Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
55,914
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

SELESAI sudah mereka menjamu selera tengah hari Sabtu itu. Sesi suai-kenal antara Irdina dan keluarga Raif berlangsung dengan lancar dan mesra. Keramahan keluarga Raif benar-benar membuatkan Irdina tidak berasa asing dan kekok sepanjang tiga jam berada di dalam banglo itu.

Terjawablah beberapa persoalan yang bermain di minda Irdina sebelum ini tentang perbezaan wajah Raif dan abangnya yang pernah menjalani rawatan fisioterapi dahulu. Rupanya, Ian Redza adalah adik-beradik berlainan ibu dengan Raif dan Raiha. Ibu kandung Ian adalah wanita berbangsa Scottish bernama Ruth Caitlin McHardy. Manakala ibu Raif bernama Datin Raudhah. 

‘‘Saya balik dulu ya, aunty.’’ Irdina meminta diri apabila jam sudah melangkau ke 4.00 petang. Tangan wanita separuh abad itu disalami.

‘‘Nanti Idin datanglah sini lagi. Kalau Raif tak bawa pun, datang aje sendiri,’’ pelawa Datin Raudhah mesra. Sejak dari dulu lagi, dia sudi menerima rakan-rakan anaknya sebagai tetamu. Dari situ, dia boleh mengenali mereka dengan lebih dekat. Justeru, boleh dinilai yang mana sesuai dijadikan kawan dan yang mana pula selayaknya dijadikan menantu. Lebih-lebih lagi untuk anak bujangnya yang seorang itu.

Irdina hanya mengangguk dan tersenyum. Dalam hati terasa cuak. Nak datang tanpa Raif? Aduh... segannya! Aku ni siapa untuk Raif? Jangankan tunangan, teman wanita Raif pun masih 50-50 peluangnya. Status: complicated!

‘‘Kirim salam pada atuk Idin, ya?’’ Ian Redza yang patah kaki itu sudah sembuh 100 peratus sekarang ini. Malah dia dan isterinya; Johana bakal menimang cahaya mata pertama beberapa bulan lagi.

‘‘Insya-ALLAH, along.’’ Pelik rasanya bagi Irdina untuk memanggil Ian dengan panggilan along. Tapi menurut Raif, mereka adik-beradik memanggil Ian dengan panggilan itu. Maka, Irdina juga tidak sepatutnya berasa canggung untuk turut memanggilnya. Tapi aku ni bakal jadi ‘adik-beradik’ juga ke nanti?

‘‘Idin, nanti bila tak sibuk... jom kita keluar minum. Girl’s day out. Apa you nak tahu pasal abang I, tanya aje. Ada banyak tentang Raif Imran yang kita boleh cerita... tak gitu Kak Jo?’’ Raiha Imani, adik bongsu Raif mula menyakat. Dia mengenyit mata kepada Johana.

‘‘The untold story of Raif Imran,’’giat Johana dalam tawa. Dia tahu yang Raiha memang sengaja hendak ‘mengenakan’ Raif di depan Irdina. Kedua-dua adik iparnya itu memang saling ‘berdengki.’

Irdina tertawa. ‘‘Okey... nanti kita catch up.’’ Ya... memang dia perlukan tempat rujukan untuk tahu lebih lanjut tentang lelaki ini. Apakah status sebenar Raif di kalangan gadis-gadis yang pernah didengar namanya seperti Atilia, Zoey, Mayza dan entah siapa-siapa lagi!

‘‘Komplot nak kenakan I lah ni.’’ Raif picing mata memandang Raiha dan Johana yang tergelak-gelak mengenakannya. Kalau dahulu, Raiha seorang sahaja. Kini kakak iparnya pun sekepala juga.

Meletus tawa mereka di anjung rumah. Setelah bersalaman dengan Johana dan Raiha, Irdina melangkah ke Scirocco milik Raif yang terparkir di garaj.

‘‘Raif nak ke mana lagi lepas ni?’’ laung Datin Raudhah.

‘‘Ingat nak pergi...’’

‘‘Nak pergi ke mana lagi? Terus hantar Idin balik ke rumah. Nanti mama Idin risau pula kalau lambat balik. Jangan nak melencong sana sini,’’ pesan Datin Raudhah sebelum Raif menghabiskan ayatnya. Irdina pada pandangan matanya, gadis yang baik. Kalau boleh, dia tidak mahu Raif mensia-siakan gadis itu.

‘‘Okey!’’ sahut Raif sambil membuka pintu kereta. Patuh dengan arahan Datin Raudhah walaupun dia sebenarnya sudah berkira-kira hendak mengajak Irdina minum kopi di mana-mana bistro. Bukan selalu dapat meluangkan masa dengan Irdina gara-gara kesibukannya. Sekali-sekala dapat keluar bersama, pastinya dia ingin berlama-lama dengan gadis itu.

Namun, bila Datin Raudhah kelihatan begitu beria-ia berpesan itu dan ini, Raif mula merasakan Irdina sudah mampu mencuit hati umi yang agak bertegas dengan siapa dia ingin berpacaran. Mungkin 10 markah sudah Irdina perolehi daripada umi.

‘‘MACAM mana umi, okey ke Idin tu jadi menantu?’’ Raiha bertanya ketika kereta yang Raif pandu sudah melepasi pagar rumah. Irdina ini, entah teman wanita Raif yang nombor berapa agaknya!

‘‘Nampak okey... berbudi bahasa, peramah. Dressing pun senonoh... tak macam budak yang kita jumpa di Pavilion hari tu. Siapa nama budak yang pakai hot pants tu, dik... Syireen?’’

‘‘Bukan Syireenlah, umi... Syikeen!’’

‘‘Haa... Syikeen! Tak berkenan betul umi tengok pakaiannya.’’ Datin Raudhah menggeleng kepala bila teringatkan gadis yang diperkenalkan oleh Raif ketika mereka terserempak di pusat membeli-belah sebulan yang lalu. Kadang-kadang dia pelik, apa sebenarnya kriteria yang Raif cari bila keluar dengan gadis sebegitu.

‘‘Kalau umi dah berkenan, kenalah cakap pada Raif tu... supaya pinang Idin tu cepat-cepat.’’ Ian memberi pendapat. Dia juga nampak keserasian Irdina dan Raif. Apatah lagi setelah mengenali datuk Irdina ketika bersama-sama menjalani rawatan fisioterapi dahulu. Dia dapat merasakan yang Irdina berasal dari keluarga yang baik-baik.

Datin Raudhah mengangguk setuju dengan pandangan Ian. Dalam menentukan calon isteri untuk Raif, memang dia perlu berhati-hati dan bertegas. Anak bujangnya yang seorang itu, cukup berbeza dengan Ian Redza. Teman wanita Raif keliling pinggang. Entah yang mana satu paling istimewa. Maka, calon isteri pun harus lebih teliti ujian saringannya!

SEPANJANG perjalanan pulang, Irdina masih terasa kemesraan yang dipamerkan oleh keluarga Raif sebentar tadi. Masing-masing tidak kekok untuk berbual, walaupun baharu kali pertama berjumpa. Ataupun mereka sebenarnya sudah biasa menerima teman-teman wanita Raif sebagai tetamu di rumah itu? Dan aku ni, entah-entah teman yang ke 99 Raif pelawa ke rumah!

‘‘Umi dan ayah you sporting, ya? I suka tengok you dengan Along Ian, Kak Jo dan Raiha. Walaupun sindir-menyindir, tapi sebenarnya you all ni rapat dan mesra,’’ komen Irdina jujur. Terhibur hatinya melihat keakraban Raif dan adik-beradiknya sebentar tadi. Dalam usik-mengusik, mereka tetap saling hormat-menghormati.

‘‘Hah... kalau you nak tahu, I dan Raiha tak boleh selalu berjumpa. Kita orang ni macam Tom and Jerry,’’ beritahu Raif yang sedang memandu. Dia menoleh sekilas ke arah Irdina dan tersenyum apabila mata mereka bertemu. Irdina kelihatan ayu pada hari itu apabila mengenakan skirt dan blaus. Biasanya jika keluar bersama, Irdina lebih gemar berpakaian ranggi dalam gaya sehariannya. Sesuai dengan karakternya yang gemarkan aktiviti lasak.

‘‘Along Ian lah yang jadi orang tengah kalau you bertekak dengan Raiha?’’ teka Irdina. Aura Ian sebagai abang sulung terserlah dalam gaya dan percakapannya. Itu yang Irdina rumuskan sepanjang mereka berbual bersama.

‘‘Along tu macam Chief Justice!’’ balas Raif tersengih. Begitulah perwatakan Ian Redza yang sering menjadi pihak neutral jika dia dan Raiha berbalah.

‘‘Mesti seronok ada ramai adik-beradik, kan?’’

‘‘Tiga aje, Idin... tak ramai mana pun.’’ Apa yang penting bagi Raif, bukan jumlah adik-beradik yang ramai. Sebaliknya, kemuafakatan antara mereka. Tidak guna kalau ada keluarga besar tetapi tidak sependapat.

‘‘Tiga tu kira ramai untuk orang yang tak ada adik-beradik macam I ni.’’ Irdina selalu berasa kekurangan diri melihat mereka yang mempunyai adik-beradik untuk berkongsi rasa dan cerita. Ya... dia juga sepatutnya ada adik. Tetapi ALLAH SWT lebih sayangkan adiknya. Izza Jasmin tidak sempat melihat dunia kerana meninggal ketika masih di dalam perut mama.

Kini, dia hanya ada Yasmin sahaja. Yasminlah ibu, rakan dan penemannya. Tiada sesiapa lagi untuk dia menumpang kasih dan bermanja. Yasminlah segala-segalanya.

Terusik hati Raif mendengar keluhan Irdina. Dia tahu kesunyian yang Irdina sering rasai. Kerana itu, Irdina kerap menghabiskan waktu bersama rakan-rakan dengan pelbagai aktiviti luar jika mamanya sibuk dengan temu janji.

‘‘Terima kasih sebab ajak I makan tengah hari dengan keluarga you. I had a great time,’’ ucap Irdina apabila kereta yang dipandu oleh Raif sudah berhenti di lobi Apartment Crystal.

‘‘Welcome dear. Terima kasih sebab sudi luangkan masa dengan famili I.’’ Raif akui, senarai teman wanitanya memang ramai. Tetapi hanya teman tertentu sahaja yang akan dipelawa ke rumah bertemu keluarganya. Buat masa ini, Irdina sudah termasuk dalam senarai pendeknya untuk kategori ‘teman tertentu’. Dan apabila Irdina menerima jemputannya, kesudian Irdina itu sebagai satu penghargaan untuknya.

Irdina tersenyum. Apabila Raif sudi menjemputnya ke rumah, dia menerima jemputan itu dengan seikhlas hati. Walaupun dia sendiri keliru, apakah tujuan sebenar Raif mempelawanya. Untuk diperkenalkan sebagai kawan atau lebih daripada itu?

Saat itu juga, telefon bimbit Raif berbunyi. Tanda mesej diterima.

Raif, usual place... 5.30?

Pantas Raif membalas teks.

K. C u…

‘‘Alright dear...nanti I telefon you.’’ Raif menjeling jam di tangan. Sudah pukul 4.55. Ada 25 minit sahaja masa yang dia ada untuk bergegas keluar dari Ampang menuju ke Publika di Sri Hartamas.

‘Drive carefully. Ingat pesan umi you tadi... jangan melencong.’’ Irdina mengingatkan sebelum melangkah keluar dari kereta. Sengaja dia mengusik Raif. Bukan dia tidak tahu, kalau Raif sudah terima mesej dan kemudian mula menjeling jam di tangan, pasti lelaki itu ada agenda lain selepas itu.

‘‘Umi I cuma pesan, jangan melencong dengan you...’’ bidas Raif tersenyum nakal. Tidak mahu memberitahu Irdina, ke manakah arah ‘lencongannya’ selepas itu.

Kata-kata dan senyuman itu membuatkan Irdina mula terfikir, Raif nak jumpa siapa pula selepas ini? Kawan lelaki ke kawan perempuan? Cemburukah aku? Tapi berhak ke untuk rasa cemburu? Raif ni hak aku ke? Persoalan yang terus bermain di fikiran Irdina sehinggalah dia naik ke apartmen.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh