tapi
mujurlah Kak Jah cepat sedar. Ini adalah dugaan hidup Kak Jah. Kak Jah yakin
Allah s.w.t telah merancang hidup Kak Jah seindah mungkin, seperti sekarang ni.
Jika tak ditinggalkan dulu, pasti dunia Kak Jah ceruk dapur je,” jelas Kak Jah
panjang lebar.
Nasrul terdiam. selama ini dia
kagum dengan semangat Kak Jah. Ditinggalkan, dia bangkit dan terus melangkah ke
hadapan tanpa menoleh lagi Hasilnya dia kini merupakan seorang pengusaha butik
pakaian muslimah yang berjaya. Semuanya bertitik tolak dari peristiwa hitam
yang dialaminya.
“Kenapa tanya.”
Nasrul meraup wajahnya. Teringat
sikapnya yang sering bertukar pasangan. Bercinta tidak pernah lebih dari enam
bulan setiap kalinya. Telah banyak kali gadis-gadis yang pernah menjadi
kekasihnya datang merayu agar tidak ditinggalkan. Namun dia berhati kering.
Sedikit pun tiada perasaan simpati. Gadis-gadis tersebut hanya layak menjadi
kekasih di kala kesepian, bukannya calon sesuai untuk dijadikan suri hidupnya.
Tampak kejamkan? Itulah hakikat
hidupnya. Namun apabila melihat dan mendengar keperitan yang dialami oleh Aimi,
timbul kesedaran di dalam hatinya. Barangkali begitulah kesedihan yang dialami
oleh bekas-bekas kekasihnya. Pilu hatinya mendengar rintihan hati Aimi.
Walaupun dia tahu, Aimi sedaya upaya berlagak tabah, namun apabila orang yang
dicintai sepenuh hati berpaling tadah, sakit tidak mampu ditanggung. Mungkin
mengambil masa berminggu-minggu ataupun sehingga bertahun-tahun.
“Perit ke kak kena tinggal ni.”
“Kau rasa perit tak bila kau
tinggalkan awek-awek kau dulu,” Soal Kak Jah kembali.
Nasrul angkat bahu, sungguh dia
tidak punya deria sedih. Sebaliknya dia merasa gembira apabila bebas dari
kekasih-kekasihnya.
“Kau memang hati kering. Memang
layak digelar playboy.”
“Rul… hati perempuan ni rapuh dan
mudah tercalar. Sekali tercalar akan mengambil masa bertahun-tahun biarpun dia
telah redha dengan takdir itu. Untuk pulih cepat, dia perlukan semangat dan
tempat meluahkan perasaan. Orang perempuan ni, hatinya akan lembut apabila
sentiasa disirami kasih sayang.”
“Ye ke kak? Jadi bolehlah hati yang
luka itu sembuh jika aku berikan cinta dan sayang aku padanya” Nasrul teruja,
ada wajah seseorang menerpa hatinya.
“Lain macam je kau ni? Kau nak
sayang siapa pulak? Sudah-sudahlah Rul. Jangan nak permainkan hati orang lagi
nanti terkena batang hidung sendiri baru tahu.” Kak Jah memberi nasihat.
Nasrul tersengih-sengih.
“Insaflah ni, sebab itu aku nak
ubati hati orang dengan cinta dan kasih sayang aku yang banyak ni. Aku nak dia
lupakan lelaki bodoh yang tinggalkannya. Aku mahu jadikan dia suri hidup aku
dan aku akan pastikan dia bahagia apabila hidup bersama aku nanti,” bersungguh
benar Nasrul dengan kata-katanya.
Kak Jah jungkit kening.
Nasrul tersenyum-senyum. Di dalam
matanya terbias bayangan si dia yang terluka.
“Aku nak kau ajak ayah dan mak
datang hujung minggu ni. pergi meminang dia untuk aku kak. Aku nak kahwin!”
“Hah! Kau jangan memain pasal
kahwin-kahwin ni Rul.”
“Bila pulak aku main-main kak. Aku
serius ni. Dalam masa tiga bulan aku mahu dia sah jadi isteri aku.”
“Dia? Dia tu siapa? Anak dara mana
yang buat kau buang tebiat nih.”
******
"Awak ni
dah giler agaknya, mereng!"
jerkah Aimi sebaik sahaja pemanggil memperkenalkan diri. Panas punggung apabila
mengetahui tujuan tetamu datang bertandang. Buntang matanya, pekak telinganya
apabila tetamu menyatakan tujuan mereka bertandang.
Nasrul terdiam,
saat salam diberikan dan memperkenalkan dirinya, sebelum sempat bersuara lagi,
dia terus diserang bertubi-tubi oleh Aimi. Nampak je lembut tetapi garangnya
macam mak singa kehilangan anak. Terpaksalah dia menadah telinga mendengar
cacian dan amukannya. Suara dari sebelah sana telah terhenti namun masih
terdengar desahan nafas ditarik kasar.
"Kita tak
kenal pun, awak ni dah putus fius
ke" soal Aimi dengan nada tertahan. Dia tidak dapat mencari sebab kenapa
dia dipinang oleh adik Kak Jah ini. Tak pernah mereka berbual mesra ataupun
sebagai kenalan biasa.
Tadi dia telah
menelefon Kak Jah, mencari sebab kenapa dia disunting oleh keluarganya.
Sedangkan wajah Nasrul samar-samar di dalam memorinya. Jika terserempak di
tengah jalan, pasti dia takkan kenal.
“Kak Jah,
kenapa?”
“Kak Jah pun tak
tahu Aimi. Tetapi Kak Jah boleh jamin Nasrul akan menjadi suami terbaik Aimi.
Bukan Kak Jah hendak memuji dia sebab dia adik Kak Jah, tetapi apabila dia
cakap kat Kak Jah minta mak ayah datang dan pergi merisik Aimi, Kak Jah tahu
dia betul-betul serius.”
“Iya saya tahu.
Tetapi kenapa dia pilih saya sedangkan kami tak pernah bercakap ataupun
bertegur sapa. Jumpa kat tepi jalan punconfirmsaya tak kenal dia, kak.”
“Itu Aimi kena
tanya dia sendiri. Aimi kena sedar jodoh dan maut rahsia Allah s.w.t. Dia telah
atur sebaik-baiknya untuk kita. Cuba Aimi fikir kenapa selepas Aimi berpisah
dengan kekasih Aimi dulu, Kak Jah tergerak menegur Aimi dan mengajak Aimi ikut Kak
Jah balik. Dan di rumah Kak Jah, Aimi terjumpa dengan Nasrul yang kebetulannya
baru putus dengan kekasihnya. Cuba kaitkan semua peristiwa itu dan Aimi akan
dapat rasakan Allah s.w.t telah susun kehidupan Aimi dengan cantiknya.
Pertemuan itu telah membuka pintu hati Nasrul, dulu bukan main liat lagi jika
Kak Jah soal jodoh ni. Tetapi bila tengok je Aimi, hatinya tergerak ke arah
itu.”
“Tapi kak…”
“Tak ada
tapi-tapi lagi Aimi. Jika Aimi inginkan kepastian lagi, tanya Nasrul sendiri
dan buat solat istikharah.”
Aimi terdiam.
Beberapa minit
selepas panggilan itu, Nasrul menelefonnya dan dia terus menyerang.
“Dah habis?”
Soal Nasrul setelah beberapa minit Aimi terdiam.
“Untuk soalan
awak tu, Hanya DIA yang tahu. Kerna DIA yang gerakkan hati saya dan menyatakan
awaklah jodoh saya. Soal jodoh saya serah pada-NYA. Saya sujud di depan-NYA dan
memohon agar DIA berikan petunjuk kepada saya. Melihat awak menangis di hadapan
kawan awak seminggu lepas, menguatkan lagi hati saya. Saya nak lindungi awak.
Sayangi awak sehingga awak tidak terasa sedih sedikit pun. Saya hendak
bersama-sama awak mengejar bahagia dunia dan akhirat. Membesarkan dan mendidik
anak bersama-sama.”
Aimi terkedu.
Jawapan itu mengharukan hatinya. Jawapan itu bagaikan menangkis perasaan sebalnya
tadi.
“Saya mahu tua
bersama-sama awak. Perasaan itu mula terdetik apabila saya jumpa awak di sini, rumah
Kak Jah. Sejak itu juga, saya tawar hati hendak keluar dengan kawan-kawan
perempuan saya. Hati saya merasakan, sudah sampai masanya saya berubah dan
mempunyai komitmen.”
“Cukup tak
penjelasan saya tu?” Ada awak nak soal lagi?”
Air mata Aimi tanpa
sedar menitis. Terharu. Terasa baru semalam ditinggalkan, hari ini Allah s.w.t
telah hadirkan seorang lelaki yang terbaik untuk dirinya. Siapa dia mahu
menolak takdir ini?
“Terima kasih.”
Aimi menahan sebak. Nafas ditarik panjang sebelum berkata-kata lagi.
“Terima kasih
kerana memilih saya.”
Tut....tut..
*****
Dia telah perasaan kehadiran wanita
yang pernah menjadi kekasihnya di dalam Tesco ini. Sengaja dia berpura-pura
tidak mengenali dan menyedarinya. Biarkanlah, lagipun antara mereka sudah tidak
mempunyai apa-apa ikatan perasaan. Sudah hampir setengah tahun perpisahan
mereka. Lagipun dia telah bahagia bersama Najwa, gadis yang telah berjaya
mengalihkan perasaan cintanya daripada Aimi.
“Eh cuba you lihat kat sana tu,
bukan ke bekas kekasih you dulu ke?” Najwa menarik tangan Zaki lalu menunjukkan
seorang wanita yang berada tidak jauh dari mereka.
Zaki terdiam. Untuk apa lagi
mengintai Aimi sedangkan dia kini sudah berpasangan. Bukannya dia tidak tahu
perasaan Aimi terhadapnya, pasti dia sedang menderita kerana ditinggalkan. Jadi
lebih baik mereka tidak bertegur sapa.
Sebenarnya masih ada sedikit
perasaan kasih terhadap Aimi tertinggal di dalam hatinya. Sebab itu dia tidak
tega menyakitinya lagi. Biarlah jarak masa mengubati hati Aimi kerana dilukai
olehnya. Dia tidak akan sesekali menyakiti hati Aimi lagi.
“Nasib baik you tinggalkan
perempuan itu. tengok tu, macam orang kampung dah I tengok. Gemuk dan pakai
baju besar pulak tu. Tak tahulah kenapa you boleh buta pilih dia dulu.” Najwa
berkata angkuh.
Padan muka kau, cermin diri tu dulu
dari berangan berpasangan dengan Zaki. Dia bakal jadi hak aku. Hati Najwa terus
mencaci Aimi. Sebenarnya mereka satu kolej ketika belajar dahulu. Nasib Aimi
lebih baik darinya apabila dapat mendekati Zaki. Keakraban mereka membuatkan
hatinya cemburu dan tidak puas hati. Selalu dia membelek dirinya di cermin, apa
kurangnya dia sehingga Zaki langsung tidak menyedari kehadirannya.
Cinta tumbuh subur di dalam
hatinya. dia sentiasa mencari peluang untuk mendekati Zaki dalam diam. Peluang
itu muncul apabila mereka memasuki alam pekerjaan. Sengaja dia memohon kerja di
tempat kerja Zaki dan nasibnya baik apabila diterima bekerja di situ. Jadi
bermula hari pertama bekerja, dia mengambil kesempatan mendekati Zaki. Oleh
kerana jarak dan masa memisahkan Zaki dengan Aimi, hati Zaki mula pudar
kasihnya. Dan kasihnya mula berputik kepadanya. dialah yang mendesak Zaki agar
memutuskan perhubungannya dengan Aimi. Dialah juga yang memaksa Zaki supaya
masuk meminangnya dan kini mereka telah empat bulan bertunang. Tidak lama lagi,
apa yang dikehendaki akan berada di dalam genggamannya.
Zaki memandang Aimi dari jauh. Lega
hatinya apabila melihat Aimi sihat dan wajahnya kelihatan berseri-seri. Cantik
dan ayu biarpun kelihatan sikit berisi. Jadi kurang sikit rasa bersalah di
dalam hatinya.
Tetapi mengapa Aimi berada di sini?
Bukankah dia bekerja di Bangi? Tinggal bersama keluarganya di Bangi? Spontan
hatinya dihujani soalan.
“Tapi kenapa dia ada kat sini, dear?” Soal Najwa apabila terlintas di
dalam hatinya, Aimi bukan kerja di Shah Alam ini.
“Entah-entah dia datang cari you
tak? Nak pujuk rayu you supaya kembali padanya?” Serkap Najwa lagi dengan suara
sinis. Perempuan tak malu, orang tak hingin, masih lagi terhegeh-hegeh.
“You takkan layan diakan? Lagipun
takkanlah you hendak perempuan gemuk macam tukan?” Soal Najwa lagi mendesak,
sambil memeluk erat lengan Zaki.
"You juga kata dia perempuan
gemuk, mestilah I takkan pandang dia lagi. Lagipun you sepuluh kali lebih
cantik di mata I" Balas Zaki, memuji.
Najwa puas hati. Dia yakin, hati
Zaki telah seratus peratus ditaklukinya.
Tanpa mereka sedari perbualan
mereka didengar oleh sepasang telinga dan dilihat oleh sepasang mata di
belakang. Niatnya tadi ingin menegur pegawai bawahannya, terbantut apabila mendengar
nama isterinya di sebut-sebut dan dikutuk-kutuk. Jika diikutkan hati panas ini,
ingin ditampar mulut cabul itu. Namun benteng sabar masih lagi dapat
membendungnya.
Nasrul melihat di hadapan mereka
berdua, isterinya sedang tercari-cari dirinya sambil menolak perlahan troli
berisi barang-barang dapur. Mereka berdua perlu diajar supaya sedar diri dan
mensyukuri di atas apa yang dimiliki.
“Hai.. Zaki dan Najwa. Kebetulan
pula kita jumpa di sini. Beli barang apa?” Tegurnya.
Pantas mereka berpaling.
“Ooo.. Hai Encik Nasrul. Adalah
sikit barang yang hendak dibeli. Tak sangka pula dapat jumpa encik kat sini?”
Ramah Najwa menjawab. Manakala Zaki dan Nasrul berjabat tangan.
“A’aah teman orang rumah beli
barang dapur,” jawab Nasrul sambil tersenyum. Dia melambai-lambai kepada
isterinya supaya menghampiri mereka bertiga.
Dari jauh Aimi dapat mengenali
lelaki yang berada di sebelah suaminya. Serba salah mahu menghampiri tetapi
apabila dipanggil oleh suaminya, dalam terpaksa rela dilangkahkan kaki
menghampiri mereka. Senyuman nipis dihadiahkannya.
Sampai di situ, Nasrul terus
menarik tangan Aimi. Dipeluk bahu isterinya kejap-kejap bagaikan memberi
kekuatan. Baru beberapa malam lepas mereka bercerita tentang kisah lalu.
Rupa-rupanya Zaki, bekas kekasih isterinya orang bawahannya. Alangkah kecilnya
dunia ini. Ingatkan jauh, rupanya orang disekelilingnya juga.
“Sayang, kenalkan ni Zaki dan Najwa
staff abang,”
“Kenalkan isteri saya Aimi.” Nasrul
memperkenalkan mereka bertiga.
Najwa dan Zaki saling berbalas
pandang. Kelu lidah mereka. Dalam keterpaksaan senyuman dihadiahkan.
“Oowh.. lama tak jumpa. Apa
khabar?” Sapa Aimi. Dia bersikap biasa. Jika tadi hatinya cuak sedikit, kini
tidak lagi. pelukan kemas suaminya memberikan dia kekuatan untuk menghadapi
kisah silam.
“Baik. Aimi apa khabar?” Soal Zaki
berbahasa.
“Aimi kenal ke Zaki ni?” Soal
Nasrul pura-pura terkejut.
“Kenal. Kami satu kolej dulu semasa
di Universiti,” Jelas Aimi.
“Oooo patutlah.”
Zaki dan Najwa tidak terkata
apa-apa apabila melihat kemesraan bos mereka.
“Bila kahwin? Tak ajak pun?” Najwa
meramahkan diri. Walaupun kekok, namun dicuba juga agar tidak nampak ketara
kekalutannya.
“Tiga bulan lepas,”
“Eh sebenarnya kami tak boleh lama
ni, Aimi tak berapa sihat. Maklumlah alahan,” Jelas Nasrul lagi.
Aimi tersengih. Merona wajahnya,
membuatkan dia kian berseri-seri.
“Oooo.. betul ke. Tahniah.
Cepatnya! Dah berapa bulan?” Soal Najwa terkejut.
Zaki lagilah tak terkata.
“dua bulan lebih. Tu yang semakin
sihat,” Balas Nasrul sambil memaut mesra jemari isterinya.
“Korang bila pula nak kahwin ni?”
Soal Nasrul lagi.
“InsyaAllah, tak lama lagi” Balas
Najwa ceria, dipaut juga lengan Zaki. Dia ingin menunjukkan bahawa mereka juga
tengah bahagia.
Aimi dan Nasrul berpandangan. Kasih
sayang mereka jelas kelihatan. Nasrul menghulurkan tangan untuk berjabat dengan
Zaki.
“Jumpa lagi, terima kasih. Jika
tidak kerna kau, aku takkan menemui kebahagiaan ini.” bisik Nasrul perlahan
ditelinga Zaki.
Zaki terpegun di situ. Najwa
juga. Nasrul dan Aimi melangkah pergi meninggalkan mereka berdua yang
terpaku di situ.
nota kaki.....
Putus cinta bukan bererti
akhirnya dunia indah.
Sebaliknya permulaan keindahan
dunia cinta yang sebenar.
Kecantikan rupa tidak semestinya
menjadi faktor utama menjadi pilihan,
Sebaliknya kecantikan dalaman
menjadi kayu penyukur kebahagiaan.
Cantik di matanya bukannya
selalu dilihat sebagai permata,
Sebaliknya cantik budi bicara
seringkali dilihat sebagai mutiara.
Jadi jangan terlalu memilih
rupa,
Sebaliknya kenali hati budinya.
Bahagia itu milik semua, bukan
seorang sahaja.
Ada sebab mengapa dan kenapa
kelukaan itu terjadi,
Salah satunya kerna DIA ingin
menguji
Dan memberikan kebahagiaan yang
hakiki.
Semoga dapat memberi pengajaran
positif kenapa mereka yang pernah putus cinta.