Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
56,059
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

SUDAH menjadi rutin kedua-dua beranak itu untuk duduk bersembang sebelum masuk tidur. Sama ada di ruang makan atau di ruang tamu sambil menonton televisyen. Malam itu, Irdina menemani Yasmin menjamah nasi kerabu yang dibelinya dari Restoran Belanga tatkala makan malam bersama Raif tadi.

‘‘Tak sedap ke nasi kerabu tu, ma?’’ tanya Irdina apabila Yasmin menyuruhnya mengambil bekas lain untuk memasukkan lebihan nasi itu ke dalam peti sejuk.

‘‘Sedap... tapi mama dah kenyang,’’ jawab Yasmin sambil bersendawa dan melafazkan Alhamdulillah. Tercuit hati apabila Raif membelikannya makan malam. Bukan kerana nasi kerabu itu memang kegemarannya, tetapi apa yang penting ingatan Raif terhadapnya amat dihargai. Agak payah di zaman sekarang ini untuk berjumpa anak muda yang prihatin dan berbudi bahasa seperti itu.

‘‘Petang tadi mama pergi jumpa klien kat mana?’’ Irdina menuangkan air suam ke gelas Yasmin.

Yasmin meneguk air suam tersebut. ‘‘Padang Jawa.’’

‘‘Klien mama tu lelaki ke perempuan?’’ Antara mereka, tidak ada rahsia. Malah Irdina selalu ambil tahu jadual tugas mamanya serta dengan siapa mamanya berjumpa. Begitulah juga sebaliknya setiap kali dia melangkah keluar dari rumah. Yasmin pasti diberitahu ke mana destinasinya dan siapa yang menemani.

‘‘Perempuan.’’

‘‘Klien mama asyik perempuan aje... tak ada ke klien lelaki? Kalau ada, manalah tahu Idin boleh dapat babah baru ke?’’ Irdina bercelatuk.

Yasmin tergelak. Mengarut betul Idin ni! ‘‘Takkan ada babah baru, Idin. Sekarang ni, mama nak tanya... Idin dengan Raif macam mana?’’ Cepat-cepat Yasmin menukar tajuk perbualan. Secara tidak langsung, ingin mengetahui status terkini hubungan kedua-duanya memandangkan Irdina sudah berjumpa keluarga Raif hari Sabtu lepas. Adakah susulan daripada pertemuan itu?

‘‘Macam biasa ajelah, ma. Hari ni makan malam... lepas ni tak tahulah lagi bila boleh jumpa dia. Dia tu kan sibuk memanjang.’’ Ada keluhan di hujung kata-kata Irdina. Dia tahu, dia tiada hak untuk merungut tentang kesibukan Raif. Dia bukannya memiliki sijil kuasa ke atas lelaki itu. Tetapi kadang-kadang mulutnya itu laju sahaja mengomel.

‘‘Dalam sibuk-sibuk dia pun, sempat juga dia jemput Idin di pejabat,’’ umpan Yasmin. Daripada pemerhatiannya dan cerita yang dikongsikan oleh Irdina, dia rumuskan yang kedua-duanya saling menyimpan perasaan. Cuma masing-masing tidak meluahkan. Sama ada Irdina yang cuba bermain tarik tali atau Raif masih ingin menguji.

‘‘Hari ni dia jemput Idin. Entah esok lusa dia jemput siapa pulak.’’ Irdina terkenang perbualan telefon antara Raif dengan gadis bernama Atilia tatkala mereka makan malam tadi. Butir bicara bagaikan berbincang tentang bisnes. Tapi nada suara Raif tetap mesra melayannya.

Ketika dalam perjalanan balik untuk menghantarnya, ada pula gadis bernama Zoey yang menelefon. Pun Raif layan mesra juga. Siap berjanji akan bertemu sebelum gadis itu pulang ke Kuching. Tidak hairanlah kalau Raif bakal bertemu dengan Zoey pada esok malam pula.

‘‘Macam patah hati aje ayat tu?’’ sakat Yasmin melihat muka cemberut anaknya.

‘‘Bukan patah hati, ma... sakit hati!’’ Bukan dia sakit hati kepada Raif, dia ‘sakit hati’ kepada dirinya sendiri yang menyimpan sekelumit perasaan terhadap Raif. Kalaulah dia mampu mengikat persahabatan dengan Raif itu sebagai satu hubungan platonik seperti mana dia dengan Feroz, pasti dia tidak menjeruk perasaan begini.

‘‘Kalau berkawan dengan Raif tu buat Idin sakit hati... baik tak payah berkawan dengan dia lagi,’’ provok Yasmin mahu menguji hati Irdina.

Irdina terdiam. Sudah bersedia ke dia untuk tidak berkawan dengan Raif? Tergamak ke dia untuk ‘membuang’ kawan seperti lelaki itu? ‘‘Tapi... kawan tetap kena kawan, ma. Idin sebenarnya suka kawan dengan dia. Dia sebenarnya kawan yang baik... cukup-cukup baik.’’ Dia senang bila bersama Raif. ‘Membuang’ kawan seperti Raif tidak semudah menekan ikon ‘delete’ dalam senarai kawan-kawan di telefon bimbit atau di Facebooknya.

‘‘Hmm...’’ Yasmin tersenyum dengan jawapan itu. Sahlah kini, dalam rasa sakit hati, Irdina sebenarnya tidak sampai hati mahu membuang Raif jauh dari hatinya.

‘‘Caring...’’sambung Irdina perlahan. Memuji kebaikan ‘rakannya’ itu. Teringat bagaimana Raif pernah bergegas datang menemuinya sebelum dia bertolak untuk ekspedisi di Hutan Belum beberapa bulan yang lalu semata-mata mahu membekalkannya dengan satu kotak first aid kit.Kesungguhan Raif itu cukup mengusik hatinya. Daripada kuncup hingga jadi kembang.

‘‘Hmm...’’ Yasmin mengangkat kening.

‘‘Gentleman...’’ puji Irdina lagi. Layanan Raif terhadapnya boleh dianggap first class. Datang berjemput, balik berhantar... Raif tidak pernah membiarkan dirinya terkontang-kanting seorang diri pergi atau balik daripada dating. Lelaki itu akan memastikan semuanya teratur dan lancar setiap kali mereka keluar bersama. Dari pemilihan restoran sehinggalah ke menu makanan, semuanya diambil kira. Pernah sekali, ikan salmon yang dipesan oleh Irdina di sebuah restoran, agak kurang segar isinya. Raif tidak berkompromi tentang hal itu. Pengurus restoran dipanggil supaya menggantikan dengan yang ikan salmon yang baharu. Menjadikan Irdina serba-salah dan malu ketika itu.

‘‘Hmm... nice, caring, gentleman... tu semua macam ciri-ciri menantu mama aje,’’ acah Yasmin. Bila Irdina memuji Raif sehingga begitu sekali, ia bagaikan luahan hati Irdina terhadap si kekasih.

Irdina tersentak dengan kata-kata Yasmin. Tidak menduga akhirnya dia yang terperangkap gara-gara memuji Raif secara berlebihan. ‘‘Err... apa, ma? Menantu?’’ Mukanya serta merta bertukar merah dan hangat.

‘‘Ya, menantu.’’ Yasmin tersengih melihat wajah Irdina yang sudah merah menahan malu.

‘‘Ke hantu?’’ Pantas Irdina berlawak untuk menutup rasa malunya.

Yasmin tergelak.

Irdina turut ketawa lalu bangkit dari kerusi. ‘‘Okeylah ma, Idin nak masuk mandi dulu.’’ Dia meminta diri. Lagi lama dia di situ, sedikit demi sedikit rahsia hatinya pasti akan berjaya dikorek oleh Yasmin. Memang benar, mereka jarang berahsia. Tetapi biarlah perkara yang satu ini dirahsiakan sehingga semuanya sudah menjadi satu kepastian. Selagi dia dan Raif tidak berterus-terang tentang hati dan perasaan, jauh sekali berbincang tentang lamaran dan perkahwinan, maka dia harus menganggap mereka tergolong dalam kategori ‘berkawan.’

‘‘Sebelum mama terlupa... atuk tanya, nanti Idin boleh hantarkan atuk pergi kebun tak hujung minggu ni untuk ambil buah?’’ sempat Yasmin bertanya sebelum Irdina hilang di sebalik pintu bilik. Dia rasa sangat bersyukur kerana Irdina jenis yang ringan tulang untuk membantu. Apatah lagi untuk memberikan ‘khidmat’ kepada kedua-dua orang tua itu.

Irdina mengiakan. ‘‘Nanti Idin telefon atuk,’’ sahutnya sebelum menutup pintu bilik. Sebagai cucu sulung dan satu-satunya cucu atuk yang ada lesen memandu, dia yang akan melakukan ‘tugas-tugas khas’ untuk atuk dan wan. Apatah lagi, jarak rumah mereka lebih kurang 15 minit sahaja. Mereka di Ampang dan atuk di Kampung Pandan. Maka dia sahaja cucu terdekat yang boleh memberikan khidmat segera kepada kedua-duanya lebih-lebih lagi sejak Atuk Jamil tidak boleh memandu setelah terkena seranagn strok.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh