Home Novel Cinta Sah, Aku Cinta Kamu!
Sah, Aku Cinta Kamu!
31/12/2013 00:28:38
55,916
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

YASMIN sudah keluar bersama Carol ke The Curve. Tinggallah Irdina keseorangan di apartmen. Usai bersolat Asar, dia terus mendapatkan komputer riba untuk menjengah ke blog ‘My Life, My Passion’ miliknya. Blog yang diwujudkan tiga tahun lalu bertujuan untuk menceritakan pengalamannya dan rakan-rakan yang sering menghabiskan masa dengan mendaki bukit, gunung serta aktiviti lasak yang lain.

Namun, apabila salah seorang rakan baiknya iaitu Suri mula bekerja sebagai pramugari, fungsi blognya dipelbagaikan. Suri yang kaki shopping, memang sakan membeli-belah beg tangan yang berjenama setiap kali ke luar negara. Dari situ, timbul idea Irdina untuk memesan daripada Suri beg berjenama seperti Longchamp, Coach, Prada, Gucci dan Michael Korrs setiap kali Suri terbang ke luar negara dan memasarkannya di blog secara online.

Melalui seorang lagi rakan baik iaitu Feroz Khairi yang sering berulang alik dari Terengganu ke Kuala Lumpur atas tuntutan kerja, Irdina memesan sutera atau sifon batik untuk dijual di blognya. Kebetulan pula, Feroz mempunyai sepupu yang mengusahakan industri batik di sana, maka Irdina mendapat stoknya dengan harga yang lebih murah.

Walaupun tugasnya agak sibuk sebagai Eksekutif Sumber Manusia di sebuah syarikat menjual kereta import mewah, namun perniagaan secara online itu tetap diteruskan sebagai memenuhi masanya yang terluang jika dia tidak dapat melakukan aktiviti luar seperti hiking kerana keadaan cuaca yang tidak menentu atau gengnya tidak cukup korum. Secara tidak langsung, dapat juga menjana pendapatan sampingan untuknya.

Baharu sahaja dia log in, telefon bimbit berdering nyaring. Pantas dia menjawab panggilan tersebut sebaik melihat nama yang tertera.

‘‘Idin, kau free tak malam ni? Jom kita keluar makan. Bila jumpa kau, boleh aku bagi stok kain kau ni sekali. Tak payah nak pergi rumah kau... nak masuk Ampang tu selalu jam. Suri pun ada kat sini. Tadi masa aku call, dia ajak kita karok lepas makan.’’ Feroz terus bercakap tanpa henti.

‘‘Assalamualaikum, Encik Feroz Khairi!’’ Pintas Irdina dalam sindiran halus. Si FK ini, kalau menelefon tak pernah ada intro dalam percakapannya.

‘‘Walaikumussalam, Cik Irdina Jasmin,’’ sambut Feroz tergelak-gelak untuk menutupi rasa malu disindir.

‘‘Nak karok kat mana?’’ Sepanjang mereka berkawan, mungkin sudah berpuluh pusat karaoke yang Irdina kunjungi semata-mata untuk menemani si kaki karaoke iaitu Feroz dan Suri. Dia yang tidak minat menyanyi, kadang-kadang terjebak juga mendendangkan dua atau tiga lagu setelah dipaksa oleh mereka.

‘‘Port biasalah.’’

Irdina membayangkan pusat karaoke yang terletak di Mutiara Damansara itu. Perjalanan yang hampir 45 minit dari rumahnya. Kalau jalan sesak, mungkin satu jam lebih baru tiba di sana. ‘‘Malaslah aku nak keluar malam ni. Ingat nak duduk rumah aje.’’

‘‘Apa malas-malas ni? Anak dara tak elok malas, tau? Lagipun, apa kau dapat kalau duduk rumah aje?’’ Mulut Feroz mula berkicau.

‘‘Apa yang aku dapat keluar dengan kau?’’ bidas Irdina. Dia, Feroz dan Suri berkenalan sejak tahun pertama di UNITEN. Ke mana sahaja mereka pergi, korumnya pasti bertiga. Tetapi sayang, Suri tidak menghabiskan pengajiannya setelah mendapat tawaran menjadi pramugari ketika di tahun kedua. Tinggallah dia dan Feroz sampai ke tahun akhir sehingga memperolehi Ijazah dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan dan Pengurusan Sumber Manusia.

‘‘Selain daripada dapat kain kau yang satu bundle ni, dapat juga kau lepaskan rindu pada aku!’’ Feroz mengusik.

‘‘Tak ada maknanya aku nak rindu kau, lah!’’ selar Irdina tergelak.

Feroz ketawa. ‘‘Jom, lah!’’ Irdina kalau sudah dipujuk rayu, pasti beralah juga. Gadis itu sebenarnya lembut hati walaupun luarannya gemarkan sesuatu yang lasak.

‘‘Aku nak update bloglah. Prada yang Suri belikan minggu lepas, aku belum upload gambarnya lagi. Customer dah tertunggu-tunggu produk baru aku.’’ Kerja-kerja mengemaskini blog tergendala beberapa hari ini kerana kesibukan Irdina di pejabat.

‘‘Apasal malam ni juga kau nak update? Kenapa tak upload gambar tu semalam ke... tadi ke? Tulah kau, sejak dulu lagi, suka bertangguh kerja.’’

‘‘Semalam lepas kerja, aku pergi main futsal dengan budak-budak ofis. Pagi tadi aku hantar barang-barang dapur ke rumah atuk aku. Tengah hari tadi aku keluar.’’ Irdina menyenaraikan tugasannya sebagai mempertahankan diri sebelum terus dibebel oleh Feroz. Feroz kalau membebel, mengalahkan kaum perempuan.

‘‘Tengah hari tadi kau keluar dengan siapa?’’ Setakat tugasan menghantar barang dapur ke rumah atuk, Feroz sudah sedia maklum dengan jadual Irdina setiap hujung minggu. Apa yang menarik perhatiannya kini, Irdina keluar dengan siapa.

‘‘Raif.’’

‘‘Raif? Eh... tadi aku rasa macam nampak dia kat Publika... tengah lepak di Chawan.’’ Sebagai rakan Irdina, Feroz menyampaikan sahaja apa yang dilihatnya.

‘‘Ya ke?’’ Jantung Irdina sudah lari rentaknya. Oh... yang tergesa-gesa ucapkan selamat tinggal tadi, rupa-rupanya hendak ke Publika. Raif... Raif... kau keluar dengan siapa pulak selepas aku?

‘‘Nampak dari jauh... tapi aku rasa macam dia aje.’’ Feroz tahu dia tidak tersalah pandang. Sesudah bertemu Raif sebanyak tiga kali sebelum ini, rasanya dia tidak mengalami sebarang masalah untuk membuat pengecaman.

‘‘Err... dia dengan siapa?’’ Irdina cuba mengawal nada suaranya agar tidak kedengaran seperti cemburu, sakit hati mahupun kecewa. Walaupun picisan rasa itu mula memercik di hati.

‘‘Perempuan...’’

Irdina menelan liur. Okey... Raif keluar dengan perempuan! Perempuan mana? ‘‘Seorang?’’

‘‘Bukan seorang, bukan dua orang tapi tiga orang!’’ Feroz tidak berselindung. Makumat yang dirasakannya tiada impak terhadap Irdina. Bukankah selama ini Irdina menafikan yang Raif itu kekasihnya. Maka info tersebut pasti tidak akan menjadi kudis kepada gadis itu.

‘‘Oh?’’ Irdina terlopong seketika. Tiga orang gadis sedang berada bersama Raif di Publika ketika itu. Campur aku tadi, bermakna hari ini sahaja Raif sudah keluar dengan empat orang perempuan! Angka yang cukup untuk memaksimakan jumlah poligami!

Mendengar jawapan pendek Irdina dan kemudian gadis itu terus terdiam, Feroz serba-salah. Sudah terlepas cakap ke dia? Irdina kecil hati ke? ‘‘Tapi Idin, mungkin juga bukan Raif... pelanduk dua serupa kot.’’ Cepat dia memujuk untuk membetulkan keadaan.

‘‘Mungkin.’’ Irdina juga cuba bersangka baik. Pelanduk dua serupa yang ada kemungkinan mempunyai ‘hobi’ yang sama juga dengan Raif. Iaitu hobi keluar minum bersama gadis-gadis!

‘‘Eleh mak cik... kau sendiri yang kata, kau dengan Raif tu tak ada apa-apa, kan? Relakslah... apa kau nak kisah?’’

‘‘Siapa kata aku kisah? Aku dengan dia memang tak ada apa-apa pun.’’ Irdina menyatakan realiti. Setakat ini, dia dan Raif masih di tahap ‘kawan-kawan’. Belum masuk ke peringkat teman istimewa atau sebagainya. Pada dasarnya, dia senang bila bersama lelaki itu. Hari yang dilalui bersama Raif cukup menceriakan. Bagai terhampar satu kebahagiaan berada di sisi lelaki itu. Dan pada fikirannya, Raif juga pasti senang, ceria dan bahagia bila keluar dengan dirinya. Kalau tidak, masakan mereka masih keluar bersama? Tetapi kenapa terpalit rasa cemburu dan kecewa pula saat ini?

‘‘Atau sebenarnya kau suka dia, ek?’’ Feroz serkap jarang.

Muka Irdina terasa hangat. Mujur Feroz tidak ada di depannya. Kalau tidak, pasti muka merahnya dapat dikesan dan ditertawakan oleh Feroz. ‘‘Kalau aku suka dia pun, apa salahnya? Kau jealous?’’

Feroz tergelak besar. ‘‘Eh... tak kuasalah pokcik nak jealous dengan kau mokcik!’’

Irdina tertawa. ‘‘Kau di Publika lagi ke sekarang ni?’’ soalnya bila secara tiba-tiba timbul satu idea. Kalau Feroz masih di Publika, dia sanggup terbang ke sana. Kononnya untuk bertemu Feroz, tapi agenda sebenar adalah untuk mengintip Raif di Chawan. Hendak juga dia tahu, siapa yang sedang mengelilingi Raif ketika itu. Ataupun suruh sahaja Feroz menegur Raif dan kemudian memberi laporan lengkap kepadanya. Idin... kenapa kau macam Inspektor Polis pulak ni? Kerana cemburu kau jadi begini?

‘‘Taklah, aku dah dalam perjalanan balik ni.’’

Irdina mengeluh. Perancangannya tidak menjadi.

‘‘Macam mana malam ni? Nak keluar tak?’’

‘‘Malas.’’ Sekarang ini, bukan sahaja Irdina malas untuk keluar tetapi dia juga sudah kehilangan mood. Perkhabaran tentang Raif sedikit sebanyak telah mengganggu emosinya.

‘‘Habis tu, kain kau ni macam mana? Berat but kereta aku ni mengangkutnya ke sana ke mari.’’

Fokus Irdina berpusat semula pada kain-kain yang dibawa oleh Feroz. ‘‘Aku ambil esok ajelah. Nanti aku telefon kau. Okeylah Feroz...’’ Irdina mahu menamatkan perbualan supaya dia dapat menenangkan dirinya yang tiba-tiba sahaja diamuk perasaan yang tidak menentu. Cemburu, kecewa dan sakit hati. Perasaan yang cuba dihindarinya. Namun, dia gagal menyiahkannya. Entah apa-apa kau ni, Idin!

‘‘Lagi satu, aku ingat nak pergi Lata Medang di Peretak awal bulan depan. Kau nak ikut tak?’’ Feroz tidak pernah meminggirkan Irdina jika ada aktiviti luar seperti itu. Sudah sedia maklum akan minat Irdina yang sentiasa ingin mencuba cabaran baharu. Kerana itu, mereka masih terus berkawan rapat memandangkan minat dan kecenderungan yang sama.

‘‘Kau kata hari tu, nak pergi white water rafting di Kuala Kubu Baharu? Ni tukar plan pulak.’’ Bila mendengar sahaja ada peluang untuk mendaki bukit atau sekadar jungle trecking, Irdina mula teruja. Soal Raif diketepikan seketika.

‘‘Kau nak hiking ke white water rafting?’’ Feroz memberi pilihan. Bagusnya tentang Irdina, kedua-dua aktiviti tersebut pun gadis itu sanggup redah. Irdina senang ‘diangkut’ ke mana sahaja.

‘‘Nanti aku fikir dulu. Tengok masa dan bajet aku macam mana.’’ Irdina melepaskan keluhan selepas tamat berbicara dengan Feroz. Tiba-tiba, dia punya banyak perkara yang perlu difikirkan. Tentang blog yang belum update, tentang aktiviti mendaki bukit atau berkayak di air putih serta tentang lelaki yang bernama Raif Imran itu.

Dalam masa dia mengaku tidak ada apa-apa hubungan dengan lelaki itu, kenapa hati masih ada secebis rasa cemburu?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh