Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
55,930
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

TANGAN sebelah kiri memegang telefon yang terlekap di telinga sementara tangan kanannya sibuk menandatangani cek-cek pembayaran kepada pembekal Ilyas Trading. Sudah menjadi kebiasaan Raif, dia mampu menjalankan dua kerja dalam satu masa. Mendengar dan meneliti baucer pembayaran sekali gus.

‘‘Okey Fawzia, kalau macam tu... kita jumpa pukul 4.30 hari Rabu di ofis I. Kawan I yang berminat tu pun, akan ada sekali,’’ ujar Raif sebelum menamatkan perbualan dengan Fawzia.

‘‘Nanti kita jumpa,’’ balas Fawzia.

Setelah mematikan talian, pantas Raif mengirim mesej kepada Mayza untuk memaklumkan tentang temu janji mereka. Dia tidak pernah memaksa, tetapi kalau Mayza sendiri yang menunjukkan minat untuk melabur di dalam syarikat FZ Investment Corporation itu, dia mengalu-alukannya.

Sebagai sahabat, dia juga mahu teman-temannya mengumpul duit dan harta pada usia muda dan sihat begini. Dia sendiri sudah ada perancangan jangka panjang, bagaimana mahu menambah harta yang ada.

Selang beberapa minit, dia menerima kiriman balas daripada Mayza.

I'l be there. Tapi Raif, lps meeting tu boleh tak u hantar I ke service centre di PJ? I hantar kereta I servis hari tu...

Ok… nnt I hantar u

Thanks Raif

No prob dear!

Ketukan di pintu mengejutkan Raif. Sejurus kemudian, daun pintu terbuka luas. Melissa Heng melangkah masuk.

‘‘Ya yang...’’ sapa Raif kepada setiausahanya yang sudah berkhidmat melebihi empat tahun itu.

Melissa menggeleng kepala dengan telatah bosnya. Kalau orang lain yang mendengar panggilan ‘yang’ itu terpacul di bibir Raif, tentu heboh satu Ilyas Trading bergosip bahawa Raif ada hubungan sulit dengan setiausaha. Pasti kecoh. Tambahan pula, setiausaha itu merupakan wanita yang tujuh tahun lebih berumur daripadanya, seorang isteri serta ibu kepada dua orang anak! ‘‘Teh yang you minta tadi... tanpa gula.’’

‘‘Terima kasih. Letak aje kat situ.’’

Melissa meletakkan kole berisi teh di hadapan Raif. Kemudian dia menghulurkan beberapa helaian kertas yang dibawanya bersama. ‘‘Ini senarai yang you minta...’’

Raif menyambut helaian kertas terebut. Matanya laju meneliti senarai yang tertulis di atas kertas itu.

‘‘Ada banyak syarikat pengeluar tablet yang beroperasi di Taiwan. Tapi I pilih lima yang terbaik. Mana yang you berminat, I boleh print profil syarikat mereka,’’ terang Melissa sambil memerhatikan Raif yang tekun menatap senarai itu.

‘‘Bagus! Ni yang buat I sayangkan you, Mel. I minta you cari senarai, tapi you awal-awal dah shortlisted lima yang terbaik,’’ puji Raif sambil terangguk-angguk.

Melissa Heng tersenyum tawar mendengar pujian itu. Bukan dia tidak berbangga apabila hasil kerjanya dipuji, tetapi ada sesuatu yang mengganggu akal dan fikirannya saat itu. Bagaimana untuk meluahkannya kepada Raif bila lelaki itu sering meletakkan kepercayaan kepadanya.

‘‘Sehari dua ni I tengok you macam lesu aje. You tak sihat ke Mel?’’ Mata Raif cepat terperasan pada senyuman Melissa yang tidak ceria itu. Apa yang mengganggu hati dan fikiran wanita yang kadang-kadang dianggap sebagai rakan baik, bukan sekadar setiausaha.

‘‘Penat sikitlah bos. Baby I tu tak sihat,’’ adu Melissa.

‘‘Tak baik lagi demam?’’ Raif hairan. Sepanjang minggu lepas, Melissa sudah mengambil cuti kecemasan selama tiga hari kerana menjaga anaknya.

‘‘Hari tu memang demam, dah baik pun. Tapi kali ni macam dia susah nak bernafas pula.’’ Melissa sudah berkira-kira untuk meluahkan hasratnya. Namun, dia serba-salah. Bukan dia tidak sayangkan Raif sebagai bos yang baik serta dedikasi, tetapi dia juga sayangkan keluarganya.

‘‘Bawalah dia ke hospital, Mel... buat ujian darah. Sekarang ni ada macam-macam outbreak. Better be safe than sorry,’’nasihat Raif. Bimbang jika anak Melissa diserang apa-apa penyakit bawaan yang muncul satu demi satu sekarang ini.

‘‘I tahu. Petang semalam dah pun bawa ke klinik. Bos, I ingat...’’ Tiba-tiba bunyi ketukan di pintu membantutkan kata-kata Melissa.

‘‘Masuk,’’ sahut Raif sambil jarinya memberikan isyarat kepada Melissa supaya menangguhkan sebentar apa yang ingin diperkatakan. Melissa mengangguk.

‘‘Hai!’’ tegur Ian sebaik sahaja pintu dikuak.

Melihat Ian dan Johana beriringan masuk, Melissa terus membatalkan niatnya untuk menyambung kata. ‘‘Okey bos... I keluar dulu," ujarnya. Dia perlu mencari masa yang sesuai untuk menyatakan hasratnya kepada Raif.

Raif melepaskan Melissa keluar dari biliknya. Apa sahaja perkara yang Melissa ingin katakan tadi, pasti akan dibincangkan di lain waktu.

‘‘Jom lunch sekali... kita nak makan ikan bakar,’’ ajak Johana sambil melabuhkan punggung di atas sofa di sudut bilik Raif.

‘‘Sekarang?’’ spontan Raif menoleh jam di tangannya.

‘‘Sekaranglah... dah pukul 12.00, kan?’’ balas Johana. Akhbar Suara Kota yang terletak di atas meja kopi itu dicapai untuk membaca tajuk utama. Serta merta kenangan lalu ketika bekerja sebagai wartawan di Suara Kota mengusik jiwanya. Kerana kerjaya itulah, dia dipertemukan dengan Raif.

‘‘Ke mana?’’

‘‘Taman Tun.’’ Ian ambil tempat di sebelah Johana.

‘‘I baru makan nasi dagang pukul 11.00 tadi. Kenyang lagi ni. Lewat sikitlah... pukul 1.30 ke.’’ Raif bangun dari kerusi dan menghampiri abang serta kakak iparnya.

‘‘Pukul 1.30... dah ramai orang, nanti ikan bakar pun habis.’’ Johana sudah terbayang-bayang dan terbau-bau ikan terubuk bakar yang dicicah dengan kicap dan kuah asam.

‘‘Raif, kakak ipar you ni kena makan ikut waktu. Kalau tidak, dia marah-marah bila lapar. Right, darl?’’ Ian berlawak mengusik Johana yang begitu berselera sejak hamil ini. Bahu isterinya dipaut lembut.

Johana tersenyum seraya menoleh ke wajah Ian yang begitu hampir dengan wajahnya. Kebetulan Ian juga sedang merenungnya. Hidung mereka hampir berlaga. Bibirnya dan bibir Ian hanya sejengkal jaraknya.

‘‘Oh you two... please get a room! Not here, okay?’’ sergah Raif sebelum kedua-duanya tenggelam dalam menzahirkan rasa cinta itu. Lebih-lebih lagi apabila wajah mereka hampir melekat. Dia sudah maklum, keduanya memang pasangan romantik, tetapi tidak sanggup rasanya jadi penonton sebarang adegan romantik di dalam pejabatnya!

‘‘A'm sairy!’’ Ian mohon maaf dalam slanga Scottish. ‘‘Ingat bilik I tadi!’’ guraunya.

Johana cepat-cepat melarikan wajahnya yang sudah merah lantas mencubit pinggang Ian yang bergurau begitu. Saja nak buat malu! Dan apabila Raif menyangkakan yang dia dan Ian akan berkucupan mesra, mukanya tebal seinci lagi. Kalau pun dia dan Ian terniat untuk melakukan apa-apa, pasti tidak akan dipamerkan di hadapan Raif... tak sanggup!

‘‘Okey... jom keluar makan. Nanti ada yang ‘kenyang’ lain pulak nanti,’’ perli Raif sambil tergelak berjalan ke muka pintu.

Ian tertawa apabila Raif menyindirnya. Johana masih tersenyum menahan malu.

Setelah berpesan kepada Melissa yang dia akan keluar bersama Ian dan Johana, mereka bertiga melangkah menuju ke lif. Kesibukan tugas masing-masing, sering membataskan mereka untuk meluangkan masa bersama. Biarpun tinggal di bawah satu bumbung dan bekerja di pejabat yang sama, hanya sesekali sahaja mereka berpeluang keluar makan tengah hari bertiga.

‘‘Tak nak ajak Idin makan tengah hari dengan kita sekali?’’ tanya Johana apabila mereka berada di dalam lif.

‘‘Lain kalilah ajelah.’’ Raif menoleh ke jam tangannya. Pejabat Irdina terletak di Jalan 225 Petaling Jaya, manakala mereka di Mutiara Damansara. Walaupun tidak jauh sangat, tetapi untuk mempelawa Irdina menempuh kesesakan jalan raya waktu peak seperti itu hanya sekadar untuk makan tengah hari, takut terganggu pula waktu bertugas gadis itu. Irdina pun baharu dua bulan lebih bekerja. Rekod mesti dijaga... masih dalam tempoh percubaan.

‘‘Idin tu nampak feminin, tapi macam-macam aktiviti lasak yang dia pernah cuba. Berani betul dia.’’ Johana melahirkan rasa kagumnya setelah berpeluang berbual dengan Irdina ketika makan tengah hari di rumah mereka hari Sabtu lepas dan mengetahui hobi gadis itu di masa lapangnya.

‘‘I pun terkejut masa mula-mula dia cerita pergi hiking, rock climbing, flying fox. I sendiri pun tak pernah buat benda-benda macam tu. Idin ni memang jenis yang berani dan nekad. Dia nak buat apa... dia terus buat,’’ beritahu Raif tentang minat dan sifat Irdina yang sedikit sebanyak telah menarik perhatiannya sejak mereka mula mengenali diri masing-masing.

‘‘Is she the one?’’ Ian cuba menyelami hati si adik. Apabila Raif membawa pulang seorang gadis untuk diperkenalkan kepada keluarga, dia mula merasakan yang Irdina dikategorikan sebagai seseorang yang istimewa di mata adiknya itu.

‘‘Buat masa ni, dia yang paling istimewa di antara yang istimewa.’’ Raif mengenyitkan mata sambil tersenyum.

Johana menggeleng kepala. Raif masih Raif yang dahulu ke? Ingatkan sudah berubah. ‘‘Kalau dia yang paling istimewa, tunggu apa lagi? Umi tu, macam dah tak sabar aje nak tambah menantu seorang lagi.’’ Sengaja dia mengusik untuk mengorek rahsia. Di depan Datin Raudhah atau Datuk Ilyas, mungkin Raif segan untuk bercerita. Sebagai seorang kakak ipar, dia tahu yang Raif lebih bersikap terbuka apabila berdepan dengan dia dan Ian.

Sebagai menantu pula, dia sudah maklum yang Datin Raudhah sebenarnya cukup risau dengan jodoh Raif. Takut sangat Raif ‘tersangkut’ dengan gadis yang tidak tentu hala. Kalau disingkap semua sejarah Raif dengan gadis-gadis yang didampinginya, memang boleh dibuat novel bersiri.

Raif buat muka selamba. Dia juga tahu hajat hati Datin Raudhah yang mahu dia berkahwin cepat. Uminya sudah mempamerkan ciri-ciri menyukai Irdina, namun dia tetap dengan perancangan sendiri.

‘‘Not until I reach 30.’’ Dia mengakui, tahap sukanya terhadap Irdina melebihi tahap terhadap gadis-gadis yang lain. Namun, dia masih belum bersedia meluahkannya. Dia menunggu masa yang sesuai untuk mengikat dirinya dalam sebuah perkahwinan.

‘‘Kadang-kadang perkara macam ni, kita tak perlu ada target umur sebab jodoh ni, bukan kita yang rancang. I dulu pun, kononnya nak kahwin umur 30... tapi masa I cecah umur 30, I tak jumpa sesiapa pun yang berkenan di hati walaupun macam-macam gadis yang I kenal sepanjang 10 tahun tinggal di Glasgow tu.’’ Ian terhenti seketika apabila pintu lif terbuka.

Raif terus mendengar sambil mereka berjalan ke arah kereta Ian.

‘‘Tapi ALLAH dah tetapkan jodoh I pada usia 33 tahun dan di tanah air sendiri,’’ sambung Ian sambil membuka pintu kereta untuk Johana dan memandang wajah isteri yang dinikahinya hampir setahun yang lalu dengan penuh kasih.

Hati Johana terusik mendengar kata-kata Ian dan renungan suaminya itu. Jodoh itu rahsia Tuhan. Dia sendiri tidak menyangka, hatinya terus jatuh cinta pada pertemuan pertama dengan Ian. Walaupun dia sebenarnya lebih dahulu mengenali Raif. Sesungguhnya, hanya DIA yang mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-NYA.

Raif mengambil tempat di kerusi belakang Volkswagen Touareg itu apabila Ian menghidupkan enjin kereta. Dalam diam, dia menghalusi kata-kata abangnya yang penuh dengan makna tersirat.

‘‘Macam you sekarang ni, dah jumpa pun calon yang sesuai, kenapa nak tunggu sampai umur 30? Sedangkan you dah ada hampir kesemuanya.’’ Ian meluahkan pendapat berdasarkan pengalamannya. Dalam usia 28 tahun, Raif sudah memiliki kerjaya stabil dan perniagaan yang sedang meningkat naik. Tidak ada sebab untuk Raif menangguhkan perkahwinan jika sudah bertemu idaman hati.

‘‘Along, I kena penuhkan poket dulu sebelum kahwin. Bukan senang nak sara anak orang zaman sekarang ni.’’ Raif mengemukakan alasan. Sekarang ini, segala-galanya perlukan duit. Kerana itu, dia ingin menjana lebih pendapatan terlebih dahulu sebelum berumah tangga. Mungkin dengan pelaburan yang sedang dilakukannya ini mampu memberinya keuntungan yang besar dan berganda. Lantas, memberikan yang terbaik untuk bakal isterinya nanti. Itulah perancangannya.

‘‘Kalau nak tunggu poket penuh baru nak kahwin... susahlah macam tu. Poket awak besar... nanti lambat nak penuh,’’ bidas Johana. Sepanjang mengenali adik iparnya, Raif memang mewah berbelanja berbanding dengan Ian yang lebih cermat. Salah satu perbezaan di antara dua beradik itu.

Raif tersenyum mendengar kata-kata Johana yang berbaur sindiran. Tidak langsung ambil hati. Walaupun komen kakak iparnya itu pedas di telinga dan pedih di hati, tetap dia tahu yang Johana sering bercakap perkara yang benar.

‘‘Nanti I fikir dulu ya? Bila I dah sedia nak kahwin, you all akan jadi orang pertama yang akan tahu. Okey?’’Janji Raif kepada abang dan kakak iparnya sebagai menutup perbualan itu. Walaupun dia bersetuju dengan pendapat Ian dan Johana, namun belum tiba masanya isu itu diperbincangkan secara serius. Perjalanan kisah cintanya masih jauh lagi. Dia masih ada masa yang panjang sebelum meluahkan perasaannya terhadap Irdina.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh