Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
37,540
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

SUDAH lama Irdina menghitung hari untuk bertemu Raif. Kali terakhir mereka bertemu, adalah dua bulan yang lalu. Ketika Raif datang menemuinya sehari sebelum dia ke Kuala Kubu Baharu untuk aktiviti berkayak. Sangkanya, Raif akan turut berkayak bersama rakan-rakannya. Hatinya bercambah bahagia. Tetapi rupanya, Raif sekadar menjenguk dan menyuarakan rasa ralat kerana terpaksa menolak untuk menyertai aktiviti tersebut.

Hampa dan sedih. Itulah yang Irdina rasai saat menatap wajah Raif. Namun, dia berusaha mempamerkan wajah yang setenang mungkin. Tidak mahu Raif perasan, hatinya sedang bergumpalan dengan rasa kecewa.

Sekembali dari Kuala Kubu Baharu, dia sengaja menyepi diri buat beberapa minggu. Ditahan hati agar tidak menghubungi lelaki itu. Kononnya ingin menguji diri. Tetapi sudahnya, dia sendiri yang makan hati. Apabila Raif menelefon dan pelawa keluar makan, dia jual mahal dengan mencipta pelbagai alasan. Apabila dia mengajak Raif menonton wayang, lelaki itu asyik membatalkan pertemuan. Alasan Raif, dia terlalu sibuk kebelakangan ini. Atau mungkinkah Raif sengaja menguji?

Tiba-tiba seawal pukul 7.00 pagi Ahad itu, dia menerima kiriman mesej Raif.

Idin, u free hari ni?

Tgh hari nak temankan mama, atuk & wan pergi kenduri kahwin

Oh…

Y?

Thinking of going out with u this morning… say around 10am?

Membaca mesej itu, Irdina mula tidak tentu rasa. Ingin menolak tapi hati sudah riang melonjak. Untuk menerima begitu sahaja, pasti Raif dapat menjangka yang selama ini dia tertunggu-tunggu peluang untuk keluar bersama. Mana mungkin dia memberi laluan semudah itu.

Let me ask mama

Jawapan yang Irdina fikir, cukup selamat. Tidak menampakkan keterujaan dan tidak juga menyatakan sebarang penolakan.

Yes dear… pls do so. Am waiting for the answer…

Jawapan Raif yang ringkas, tetapi terselit satu pengharapan di dalam bait ayatnya. Sehingga mencairkan hati Irdina yang sudah beku berminggu lamanya.

Akhirnya, pelawaan itu telah memaksa dia memujuk dan merayu pada Yasmin agar diberi ‘pelepasan’ daripada menghadiri kenduri kahwin jiran sekampung mereka tengah hari nanti. Hanya Raif Imran yang mahu ditemui.

PADA awalnya, Raif ingin membawa Irdina ke mana-mana hotel yang menawarkan buffet breakfast. Tetapi gadis itu kepingin untuk menikmati dim sum di sebuah restoran yang terletak di Maju Junction. Diturutkan sahaja selera Irdina agar tidak berkecil hati. Bukankah hari itu dia mahu menebus rasa bersalahnya kerana ‘mengabaikan’ Irdina hampir dua bulan lamanya?

‘‘Lepas white water rafting di KKB, you merancang nak ke mana lagi lepas ni?’’ soal Raif selepas mendengar Irdina menceritakan pengalamannya mengemudi rakit melawan arus sungai yang deras. Terpancar keceriaan di wajah Irdina sewaktu berborak. Menampakkan yang gadis itu cukup seronok dan teruja dengan hobi yang diceburinya.

Irdina menyepit Siu Mai dengan chopstick dan meletakkan di atas piring. ‘‘Lepas ni, kita orang ingat nak ke Sungai Kampar di Perak. Nak cuba rafting di sana pulak.’’ Perancangan yang sudah dibuat bersama Feroz. Irdina berharap, satu hari nanti Raif terbuka hati untuk menyertainya. Tetapi andai kata Raif menolak, dia harus menerima hakikat yang Raif sebenarnya tidak boleh ‘masuk’ ke dalam dunianya itu.

‘‘Sungai Kampar pulak,’’ ulang Raif sambil tersenyum. Hebat betul, Idin. Dalam diam, dia mengagumi dan menyimpan ‘cemburu’ dengan kehidupan Irdina. Di waktu dia sedang bergelut dengan kerja-kerja yang bertimbun di pejabat dan terkejar-kejar dengan business appointment sana sini, gadis itu teruja mengisi masa dengan pengalaman yang berharga. Ternyata dunia mereka berbeza. Tetapi menyelami dunia Irdina yang penuh warna-warni itu, seakan satu pengalaman untuk dirinya yang sentiasa bergelumang dengan kerja.

‘‘Hai Raif!” Tiba-tiba muncul seorang gadis yang sarat bergaya dengan tudung stail Turban berwarna merah menyala.

‘‘Eh... Wati. Hai!’’ tegur Raif apabila Wati sudah berdiri di tepi meja. Gadis yang dikenali sewaktu dia berurusan dengan syarikat telekomunikasi di mana tempat Wati bekerja sebagai Eksekutif Perhubungan Awam.

‘‘Minggu lepas, banyak kali I telefon you... kenapa tak dapat?’’ Dia dan Raif saling berhubung. Sesekali keluar minum berdua. Pernah juga dia menemani Raif ke konsert seorang artis antarabangsa di Stadium Nasional Bukit Jalil pada tahun lepas. Gembira dan bangga rasanya apabila jalan beriringan dengan Raif dan ada pula mata-mata yang memandang mereka.

‘‘So sorry, dear... I was so busy last week.Nak telefon you semula tapi terlupa pula lepas tu.’’

‘‘I ingat nak ajak you pergi pembukaan satu kelab baru. I dapat jemputan untuk dua orang.’’

‘‘Oh ya ke? Minggu lepas I sibuk betul... kalau you ajak pun, memang I tak boleh pergi.’’ Raif tidak pernah menipu tentang kesibukannya. Namun, terpulang kepada orang lain untuk menerima alasan itu atau tidak.

‘‘Ni... I kenalkan Irdina. Irdina... ni Wati.’’ Raif memperkenalkan kedua-duanya kerana tidak mahu memanjangkan perkara itu. Nanti Irdina terhidu pula yang dia dan Wati pernah keluar berdua.

Irdina menghulur salam kepada Wati diiringi senyuman. Dia memang menunggu masa untuk diperkenalkan kepada gadis yang berseluar jean hitam dan memakai kemeja-T turtle neck yang ketat mengikut ukuran badan itu. Kerana dia ingin tahu, siapakah Wati serta statusnya di hati Raif.

Tetapi ternyata Raif ‘play smart’. Langsung tidak menyebut apa kaitan dirinya dengan Wati dan sekali gus tidak menyebut siapakah ‘Irdina’ di hatinya. Raif benar-benar telah ambil jalan selamat agar tidak terperangkap. Takut rahsia terbocor dan jatuh saham ke? Irdina mengomel di dalam hati apabila gagal mendapat sebarang jawapan.

Wati menyambut salam Irdina. Senyuman paksaan dilemparkan. Siapakah Irdina yang berjaya mencuri waktu Raif di celah-celah kesibukan lelaki itu? Kekasih ke?

‘‘Bila dah tak sibuk... telefonlah I. Dah lama kita tak keluar minum-minum.’’ Wati kembali menatap wajah Raif. Bagai Irdina tidak wujud di depannya. Raif tidak berterus-terang tentang status Irdina. Maknanya jejaka itu masih solo dan peluang terbuka luas untuk mengisi kekosongan.

‘‘Okey.’’

‘‘I tunggu tau!’’ Lunak manja suara Wati. Sempat dia mencuit bahu Raif sebelum meminta diri untuk beredar dari situ.

Mendengar Raif berjanji dan kesanggupan Wati untuk menunggu, Irdina hanya mampu menelan liur. Kalau tadi, hatinya dihampari bahagia kerana menjadi gadis yang paling bertuah untuk duduk menikmati dim sum dengan Raif di pagi Ahad yang indah itu. Tetapi adakah tuah itu akan berpanjangan jika Raif sudah berjanji untuk menemui gadis lain selepas ini?

Irdina melepaskan keluhan dalam diam. Walaupun dia tahu, cemburu itu tidak harus menguasainya, tetapi sentimen itu tetap mencucuk hatinya.

KALAU pagi tadi hati Irdina bagai dicucuk jarum cemburu, kini dia merasakan yang Raif Imran memang seorang yang pakar dalam mengubati cemburu yang mencucuk-cucuk sebentar tadi.

Itulah yang dirumuskan oleh Irdina sepanjang enam jam mereka keluar bersama. Raif memenuhi seleranya untuk menikmati dim sum. Kemudian beratur untuk mendapatkan tiket sebagai menunaikan permintaannya untuk menonton wayang. Usai bersolat zohor di surau Berjaya Times Square, Raif bertanya pula, ‘‘You nak shopping ke, Idin? Kalau you nak, I boleh temankan you.’’

Ayat yang membuatkan Irdina terpegun seketika. Raif terlebih baik hari ini! Tetapi apa agenda lelaki itu sebenarnya? Untuk menebus rasa bersalah atau sememangnya Raif ikhlas mahu menemaninya makan, tonton wayang dan membelah-belah sepanjang hari? Namun, semua tindakan Raif itu bagai menghapuskan segala rasa cemburunya. Hatinya sejuk kembali.

‘‘I nak window shopping aje. Nak tengok harga pasaran beg-beg tangan branded ni. Kalau I jual online, boleh I beri harga yang lebih kompetitif.’’ Akhirnya Irdina tidak menolak cadangan Raif. Alang-alang sudah berada di situ, lebih baik dia manfaatkan masa dengan membandingkan harga beg-beg yang dipasarkannya secara online. Dan alang-alang Raif sudi menemani, biarlah sampai ke petang Raif berada di sisi... barulah puas hati!

‘‘Jimat duit I kalau dapat isteri macam you, Idin... bila ajak shopping,cukup setakat window shopping aje,’’ ucap Raif selamba. Irdina cukup berlainan daripada gadis-gadis yang pernah didampinginya. Kalau gadis yang lain tu, membeli-belah bagai tiada esok hari!

Kelu seketika Irdina tatkala perkataan ‘isteri’ itu hinggap di telinga. Inilah perkara yang ‘paling tidak disukainya’ tentang Raif. Lelaki itu gemar menuturkan ayat-ayat sebegitu. Sedarkah Raif bahawa ayat yang berbaur gurauan itu mampu membuatkan dia jatuh perasan?

Dia menoleh ke arah lelaki itu. Kebetulan pula, Raif turut memandangnya. Ada senyuman menghiasi bibir lelaki itu. Dan ini merupakan perkara kedua yang ‘paling dibenci’ tentang Raif. Senyuman yang menggoda itu membuatkan dia teringat-ingat hingga ke malam hari.

Sesungguhnya Irdina akui, Raif Imran sememangnya pakar dalam mengocak hati wanita!

JAM sudah melepasi lima petang tatkala Scirocco yang dipandu oleh Raif keluar dari pusat membeli-belah Berjaya Times Square itu.

‘‘Idin, petang-petang macam ni... you rasa apa yang sedap dimakan, ya?’’ soal Raif memandang gadis yang mengenakan blaus dari kain sifon berwarna biru cair serta dipadankan dengan seluar linen berwarna putih itu.

Ketika itu, mereka sudah memasuki kawasan Ampang untuk menghantar Irdina pulang ke rumah. Kalau boleh, dia masih mahu berlama dengan Irdina. Sampai ke malam pun tidak mengapa. Kerana selepas ini, dia tidak pasti bila kesempatan itu akan datang lagi jika dia kembali menyibukkan diri.

‘‘Goreng pisang yang panas-panas... lepas tu letak aiskrim. Fuh... heaven!’’ Irdina menjilat bibirnya membayangkan aiskrim berperisa coklat yang mencair di atas kepingan pisang goreng yang baru diangkat dari kuali. Memang enak!

Raif menoleh ke arah Irdina dan tersenyum. Reaksi Irdina menjilat bibir tampak comel dan seksi. Bergetar sesaat jiwanya. ‘‘Mana nak cari goreng pisang yang sedap dan panas?’’ Cepat-cepat dia menyoal untuk menghapuskan getaran yang tiba-tiba mengasaknya.

Irdina menuding jari ke depan. ‘‘Tu... dekat simpang nak masuk ada gerai jual goreng pisang. Jom kita singgah beli.’’ Sambil dia menghantar mesej kepada Yasmin untuk memastikan mamanya itu ada di rumah dan stok aiskrim mereka mencukupi.

‘‘Lepas tu?’’

‘‘Err... lepas tu, kita bawalah balik ke rumah. Di rumah I ada aiskrim.’’ Irdina mempelawa bila Raif kelihatan seperti mahu melengah-lengahkan kepulangannya ke rumah. Dia ni tak nak balik Bangsar ke?

Raif tersenyum mendengar pelawaan secara tidak langsung daripada Irdina. Kalau dapat lepak di rumah Irdina hingga ke maghrib pun bagus juga. ‘‘Mama you ada kat rumah?’’

‘‘Mestilah ada.’’

‘‘Alaa...’’ Raif buat mimik muka.

‘‘Apa alaa?’’ Mata Irdina yang membulat mengundang tawa Raif. ‘‘Sebab mama ada di rumahlah I ajak you. Kalau mama I tak ada... takkan nak ajak you balik? Nak cari nahas?’’ Irdina pura-pura marah dengan idea gila Raif untuk bertandang ke rumahnya jika Yasmin tiada. Sedangkan dia juga hampir tertawa dengan fikiran nakal Raif itu.

Jawapan selamba Irdina menyambung tawa Raif. Dia sengaja mengusik walaupun sudah maklum akan pendirian gadis itu. Sungguhpun Irdina kelihatan bebas, tetapi gadis itu tetap berpegang kepada agama, adab dan adat. Itulah antara tarikan yang membezakan Irdina dengan gadis lain.

Tiba di simpang, Raif memperlahankan keretanya bila menghampiri gerai pisang goreng yang dimaksudkan oleh Irdina. ‘‘Tak ada parkinglah, Idin,’’ omelnya. Di sepanjang bahu jalan sudah berderet dengan kereta lain. Kalau dia terpaksa melakukan double parking, maknanya dia tidak boleh sesuka hati keluar dari kereta kerana tindakan itu akan menghalang lalu lintas di situ.

‘‘Tak apalah. You tunggu aje dalam kereta... biar I yang turun pergi beli.’’ Irdina menawarkan diri. Lantas dia mencapai beg duitnya dan membuka pintu kereta sebelum sempat Raif membalas kata-katanya.

Sesudah Irdina turun, Raif menganjakkan keretanya beberapa meter ke hadapan apabila terlihat ada ruang kosong untuk mencelah.

Lantas dia memakirkan keretanya di petak yang disediakan. Baharu sahaja dia ingin mematikan enjin kereta untuk keluar mendapatkan Irdina yang sedang menanti goreng pisangnya dibungkus, tiba-tiba dia terdengar bunyi hiruk-pikuk suara orang ramai di luar kereta. Raif pantas memandang cermin pandang belakang. Dari cermin itu, dia lihat ada kekecohan yang berlaku di gerai goreng pisang itu. Tetapi figura Irdina tiba-tiba hilang dari pandangan.

Raif menggelabah. Mana Irdina? Tanpa berlengah sesaat pun, dia terus keluar dari kereta dan berjalan laju menuju ke gerai itu. Dadanya mula berdebar melihat orang ramai sedang mengerumuni gerai tersebut. Ada kekecohan sedang berlaku. Kuali dan dulang pisang goreng bertaburan ke tanah.

Tiba-tiba telinganya menangkap suara orang ramai berteriak cemas.

‘‘Tolong... tolong! Perempuan ni pun kena minyak panas jugak!’’

Serta-merta darah Raif berderau. Idinkah yang terkena minyak panas itu?

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh