Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
56,057
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

RAIF tiba di Kafe Chawan yang terletak di pusat perniagaan Publika itu tepat jam 5.25. Laju langkahnya menghampiri meja sebaik sahaja terlihat mereka yang menantinya di sudut restoran itu.

‘‘Hi beautiful ladies!’’

‘‘Hi handsome!’’ balas Zoey, Mayza dan Ai Leen serentak.

Raif tersenyum manis. Sejak dahulu, gadis-gadis itu memanggilnya ‘handsome’. Dia menghargai panggilan tersebut dan membalasnya pula dengan panggilan ‘beautiful’ sebagai rasa terima kasihnya. ‘‘Untungnya I hari ni, dikelilingi amoi dan minah cun... all by myself!’’ guraunya.

Zoey, Mayza dan Ai Leen tersengih. Mujur mereka sudah lama mengenali Raif. Kalau tidak, memang mereka akan termakan bicara Raif yang lebih manis daripada gula.

Ada kalanya, mereka tidak pasti sejauh mana Raif ikhlas memuji. Tetapi panggilan ‘handsome’ itu sememangnya satu pujian ikhlas untuk Raif.

‘‘Mana pergi pakwe you all semua? Jimmy tak ikut you turun KL ke, Zoey?’’ tanya Raif kepada Zuhairah Zohri atau nama glamournya; Zoey.

‘‘Jimmy tengah sibuk sekarang ni,’’ beritahu gadis berketurunan Melayu-Melanau itu tentang jadual Jimmy; suaminya. Dia, Jimmy, Ai Leen dan Raif merupakan rakan seuniversiti semasa menuntut di Perth dahulu.

‘‘Raif, antara kami bertiga ni... Zoey seorang saje yang ada suami. I dan Mayza mana ada sesiapa. Nak tackle you, tapi you jual mahal sangat!’’ usik Ai Leen. Baginya yang berbangsa Cina, dia tidak berapa pandang sangat lelaki Melayu. Tetapi harus diakui, raut wajah Raif ada daya tarikan tersendiri sehingga dia mengakui ketampanan jejaka itu.

‘‘Bukan I jual mahal... tapi you dan Mayza sanggup ke bermadu demi I?’’ Raif memanjangkan gurauan.

Meletus tawa gadis-gadis itu.

‘‘Kalau I dan Ai Leen kata ya, macam mana? You sanggup berulang-alik dari rumah I di Seremban ke rumah Ai Leen di USJ?’’ Mayza memancing jawapan. Matanya melirik manja ke arah Raif.

Lelaki yang dikenali ketika menghadiri majlis hari jadi Ai Leen beberapa tahun lepas. Dia dan Ai Leen pernah satu sekolah dahulu dan kini mereka sama-sama mengusahakan sebuah agensi pelancongan. Sejak itu, dia dan Raif mula berkawan. Lebih-lebih lagi apabila Raif pernah menggunakan khidmat agensinya sewaktu Ilyas Trading mengadakan percutian ke Ho Chin Minh City untuk kakitangannya. Tetapi sehingga kini, kenapa Raif tidak pernah cuba untuk menjadi lebih daripada seorang kawan?

‘‘Apa kata, kalau you dan Ai Leen tinggal sebelah-menyebelah. Senang sikit I nak berulang-alik... jimat masa!’’ acah Raif. Baginya, gurauan seperti itu mengikat kemesraan mereka. Menjadikan dia senang bersahabat dengan gadis-gadis itu.

‘‘Keluar pintu rumah Mayza dan lepas tu masuk pintu rumah I... macam itu ke? Banyak cantik!’’ Ai Leen menggeleng kepala dan Raif tergelak besar.

Mayza sekadar memendam rasa di dalam tawanya. Raif cukup mudah didekati, tetapi hati itu amat payah untuk ditakluki.

‘‘Berseri-seri muka you hari ni, Raif. Baru balik dari jumpa girlfriend ke?’’ Bukan Zoey tidak tahu, hidup Raif sentiasa ada kaum Hawa yang menemani.

‘‘Mestilah!’’ Serta merta Raif terbayang wajah Irdina beramah-mesra dengan keluarganya tadi. Sejuk hatinya. Tapi untuk memberitahu mereka akan kewujudan Irdina di dalam hidupnya, belum tiba masanya lagi. Lagipun mereka tidak ada kepentingan untuk tahu, siapa gadis yang begitu dekat di hatinya.

‘‘Ni girlfriendnombor berapa pula?’’ sindir Ai Leen.

Raif tersenyum nakal. Spontan dia mengira jari jemarinya, seolah-olah mengira jumlah teman wanita yang dia ada.

Melihat aksi Raif mengira hingga tidak cukup jari, cemburu Mayza mula melata di hati. Betul ke Raif sudah ada teman wanita? Seramai itu? Atau Raif sekadar bercanda? Lalu dia mencelah, ‘‘Cukup ke jari you tu nak kira? Atau you nak pinjam jari I?’’ Dia mengunjukkan kedua-dua belah tangannya kepada Raif.

Berderai lagi tawa mereka. Raif pura-pura meneliti jari-jemari Mayza yang ditayangkan di depan matanya. ‘‘Cantik sangat jari you ni, Mayza... runcing semuanya. Sampai takut I nak pegang.’’ Cara Raif menolak lembut daripada menyentuh jari Mayza. Tidak mahu menjatuhkan air muka gadis itu apabila huluran tangannya tidak bersambut. Mungkin dia seorang lelaki yang bermanis mulut, tetapi dia bukan lelaki yang suka mengambil kesempatan dengan menyentuh mana-mana perempuan sewenang-wenangnya.

Penolakan Raif itu disambut oleh Mayza dalam tawa yang dipaksa ‘Kalau cantik sangat jari I ni... pegang ajelah, Raif. I rela!’ Namun, dia hanya berkata di dalam hati sahaja.

Setelah pelayan berlalu dengan pesanan mereka, Zoey membetulkan posisi duduknya. Ada perkara yang ingin dibincangkan dengan Raif. ‘‘Okay... let’s talk business. I dah fikir masak-masak pasal investment kita dengan Fawzia dalam FZ Investment Corporation tu dan I nak roll over lagi. I cemburu tengok you dapat 30 ribu, Raif.’’

Ai Leen yang mendengar, membulatkan mata memandang Raif. ‘‘30 ribu, Raif?’’

Raif mengangguk sambil tersenyum. ‘‘Fikir punya fikir, sudahnya I invest 100 ribu hari tu. Dapatlah 30 ribu pulangan.’’ Bila bercakap tentang pelaburan, Raif tidak sorokkan daripada rakan-rakannya. Memandangkan dia, Zoey dan Ai Leen sudah kenal lama, bab duit sebegini dia tidak begitu berahsia. Lebih-lebih lagi, rakan-rakannya itu juga berminat untuk melabur.

‘‘Bila you dah dapat 30 ribu, kawan kita ni pun teringin nak invest juga,’’ beritahu Zoey sambil memandang Mayza.

‘‘You pun berminat, Mayza?’’ tanya Raif kepada pemilik agensi pelancongan itu.

‘‘Berminat juga. I pernah dengar sebelum ni tentang FZ Investment Corporation ni, tapi tak secara terperinci. Tak ada individu yang pernah approach I. Tapi I nak tahu juga, latar belakang profil syarikat ni.’’ Mayza meluahkan rasa minat dan curiganya.

‘‘Yang tu, you tak payah risau Mayza. Hero kita ni dah pergi siasat sendiri semuanya,’’ jelas Zoey.

‘‘I pernah semak di SSM dan semua rekod up to date. Dan I sendiri pergi ke pejabat syarikat tu di Kelana Jaya untuk tengok betul atau tidak syarikat tu wujud.’’ Raif sentiasa mengambil langkah berhati-hati sebelum membuat pelaburan. Kerana itu, dia sendiri membuat semakan dan carian untuk mendapatkan kesahihah dan kebenaran tentang kewujudan syarikat itu. Lagipun, ini bukan kali pertama dia melabur. Cuma, ini kali pertama pelaburannya mendapat pulangan yang paling besar.

Mayza terangguk-angguk. Peratusan keyakinannya mula menaik.

‘‘Masa mula-mula nak labur 20 ribu, I rasa macam tu juga, Mayza. Tapi bila Raif tunjukkan pada I investment agreement yang dia tandatangan dengan established law firm, I rasa investment ni memang genuine,’’terang Zoey tentang pengalamannya.

‘‘I pernah pergi pejabat FZ Investment dan terjumpa empat orang artis terkenal yang kebetulan ada di situ untuk invest. Termasuk juga beberapa orang ahli politik dan kenamaan. Meaning, pelaburan ni bukan calang-calang, Infact, untuk Ilyas Trading I invest 300 ribu... dan syarikat I dah dapat pun post dated cheque berjumlah 90 ribu. Dua minggu lagi, dah boleh bank in.’’ Dalam kepala, Raif mula menghitung aliran tunai Ilyas Trading akan bertambah 90 ribu nanti. Hasil daripada pelaburan yang diperkenalkan oleh Fawzia tiga bulan lepas.

‘‘Convincing,’’komen Mayza.

‘‘Bila nak buat sesuatu pelaburan, kita kena yakin, Mayza. Apa yang buatkan I yakin nak melabur dalam syarikat ni, sebab contoh dah ada di depan mata. Kawan I yang invest sebelum ni, dah dapat untung hampir setengah juta!’’ cerita Raif apabila melihat bagaimana Atilia yang sekarang sudah mewah kerana pelaburannya beroleh keuntungan hingga mencecah setengah juta.

‘‘I ingat you melabur sebab minah yang propose investment tu, cantik gila.’’ Ai Leen menyindir.

Raif tersengih. ‘‘Itu kriteria nombor dua!’’

‘‘Dah agak pun!’’ sambung Ai Leen lagi sambil mencebir. Raif pantang lihat gadis dahi licin. Kerana itu agaknya Raif tidak pandang dirinya yang ada parut jerawat di muka!

‘‘Tapi Fawzia tu memang hottie, Ai Leen!’’ Raif tergelak-gelak sengaja untuk menyakat Ai Leen yang sudah mencebik memandangnya.

“Dasar lelaki!’’ kutuk Ai Leen dan Zoey.

Raif mendepangkan tangan sambil ketawa. Seakan bersetuju dengan kata-kata Ai Leen dan Zoey. Dah namanya lelaki, kan?

‘‘Macam mana you boleh kenal Fawzia tu, Raif?’’ selidik Mayza sambil hati menahan rasa cemburu terhadap Fawzia yang berjaya menarik perhatian Raif dan digelar ‘hottie’itu. Di samping untuk mengetahui latar belakang Fawzia sebelum dia turut sama melabur.

‘‘I kenal Fawzia melalui Atilia. Remiser I.’’

Mayza menelan liur. Atilia pulak dah... lagi seorang pesaing nampaknya! ‘‘Atilia ke yang dapat returns setengah juta tu?’’ soalnya.

‘‘Atilia dah lama invest sebelum ni. Dan bila I tengok keuntungan yang dia dapat setiap tiga bulan, I jadi tertarik. So, I pergi sendiri semak latar belakang syarikat tu untuk puaskan hati I. Bila tengok pula artis-artis yang invest tu dapat cek 200, 300 ribu... come on... siapa tak nak duit macam tu, kan?’’

‘‘Impressive! Berapa yang you all nak invest kali ni?’’ tanya Mayza sambil memandang wajah Zoey dan Raif silih berganti.

‘‘Untuk Ilyas Trading, I tak invest lagi... tengok dulu cashflow macam mana. Tapi I terfikir untuk roll over duit sendiri. Mungkin kali ni I nak invest lebih banyak lagi... dalam 300 ribu.’’

Ketiga-tiga gadis itu melopong. ‘‘Banyak tu, Raif!’’

‘‘Bigger returns!’’

‘‘Raif, you tolong beritahu Fawzia I nak roll over 20 ribu dan tambah lagi 30 ribu,’’ sampuk Zoey sambil mengeluarkan sehelai sampul surat yang berisi sekeping cek dari dalam begnya. Kemudian, dia menghulurkannya kepada Raif.

Raif menyambut sampul surat tersebut.

‘‘Maknanya you nak invest 50 ribu, Zoey? Banyak tu... Jimmy tahu tak?’’ Memandangkan Zoey dan Jimmy adalah rakan baiknya ketika menuntut di University of Curtin dahulu, Raif tidak mahu persahabatannya dengan Jimmy tercalar pula gara-gara tindakan berani Zoey melabur 50 ribu seperti itu.

‘‘Ini duit I... tak payah beritahu Jimmy pun tak apa. Nanti bila dapat returns... I cakaplah pada dia.’’ Bagi Zoey, dia berhak ke atas duitnya sendiri.

‘‘Kalau you nak invest, berapa yang you sanggup, Mayza? Kalau kurang daripada 100 ribu, you boleh tumpang nama I aje. I masuk 300 ribu, Zoey masuk 50 ribu. Dan kalau kita boleh dapat dua atau tiga orang lagi yang sanggup labur 50 ribu atau lebih... kita dump 500 ribu terus.’’ Raif bersemangat. Peluang ini terbuka kepada sesiapa sahaja. Kalau dia sudah beroleh keuntungan sehingga 30 peratus, apa salahnya dia berkongsi keuntungan itu dengan rakan-rakan lain.

Mayza diam berfikir tentang simpanannya. ‘‘Kalau I nak invest pun, mungkin tak sebanyak macam you, Raif.’’

‘‘Nak melabur ni kena tengok kemampuan kita, Mayza. Jangan melabur sampai nanti poket you koyak pulak. Ikut berapa yang you mampu sebab ini bukan paksaan pun.’’ Zoey mengulangi nasihat yang pernah Raif katakan kepadanya saat ingin melabur tiga bulan yang lalu.

‘‘Mayza, kalau betul you nak invest, I bawa you jumpa Fawzia supaya dia boleh jelaskan lebih terperinci. Jumpa di ofis I pun okey, lagi senang,’’ ujar Raif ingin memudahkan Mayza.

‘‘That'll be good.’’ Mayza bersetuju. Peluang untuk melabur ini mungkin satu cara untuk berurusan dengan lebih kerap bersama Raif. Kalau sebelum ini, mereka hanya bertemu sekadar minum-minum petang. Mungkin selepas ini, peluang untuk mendekati Raif lebih luas.

Dia mula membayangkan hari-hari yang pasti indah bila bertemu Raif. Kerana rasanya, dia amat secocok dengan Raif. Raif ada rupa dan bijak. Raif juga ada perniagaan sendiri. Semua kriteria yang Raif ada, merupakan ciri-ciri yang dia mahu dalam calon suaminya.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh